Selasa, 30 Ogos 2011

Guru ijazah sarjana, PhD terpinggir

2011/08/30

KEMENTERIAN perlu kaji semula skim gaji dan skim perkhidmatan warga pendidikan secara menyeluruh. Demikian tajuk utama Buletin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) 2011. Tahniah saya ucapkan kepada staf kepemimpinan KPPK yang setiap detik memerah otak berjuang memartabatkan profesion perguruan di Malaysia.

Walaupun begitu, meneliti helaian demi helaian buletin itu, tidak ada satu pun nasib guru yang memegang ijazah sarjana dan PhD diperkatakan.
Seperti sedia maklum jumlah guru yang memegang ijazah sarjana dan PhD di sekolah tidak ramai berbanding pemegang ijazah sarjana muda atau diploma.
Saya bagi pihak rakan pemegang sarjana dan PhD merayu kepada pihak kerajaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil inisiatif memperkenalkan satu skim baru kepada pemegang sarjana dan PhD.

Putera Muadzam Shah,
Alor Setar, Kedah

Berita Harian Online: 30 Ogos 2011

Isnin, 29 Ogos 2011

Format baharu pentaksiran SPM Sejarah


Calon SPM wajib lulus mata pelajaran Sejarah mulai 2013. - Gambar hiasan


Mulai 2013, mata pelajaran Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus sebagai syarat untuk layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain mata pelajaran Bahasa Melayu.

Subjek Sejarah akan mula diperkenalkan dalam SPM Ulangan mulai tahun 2014.

Format pentaksiran mata pelajaran Sejarah akan menggunakan sukatan pelajaran sedia ada bermula dari tahun 2013 sehingga 2017. Bermula SPM 2018, ia akan menggunakan sukatan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Mengikut format pentaksiran yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat pada April lalu, subjek Sejarah akan diuji dalam tiga kertas yang melibatkan soalan aneka pilihan, struktur dan esei serta tugasan.

Kertas 1 mengandungi 40 soalan objektif yang perlu dijawab oleh calon dalam tempoh satu jam. Ia menyumbang 30 peratus daripada markah keseluruhan.

Manakala Kertas 2 pula merupakan soalan subjektif yang dibahagikan kepada Bahagian A untuk soalan berbentuk struktur dan Bahagian B untuk esei.

Semua calon wajib menjawab empat soalan yang terdapat dalam Bahagian A. Sepuluh markah untuk setiap soalan.

Bahagian B mengandungi tujuh soalan dan calon hanya perlu menjawab tiga soalan sahaja. Dua puluh markah untuk setiap soalan.

Jumlah markah ialah 100 tetapi secara keseluruhan Kertas 2 menyumbang sebanyak 50 peratus. Tempoh ujian untuk Kertas 2 ialah selama dua jam setengah.

Kertas 3 yang merupakan soalan berbentuk tugasan menyumbang sebanyak 20 peratus daripada markah keseluruhan. Ujian bagi kertas ini dijalankan dalam tempoh tiga jam tetapi calon akan diberi tema atau tajuk umum sebulan lebih awal dari tarikh peperiksaan.

Tajuk tugasan dan panduan menjawab Kertas 3 akan diberi pada hari peperiksaan.

Dari segi aras kesukaran soalan, ia digubal sesuai dengan tahap pembelajaran Sejarah pelajar pada hujung tingkatan lima.

Semua soalan dibina mengikut sukatan pelajaran tingkatan empat dan lima.

Konstruk untuk setiap soalan berbeza mengikut Kertas. Bagi Kertas 1, soalan menjurus kepada keupayaan mengingat, memahami dan menganalisis.

Kertas 2 pula memerlukan pelajar mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan menjana idea.

Tugasan dalam Kertas 3 pula bertujuan memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai, menjana idea dan nilai.


Utusan Malaysia: 29 Ogos 2011

Sabtu, 27 Ogos 2011

Pentadbiran UPSI tunggang-langgang, sistem peperiksaan tak telus

2011/08/27

SAYA salah seorang dari ratusan guru yang mengikuti Program Pengsiswazahan Guru (PPG) ambilan Mac 2011 yang lalu dan ditempatkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebelum ini saya amat berbangga sekali walaupun hanya mendengar nama universiti ini yang melahirkan ramai guru berwibawa. Tetapi persepsi ini semakin hari semakin pudar apabila saya sendiri dan mungkin ramai rakan guru yang lain kecewa dengan tenaga pengajar dan pengurusan pihak kampus.

Pertama sekali saya mendaftar ke kampus ini sedikit terkejut kerana pelajar UPSI juga yang menguruskan segala pendaftaran PPG KPM 2011. Di dalam diri saya berkata mungkin itu hanya latihan untuk mengajar pelajar ini untuk menguruskan apabila bakal menjadi guru kelak. Amat mengejutkan apabila taklimat dan penerangan mengenai UPSI dan laman webnya juga diterangkan oleh pelajarnya.
Tidak cukup dengan itu, pengurusan mendapatkan jadual kuliah juga amat mengecewakan kerana boleh dikatakan ia cukup tunggang langgang. Pertama kali kami menghadiri kuliah dan kelas dengan semangat untuk belajar luntur sedikit apabila salah seorang pensyarah memarahi kami kerana dia tidak tahu jadualnya sendiri. Sikap ini tidak harus ada pada tenaga pengajar walaupun dia dipanggil gelaran doktor sedangkan Julai lalu guru sibuk mengulang kaji kerana bakal menduduki peperiksaan semester.
Tidak cukup dengan itu saya amat pelik dengan sistem pengurusan peperiksaan. Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan saya amat musykil. Ada bekas guru keluaran UPSI ini mendakwa markah diambil kira adalah daripada peperiksaan semata-mata.

Ternyata dakwaan ini benar kerana saya sendiri mengalaminya. Cukup kecewa apabila dapati rakan yang lain tidak pernah melayari perbincangan secara atas talian dan tidak menghantar tugasan mendapat markah lebih tinggi berbanding rakan guru yang lain.

Sekali lagi berita yang lebih mengejutkan yang diterima pihak UPSI boleh mengubah keputusan peperiksaan yang dikeluarkan? Saya amat berharap supaya Kementerian Pelajaran mengambil berat hal ini kerana UPSI sebuah institut perguruan tertua di Malaysia dan jangan dicemarkan namanya dengan orang bekerja sambil lewa.

BAKAL GRADUAN UPSI, Tanjung Malim

Berita Harian Online: 27 Ogos 2011

Jumaat, 26 Ogos 2011

Pendidikan Islam dimantapkan


MUHYIDDIN Yassin menyampaikan duit raya kepada golongan kurang berkemampuan sumbangan UDA Holdings Berhad di Surau Saadi'ah Hj. Mohd. Yassin di Muar, Johor, semalam. Turut kelihatan Nur Jazlan Mohamed (tengah).


MUAR 25 Ogos – Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan kurikulum baru Pendidikan Islam dengan menerapkan Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dalam subjek tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas dengan Bahagian Pendidikan Islam bagi memantapkan lagi mata pelajaran berkenaan.

“Ini adalah perkara yang akan kita laksanakan tidak lama lagi kerana dikatakan kita masih kurang guru j-QAF di seluruh negara, sedangkan kita memiliki ramai guru Pendidikan Islam dan guru itu layak untuk mengajar anak-anak kita dalam soal berkaitan jawi, agama Islam dan al-Quran menerusi j-QAF,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa di Surau Sa‘adiah Hj. Mohd. Yassin di Jalan Bakri di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat serta ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Pada majlis tersebut, Muhyiddin menerima zakat daripada UDA Holdings sebanyak RM150,000 untuk Yayasan Nurul Yaqeen serta RM20,000 lagi untuk Surau Sa‘diah.

Pada majlis itu, UDA Holdings turut meraikan 200 golongan kurang berkemampuan yang terdiri daripada fakir miskin.

Menurut Muhyiddin, tumpuan kerajaan adalah memastikan bidang pelajaran yang turut merangkumi pendidikan agama Islam dapat diperluaskan.

“Pendidikan adalah suatu yang sejagat dan tiada perbezaan antara miskin atau kaya. Dalam sistem pendidikan kita, sekolah adalah untuk semua, kita tentukan mereka mesti ke sekolah, tiada yang tertinggal, tiada yang terkecuali,” katanya.

Sehubungan itu, kata Muhyiddin, kementeriannya akan memantapkan lagi pendidikan di peringkat prasekolah agar semua kanak-kanak berpeluang mengikuti pendidikan pada usia muda dan kerajaan juga bersedia mengeluarkan peruntukan agar lebih banyak prasekolah dapat dibuka.

“Selain memberi modal RM10,000 untuk membuka prasekolah, hari ini saya buat keputusan, mana-mana pihak yang hendak memperluaskan lagi prasekolah yang sedia ada, kita boleh menambah peruntukan, tapi pokoknya kena tambah bilangan pelajar.

“Hari ini, lebih setengah juta anak-anak kita sudah pun melalui pendidikan prasekolah tapi ada beberapa ratus ribu lagi yang tidak dapat kerana tiada kemudahan dan mereka ini di kawasan pedalaman, pinggir bandar, rumah pangsa dan rumah setinggan,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 26 Ogos 2011

Graduan PhD pensyarah, guru tingkat taraf pendidikan

Oleh Azmi Abdul Malek
upen@bharian.com.my
2011/08/26

Abidin bangga menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) pada Konvokesyen Ke-13, UPSI, baru-baru ini.
Abidin bangga menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) pada Konvokesyen Ke-13, UPSI, baru-baru ini.
TARAF pendidikan pensyarah dan guru sekolah rendah semakin meningkat apabila ramai daripada mereka memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana dari institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak.

Walaupun kelayakan tinggi belum tentu menjamin kenaikan pangkat dalam jangka masa pendek, namun guru berkenaan tetap cekal mendapatkan sekurang-kurangnya segulung ijazah.
Kesungguhan itu dibuktikan Pensyarah Pendidikan Guru Tawau (IPGT), Sabah, Dr Abdul Ghani Sani, 39, guru Sekolah Kebangsaan Losong, Kuala Terengganu, Abdul Rashid Ishak, 49, dan Guru Sekolah Kebangsaan Parit Baharu, Sabak Bernam, Selangor Abidin Mohamad, 47.
Sepanjang tempoh menyiapkan tugasan itu, saya terpaksa berulang-alik dari Tawau ke UPSI dan dianggarkan sejumlah RM100,000 dibelanjakan untuk itu. - Dr Abdul Ghani Sani, Pensyarah Pendidikan Guru Tawau (IPGT), Sabah
Abdul Ghani, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di IPGT mengambil masa lapan tahun menyiapkan tesisnya bertajuk “Deskripsi Struktur Dan Fungsi Tata Hubung Dalam Bahasa Melayu Berasaskan Kajian Teks Hikayat Abdullah Munsyi”.

Sepanjang tempoh menyiapkan tugasan itu, katanya dia terpaksa berulang-alik dari Tawau ke UPSI dan dianggarkan sejumlah RM100,000 dibelanjakan untuk itu.

Bagaimanapun, dia bertuah kerana mempunyai isteri yang juga seorang guru sekolah menengah di Kota Kinabalu, Siti Zaiton Ismail, 33, sentiasa bersama menunggunya menamatkan pengajian.

