Memaparkan catatan dengan label anugerah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label anugerah. Papar semua catatan

Ahad, 8 Disember 2013

Jumlah Pengunjung Blog Perkhidmatan Pelajaran

Sehingga 08/12/2013 pengunjung Blog Perkhidmatan Pelajaran telah melebihi 1 juta.


Berikut statistik pengunjung blog ini.


Rabu, 25 Julai 2012

Bonus setengah bulan gaji untuk penjawat awam

KUALA LUMPUR 25 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion. - BERNAMA


Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2012

Khamis, 12 Julai 2012

Graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia perlu ikhlas berkhidmat

Azman Amin Hassan menyampaikan diploma kepada Aqilah Nadzirah Abdullah pada Majlis Konvokesyen IPGM di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 11 Julai - Graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) diminta supaya berkhidmat dengan penuh ikhlas, amanah, berintegriti dan proaktif untuk membangunkan murid.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata, mereka juga mesti memainkan peranan membentuk murid supaya menjadi warganegara yang sempurna sesuai dengan haluan Falsafah Pendidikan Negara.
Katanya, khidmat guru ketika ini amat diperlukan sesuai dengan kepesatan dan pembangunan negara bagi membina modal insan yang akan memacu perubahan dalam menuju dan mencapai Wawasan 2020.
"Saya juga ingin mengingatkan kepada para graduan sesungguhnya dunia pendidikan kian mencabar dan memaut pelbagai disiplin ilmu dan kerjaya, maka, seorang guru mestilah menyesuaikan diri dengan keadaan semasa mengikut arus globalisasi.
"Pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran serta pembelajaran merentas kurikulum mesti mempunyai unsur tambah nilai supaya tugas untuk mendidik tidak statik," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen IPG bagi sidang keempat di sini hari ini.
Turut hadir, Rektor IPGM, Datuk Dr. Haili Dolhan dan timbalannya Dr. Lee Boon Hua.
Bagi sesi hari ini seramai 1, 266 daripada 9, 279 graduan daripada 26 IPGM seluruh negara menerima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

Utusan Malaysia Online: 12 Julai 2012

Rabu, 16 Mei 2012

Omar Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012

KUALA KANGSAR 16 Mei - Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Omar Mohd. Hashim dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012, manakala empat lagi warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2012 sempena sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 di sini hari ini.
Penerima Tokoh Guru Kebangsaan 2012 ialah bekas Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib; Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Datuk Mary Yap Kain Ching; bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Pulai, Kluang, Johor, Mohd. Azman Abdul Rashid dan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2010, Lim Ai Lee @ Lim Irene.
Pada sambutan tahun ini, satu anugerah baru turut diperkenalkan iaitu Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 dan ia menjadi milik pengasas Sekolah Kadir Adabi dan sekolah Wadi Sofia, Datuk Hassan Harun.
Mereka semua menerima sebutir pingat emas, plak, sijil dan wang tunai sebanyak RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012

Ahad, 13 Mei 2012

Sistem pendidikan setaraf negara maju

Muhyiddin Yassin bersalam dengan Muhammad Faqih Aminuddin yang pernah menjuarai Kejohanan Catur Remaja Dunia 2010 di Greece ketika merasmikan SK Bukit Jelutong di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 12 Mei - Kerajaan meletakkan sasaran realistik bagi membangunkan sistem pendidikan negara yang setanding atau lebih baik daripada negara maju dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha berkenaan bukan sesuatu yang mudah dan perubahan tidak boleh dilakukan terlalu drastik.
"Tiada siapa yang boleh menolak kejayaan Malaysia hari ini antara lain adalah hasil sumbangan menerusi sistem pendidikan kita. Namun, harapan masyarakat di negara ini juga tinggi dan mereka mahukan sistem pendidikan yang setaraf atau lebih baik daripada sistem pendidikan di negara-negara maju.
"Jadi, kita kena tengok balik sistem pendidikan kita. Bukan merungkai tetapi melihat semula apa yang sudah ada dalam sistem kita dan bagaimana kita nak letakkan penanda aras dengan negara-negara lain melalui kajian dan dialog yang telah dimulakan," katanya berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan akan meluluskan RM2 juta untuk membina dewan di SK Bukit Jelutong yang dibuka pada 2002 dan kini menempatkan 2,510 murid.
Sehubungan itu, Muhyiddin mengajak orang ramai yang berminat agar menyertai sesi dialog yang dijalankan bagi menambah baik sistem pendidikan negara dengan mengemukakan idea yang bernas untuk diguna pakai dalam kajian yang sedang dijalankan.
"Jangan bangkitkan di luar. Kita mahu semua pihak bersama mengemukakan idea bernas dalam kajian ini," ujar beliau.
Jelas beliau lagi, antara perkara yang diberi keutamaan dalam kajian semula sistem pendidikan ialah kualiti, tanggungjawab, beban tugas dan peranan guru di dalam dan di luar sekolah selain kurikulum dan sistem pentaksiran sekolah.