Isterinya yang turut mendapat dua kali tawaran meneruskan pengajian, bagaimanapun niat murni itu dipendamkan bagi memberi laluan kepada suami menamatkan pengajian.
“Kini saya puas kerana pengorbanan serta kesabaran ahli keluarga sepanjang lapan tahun membantu memperoleh PhD,” katanya ketika ditemui selepas menerima PhD Pendidikan Bahasa Melayu pada majlis Konvokesyen ke-13 UPSI, baru-baru ini.

Abdul Ghani, anak ketiga daripada enam beradik ditemani bapanya yang juga bekas Pengarah Muzik Polis Diraja Malaysia Kontijen Sabah, Sani Rosman, 63, ibunya Aisah Jani, 59 dan isteri.

Katanya, dia sudah mengemukakan permohonan untuk menjadi pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan berharap impian bergelar profesor satu hari nanti menjadi kenyataan.

Sementara itu Abdul Rashid, berkata dia gembira menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan), apabila isterinya Halimah Ton Mansor, 55, Pengarah Kemas Pahang memberi sokongan ketika dia menghabiskan masa menyiapkan tugasan di UPSI.

Abdul Ghani, lulusan Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan), berkata dia bangga memperoleh ijazah berkenaan kerana ketika muda tidak berpeluang meneruskan pengajian.

“Sebagai anak pesawah dan keluarga hanya menyewa tapak tanah orang lain. Saya perlu memberi sepenuh perhatian kepada 10 adik beradik lain,” kata bapa kepada lima anak dan tiga daripadanya masih menuntut di IPT tempatan.

Berita Harian Online: 26 Ogos 2011

Khamis, 25 Ogos 2011

Bakal guru menunggu tarikh penempatan yang belum pasti

SAYA adalah salah seorang calon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Jun 2010 di salah sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG).

Saya mewakili rakan-rakan untuk menarik perhatian pihak berwajib mengenai urusan penempatan perkhidmatan di sekolah KPLI ambilan Jun 2010 yang masih samar-samar.

Kami telah menamatkan pengajian pada bulan Mei 2011 dan menjalani Kursus Sistem Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) pada bulan Jun 2011.

Setelah ditemu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) pada penghujung Jun 2011, kebanyakan kami telah diperakukan di dalam jawatan. Tetapi yang menjadi tanda tanya adalah mengenai tarikh penempatan kami ke sekolah.

Saya telah menghubungi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bertanyakan tarikh penempatan kami. Tetapi jawapan yang diberikan amat mendukacitakan kami.

Tarikh yang diberi oleh pegawai yang terbabit seolah-olah hanya untuk melepaskan batuk di tangga. Tarikh pertama yang diberi kepada kami adalah pada 2 Ogos 2011, kemudianya 16 September 2011. Setelah dihubungi baru-baru ini, KPM terus terang menjawab tidak tahu.

Untuk pengetahuan umum, kebanyakan calon KPLI sudah bekeluarga. Semestinya keadaan tarikh penempatan yang tidak tetap dan terumbang-ambing menjejaskan kehidupan seharian kami. Juga menjejaskan emosi para bakal guru.

Tujuan kami menulis dalam ruangan ini bukan untuk menjejaskan kredibiliti KPM dan kerajaan umumnya, tetapi inginkan penjelasan tanpa berselindung. Untuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kami meminta jasa baik pihak Tan Sri untuk melihat masalah ini dengan lebih serius.

Utusan Malaysia Online: 25 Ogos 2011

Rabu, 24 Ogos 2011

PLM mahu PPSMI dihentikan serta-merta

2011/08/24

MERUJUK kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akhbar semalam mengenai pilihan bahasa oleh sekolah untuk mengajar sains dan matematik, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) berharap kerajaan dan Kementerian Pelajaran bertegas menolak sebarang usaha menghidupkan semula PPSMI dengan menggunakan dua bahasa iaitu sekolah tertentu diizin menggunakan bahasa Inggeris manakala sekolah lain menggunakan bahasa Melayu.

PLM tetap mahu PPSMI dihentikan. Segala usaha membina tamadun ilmu berbahasa Melayu seperti penulisan dan penerbitan ilmu sains dan teknologi terencat dengan serta-merta akibat PPSMI. Masa yang panjang perlu diambil untuk membangun tamadun atau menebus kembali masa enam tahun yang hilang ketika pelaksanaan PPSMI tetapi untuk meruntuhkan tamadun berkenaan cukup dengan hanya membuat satu keputusan.
Kesannya mungkin tidak nampak segera di depan mata bagi kebanyakan kita. Namun fenomena antara dua darjat seperti terpapar dalam filem P Ramlee akan wujud dan seterusnya dalam jangka pendek dapat dijangka bahasa Melayu akan terus terpinggir buat selama-lamanya kerana kecenderungan rakyat yang lebih terpesona dengan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.
Akhirnya sekolah ‘bersains dan matematik’ dalam bahasa Inggeris akan menjadi kelas pertama dan rebutan berbanding sekolah ‘bersains dan matematik’ dalam bahasa Melayu yang akan terus dipinggir. Ibarat diberi betis hendakkan paha, ibu bapa dan anak akan berkejar-kejar ke sekolah sana dan akhirnya permintaan akan bertambah dan tinggallah sekumpulan kecil sekolah berbahasa Melayu.

Ketika sains, matematik dan teknologi diajar dalam bahasa Melayu di sekolah hingga di universiti sejak 1972 hingga 2002 tiada sebarang masalah kronik sehingga menggendalakan kemajuan negara ini.

Malah puluhan ribu jurutera, doktor serta profesional lain daripada pelbagai bangsa di Malaysia dilahirkan oleh universiti tempatan dan juga mereka yang lulus dari luar negara sedangkan mereka berpendidikan dalam bahasa Melayu.
PLM berharap hasil murni selama ini yang selaras dengan acuan dan jati diri negara ini tidak dihancurkan buat kali kedua yang kesannya dalam jangka panjang akan lebih parah dari segi membangun modal insan yang mempunyai roh dan jiwa Malaysia yang sejati.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden,
Persatuan Linguistik Malaysia

Berita Harian Online: 24 Ogos 2011

Selasa, 23 Ogos 2011

Harapan Kongres

Oleh Amir Hamzah Nordin

2011/08/23

Kementerian wajar perhalusi gred, kebajikan warga pendidik

KESATUAN Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) berharap Kementerian Pelajaran dapat menambah baik laluan kerjaya perkhidmatan pendidikan dengan melakukan penstrukturan semula bagi meningkatkan semangat bekerja warga berkenaan.

Presidennya, Jemale Paiman, berkata pihaknya memohon sembilan perkara dalam meningkatkan laluan kerjaya yang lebih menarik sejajar dengan transformasi pendidikan yang sedang dijalankan sekarang.
Antaranya beliau berkata, jawatan guru besar di sekolah kurang murid (SKM) dinaikkan daripada gred DGA32 kepada DGA34 sesuai dengan perkembangan semasa.
Katanya, kini sudah ramai guru lulusan diploma berada pada Gred DGA32 secara ‘time based’ dan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan berada pada Gred DG41.

“Kita mahu guru besar yang berada pada gred DGA34 dinaikkan kepada DGA38. Kementerian Pelajaran juga patut memperkenal gred baru, iaitu DGA40.

“Jawatan itu perlu bagi mengisi jawatan guru besar dan pengelola cemerlang yang bertugas di pejabat pelajaran daerah (PPD), jabatan pelajaran negeri dan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Jemale berkata, KONGRES juga berharap elaun khas perjawatan guru besar dan pengetua dinaikkan daripada RM100 kepada RM500.
Beliau yang juga Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), berkata gred jawatan pegawai pelajaran daerah (PPD) yang kini pada Gred DG52 perlu diletakkan pada Gred DG54.

Katanya, ada 139 PPD di seluruh negara dan mereka seharusnya diletakkan pada gred lebih tinggi memandang bidang pentadbiran yang luas dan jumlah warga pendidik yang ramai manakala kebanyakan PPD mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.

“Gred PPD sewajarnya lebih tinggi berbanding gred pengetua (DG52) dalam struktur pentadbiran Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, KONGRES juga mencadangkan Pegawai Teknologi Pendidikan di 340 Pusat Kegiatan Guru seluruh negara yang kini pada Gred DGA32, DGA34 dan DGA38 perlu dinaikkan sehingga ke Gred DG41 dan DG52.

Katanya, Kementerian Pelajaran juga perlu meningkatkan peruntukan kewangan dalam pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) secara berperingkat-peringkat.

“Kementerian Pelajaran perlu menjaga kebajikan guru dan pegawai yang banyak mengikuti kursus KSSR dengan membayar elaun tuntutan perjalanan menghadiri program anjuran kementerian.

“Selain itu, kekosongan jawatan guru besar atau pengetua harus diisi dengan segera dan tidak terbiar kosong sehingga melebihi 60 hari kerana ini akan menjejaskan pentadbiran sekolah,” katanya.

Berita Harian Online: 23 Ogos 2011

Lahir bayi di sekolah

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my

TUMPAT: Curiga terdengar tangisan bayi dari sebuah bilik asrama sebuah sekolah agama dekat Pasir Pekan di sini, membongkar rahsia kelahiran seorang bayi lelaki masih bertali pusat yang dilahirkan pelajar tingkatan enam hingga menggemparkan pengurusan sekolah berkenaan, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari seorang pekerja sekolah terbabit selepas pelajar perempuan berusia 18 tahun itu ditemui bersama bayi lelakinya yang baru dilahirkan di atas katil dalam bilik asrama tingkat satu bangunan itu.


Menurut sumber, curiga dengan tangisan itu, pekerja berkenaan memanggil rakannya untuk memeriksa bilik asrama sekolah dan terkejut mendapati dua beranak terbabit berada di atas katil.

Beliau berkata, pelajar berkenaan kelihatan lemah, selain bimbang dengan kejadian berkenaan selepas melahirkan bayi di sekolah.


“Bimbang dengan keselamatan pelajar itu, pekerja berkenaa memaklumkan kepada pihak sekolah dan yang kemudian mendapatkan bantuan ambulans,” katanya.


Pelajar berasal dari Pasir Mas itu dipercayai melahirkan bayi di dalam tandas sebelum membawa anaknya yang masih bertali pusat ke dalam bilik tidur asrama sebelum terlantar akibat keletihan.

Pelajar terbabit dikatakan pernah mengadu sakit perut pada malam sebelum kejadian, namun dia mendakwa hanya sakit senggugut sebelum dipercayai meminta kunci bilik daripada pengawal keselamatan untuk naik ke bilik asrama.


“Pelajar itu mendakwa tertinggal barang dan meminta kunci bilik daripada pengawal keselamatan untuk naik ke biliknya.

“Dia pernah mengadu sakit perut kepada rakannya, namun bila ditanya dia kata senggugut, malah rakan-rakanya tidak mengesyaki apa-apa dan turut terkejut ," kata sumber.


Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi memberitahu tidak menerima sebarang aduan berhubung kejadian berkenaan.


“Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan dan tidak pasti kejadian itu berlaku di kawasan ini atau sebaliknya. Bagaimanapun siasatan akan dilakukan sekiranya laporan berhubung kejadian itu diterima,” katanya.


myMetro: 23 Ogos 2011


Ajak guru bertarung

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Georgie Joseph
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar meneguk arak dan tidak berpuasa ketika sesi persekolahan, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di ibu kota bertindak ala gengster apabila mencabar seorang guru lelaki sekolah berkenaan untuk bertarung dengannya di hadapan sekolah itu, semalam.