Utusan Malaysia Online: 13 Mei 2012

Isnin, 7 Mei 2012

MCKK pencetus evolusi pendidikan

Penubuhan The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) merupakan salah sebuah sekolah yang diharapkan dapat meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan masyarakat Melayu dan kewujudannya telah mencatat sejarah yang tersendiri di negara kita.
Kolej ini ditubuhkan hasil daripada cadangan empat Sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) yang amat menitikberatkan masa depan orang Melayu.
Dalam Persidangan Raja-Raja (DURBAR) di Kuala Lumpur pada 1903, Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I telah menyatakan penentangan terhadap dasar pelajaran British di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang bertujuan hanya melahirkan petani dan nelayan yang lebih baik berbanding generasi terdahulu.
Baginda mencadangkan satu usaha yang positif perlu diambil oleh British untuk menyediakan pelajaran yang lebih baik kepada anak-anak pribumi demi kepentingan negeri-negeri Melayu.
Pendapat ini disokong oleh nazir sekolah-sekolah Negeri Melayu Bersekutu, R.J.Wilkinson. Beliau tidak bersetuju jika pelajaran orang Melayu semata-mata untuk menggalakkan orang Melayu menjadi penduduk kampung terdidik sahaja tanpa membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pentadbiran negeri.
Akibat daripada rasa tidak puas hati ini, maka MCKK ditubuhkan di kawasan tanah seluas 30-40 ekar yang dihadiahkan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I pada 2 Januari 1905.
MCKK dikenali sebagai "Malay Residential School" yang ditubuhkan dengan tujuan memberi pendidikan kepada anak-anak lelaki Melayu daripada kalangan bangsawan bagi memenuhi perkhidmatan di dalam berbagai-bagai sektor perkhidmatan kerajaan.
William Hargreaves dilantik pengetua pertama dalam sistem sekolah berasrama penuh yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu mengikut kaedah "public school'' di England.
Bangunan rasmi bagi The Malay College yang dinamakan "Big School'' telah disiap dibina pada 11 Disember 1909 dan perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I. Sempena dengan itu, namanya telah ditukar kepada MCKK.
Pada tahap permulaan, kebanyakan pelajar terdiri daripada golongan atasan, tetapi selepas tamat Perang Pasifik (1941-1945), atas kesedaran dan pergolakan politik menyebabkan pihak British terpaksa melonggarkan kemasukan pelajar ke MCKK. Pelajar-pelajar daripada segenap lapisan masyarakat mendapat peluang untuk memasuki kolej ini.
Sejak tahun 1947 iaitu apabila keadaan Tanah Melayu telah pulih seperti sedia kala, sekolah ini telah mengalami perkembangan yang pesat.
Bangunan-bangunan tambahan bagi kelas-kelas persediaan, makmal-makmal sains, blok pentadbiran, perpustakaan, dewan sekolah, dewan kuliah dan sebagainya telah didirikan untuk memberi kemudahan kepada pelajar. Kelas-kelas peringkat pra-universiti juga telah dimulakan dalam tahun 1950-an.
MCKK sebagai sebuah institusi pendidikan di Malaysia berjaya dalam peranannya memajukan bidang pelajaran khasnya untuk bumiputera.
Kolej ini telah berjaya dalam usahanya untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang pencapaian dalam semua bidang dan telah melahirkan begitu ramai personaliti dalam bidang masing-masing.
Selain Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar yang membangkitkan semangat orang Melayu menentang Malayan Union pada 1948, Tun Abdul Razak Husein adalah tokoh yang telah memberikan sumbangan yang cukup besar dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Jawatankuasa pelajaran yang dibentuk oleh Parti Perikatan pada tahun 1955 telah diketuai oleh bekas pelajar MCKK ini selaku Menteri Pelajaran pada masa itu.
Antara cadangan Penyata Razak termasuklah penubuhan sekolah umum (rendah) yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan sekolah jenis umum (rendah) yang menggunakan bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
Sekolah menengah Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, manakala sekolah menengah Inggeris pula menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diwajibkan diajar di semua sekolah.
Penyata Razak telah mengemukakan cadangan penting bagi pembentukan bangsa yang bersatu padu melalui satu dasar pendidikan yang menggambarkan perasaan dan harapan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Hasrat tersebut diteruskan hingga kini di bawah gagasan 1 Malaysia.