Difahamkan, selain melakukan pelbagai kesalahan termasuk ponteng, suspek yang belajar di tingkatan tiga sekolah itu turut memeras ugut pelajar lain untuk mendapatkan wang perlindungan. Malah, jika permintaannya ditolak, ‘gengster junior’ terbabit dikatakan akan memukul mereka.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 7.30 pagi semalam, pelajar terbabit turut dikatakan mengugut untuk mencederakan guru lelaki berusia 30 tahun sehingga parah dalam pergaduhan yang dirancangnya itu sebagai balasan terhadap perbuatan mangsa yang membongkarkan kegiatan tidak bermoralnya kepada pengetua sekolah berkenaan.

Bimbang dengan ancaman berkenaan, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Brickfields, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, semuanya bermula apabila pelajar terbabit berjumpa guru berkenaan selepas tamat perhimpunan pagi di tapak perhimpunan sekolah itu.


myMetro: 23 Ogos 2011


Isnin, 22 Ogos 2011

YGMB bantu guru lanjut pelajaran


ALIMUDDIN Mohd. Dom dan Anuwar Ali berjabat tangan selepas menandatangani MoU antara YGBM dan OUM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Dalam usaha untuk melahirkan warga pendidik yang mempunyai tahap pendidikan tinggi selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan mutu pendidikan negara, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) mengambil inisiatif dengan menyediakan peluang melanjutkan pelajaran kepada golongan tersebut.

Peluang ini terbuka kepada semua guru di bawah Kementerian Pelajaran (KPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Kedoktoran (PhD) dalam hampir kesemua bidang yang ditawarkan oleh Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pihaknya bersedia menawarkan pinjaman kewangan kepada golongan pendidik termasuk mereka yang berada di peringkat pengurusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Pinjaman dengan jumlah maksimum sebanyak RM30,000 akan disediakan oleh Koperasi YGMB kepada setiap ahli yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Alimuddin, perjanjian kerjasama dengan OUM itu sekali gus dapat membuka peluang kepada warga pendidik untuk mendapatkan pendidikan ke tahap tertinggi di samping menjaga kebajikan ahli-ahli YGMB.

"Pihak YGMB bukan sahaja menjaga kebajikan ahli-ahlinya dalam bentuk kewangan yang bersifat sementara namun kali ini fokus kepada perkara yang lebih bernilai untuk masa depan iaitu pendidikan.

"Pinjaman ini pastinya dapat membantu memudahkan lagi urusan warga pendidik kerana pelbagai kemudahan lain turut disediakan dan ia diuruskan sepenuhnya oleh pihak yayasan dan universiti," terang beliau.

Jelasnya lagi, tempat dan tenaga pengajaran bagi program pengajian di OUM juga tidak terbatas di kampus utamanya di Kuala Lumpur sahaja.

"Bagi guru-guru yang berada di luar Kuala Lumpur, tenaga pengajar dan tempat akan disediakan di lokasi berhampiran di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Pendekatan ini amat membantu dalam memudahkan guru-guru yang ditempatkan di luar Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran tanpa perlu ke kampus utama OUM," ujarnya lagi.

Tambah beliau lagi, pengajian di universiti ini juga lebih kepada kaedah pembelajaran atas talian (online learning) yang tidak memerlukan para pelajar bertemu pensyarah secara bersemuka. Manakala sesi pengajian pula dijalankan pada hujung minggu sahaja.

"Oleh yang demikian, ia dapat mengelakkan aktiviti pembelajaran di universiti itu daripada mengganggu kerja-kerja harian guru di sekolah," katanya lagi.

Bagaimanapun Alimuddin memberitahu, beberapa kriteria tertentu perlu diberi pertimbangan sebelum seseorang guru itu layak untuk melanjutkan pelajarannya.

"Pihak YGMB berharap agar guru-guru yang masih belum mempunyai ijazah supaya merebut peluang ini bukan sahaja untuk meningkatkan tahap pendidikan malah sebagai salah satu cara untuk kenaikan pangkat," jelas beliau.

Pada masa yang sama, YGMB juga dalam proses untuk mengadakan kerjasama serupa dengan beberapa universiti lain seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

Sementara itu, Tan Sri Anuwar Ali berkata, OUM telah bersedia menerima kemasukan lebih 100,000 ahli yayasan itu dengan program yang telah diubah suai mengikut keselesaan mereka.

"Sehingga kini pihak OUM mempunyai hampir 30,000 pelajar yang telah menyambung pelajaran mereka dalam bidang pendidikan dan ini menunjukkan kepercayaan warga pendidik terhadap kemampuan kami," katanya.

Utusan Malaysia Online: 22 Ogos 2011

e-mel anda: Percayalah guru

MASYARAKAT digemparkan sekali lagi dengan masalah membabitkan pelajar sekolah. Kali ini, seramai 33 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) mendakwa mereka didera secara fizikal termasuk dibotakkan kepala ketika menyertai kem motivasi di Penjara Kluang pada 29 hingga 31 Julai lalu.

Malah, mengikut laporan akhbar, pelajar terbabit mendakwa bukan saja dibotakkan, tetapi juga dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan sewaktu menghadiri kursus motivasi itu dan sepanjang tempoh berada di situ, malah mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.

Ini adalah satu dakwaan yang cukup serius dan berat. Dalam hal ini kita percaya pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru serta Kementerian Pelajaran sendiri sudah memulakan langkah sewajarnya menyiasat segala dakwaan berkenaan.

Isu ini perlu disiasat dan dirungkai dengan segera kerana ia membabitkan keselamatan pelajar dan integriti pihak sekolah.


Dalam pada itu, ada beberapa fakta yang didedahkan juga wajar diambil perhatian.

Antaranya ialah pelajar berkenaan sememangnya dikatakan mempunyai pelbagai masalah disiplin.

Mengikut laporan, sebahagian besar daripada pelajar itu dikatakan sering terbabit dalam pergaduhan, ada juga ditahan kerana merokok, ponteng kelas dan sekolah namun tidak dikenakan tindakan tegas oleh pengurusan sekolah.

Ini menyebabkan ada pelajar bermasalah disiplin merasakan diri mereka kebal dan tidak dikenakan tindakan oleh sekolah jika melakukan kesalahan.

Malah, lebih mengecewakan apabila dilaporkan ibu bapa menyerang pihak pengurusan sekolah jika diambil tindakan ke atas mereka kerana mendakwa anak mereka baik sedangkan hakikat sebaliknya.

Dalam hal ini, kita bukanlah hendak mengiyakan atau bersetuju dengan perbuatan penderaan berkenaan jika benar berlaku seperti dakwaan pelajar itu.

Memang kita tidak boleh berkompromi jika insiden itu benar-benar berlaku kerana ia agak melampau.

Namun, persoalannya kenapa ibu bapa yang terbabit terlalu manjakan anak-anak mereka sehingga tidak mahu percayakan pihak sekolah?

Bagaimana pihak guru hendak menjalankan tugas hakiki mereka iaitu mendidik dan membentuk anak-anak jika kita sendiri tidak percaya kepada sekolah dan guru?

Biarkanlah para guru dan pihak sekolah menjalankan kerja mereka sebaik yang mungkin.

Bukankah ibu bapa yang malu jika anak mereka digantung atau dibuang dari sekolah ataupun ditahan pihak polis?

Untuk itu, ibu bapa perlu bersikap lebih terbuka dan percayakan para guru dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Janganlah terlalu manjakan anak-anak kita demi kebaikan masa depan mereka sendiri.

Ingat, melentur buluh biarlah dari rebungnya.


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor


myMetro: 22 Ogos 2011

Ahad, 21 Ogos 2011

SK Felda Kota Gelanggi 1 adakan program kenali tokoh



MURID SK Felda Kota Gelanggi 1, mengibarkan Jalur Gemilang sempena pelancaran Bulan Kemerdekaan di sekolah tersebut di Jerantut, kelmarin.


JERANTUT 20 Ogos - Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1 dekat sini, menganjurkan program Kenali Tokoh dan Pahlawan Negara sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-54 peringkat sekolah tersebut, kelmarin.

Guru Besarnya, Mohd. Sabri Yakub berkata, program itu akan dijalankan sehingga 16 September ini dengan penglibatan semua guru dan murid.

"Saya menggalakkan semua warga sekolah mencari maklumat sama ada melalui buku atau Internet tentang tokoh serta pahlawan negara yang banyak berjasa dalam perjuangan menentang penjajah bagi kemerdekaan negara.

"Hari ini kita hidup dalam keadaan aman damai dan keamanan yang dikecapi kini adalah hasil titik peluh dan perjuangan nenek moyang terdahulu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan program tersebut di sini semalam.

Katanya, kebanyakan generasi hari ini kurang mengambil tahu peribadi tokoh, malah terdapat segelintir yang tidak mengenalinya apabila melihat gambar-gambar mereka.

"Dengan mengenali tokoh-tokoh dan pahlawan negara, ia dapat memberi gambaran kepada warga sekolah tersebut mengenai sumbangan yang telah diberikan oleh insan yang banyak berjasa kepada negara," ujarnya.

Menurutnya, pihak sekolah mengadakan pertandingan Kenali Tokoh dan Pahlawan negara bagi murid tahun empat hingga enam.

Katanya, beberapa pertandingan lain diadakan seperti melukis dan mewarna, poster, kuiz merdeka dan pertandingan Kibar Jalur Gemilang di kelas masing-masing.

Utusan Malaysia Online: 21 Ogos 2011

Sabtu, 20 Ogos 2011

Tetap meriah walau berpuasa



SENALING - Walaupun mengadakan majlis persaraan seorang guru pada Ramadan, namun ia tetap disambut meriah oleh guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling, kelmarin.

Persaraan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Mo’Minah Ujang, 58, diraikan selepas tamat tempoh perkhidmatannya sejak berkecimpung dalam dunia pendidikan bermula 1977 sehingga kini.

Mo’Minah berkata, sepanjang bergelar guru, banyak cabaran dan rintangan dihadapinya termasuk berhadapan dengan disiplin pelajar.

Menurutnya, disiplin pelajar amat penting kerana ia menentukan kejayaan.

“Tanpa disiplin kita tidak mampu berjaya selain perlu berpegang teguh kepada ajaran� agama Islam.

“Suka saya ingatkan kepada semua pelajar, kesabaran perlu ada dalam mengecap kejayaan. Jangan mudah berputus asa di atas kegagalan dahulu memandangkan pelbagai faktor mempengaruhinya. Gangguan dari persekitaran boleh membunuh kejayaan kita. Justeru, diharap pelajar perlu berpegang teguh kepada cita-cita yang ingin dikecap,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Pengetua SMK Senaling, Kamariah Rosdi; Yang dipertua Persatuan Ibu dan Bapa Datuk Mohamad Ahmad dan wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Mo’Minah berkata, mendidik anak-anak zaman globalisasi berbeza dengan zaman dahulu.

“Pada zaman ini, pelbagai cabaran perlu ditempuh dalam usaha melahirkan modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara.

“Mereka kini terdedah dengan pelbagai maklumat melalui rangkaian Internet secara berleluasa. Apa sahaja boleh diakses melalui jalur lebar dan sudah pasti setiap rumah memiliki komputer riba serta talian Internet,” katanya.

Katanya, oleh itu, guru-guru perlu lebih bersedia untuk mendidik pelajar dengan ilmu yang bernas dan intelektual.

Untuk rekod, Mo’Minah mula merasai asam garam selepas bergelar guru muda di SMK Za’ba Kuala Pilah dari 1977 hingga 1987 selepas melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda (Geografi) sekitar 1973 hingga 1976.