Utusan Malaysia Online: 7 Mei 2012

Selasa, 24 April 2012

SMK Rahmat catat sejarah



ALIMUDDIN (dua dari kiri) menyampaikan sijil SKM kepada salah seorang pelajar pada majlis graduasi di SMK Rahmat, Alor Gajah semalam.



ALOR GAJAH - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat di sini mencatat sejarah tersendiri dalam sistem pendidikan negara apabila menjadi sekolah harian pertama yang melaksanakan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Sebelum ini SKM hanya ditawarkan oleh sekolah aliran vokasional.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pentauliahan SKM kepada pelajar sekolah berkenaan merupakan peristiwa penting kerana tiada sekolah harian lain di negara ini yang menawarkan kursus tersebut.

"SMK Rahmat berjaya membuktikan sekolah harian juga mampu melaksanakan SKM tanpa bergantung sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran," katanya ketika berucap pada majlis graduasi di sekolah berkenaan semalam.

Kosmo Online: 24 April 2012

Khamis, 12 April 2012

Kumpulan Analitis johan Bahas Guru Ala Parlimen

Oleh Nas Norziela Nasbah
nasnorziela@bharian.com.my
2012/04/12

JOHAN Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen peringkat negeri Selangor (dari kiri) Iskhandar, A Danayale dan Zati Noor Darina.
JOHAN Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen peringkat negeri Selangor (dari kiri) Iskhandar, A Danayale dan Zati Noor Darina.
Hujahan lantang pembahas mengecewakan Kumpulan Inovatif

KEMUNCAK Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen peringkat negeri Selangor yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh, menyaksikan Kumpulan Analitis bertindak sebagai parti kerajaan muncul johan kategori Bahasa Melayu selepas menewaskan pencabar utama, Kumpulan Inovatif, baru-baru ini.

Pertandingan akhir menggabungkan dua guru, Iskandar Hayat Ahmad Khairi, bertindak sebagai ketua pembangkang diikuti Zati Noor Darina Roslan dan wakil dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Selangor, A Danayale.

Hujahan lantang perbahasan ‘Guru inovatif pemangkin utama kejayaan transformasi pendidikan negara’ mematahkan usul pihak kerajaan yang dianggotai Rosli Kamari, bertindak sebagai Ketua Menteri diikuti Timbalan Ketua Menteri, R Rajamohan dan Anita Zahari.

Hadiah disampaikan Pengarah Pelajaran Selangor, Tuan Abdullah Mad Yunus. Turut hadir Pegawai Pelajaran Gombak, Dayang Fatimah Abang Narudin dan Pengetua SMK Bandar Baru Sungai Buloh, Abd Hakim Kassim.

Bagi kategori bahasa Inggeris pula, kumpulan Stargazers mewakili kerajaan berjaya mematahkan hujahan pembangkang iaitu kumpulan Daffadolis.