Kemudian, Mo’Minah meneruskan destinasi persinggahan di SMK Tuanku Muhammad pada 1987 hingga 2003.

Atas berkat kesungguhan beliau, pada 1994, beliau memegang jawatan sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) di sekolah sama.

Seterusnya, meneruskan perkhidmatan terakhir bermula 2004 sebagai guru di SMK Senaling juga dalam jawatan sama.

Pada 2000 dan 2008, beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sekali gus memberi kenangan manis sepanjang bergelar seorang pendidik.

Sinar Harian: 20 Ogos 2011

Guru pencen hilang sejak Rabu



KUALA NERANG - Seorang pesara guru dipercayai hilang di Bukit Kuari, Kampung Perik, dekat sini Rabu lalu dan didakwa berpunca daripada kemurungan selepas tidak mendapatkan rawatan pakar sejak tiga bulan lalu.

Azmi Sidek, 59, bekas Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Seri Bakti, Kuala Nerang hilang kira-kira jam 2 petang dan kelibat terakhirnya dilihat oleh anak bongsunya, Mohd Firdaus Azmi, 29.

Isterinya, Rodziyah Abdullah, 54, berkata, suaminya sebelum ini sering mengalami tekanan dan sering mengadu menerima beban kerja yang banyak semasa menjawat jawatan sebagai guru.

Menurutnya, suaminya yang sudah bersara sejak tiga tahun lalu sering mengadu kepadanya selain kepada dua anaknya.

“Semenjak menanggung tekanan itu, suami saya mendapatkan rawatan pakar di Jitra lebih setahun sebelum dia bersara sehinggalah tiga bulan terakhir pada tahun ini, dia bergantung kepada ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor.

“Semenjak tidak mendapatkan rawatan keadaannya masih lagi stabil walaupun kadang-kadang mengalami kemurungan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, sebelum bapanya hilang, dia sempat melihat bapanya menuju ke kawasan berhampiran kaki Bukit Kuari sebelum dia memanggil bapanya beberapa kali.

Menurutnya, bapanya sempat berpaling dan riak wajahnya seolah-olah dalam keadaan marah.

“Pada petang Rabu kira-kira jam 6 petang, seorang penduduk melihat kelibat bapa berhampiran kandang lembu di kaki Bukit Kuari sebelum dilaporkan hilang,” katanya.

Menurutnya, semasa hilang bapanya memakai kain pelikat, baju kemeja lengan panjang berwarna putih dan berkopiah putih.

Susulan kehilangan itu, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Kuala Nerang dan gerakan mencari turut dilancarkan yang melibatkan polis, bomba, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk kampung.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi keluarga mangsa menerusi talian 019-5225578 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Sinar Harian: 20 Ogos 2011

Pusat tuisyen didakwa sebar dakwah Kristian ditutup

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Kementerian Pelajaran telah mengarahkan pusat tuisyen yang dikatakan menyebarkan dakwah Kristian secara halus di Jalan Klang Lama berhampiran pasar raya besar Tesco ditutup serta-merta.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini kerana ia beroperasi secara haram ekoran tidak mempunyai permit yang sah.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Jabatan Agama Islam Wilaya Persekutuan (Jawi) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan guru pusat tuisyen tersebut diambil tindakan yang sewajarnya.

“Kita serahkan kepada polis dan Jabatan Agama untuk menjalankan siasatan kerana ia berkait dengan undang-undang negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Puad turut mendedahkan laporan awal siasatan Kementerian Pelajaran mendapati tiga murid Melayu dari Sekolah Kebangsaan Seri Setia, Jalan Kuchai Lama menghadiri kelas tuisyen yang dikendalikan secara haram itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan oleh pihaknya.

Kata Che Mat, sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak akan diambil berdasarkan laporan yang akan dikeluarkan oleh Jawi nanti.

Utusan Malaysia Online: 20 Ogos 2011

Jumaat, 19 Ogos 2011

6,000 guru prasekolah dilatih 2012

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Seramai 6,000 guru prasekolah akan dilatih pada tahun depan bagi merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan taman asuhan kanak-kanak dan prasekolah di negara ini bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut adalah tambahan kepada 14,000 guru prasekolah sedia ada, yang telah diberi latihan sejak setahun lalu melibatkan kos RM39.5 juta.

Menurutnya, daripada sejumlah 14,000 guru prasekolah tersebut, seramai 6,580 dilatih pada 2010 yang melibatkan kos RM19 juta manakala baki 7,420 guru dilatih pada tahun ini dengan kos RM20.5 juta.

"Kemudahan fizikal yang canggih semata-mata tidak memberi jaminan ke arah merealisasikan impian kita untuk menjadikan taman asuhan kanak-kanak dan prasekolah mencapai tahap kelas pertama dan bertaraf dunia.

"Kita sebaliknya memerlukan pengasuh dan guru prasekolah yang berkaliber. Tenaga pengajar ini mesti berpengetahuan, berkemahiran, mempunyai sifat pengasih serta memiliki minda terbuka," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (ECCE) di Auditorium Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan satu skim khas bagi membantu kanak-kanak daripada keluarga miskin mengikuti kelas taska dan prasekolah swasta.

Bagaimanapun katanya, ketika ini bantuan khas RM150 sebulan untuk setiap kanak-kanak memang sudah diberi kepada setiap keluarga miskin yang menghantar anak mereka ke kelas taska dan prasekolah swasta.

"Kita berharap skim khas yang sedang dikaji ini bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin tetapi turut meringankan beban keluarga yang berpendapatan sederhana rendah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Ogos 2011

Khamis, 18 Ogos 2011

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 hargai komitmen pendidik

Oleh Norrasyidah Arshad
upen@bharian.com.my
2011/08/18

RAHMAN menyampaikan sijil kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010, baru-baru ini.
RAHMAN menyampaikan sijil kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010, baru-baru ini.
SERAMAI 733 warga pendidik dari sekolah rendah, sekolah rendah jenis kebangsaan dan sekolah menengah di daerah ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 sebagai menghargai usaha, pengorbanan dan komitmen mereka dalam meningkatkan mutu pendidikan.

Penerima anugerah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil di Shah Alam, baru-baru ini.
Penerima anugerah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Klang, Datin Nur Hanim Ahmad, berkata anugerah itu menyuntik semangat untuk beliau berusaha lebih gigih dalam melahirkan generasi muda cemerlang.
"Saya gembira kerana dipilih menerima anugerah ini. Memang dunia pendidikan kini semakin mencabar dan kami perlu sentiasa bergerak aktif seiring perubahan drastik berikutan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi," katanya.

Isteri Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar yang mengajar mata pelajaran Matematik dan Fizik di sekolah itu berharap pihak atasan meneruskan pemberian anugerah sama pada masa depan.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika berucap merasmikan majlis itu berharap anugerah berkenaan dapat dijadikan perangsang kepada semua guru lain agar terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya memajukan prestasi sekolah.

"Anugerah ini bukanlah penamat kepada usaha guru mencapai kecemerlangan, sebaliknya penanda aras kepada kesungguhan dan komitmen semua warga pendidik.
"Anugerah ini patut dijadikan teras dalam usaha membentuk bangsa yang cemerlang dan gemilang serta membentuk modal insan berkualiti dan berakhlak tinggi pada masa depan," katanya.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Klang, Noraini Md Tahir.

Berita Harian Online: 18 Ogos 2011

Rabu, 17 Ogos 2011

2 bahasa ajar Sains, Matematik

Oleh Magendran Rajagopal dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my
2011/08/17

Kerajaan pertimbang pilihan sekolah guna bahasa Malaysia, BI

PUTRAJAYA: Kerajaan masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah, walaupun pada dasarnya program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kajian itu dibuat dalam konteks mengekalkan dasar MBMMBI tetapi pada masa sama, menimbang sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat menggunakan bahasa Inggeris tanpa menimbulkan masalah.
"Apa yang kita utamakan dalam dasar baru ini ialah bagaimana kita nak perkukuh bahasa Inggeris. Ramai ibu bapa berminat pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris, sebab itu apabila ada saranan sebegitu, ada pihak meminta sama ada kita boleh beri kelonggaran.

"Perkara ini masih pada peringkat kajian oleh sebuah jawatankuasa kecil yang ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud," katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011, di sini semalam.

April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan mendapatkan maklum balas ibu bapa sebelum memutuskan pelaksanaan PPSMI di sekolah selain mengkaji kemungkinan subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah terpilih tanpa mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, buat masa sekarang, tumpuan diberi terhadap kaedah memperkukuh pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah.
Katanya, pelajar didapati kurang kemampuan menguasai bahasa Inggeris, sekali gus memerlukan kajian lebih mendalam kerana kerajaan tidak mahu melaksanakan sesuatu dasar tetapi tidak mempunyai guru terlatih bagi menjayakannya dan akhirnya tidak mencapai apa yang diharapkan.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mengambil pandangan menyeluruh kerana cadangan yang bagus pun tidak bermakna jika tidak ada kemampuan melaksanakannya, seperti PPSMI , yang diiktiraf bagus tetapi kebanyakan sekolah tidak ada guru yang cukup fasih bahasa Inggeris bagi mengajarnya.

Berita Harian Online: 17 Ogos 2011

Tak sandang GPK jadi guru besar

2011/08/17

SAYA Guru Penolong Kanan (GPK) sekolah rendah. Mula dilantik pada 2002 dengan Gred DGA32 Hakiki. Tahun 2003/4 mengikuti kursus Pengurusan (NPQH) selama setahun di IAB. Tahun 2005 hingga 2008 mengikuti Ijazah Pengurusan Pendidikan di UPSI. Sehingga sekarang 2011 masih GPK di sekolah rendah.

Manakala seorang guru DGA29, 2/3 tahun menjawat DGA32(KUP), tidak pernah memegang jawatan GPK kini dilantik Guru Besar DGA34. Persoalannya apakah ini KPI yang betul memperkasakan pengurusan sekolah? Adakah saya akan terus menjadi GPK sampai pencen?

GPK 41 (KUP), Kepong

Berita Harian Online: 17 Ogos 2011

Topik buku teks BI tak menarik

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2011/08/16

Kurikulum lebih sesuai untuk pelajar bertutur bahasa Inggeris di rumah

KUALA LUMPUR: Buku teks Bahasa Inggeris (BI) terutama di sekolah rendah didakwa kurang menarik minat pelajar, sekali gus menjadi faktor mereka tidak mampu menguasai bahasa itu meskipun selepas 11 tahun belajar di sekolah.
Kandungan bahan juga dikenal pasti tidak mempunyai kesinambungan antara satu topik dengan yang lain mengakibatkan pelajar tidak faham, hilang fokus dan jemu seterusnya tidak berminat untuk belajar BI.
Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata bahan dalam buku teks sedia ada lebih sesuai untuk pelajar yang sememangnya datang daripada keluarga yang menuturkan BI di rumah.

Bagaimanapun, katanya di Malaysia, kira-kira lebih 80 peratus pelajar tidak menjadikan pertuturan BI sebagai amalan.

“Pendekatan ‘Communicative English’ (CE) yang menjadi bahan kurikulum dan kaedah pengajaran diamalkan di Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu kurang sesuai untuk keadaan sekarang kerana manfaat pendekatan itu lebih menjurus kepada pelajar dari negara yang sememangnya berkomunikasi dalam BI seperti Amerika Syarikat, England serta Australia,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran dilaporkan membuat penilaian semula kurikulum pengajaran Bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, langkah itu perlu kerana Kementerian Pelajaran meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Isahak berkata, pendekatan CE kurang sesuai untuk diajar kepada pelajar di luar bandar kerana kegunaan atau fungsi BI tidak meluas untuk komunikasi, pelajar hanya belajar BI kira-kira sejam sehari dalam bilik darjah dan tidak menggunanya sebagai bahasa komunikasi dalam kehidupan di luar bilik darjah.

Sebaliknya, katanya, modul pembelajaran dengan pendekatan alternatif iaitu bahasa Inggeris dalam konteks isi kandungan (English in context for content- ECC) lebih menarik dan mudah diterima pelajar.

“Modul ini memberi perhatian kepada tatabahasa, kosa kata dan budaya penggunaan bahasa. Terbukti, ia mudah dipelajari dan guru juga mudah menggunakannya sebagai bahan P&P apabila kajian dijalankan di UPSI.

“Murid Tahun Satu pun seronok menguasai kosa kata menerusi ECC, mereka mampu memahami kira-kira lima perkataan asas BI dalam masa hanya 10 minit dan tidak hairanlah jika mereka boleh faham 300 perkataan dalam enam bulan serta boleh membaca buku cerita asas BI,” katanya.

Sementara itu, Profesor Bahasa dan Linguistik yang juga Pengarah Pusat Penerbitan Universiti, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Dr Hajibah Osman, berkata penilaian itu perlu memberi tumpuan kepada kredibiliti tenaga pengajar sama ada benar-benar sudah menguasai bahasa kedua itu dengan baik.

“Cara penyampaian guru yang kreatif akan menarik minat pelajar kerana teknik pengajaran biasa akan membuatkan sesi P&P menjadi bosan seterusnya mengakibatkan pelajar tidak memberi tumpuan sepenuhnya,” katanya.

Berita Harian Online: 16 Ogos 2011

PPPS sekolah rendah berpeluang dipertimbang gred tinggi

2011/08/16

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca ‘Guru Kecewa, Johor’ dalam Berita Harian bertarikh 8 Ogos 2011 – Penjelasan Unit Komunikasi Korporat, KPM masih kabur, mengelirukan.

Berdasarkan kepada waran perjawatan yang diluluskan oleh Kerajaan melalui Anggaran Belanja Mengurus (ABM), jawatan pentadbir di sekolah rendah seperti Guru Besar, Penolong Kanan dan Penyelia Gred DGA34/DGA32 adalah jawatan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) dan bukannya jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).
Merujuk kepada pertanyaan pengadu, dimaklumkan bahawa memang tiada syarat diperuntukkan bagi PPPS memohon jawatan Guru Besar di sekolah rendah kerana PPPS adalah tidak layak untuk memegang jawatan yang dikhususkan untuk PPPLD Gred DGA34/DGA32. Ini kerana PPPS berada dalam laluan kerjaya, skim perkhidmatan dan gred jawatan yang berbeza. Bagi PPPLD yang dilantik menjadi PPPS ketika berada di jawatan kenaikan pangkat Guru Besar dan Penolong Kanan di sekolah rendah, mereka dikekalkan di atas jawatan itu berdasarkan kepada dasar kementerian yang jelas diterangkan maksudnya sebelum ini.
Kementerian ingin menegaskan bahawa walaupun PPPS di sekolah rendah tidak dapat memegang jawatan kenaikan pangkat Guru Besar dan Penolong Kanan, mereka masih berpeluang dipertimbangkan untuk urusan pemangkuan/kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi melalui urusan Guru Cemerlang Gred DG44(KUP)/ DG48(KUP) dan Time-Based Gred DG44 (KUP)/ DG48(KUP) jika memenuhi syarat yang ditetapkan serta diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP).

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online: 16 Ogos 2011

Selasa, 16 Ogos 2011

Sistem peperiksaan mesti fokus kemenjadian murid

2011/08/16
PENGETAHUAN diperoleh daripada ibu bapa, guru dan pakar serta daripada buku dan media biasanya boleh diterima sebagai betul. Sumber pengetahuan seperti ini dikenali sebagai autoriti dan ia mempunyai kebaikan terutama dari segi mudah dan cepat mendapatkan pengetahuan.

Bagaimanapun, terdapat batasan tertentu sebab kepakaran seseorang itu mungkin lebih rendah daripada apa yang dijangkakan. Mereka mungkin memberi maklumat atau pengetahuan yang salah sebab terdapat juga pakar yang mempunyai tujuan tertentu yang tidak profesional dengan sengaja memberi maklumat yang salah untuk mengembangkan idea yang bias.
Kepakaran seorang guru sekolah tidak sama dengan pengetahuan seorang peguam, jurutera atau pegawai perubatan. Guru mempunyai pertimbangan sosial yang lebih konkrit untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Indikator penerimaan ilmu dapat diukur melalui perubahan tingkah laku, atau lebih dikenali sebagai kemenjadian murid dan proses ini berterusan hingga ke akhir persekolahan.
Kerjaya guru kini tersepit di antara menyampaikan ilmu dan mencari kecemerlangan prestasi. Guru terarah untuk memilih akibat perubahan sistem penilaian terhadap kecemerlangan dan kepakaran serta kemenjadian individu yang diajar. Ini bersangkut paut dengan proses kecemerlangan guru dan kenaikan pangkat.

Umum tahu bahawa prestasi sekolah diukur melalui pencapaian akademik murid dalam peperiksaan awam yang menuntut guru memberi lebih penekanan terhadap persediaan murid untuk menghadapi peperiksaan. Dengan itu, proses penyampaian ilmu sedikit terabai disebabkan guru lebih terarah untuk mengajar kaedah menjawab soalan, latih tubi, membincangkan soalan dan meramal topik untuk peperiksaan.

Kita berharap sistem peperiksaan di sekolah lebih fokus kepada perkara-perkara kemenjadian murid yang diajar oleh guru. Ini merangkumi tiga aspek penting yang menjadi domain utama pembelajaran iaitu, ilmu pengetahuan, kemahiran sosial dan mengamalkan nilai murni dalam kehidupan. Matlamat akhir kelak adalah membentuk masyarakat Malaysia yang lebih toleran, menghormati orang lain dan berilmu pengetahuan.

MOHD ASRAN AMISAH,
Kajang, Selangor.

Berita Harian Online: 16 Ogos 2011

Siasat dakwaan

JOHOR BAHRU: Jabatan Pelajaran Pahang akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang bapa bahawa anaknya dibuli enam pelajar senior hingga koma dan mungkin lumpuh.

Pengarahnya, Datuk Mazlan Mohamad, berkata dia baru mendapat tahu kejadian itu kerana sebelum ini tidak pernah dimaklumkan mengenai kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemuk, Rompin.


Katanya, tiada sebarang laporan dibuat dengan jabatannya dan balai polis menyebabkan pihaknya tidak tahu mengenai kejadian seumpama itu berlaku.

“Jika kami menerima laporan, sudah pasti siasatan dijalankan segera bagi mengenal pasti punca kejadian dan siapa yang terbabit.


“Selain itu, kami ingin tahu mengapa guru melaporkan mangsa demam panas sedangkan (jika benar) mangsa dipukul hingga parah.


“Kejadian ini serius dan kami akan menyiasat secara terperinci bagi mengetahui punca,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, pengurusan sekolah tidak tahu kejadian sebenar dan menghantar mangsa, Mohamad Amirul Abdul Rahim, 15, ke Klinik Tanjung Gemuk sebelum doktor mengesahkan Amirul demam panas.


Menurutnya, pengurusan hanya mengetahui mangsa dipercayai dipukul pelajar senior seperti dakwaannya apabila keluarga pelajar itu membawa Amirul untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

“Kami ingatkan Amirul demam panas dan ditambah dengan pengesahan doktor bahawa Amirul hanya demam. Bagaimanapun, kami terkejut apabila diberitahu ibu bapa mangsa doktor HSI mengesahkan dia dipukul dan parah,” katanya.

myMetro: 16 Ogos 2011

Buli bukan demam

Oleh Mohd Sah Muda
am@hmetro.com.my

PRIHATIN...kakitangan Baitulmal Pejabat Agama Mersing menyerahkan sumbangan kepada bapa Amirul.
PRIHATIN...kakitangan Baitulmal Pejabat Agama Mersing menyerahkan sumbangan kepada bapa Amirul.

MERSING: Selepas sedar daripada koma selama dua bulan, baru ibu bapa seorang pelajar tingkatkan tiga sebuah sekolah menengah di Rompin, Pahang mengetahui anak mereka tidak sedarkan diri kerana urat saraf di lehernya terputus dipercayai akibat dipukul menggunakan objek keras oleh pelajar senior dan mangsa kini kemungkinan lumpuh.

Mohamad Amirul Abdul Rahim yang koma di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sedar semula pada 8 Ogos lalu dan apabila ditanya ibu bapanya mengenai kejadian dia terjatuh dalam dewan ketika menduduki peperiksaan pada 23 Mei lalu, dia mendakwa dibuli enam pelajar senior yang memukulnya dengan objek keras sama ada kayu atau batu.


Ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari pada 23 Mei lalu, Mohamad Amirul menduduki peperiksaan percubaan kertas Bahasa Melayu untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila tiba-tiba terjatuh di dalam dewan dan tidak sedarkan diri.

Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemuk, Rompin, menghantarnya ke Klinik Tanjung Gemuk sebelum doktor mengesahkan dia demam panas.


Bapa mangsa, Abdul Rahim Aris, 57, berkata sebelum itu, warden sekolah menghubunginya memaklumkan anak ketiga daripada enam beradik itu terjatuh mungkin kerana demam teruk.


“Saya tidak puas hati dengan penjelasan warden serta doktor, tetapi ketika itu Amirul koma lalu kami menghantarnya ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke HSI.

“Di HSI, Amirul dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lebih mengejutkan kami sekeluarga, pakar HSI mendapati urat saraf Amirul putus dan perlu menjalani pembedahan di lehernya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wawasan di sini, semalam.


Ibu mangsa, Normah Jayapetri@Aziz, 42, berkata, dia dapat bercakap dengan anaknya itu selepas Amirul sedar daripada koma pada 8 Ogos lalu.

“Saya bertanyakan Amirul apa yang berlaku dan dia memberitahu dipukul seniornya dengan objek keras sama ada kayu atau batu.


“Kami kesal dengan kejadian yang menimpa Amirul dan lebih membimbangkan ialah masa depannya kerana berdasarkan penjelasan doktor, dia mungkin lumpuh kerana urat saraf berkenaan putus,” katanya.


Pada masa sama, Normah serta suami kesal dengan sikap kakitangan perubatan klinik yang mengatakan Amirul demam panas sedangkan pemeriksaan di HSI mendapati terdapat kesan dipukul di bahagian kanan dan kiri kepalanya.


Menurut Normah, suaminya membuat laporan di Balai Polis Majidee, Johor Bahru pada 9 Ogos lalu. Pada masa sama, menurut Normah, suaminya yang merujuk perkara terbabit kepada pengurusan sekolah Amirul dan dimaklumkan mereka menyiasat kes berkenaan.


“Kami harap Amirul mendapat pembelaan sewajarnya daripada pengurusan sekolah serta polis dan pelajar yang melakukan perkara terbabit perlu dikenakan hukuman setimpal,” katanya.


Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.