Kumpulan Stargazers diwakili N Mailvaganam dari SMK Taman Sea, Naajima Ahmed Bashier dari SMK Damansara Damai 1 dan Syahirah Intan Mohd Sheffie (SK Taman Megah).
Manakala kumpulan pembangkang diwakili S Maegala, Nurawaheeda mohamad Ismail dan V Vasanthi. Walaupun kecundang di tangan kerajaan, pembangkang berpuas hati apabila salah seorang pembahas iaitu V Vasanthi dinobatkan sebagai pembahas terbaik kategori Bahasa Inggeris.

Sementara itu, Tuan Abdullah ketika berucap, melahirkan rasa bangga dan terima kasih atas usaha pihak jawatankuasa serta peserta yang komited menunjukkan bakat dalam menjayakan pertandingan bahas guru Ala Parlimen peringkat negeri.

Peserta akhir akan mewakili negeri pada peringkat kebangsaan.

Katanya, dia yakin usaha murni ini selaras dengan aspirasi kerajaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Seharusnya kita meletakkan Bahasa Malaysia pada kedudukan yang sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

“Bahasa Inggeris pula perlu diperkasakan sebagai bahasa komunikasi antarabangsa yang patut kita kuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk kita bersaing di peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata, kelancaran pertandingan itu menuntut komitmen yang tinggi dan kata sepakat daripada semua pihak, pastinya dapat dimanfaatkan untuk membangunkan anak bangsa.

Berita Harian Online: 12 April 2012

Rabu, 4 April 2012

Pertimbang imbuhan pesara guru sebelum merdeka

TAHNIAH kepada kerajaan kerana telah memberi imbuhan kepada pesara Kemas sebanyak RM3,000. Mereka yang berkhidmat lima tahun pun dapat imbuhan tersebut. Imbuhan ini diberi bagi menghargai jasa mereka kepada rakyat.

Pesara guru juga saya rasa elok dipertimbangkan untuk diberi imbuhan. Bukan semua pesara guru wajar diberikan imbuhan. Barangkali hanya kepada mereka yang telah berkhidmat sebelum merdeka atau yang pernah berkhidmat di kawasan pedalaman sahaja boleh dipertimbangkan untuk diberikan imbuhan.

Sebagai contoh, saya adalah guru yang dilantik sebelum merdeka dan berkhidmat lebih daripada 41 tahun.

Saya pernah bertugas di sekolah yang jauh di pedalaman. Pergi ke sekolah ikut jalan balak menaiki kenderaan Land Rover. Kalau hari hujan kereta tak boleh jalan dan terpaksa berjalan kaki ke sekolah lebih kurang 20 kilometer.

Di sekolah tidak ada rumah guru. Kami terpaksa tinggal dalam stor berdinding serta beratap zink. Cuba bayangkan kalau hari hujan atau panas terik bagaimana suasana di stor tersebut?

Guru seperti saya menjadi mata dan telinga kerajaan di kampung yang jauh di pedalaman. Kamilah tempat rujukan orang kampung mengadu hal. Kalau dibandingkan dengan khidmat pegawai Kemas, khidmat kami lebih banyak dan mencabar kerana pada masa itu tidak ada kemudahan seperti yang ada pada pegawai Kemas hari ini.

Atas dasar ini, saya berpendapat kerajaan wajar membuat kajian dan mempertimbangkan apakah imbuhan yang patut diberi kepada pesara guru seperti saya. Jumlah pesara guru yang berkhidmat sebelum merdeka ini saya rasa tidak berapa ramai.

Utusan Malaysia Online: 4 April 2012

Rabu, 28 Mac 2012

100 peratus lulus SPM, SMKTU dapat anugerah ETR

JOHOR BAHRU 27 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara (SMKTU) menerima Anugerah Keputusan Melebihi Sasaran (ETR) berikutan prestasi cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dengan 99 pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut lulus.

Pengetuanya, Zainab Ali berkata, anugerah itu diperoleh berikutan peratus pelajar yang lulus dalam peperiksaan tersebut dari 98.51 peratus pada 2010 kepada 100 peratus pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 2.51 peratus, selain jumlah pelajar cemerlang dengan semua A dalam mata pelajaran yang diambil meningkat.

"Begitu juga dengan peratus calon cemerlang meningkat daripada 2.99 peratus pada 2010 kepada 9.18 peratus tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 6.19 peratus. Pencapaian tersebut menyebabkan gred purata sekolah (GPS) meningkat sebanyak 0.45 peratus iaitu 3.85 peratus.

"Keadaan itu menjadikan sekolah kita menduduki tangga ke-31 daripada 243 sekolah di seluruh negeri yang terdiri pelbagai kategori termasuk sekolah kluster, premier, sekolah berprestasi tinggi dan sekolah harian sementara di Johor Bahru pada kedudukan ke-10," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Zainab, rahsia kejayaan sekolah adalah komitmen guru, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dipimpin Profesor Madya Edy Tonizam Mohammad serta langkah memastikan semua sukatan pelajaran dihabiskan sebelum Ogos dan disusuli dengan latih tubi 1,000 soalan.

Tambahnya, dari segi motivasi pula pihaknya menganjurkan Majlis Graduasi 2011 pada tahun lalu bagi calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kaedah sama akan diterapkan tahun ini.

Salah seorang pelajar terbaik, Muhammad Hussein Lee, 19, berkata, kejayaan yang dirangkul dengan mendapat 11A adalah hasil hubungan yang tidak putus-putus dengan Allah SWT, serta hubungan yang akrab dengan ibu bapa dan guru.

"Selain belajar bersungguh-sungguh, saya juga mengatur masa dan paling penting mengabaikan Facebook untuk tumpuan sepenuh masa kepada pelajaran," katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Izzati Shahirah Aziz yang mendapat 9A berkata, kejayaannya adalah hasil persaingan sihat, baik dalam kelas mahupun dalam keluarga.

"Selain itu saya cukup komited dengan disiplin yang saya tentukan sendiri iaitu dari Isnin hingga Jumaat saya abaikan langsung permainan video dan Sabtu dan Ahad saya peruntukkan masa dua jam untuk permainan tersebut. Saya juga tidak mempunyai Facebook," katanya lagi.

Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2012

Jumaat, 16 Mac 2012

Guru sekolah rendah dapat BITB

leh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2012/03/16

MUHYIDDIN bergambar bersama guru pada majlis penganugerahan TBGB 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
MUHYIDDIN bergambar bersama guru pada majlis penganugerahan TBGB 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
RM15 juta diagih kepada 403 sekolah untuk bayaran bagi tahun kedua

KUALA LUMPUR: Kira-kira 14,000 warga pendidik peringkat sekolah rendah menerima manfaat daripada Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) bagi tahun kedua semalam, sejak ia diperkenalkan kepada pengetua dan guru besar di bawah sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan pada 2010.

BITB bernilai hampir RM15 juta itu diagihkan kepada 403 sekolah sekolah rendah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 300 adalah Sekolah Kebangsaan (SK), 43 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 51 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), lima Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sebuah Sekolah Orang Asli.
Majlis penganugerahan Tawaran Baru Guru Besar (TBGB) 2011 itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bahagian Teknologi Pendidikan, di sini, semalam.

Di bawah tawaran itu, setiap guru besar layak menerima RM7,500 seorang, manakala lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan bakinya RM900 seorang. Selain itu, kakitangan sokongan layak menerima RM500 seorang.

Muhyiddin berkata, penganugerahan BITB adalah kemuncak kepada keupayaan warga pendidik dalam mencapai sasaran ditetapkan melalui akad tawaran atau bai’ah.

Beliau bersyukur kerana sasaran pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran, iaitu sebanyak empat peratus dapat dicapai. Daripada 7,635 sekolah rendah di seluruh negara, 403 berjaya menerima anugerah TBGB.
Lebih membanggakan, usaha kerajaan merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar membuahkan kejayaan.

“Ini terbukti apabila sebuah Sekolah Orang Asli iaitu SK Tasik Cini, Pekan berjaya menerima ganjaran tawaran baru daripada keseluruhan 403 sekolah rendah yang terpilih. Semoga kejayaan sekolah ini akan memberi inspirasi kepada Sekolah Orang Asli dan sekolah rendah di luar bandar dan pedalaman untuk mencipta kejayaan yang sama,” katanya.