“Kami masih menyiasat kes berkenaan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitannya,” katanya enggan mengulas lanjut.

myMetro: 16 Ogos 2011

Ahad, 14 Ogos 2011

Asrama sekolah sukan terbakar, 71 pelajar selamat

14/08/2011 6:57pm


Anggota Bomba dan Penyelamat sukarela membantu memadam kebakaran di blok Asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anom Tunku Abdul Rahman di Jitra. - Utusan/HALIM KHALID


JITRA 14 Ogos — Bangunan asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Tunku Anum Tunku Abdul Rahman di sini musnah teruk dalam satu kebakaran kira-kira pukul 3.30 petang tadi, manakala 71 pelajar yang berada di blok berkenaan ketika kejadian berjaya diselamatkan.

Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat berkata, empat daripada enam bilik di tingkat atas bangunan asrama itu musnah sepenuhnya, manakala tingkat bawah yang menempatkan bilik ulang kaji serta ruang rehat tidak boleh digunakan lagi akibat kebakaran itu.

"Asrama ini didiami lebih 100 pelajar, tapi sewaktu kejadian ada 71 pelajar yang sedang bersiap sedia untuk prep (masa ulangkaji) sebab mereka baru tamat waktu pengajian.

"Jabatan Pelajaran akan ambil langkah susulan bagi memastikan semua pelajar dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa dan untuk sementara waktu, mereka akan ditempatkan di bangunan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk mendapatkan bantuan segera bagi membolehkan keperluan seperti buku dan pakaian yang musnah dalam kebakaran diganti untuk semua pelajar dari tingkatan 1 hingga 5.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.31 petang dan tiba di tempat kejadian pada 3.40 bersama dua jentera.

"Kami juga mendapat bantuan dua jentera dan satu tanker dari balai bomba Alor Setar serta turut dibantu lapan bomba sukarela dengan jumlah kekuatan anggota seramai 87 orang,” katanya. — Bernama

Utusan Malaysia Online: 14 Ogos 2011

Guru maut dilanggar lari

JOHOR BAHRU 13 Ogos – Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 4 maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Pendidikan, Taman Universiti di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 8.35 malam itu, mangsa, Khuzainah Omar, 52, dikatakan keluar dari rumahnya di Jalan Pertanian, untuk ke kedai dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun, motosikal jenis Suzuki yang baru dibeli mangsa bulan lalu, dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Honda Accord berwarna biru sebelum mangsa terjatuh dan pemandu kereta bertindak melarikan diri.

Suami mangsa, Mohammad Amir Marjonid, 52, berkata, ketika kejadian dia ke masjid untuk menunaikan solat tarawih sebelum dimaklumkan kejadian tersebut oleh anak sulungnya, Khairul Bariyah, 24.

“Bila saya pergi ke tempat kejadian, keadaan dia (isteri) agak parah sebelum dia dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Bagaimanapun, doktor yang merawatnya memaklumkan isteri saya sudah meninggal dunia pukul 2.45 pagi,” katanya kepada pemberita di pekarangan bilik mayat HSA di sini, hari ini.

Mohammad Amir yang merupakan Guru Besar Sekolah Agama Taman Universiti berkata, isterinya yang mengajar subjek Bahasa Inggeris tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak akhir-akhir ini.

Khairul Bariyah pula berkata, ibunya yang mempunyai enam anak berusia 12 hingga 24 tahun itu selalu keluar rumah menaiki kereta namun semalam, bapanya menggunakan kenderaan tersebut untuk ke masjid.

“Ibu jarang menunggang motosikal yang baru dibeli itu. Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan agak terkilan kerana tidak sempat menyambut Aidilfitri bersamanya,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke kampung halamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Masjid di Pontian sebelum solat Zohor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden itu merupakan kemalangan langgar lari berdasarkan penemuan beberapa serpihan kereta di lokasi.

Utusan Malaysia Online: 14 Ogos 2011

Jumaat, 12 Ogos 2011

Pelajar tidak tahan diliwat guru lapor polis

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
2011/08/12

GURU sebuah sekolah berasrama di Batu Rakit ketika di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
GURU sebuah sekolah berasrama di Batu Rakit ketika di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
Mangsa tinggal di asrama sering diajak ke kuarters

KUALA TERENGGANU: Tidak tahan terus menjadi mangsa liwat gurunya sejak beberapa bulan lalu, seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah berasrama di Batu Rakit di sini, membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit di sini, petang kelmarin.
Pelajar berusia 13 tahun yang tinggal di asrama sekolah itu dikatakan sering diajak guru berusia 41 tahun itu ke rumahnya di kuarters guru dalam kawasan sekolah untuk diliwat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata pelajar itu mendakwa menjadi mangsa liwat guru yang berasal dari bandar raya ini antara Mac hingga Jun lalu.

“Mangsa mendakwa diliwat tiga kali oleh guru itu antara Mac hingga Jun lalu di rumah guru itu yang terletak dalam kawasan sekolah.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa, polis menahan suspek yang sudah berkahwin di rumahnya jam 4 pagi semalam dan kini direman empat hari.

“Kita menyiasat kemungkinan ada pelajar lain menjadi mangsa kerakusan nafsu guru itu,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.
Manoharan berkata, pelajar itu yang dikatakan berasal dari bandar raya ini dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377 C kerana melakukan seks luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berita Harian Online: 12 Ogos 2011

Khamis, 11 Ogos 2011

Pemilihan pensyarah cemerlang dibuat teliti, lalui tiga peringkat

2011/08/11

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada surat pembaca PhD Kecewa, Alor Setar, Kedah bertarikh 30 Julai 2011 yang bertajuk 'Keliru pensyarah IPG miliki PhD tidak tersenarai cemerlang.'

Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) Bil 7/2010 meluluskan pelaksanaan laluan kerjaya secara laluan pantas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah sebagai Pensyarah Cemerlang Secara Khas Untuk Penyandang (KUP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) adalah urus setia bersama bagi Penilaian Pensyarah Cemerlang (PC) bagi tahun 2011.

Kriteria penilaian bagi PC di IPG yang diluluskan oleh LKPPP mencakupi tiga komponen teras iaitu komponen Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tiga tahun terakhir, komponen akademik, pengalaman dan sahsiah serta komponen kompetensi.

Komponen yang mempunyai wajaran pemarkahan paling tinggi adalah komponen kompetensi merangkumi aspek pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan; pembangunan dan inovasi; perkhidmatan dan pentadbiran; dan aspek teknologi maklumat dan komunikasi.

Permohonan yang dikemukakan calon PC akan melalui tiga proses saringan. Saringan pertama dibuat pada peringkat IPG Kampus. Hanya calon memenuhi syarat umum, khusus dan kriteria penilaian dikemukakan Institut Pendidikan Guru kepada Urus Setia IPG yang bertanggungjawab melakukan saringan peringkat kedua. Calon yang melepasi saringan peringkat kedua dinilai secara kolaborasi oleh penilai dari JNJK dan IPG menggunakan instrumen yang disediakan.

Calon PC yang mempunyai PhD sememangnya memperoleh wajaran lebih tinggi berbanding calon yang memiliki Ijazah peringkat Sarjana atau Sarjana Muda.
Secara keseluruhannya wajaran komponen penilaian lain diambil kira bagi memastikan hanya calon layak dan memenuhi kriteria penilaian disenarai pendek. Proses penyenaraian dilaksanakan secara teliti bagi memastikan calon berkenaan pensyarah berkaliber dan layak dijadikan ‘role model’ kepada guru pelatih.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online: 11 Ogos 2011

Rabu, 10 Ogos 2011

Tangani gejala pelajar ponteng di Kuching

SAYA ingin menarik perhatian pihak yang bertanggung-jawab untuk mengambil tindakan segera ke atas gejala pelajar ponteng yang berlaku di Plaza Chonglin, Kuching.

Apa yang menyedihkan, gejala ini berlaku pada setiap hari persekolahan. Hampir kesemua kumpulan pelajar ini terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang terletak berdekatan.

Kumpulan pelajar ini dapat dilihat merokok, lepak di kedai makan atau leka bermain internet di pusat internet yang terletak di dalam bangunan tersebut dengan sewenang-wenangnya. Bahkan ada yang tidak segan silu bermesra seperti pasangan kekasih.

Amat menghairankan, bagaimana pusat internet ini boleh beroperasi dengan menjadikan para pelajar yang berpakaian sekolah sebagai pelanggan tetap mereka? Di manakah tanggung-jawab pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), polis atau pihak keselamatan bangunan berkenaan?

Saya sendiri hairan kerana gejala ini berlaku pada setiap hari dan melibatkan jumlah pelajar yang amat ramai. Tetapi ia tetap berterusan.

Komitmen pihak sekolah dalam menangani masalah ini juga dipersoalkan kerana dapat dilihat pada kebanyakan masa pintu utama sekolah tidak dikawal. Bahkan, pintu pagar dibiarkan terbuka tanpa pengawasan. Pelajar atau orang luar dapat dilihat dengan mudah sahaja untuk keluar dan masuk tanpa kebenaran. Adakah pihak guru membiarkan sahaja para pelajar ini ponteng?

Hasil tinjauan saya pada setiap hari semasa mengambil anak saya pulang dari sekolah pada sesi petang, saya juga mendapati sistem disiplin adalah terlalu longgar. Pelajar dapat dilihat dengan mudah memakai pakaian seragam yang tidak lengkap, berselipar, memakai anting-anting, berambut panjang, merayau-rayau semasa belajar dan membeli makanan di kantin sekolah pada masa yang tidak sepatutnya.

Di samping itu terdapat beberapa keputusan disiplin yang seolah-olah memihak kepada satu kaum sahaja. Oleh itu, saya memohon agar Pentadbir Sesi Petang bagi sekolah yang berkenaan bersikap lebih adil serta mesra kepada semua pelajar atau ibubapa tanpa mengira kaum dan lebih bertanggung-jawab dalam menjalankan tugas harian anda.

Utusan Malaysia Online: 10 Ogos 2011

Malang nasib graduan UPSI

Saya adalah bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim. Perak. Pada 26 hingga 30 Julai 2011, UPSI telah mengadakan Istiadat Konvokesyen ke-13 dan saya adalah salah seorang pelajar yang menerima ijazah pada hari itu.

Malangnya, kegembiraan saya dan kebanyakan rakan lain pada hari itu tidak seberapa kerana UPSI tidak telus dengan kami, ibu bapa kami dan juga masyarakat luar. Sepanjang istiadat berlangsung, kesemua ucapan yang diberikan oleh pihak pengurusan UPSI membayangkan seolah-olah kesemua kami akan keluar dan menjadi guru seperti kebiasaannya.

Hakikatnya, hanya pelajar-pelajar di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sahaja yang akan ditawarkan jawatan guru. Kami yang selebihnya dikategorikan sebagai graduan UPSI Pasaran Terbuka. Dengan lain perkataan, kami tidak akan ditawarkan secara terus menjadi guru tetapi perlu mencari pekerjaan lain di luar sana selain guru.

Rata-rata kami belajar dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasioanl (PTPTN) dan bukannya tajaan KPM. Setelah bertahun-tahun belajar dan ribuan wang dihabiskan untuk belajar di UPSI sebagai bakal guru, kami disuruh mencari pekerjaan lain.

Tambah buruk lagi UPSI sendiri ingin lepas tangan dan menyembunyikan hal ini daripada ibu bapa yang hadir pada istiadat konvokesyen yang lalu. Perbuatan sebegini, sungguh tidak bertanggungjawab. Ternyata UPSI seperti bermain wayang dan membuat kami serta masyarakat percaya bahawa setiap pelajar mereka adalah bakal guru.