Tawaran Baru dilaksanakan menerusi langkah menyenaraikan kedudukan sekolah berdasarkan kombinasi pencapaian sekolah dalam Gred Purata Sekolah dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia yang dikenali sebagai Skor Komposit Sekolah.

Pengetua dan guru besar yang melepasi sasaran ditetapkan, akan dikenal pasti oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) untuk dilaksanakan verifikasi. Selepas disahkan pengetua dan guru besar serta memenuhi syarat, mereka boleh dipertimbangkan untuk pemberian BITB.

Berita Harian Online: 16 Mac 2012

Rabu, 14 Mac 2012

Murid kuat mengadu

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: “Kuat merajuk dan mengadu antara cabaran perlu dihadapi ketika mengajar di sekolah semua murid perempuan berbanding sekolah bercampur jantina, jadi sebagai guru saya perlu menggunakan pendekatan bijak ketika sesi pengajaran bagi memudahkan murid menerima setiap perkara diajarkan,” kata graduan cemerlang Institut Perguruan (IPG) Ilmu Khas Kuala Lumpur, Nor Hidayah Hamzah, 24.

Menurutnya, itu antara pengalaman tidak dapat dilupakan ketika memulakan tugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Assunta, Petaling Jaya, mulai Januari lalu.


“Orang cakap senang mengajar sekolah semua perempuan, tetapi sebenarnya cabaran tetap ada. Cuma berbeza cabaran mengajar di sekolah bercampur jantina. “Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat saya terus mengajar kerana saya sangat menyukai kerjaya guru,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen program Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG Kementerian Pelajaran ke-2, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam. Nor Hidayah seorang daripada 546 pelajar menerima ijazah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed pada sidang sesi pagi.

myMetro: 14 Mac 2012

Isnin, 13 Februari 2012

Bukan semua pelatih guru dapat elaun

SAYA ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), Sabah, kerana menulis berkaitan dengan BB1M seperti yang disiarkan dalam akhbar ini baru-baru ini.

Kepada rakan Kesang Boy, saya juga mengucapkan terima kasih dengan reaksi anda tetapi fakta yang diberikan perlu diulas dengan lebih terperinci.

Untuk makluman, terdapat dua kategori pelajar di IPG. Pertama, pelajar sepenuh masa (PPSIMP, PISMP dan DPLI) dan kedua, pelajar Kursus Dalam cuti (KDC), Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) serta pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ).

Sememangnya benar bahawa pelajar sepenuh masa PPISMP dan PISMP telah menerima elaun buku. Oleh itu, saya yakin pelajar IPG yang menulis bukanlah daripada program sepenuh masa.

Kami, pelajar separuh masa (KDC, LPBS, PGSR, KDPM & PPG) yang belajar di IPG tidak menerima elaun buku seperti yang diterima oleh pelajar sepenuh masa. Justeru itu, kami juga perlu membeli buku rujukan untuk pengajian kami.

Selama ini saya hanya menggunakan perkhidmatan fotostat kerana saya perlu berjimat dalam pengajian memandangkan saya dan rakan lain tidak menerima elaun lain, kecuali hanya ditaja yuran pengajian sahaja.

Saya inginkan penjelasan daripada pihak berkenaan, mengapa kami tidak layak untuk menerima bantuan BB1M ini? Mengapa pula rakan kami program daripada Sarjana Muda Perguruan (SMP) dan Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang ditaja oleh KPM tetapi belajar di IPTA serta IPTS dibantu dengan baucar BB1M ini?

Lebih menghairankan saya ialah pelajar yang ditaja oleh JPA melalui Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) peringkat sarjana dan doktor falsafah di IPTA turut dibantu dengan baucar BB1M.

Mereka juga telah menerima elaun buku dengan jumlah RM1,000 hingga RM1,800 setahun. Justeru itu, apa kurangnya mereka dan lebihnya kami sehingga tidak diberi bantuan itu?

Saya mohon Rektor IPGM dapat melihat perkara ini dan mengambil tindakan proaktif dengan sewajarnya dalam usaha menyelesaikan isu ini.

Utusan Malaysia Online: 13 Februari 2012

Jumaat, 10 Februari 2012

Sekolah cemerlang Terengganu dirai


Ahmad Said menyampaikan replika cek Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012 kepada wakil PPD Kuala Terengganu, Matsor Ismail (kanan) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 9 Feb.– Sekolah-sekolah di negeri ini yang mencatatkan kejayaan membanggakan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 diraikan oleh kerajaan negeri semalam.

Majlis Anugerah Apresiasi Kecemerlangan itu merupakan sebahagian daripada tradisi penghargaan kepada warga sekolah untuk terus mempertahan dan meningkatkan pencapaian dalam pelbagai peringkat peperiksaan awam.

Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dengan aspek pendidikan menjadi keutamaan dalam usaha membangunkan kehidupan rakyat dan memajukan negeri.

Beberapa buah sekolah menerima penghargaan atas kejayaan yang ditempa antaranya bagi kategori sekolah enrolmen calon kurang daripada 100 peratus semua A terbaik UPSR.

Berada dalam turutan senarai ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bharu Tok Dor (66.67 peratus), SK Kampung Bukit Hulu Nerus (55.56 peratus) dan SK Kampung Cabang (51.22 peratus) yang masing-masing menerima RM5,000; RM3,500; RM2,500 beserta piala dan sijil penghargaan.

Bagi kategori Gred Purata Sekolah terbaik, ia dimenangi oleh SK Dusun, Hulu Terengganu (1.23) dengan hadiah wang tunai RM3,000.

Kategori sekolah enrolmen calon lebih daripada 100 peratus semua A terbaik UPSR disandang oleh SK Tengku Mahmud (51.18 peratus), SK Kampung Raja (39.44 peratus), SK Sultan Sulaiman 1 (34.12 peratus) dan GPS terbaik diperoleh oleh SK Tengku Mahmud, Besut.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa, Dungun mula dinobatkan SJKC cemerlang (Semua A 7.84 peratus dan GPS 2.02) dengan hadiah wang tunai RM2,500.

Daerah Besut pula dipilih daerah terbaik semua A dalam UPSR dengan hadiah RM7,000 manakala setiap sekolah membawa pulang RM5,000, RM3,500 dan beserta piala serta sijil penghargaan.

Bagi kategori peratusan semua A terbaik PMR mengikut kategori sekolah, lima buah sekolah yang berada pada tahap itu dengan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud mendahului senarai (Sekolah Berasrama Penuh).

Ia diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud, Besut (Premier/ Kawalan), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek (SMKA).

Juga SMK Rantau Petronas (Harian) dan Sekolah Menengah Agama Khairiah (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) dengan kesemua sekolah membawa pulang RM5,000, piala serta sijil penghargaan manakala Kuala Terengganu muncul daerah terbaik semua A.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam majlis yang diadakan serentak dengan pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI) 2012 di Wisma Darul Iman di sini.

Utusan Malaysia Online: 9 Februari 2012

3,000 guru bakal terima komputer

KUALA TERENGGANU 9 Feb. - Kira-kira 3,000 guru tahun lima sekolah rendah di negeri ini bakal menerima komputer riba secara berperingkat mulai pertengahan tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM4.5 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia adalah langkah susulan selepas pengagihan alat bantu pengajaran dan pembelajaran itu kepada guru-guru tahun enam selesai dilakukan.

''Pemberian itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperluaskan penggunaan peralatan teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan anak negeri,'' katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Apresiasi Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ia dilakukan serentak dengan pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI) 2012 di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Pada masa yang sama, katanya, bekalan kemudahan bagi warga pendidik itu bagi merangsangkan lagi mereka agar bersama menterjemah hasrat kerajaan negeri mewujudkan kelas maya di semua sekolah rendah selaras dengan perubahan zaman.

"Kita jangka mahu bagi awal tahun ini tetapi stok komputer belum ada, jadi kita akan bagi selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

"Saya harap dengan pemberian kemudahan ini, ia akan memberi semangat lagi kepada guru-guru untuk terus melakar kejayaan kepada anak Terengganu," katanya.