Perasmian Muzium Pendidikan Nasional di dalam kampus UPSI baru-baru ini juga adalah helah UPSI untuk membuat masyarakat terus percaya bahawa UPSI masih merupakan tempat latihan bakal guru sedangkan sebenarnya pelajarnya disuruh mencari pekerjaan lain di pasaran terbuka.

Jika dilihat dari sudut utama pameran ketika pelancaran, ia tidak langsung berfokus kepada tokoh-tokoh guru dan pendidik nasional. Perasmian Muzium Pendidikan Nasional UPSI sekadar gimik supaya orang awam menyangka bahawa UPSI masih lagi melatih bakal guru.

Kenyataannya, UPSI gagal membuat sebarang perjanjian muktamad dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menjamin tempat kesemua graduannya sebagai bakal guru. Wajarkah kami yang belajar dengan sukatan pelajaran menjadi seorang bakal guru di UPSI disuruh mencari kerja lain sedangkan wang kami telah habis dibelanjakan untuk UPSI? Masanya sudah tiba untuk masyarakat perlu sedar bahawa UPSI tidak lagi seperti dahulu.

Setidak-tidaknya, kami mengharapkan ada sedikit rasa tanggung-jawab di pihak UPSI khususnya Naib Canselor UPSI, menjelaskan hal ini kepada ibu-bapa kami ketika berucap dalam istiadat konvokesyen yang lalu.

Kecewa rasanya bila beliau juga berucap seolah-olah kami sudah dijamin untuk mendapat jawatan guru. Tidakkah ibu-bapa kami perlu tahu akan hal ini setelah mereka juga membelanjakan banyak wang kepada UPSI? Kebanyakan mereka adalah orang kampung yang masih percaya bahawa bila anak mereka masuk UPSI, pasti akan jadi guru.

Kesal rasanya menjadi graduan UPSI. Lebih baik jika kami belajar di universiti lain yang sememangnya khusus untuk pasaran terbuka dengan peluang mendapat pekerjaan bukan guru yang lebih cerah.

Jika masih berminat untuk jadi guru, graduan universiti lain masih boleh memohon Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) tajaan KPM dengan masa depan lebih terjamin. Takkan UPSI mahu kami graduan UPSI mengikuti kursus DPLI juga semata-mata untuk dapat jawatan guru? Apa faedahnya kami belajar di UPSI jika itu yang perlu kami lakukan nanti?

Apapun, kami sudah tamat belajar di UPSI tanpa sebarang jaminan untuk jadi guru. Nasi sudah jadi bubur. Kami sudah tidak dapat menebus kembali wang dan masa pengajian kami yang telah hilang. Untuk mencari kerja lain dengan hanya kemahiran menjadi guru yang kami ada, bukan satu perkara mudah.

Kepada semua pelajar UPSI amnya dah Majlis Perwakilan Pelajar UPSI khususnya, harap bangun daripada mimpi anda.

Kepada bakal lepasan sekolah yang berminat untuk jadi guru, ingatlah bahawa UPSI tidak lagi menjanjikan sebarang jawatan guru untuk graduannya seperti dulu. Anda adalah bakal graduan untuk pasaran terbuka. Jangan keliru UPSI dengan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Untuk UPSI pula, gugurkan saja perkataan "Pendidikan" pada namanya supaya masyarakat sedia maklum bahawa graduan UPSI adalah graduan pasaran terbuka seperti lain-lain universiti. Itu lebih bagus daripada terus mengelirukan masyarakat.

Utusan Malaysia Online: 10 Ogos 2011

Pengetua SMK Seri Serating bersara


Kadir Othman diarak pada majlis persaraannya di SMK Serating, Marang, semalam.


MARANG 9 Ogos – Institusi sekolah bukan sahaja akan terus dekat di hati bahkan sehingga ke akhir hayat. Itulah detik yang dialami oleh setelah Kadir Othman yang melangkah meninggalkan sekolah kerana mencapai usia persaraan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serating yang menghabiskan 38 tahun usianya sebagai guru termasuk tiga tahun sekolah terakhir itu, juga akhirnya membina rumah di pinggir sekolah itu.

Sempena persaraan hari ini, beliau diraikan oleh 559 pelajar dan 58 guru dalam majlis Kasih Diikat Bakti Disemai Kenangan Terpahat’ yang diadakan di sekolah tersebut.

Berucap pada majlis itu, Kadir mengingatkan para pelajar supaya tidak meninggalkan solat yang menjadi teras kehidupan beragama dan sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan bersama doa.

“Paling penting buat pelajar semua, jangan tinggal solat dan teruskan berdoa dan semoga kejayaan mengiringi anda,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isterinya, Zawiah Abu Bakar serta Timbalan Pegawai Daerah, Aziz Ibrahim.

Utusan Malaysia Online: 10 Ogos 2011

Selasa, 9 Ogos 2011

Jaga ugut guru tegur anak didenda RM2,000

KUALA LUMPUR: Berang selepas mengetahui anak perempuannya ditegur, seorang bapa sanggup mengugut seorang guru dengan kata-kata ‘boleh menggunakan pistol bila-bila masa dan tidak kisah masuk penjara.’

Bagaimanapun, perbuatan Ibrahim Matering, 37, itu menerima padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengugut secara jenayah Mohd Norizi Mohamad, 31, yang dibacakan di hadapan Majistret Hafizza Sauni.


Perbuatan itu dilakukan di Bengkel Kemahiran Hidup, Sekolah Kebangsaan Bangsar, Jalan Pantai Baharu, Bangsar di sini, pada jam 9.30 pagi, 14 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, Ibrahim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan singgah ke sekolah berkenaan untuk menghantar barang yang ditinggalkan anaknya.


Kebetulan, tertuduh yang turut membawa sepucuk pistol kerana akan terus pergi bertugas selepas itu dimaklumkan bahawa seorang guru menegur anaknya.

Tertuduh kemudian bertindak melakukan ugutan jenayah dengan mendatangkan ketakutan terhadap guru berkenaan.


Terdahulu, Ibrahim yang tidak diwakili peguam merayu supaya hanya dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai taraf pendidikan tinggi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh untuk mencegah kesalahan sama.

myMetro: 9 Ogos 2011

Isnin, 8 Ogos 2011

Kerajaan umum bonus setengah bulan untuk penjawat awam

08/08/2011 6:15pm

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – Bernama

Utusan Malaysia Online: 8 Og0s 2011

Rintihan bakal guru

UMUM mengetahui bahawa seramai 13,000 guru GSTT akan diserap sebagai guru tetap. Bagi saya dan rakan-rakan yang bergelar Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan(ISMP), kami mengucapkan tahniah kepada mereka.

Walaupun sedikit cemburu, namun kami percaya kepada rezeki di tangan Tuhan.

Kami masih sabar dan setia menunggu borang petempatan yang akan keluar entah bila dan waktunya. Laman web Kementerian Pelajaran sentiasa dilawat bagi memeriksa sama ada borang itu sudah keluar atau tidak. Namun hingga kini masih belum ada tanda-tanda bahawa Kementerian Pelajaran mengeluarkan borang tersebut dalam tempoh terdekat.

Hal ini menyebabkan kami berasa gusar dan tertanya-tanya masih adakah peluang bagi kami, graduan ISMP untuk menjadi guru. Adakah kami yang mempunyai segulung ijazah dan ikhtisas dalam pendidikan ini telah dipinggirkan?

Kami mengharapkan supaya pihak kementerian terbabit mengumumkan bilakah kami boleh mengisi borang petempatan dan bagaimanakah status nasib kami?

INGIN TAHU

Bagan Serai, Perak


Utusan Malaysia Online: 8 Ogos 2011

e-mel anda: Kuasa guru disiplin pelajar

BEZA ‘budak sekolah’ dulu dengan ‘budak sekolah’ sekarang begitu ketara di mana pelajar zaman dulu, apabila dirotan hingga lebam di tapak tangan atau di punggung kerana tidak membuat kerja sekolah yang guru berikan adalah perkara biasa.

Mereka tidak akan mengadu kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kerana jika mereka tahu, akan bertambah lebam kena rotan.

Pelajar sekarang terlalu manja. Jika dijentik sedikit atau dicubit oleh guru yang ada bekas lebam saja, mulalah ibu bapa datang ke sekolah mengadu kepada guru besar.

Tidak cukup dengan itu, mereka akan buat laporan polis dan memanggil pemberita untuk kejadian disiarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.


Jika inilah sikap kebanyakan ibu bapa yang kerjanya suka mengadu hingga ke peringkat Kementerian Pelajaran hanya kerana denda cubit atau ketuk ketampi, bererti kuasa guru untuk mendidik dan mendisiplinkan pelajarnya menjadi terhad.

Tindakan ibu bapa murid manja ini akan mematahkan semangat guru untuk mengajar adat dan adab ketika belajar dan berikutan itu, ada antara guru kini membiarkan saja murid nakal dan tidak berdisiplin itu.

Maka lahirlah murid tidak lagi menghormati guru kerana kini di belakang pelajar ada ibu bapa yang sanggup ‘menyerang’ sesiapa saja yang cuba ‘mencubit’ anak mereka.

Ibu bapa perlu lebih rasional kerana tiada guru yang merotan hingga patah tangan atau patah riuk tulang muridnya kerana segala yang dilakukan itu hanya sebagai pengajaran yang menunjukkan keprihatinan guru yang sayangkan muridnya supaya jadi manusia berguna.


SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban

myMetro: 8 Ogos 2011

Ahad, 7 Ogos 2011

Sekolah tua terlepas perhatian

ARKIB : 06/08/2011

SAYA kecewa kerana Sekolah Kebangsaan Convent Father Barre di Sungai Petani, Kedah telah dianaktiri oleh pihak berwajib.

Sekolah ini dibina pada 1951 dan kini berusia 60 tahun. Ibarat seorang warga emas yang telah berusia dan menghidap pelbagai penyakit orang tua.

Bangunan perlu diawasi dan diperiksa setiap masa kerana kerap reput dimakan anai-anai terutama di bahagian siling.

Tikus dan ular sawa kerap bergayut di pergola (tempat laluan ke kelas) terutama pada musim panas. Ini disebabkan bahagian belakang pagar sekolah semak-samun dan ada landasan kereta api.

Ruang belajar pula sempit dengan 35 hingga 45 murid satu kelas. Hendak bergerak dalam kelas pun seperti ketam berjalan.

Manakala bilik guru lagi sedih dan daif, sesak dan sempit ibarat ikan sardin dalam tin.

BEKAS WARIS

Sungai Petani, Kedah


Utusan Malaysia Online: 7 Ogos 2011

Kurikulum Bahasa Inggeris dinilai semula: TPM

2011/08/07

MUHYIDDIN menyampaikan hadiah  kepada tokoh pelajar, Mohd Nazri Md Najib sambil diperhatikan Ahmad  (tiga dari kiri) di SMK FELDA Maokil, semalam. - Foto BERNAMA
MUHYIDDIN menyampaikan hadiah kepada tokoh pelajar, Mohd Nazri Md Najib sambil diperhatikan Ahmad (tiga dari kiri) di SMK FELDA Maokil, semalam. - Foto BERNAMA
PAGOH: Kementerian Pelajaran sedang menilai semula kurikulum pengajaran Bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan meskipun selepas 13 tahun belajar di peringkat rendah dan menengah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana kementerian meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.
“Ketua Pengarah Pelajaran sudah diarah melihat semula kurikulum Bahasa Inggeris di sekolah kenapa sampai hari ini anak-anak yang masuk universiti pun masih rendah dan amat sederhana sekali tahap penguasaan Bahasa Inggeris.

“Kita nak lihat anak luar bandar menguasai dua bahasa, selain Bahasa Melayu tapi Bahasa Inggeris tidak boleh diabaikan supaya setiap anak kita yang masuk sekolah dapat kuasai dua bahasa,” katanya ketika berucap dalam lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Maokil di sini, petang semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat; ADUN Jorak, Datuk Dr Sharuddin Salleh serta Pengetua SMK FELDA Maokil, Noor Hashimah Hassan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, semakan juga perlu dibuat mengenai penugasan guru opsyen Bahasa Inggeris yang kemungkinan mengajar subjek lain di sekolah masing-masing.

“Kalau kita belajar Bahasa Arab pun cuma perlu ambil tempoh setahun dua saja untuk menguasainya... kenapa belajar Bahasa Inggeris selama 13 tahun tapi tak mampu kuasai?,” katanya.

Berita Harian Online: 7 Ogos 2011

Kata Teman: Didik anak bukan semudah baca ABC

Oleh Hanizam Abdullah

2011/08/07

NIAT memang baik tetapi ada kalanya orang curiga dan tak boleh terima. Biasalah, penawar bagi kita mungkin racun bagi yang lain pula. Mungkin itu yang berlaku apabila 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, Johor Bahru mendakwa dipaksa membotakkan kepala ketika mengikuti kem motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang, Johor baru-baru ini. Al-kisahnya, mereka juga kononnya dipukul, ditumbuk dan diherdik dengan kata-kata kesat dan diperlakukan seperti banduan sedangkan mereka sepatutnya didedahkan dengan kehidupan insan pagar kawad berduri melalui program Price of Freedom.

Jumaat lalu, berita itu dinafikan pihak Jabatan Penjara selepas menjalankan siasatan dalaman, tiada sebarang ‘sentuhan badan’ dengan pelajar itu kecuali ketika proses simulasi. Ada yang ditepuk belakang tetapi kata pihak penjara ia sekadar nasihat kepada mereka supaya jangan sesekali terjerumus dalam kegiatan jenayah dan tak bermoral. Anehnya, sejak terbongkarnya insiden itu, ramai pula bekas peserta program itu tampil membuat kenyataan mereka juga pernah diperlakukan sebegitu, sehingga kononnya ada masih trauma dan berpendapat program itu tidak langsung memanfaatkan mereka.

Hasrat mengembalikan rasa dan sikap tanggung jawab di kalangan pelajar itu memang murni, pelaksanaannya mungkin ada yang tak kena dan perlu dinilai semula. Niat tidak semestinya menghalalkan cara. Jangan salah faham pula kerana coretan teman minggu ini bukan untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, baik pelajar, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berniat murni atau Jabatan Penjara itu sendiri. Amat malang sekali, kerana program yang bertujuan menyedarkan kalangan murid terutama yang bermasalah, agar membuka mata dan minda, bahawa tabiat buruk itu elok saja dibuang jauh-jauh supaya apabila besar kelak mereka menjadi insan berguna dan bukan sampah masyarakat, menjadi begitu akhirnya.

Mendidik anak bukan semudah membaca ABC. Apatah lagi dalam zaman serba mencabar ini, cara didikan ibu bapa zaman dulu dan kini bagai langit dengan bumi. Ibu bapa selalunya sibuk memanjang memenuhi tuntutan kerja sehingga apabila tiba bab anak seperti tak kuasa kerana tak cukup masa. Maaflah, teman hendak angkat bendera tanda bersalah kerana tak pernah sekali pun hadir mesyuarat PIBG sedangkan banyak perkara yang mahu dikongsi. Alasan klise, sibuk, mesyuarat di pejabat dan 1001 sebab musabab. Paling tidak pun, teman ke sekolah sempena hari terbuka, itu pun mengambil laporan prestasi akademik anak atau ketika telefon bimbitnya dirampas.

Jumpa cikgu, baru dapat tahu kerenah si manja. Merah juga muka yang tak berapa nak putih ini apabila dengan selamba cikgu bertanya, “Dia lewat tidur ke sebab selalu tertidur dalam kelas?” Selamba juga teman jawab, “Ya Cikgu... selalu main SMS dalam selimut!” Itu baru perkara kecil yang ibu bapa dapat diselongkar. Biasalah anak kalau depan kita memang pijak semut pun tak mati tetapi di belakang kita semut tengok pun lari. Tak mustahil ada yang bukan setakat kaki ponteng dan perokok tegar tetapi juga kaki buli. Apa nak jadi kalau kecil lagi sudah pandai membuli, bayangkan apabila sudah besar panjang.

Bukan sesuatu yang asing bagi teman melihat pelajar yang tukar arah sebaik saja dihantar ke sekolah. Mati-matilah ibu bapa itu ingat mereka masuk bilik darjah, sedangkan mereka buat benda tak semenggah. Selamba saja mereka menuju arah yang bertentangan dengan pintu pagar sekolah dan sebaliknya menuju ke pusat beli-belah. Ada juga yang sebaik saja melangkah keluar kawasan sekolah terus mengeluarkan kotak rokok sambil ketawa mengilai. Lagak mereka seperti keluar dari kelab malam. Teman urut dada sambil berdoa agar dihindari daripada menghadapi situasi sebegini.

Pihak sekolah pun resah gelisah kerana dibebankan tugas semakin mencabar. Kisah di SMK Bandar Baru UDA itu contoh klasik. Mungkin tenaga pengajarnya sudah buntu mencari jalan penyelesaian masalah disiplin pelajar. Lalu perkara ini dibawa dalam mesyuarat PIBG. Namun apa yang berlaku lain pula. Itulah teman kata, penawar bagi kita mungkin jadi racun bagi sesetengah orang. Teman amat berharap program sebegini dapat diteruskan tetapi perlu diawasi dan dipinda modulnya dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.
Seperti juga apabila kerajaan mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Sejak diperkenalkan tujuh, lapan tahun lalu, kem itu sudah melalui pelbagai perubahan baik dari segi fizikal kem itu sendiri sehingga kepada modulnya.
Semua ini dibuat selepas mendapat maklum balas semua pihak sementalah anak kita pun ada kalanya terlebih manja. Dulu mak bapak kita tak ambil pusing jika anak ditengking jerkah cikgu tetapi sekarang ini nak tinggi suara pun, bimbang masuk mahkamah. Susah juga melayan ibu bapa yang sensitifnya semacam. Bak cubit paha kira, paha kanan pun terasa.

Siapa pun tidak mahu anak mereka didera. Seperti cerita beberapa hari lalu, bagaimana anak semuda 12 tahun didakwa bukan saja membelasah pelajar lebih junior tetapi lebih memeranjatkan apabila mereka juga dikatakan meliwat mangsa. Paling sedih apabila mereka kalangan pelajar sekolah tahfiz. Siapa nak jawab apabila pelajar tahfiz pun boleh terbabit dalam salah laku sebegini keji? Jumpa lagi!

Berita Harian Online: 7 Ogos 2011

Sabtu, 6 Ogos 2011

Sistem SAPS banyak masalah

2011/08/06
SAYA bersetuju dengan komen oleh ‘Norhisham Mohamad, Alor Setar’ mengenai Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) seperti disiarkan dalam ruangan ini pada 30 Julai lalu, bertajuk ‘kewujudan SAPS bebankan guru’.

Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program ini susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.
Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar dari talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.

Kami baru diperkenalkan dengan sistem ini pada 25 Julai lalu. Sudahlah kami hanya diberikan modul saja tanpa diajarkan sistem ini sepenuhnya. Sistem ini hanya boleh dibuka bila tidak ramai orang dalam talian iaitu, biasanya selepas jam 3 pagi.

Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian 1, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar.

Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar. Sebenarnya sebelum menggunakan sistem SAPS yang diambil dari Perak, guru menggunakan sistem yang diambil dari Johor. Malangnya, apabila sistem baru diperkenalkan kami terpaksa melakukan pengisian markah sekali lagi. Ini sangat membebankan kerana terpaksa melakukan perkara yang sama berulang kali.

Yang peliknya semasa taklimat kami diberitahu bahawa semasa menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.
Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai.

Sebenarnya banyak lagi kelemahan lain dalam sistem ini. Sepatutnya pihak Kementerian Pelajaran terlebih dulu memastikan sistem yang ingin digunakan mestilah mudah dicapai pada bila-bila masa, cekap dan mesra pengguna.

GURU TENSION,
Kajang, Selangor

Berita Harian Online: 6 Ogos 2011

Cikgu ketuk

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun di sebuah sekolah rendah di sini mendakwa kepalanya sering diketuk manakala badannya ditumbuk seorang guru lelaki di sekolahnya.

Difahamkan, kejadian itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya mangsa mendakwa sering dipukul guru berusia lingkungan 30-an itu sejak empat bulan lalu.


Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi kelmarin, pelajar itu sekali lagi ditumbuk di badan selain kepalanya diketuk guru terbabit hanya kerana dia tidak menjawab soalan yang diberikan dengan betul.

Selepas pulang ke rumahnya di Jalan Klang Lama di sini dan memaklumkan kejadian berkenaan kepada bapanya, mangsa dibawa ke Balai Polis Petaling untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.


“Mangsa memberitahu, dia sering dipukul tanpa sebab manakala dalam kejadian terbaru, mangsa mendakwa dipukul guru terbabit menggunakan tangan hanya kerana salah menjawab satu soalan diberikan,” kata sumber.


Menurutnya, bapa mangsa yang terkejut dengan aduan anaknya itu cuba menenangkan mangsa kerana mendakwa takut untuk pergi ke sekolah.

Difahamkan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya kini trauma dan takut untuk meneruskan sesi persekolahan.


Sehubungan itu, bapa mangsa membawa anaknya itu membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan selain bimbang sekiranya perkara buruk terjadi kepada anaknya pada masa depan.

myMetro: 6 Ogos 2011

Jumaat, 5 Ogos 2011

Tahap penguasaan matematik atasi sasaran

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Tahap penguasaan asas numerasi iaitu kebolehan melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah di kalangan murid tahun 1 dan 2 di seluruh negara berjaya dicapai sepenuhnya atau 100 peratus pada Jun lalu.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar, Tengku Azian Tengku Shariman berkata, pencapaian itu juga mengatasi sasaran awal iaitu 95 peratus menjelang hujung tahun ini.

"Begitu pun, bagi kadar celik huruf di kalangan murid tahun 1 dan 2 pula, pencapaian kita ketika ini masih sama seperti tahun lalu iaitu pada kadar 90 peratus.

"Namun kita yakin sasaran celik huruf sebanyak 95 peratus menjelang akhir tahun ini berjaya dicapai kerana masih ada ruang untuk pertumbuhan peratus yang lebih besar," katanya ketika membentangkan laporan prestasi tahunan separuh pertama tahun 2011 di sini hari ini.

Tengku Azian menambah, kadar celik huruf masih pada status quo sehingga Jun tahun ini kerana beberapa kekangan antaranya masalah komunikasi di kalangan pelajar Orang Asli dan pemahaman bahasa Melayu yang rendah di kalangan pelajar sekolah aliran.

Masalah lain kata beliau, adalah faktor kemampuan menguasai pelajaran di kalangan murid-murid istimewa dan cacat penglihatan serta pendengaran.

"Dari sudut meningkatkan penyertaan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun di peringkat prasekolah pula, sebanyak 58.3 peratus daripada sasaran 80 peratus menjelang hujung tahun ini telah dicapai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya.

Utusan Malaysia Online: 5 Ogos 2011