Ahmad berkata, di samping itu sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri sepanjang tahun ini bagi melaksanakan kelas tuisyen di setiap sekolah menerusi PPAI.

Katanya, setiap PPD menerima peruntukan yang berbeza, bergantung kepada jumlah sekolah, kelas serta murid yang bakal mengikuti tuisyen di sekolah masing-masing itu.

"PPD Kuala Terengganu menerima RM1,247,034, PPD Kemaman (RM545,196), PPD Besut (RM572,364), PPD Dungun (RM493,524), PPD Hulu Terengganu (RM280,422), PPD Setiu (RM243,984) dan PPD Marang RM357,078," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 9 Februari 2012

Sabtu, 4 Februari 2012

Pengiktirafan jadi perangsang tingkat kecemerlangan

PUTRAJAYA: Sekolah Menengah Sains (SMS), Kota Tinggi, Johor (SMSKT) yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), semalam berhasrat meningkatkan kecemerlangan pelajar bukan saja di peringkat kebangsaan tetapi ke arena antarabangsa.

Pengetuanya, Mohamad Mahadi, berkata usaha untuk mencapai pengiktirafan berkenaan banyak dilakukan bekas pengetuanya, Hassan Taufik yang menjalankan perancangan strategik SBT setiap tiga tahun sekali.


Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini, SMSKT bukan hanya dapat diiktiraf SBT tetapi terlebih dahulu diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).

“Kami bersyukur kerana SMSKT berjaya diiktraf sebagai SBT dan terima kasih kepada bekas pengetua Hasan Taufik yang banyak membawa kecemerlangan kepada sekolah selama ini.


“Menerusi pengiktirafan ini, kita harap sekolah akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang, sekali gus menepati hasrat SBT meneroka ke peringkat antarabangsa, pada masa sama diharap kecemerlangan pelajar akan sentiasa dijana secara berterusan dan menepati falsafah pendidikan negara,” katanya ketika ditemui selepas menerima watikah pengiktirafan SBT daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, semalam.


Sementara itu, seorang lagi pengetua Datin Azizah Ahamad Tan Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor berkata, pengiktirafan terbabit menjadi perangsang kepada sekolah untuk terus mengembangkan kapasiti tenaga pengajar di sekolah selaras usaha meningkatkan kecemerlangan murid.

myMetro: 4 Februari 2012

Rabu, 1 Februari 2012

15 lagi diiktiraf Sekolah Kluster Kecemerlangan


ABDUL GHAFAR (tiga dari kiri) bermesra dengan sebahagian pengetua pada majlis pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Sebanyak 15 buah sekolah lagi diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) apabila memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, sebanyak tujuh buah sekolah menengah dan lapan sekolah rendah telah dipilih untuk fasa enam pengiktirafan itu.

“SKK merupakan salah satu laluan yang akan menjurus kepada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di mana SKK yang cemerlang akan dipilih sebagai calon SBT.

“Daripada 52 buah sekolah yang telah diiktiraf sebagai SBT, 31 daripadanya terdiri daripada SKK,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan SKK di sini semalam.

SKK merupakan sekolah-sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya berasaskan aspek akademik, kokurikulum, sahsiah, pengurusan sekolah, budaya, hubungan dengan pihak luar, pembangunan modal insan dan sumber yang ada.

Ia juga dikategori berdasarkan lokasi seperti bandar, luar bandar atau pedalaman serta jenis sekolah dan tahapnya.

Menurut Abdul Ghafar, pada masa kini antara SKK yang menyerlah sehingga ke peringkat antarabangsa ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson dari Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Perak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

Kosmo Online: 31 Januari 2012

Isnin, 16 Januari 2012

Sultan Azlan Shah lancar biografi Cikgu Selvamany



SULTAN Azlan Shah menerima senaskhah buku biografi bertajuk Selvamany: More Than A Teacher daripada N. S. Selvamany di Hotel Royale Of Chulan, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 15 Jan. - Bukan sekadar guru, malah seorang sahabat.

Itu adalah sifat yang digambarkan oleh sesiapa sahaja yang pernah menjadi anak murid kepada Datuk Seri N. S. Selvamany atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Selvamany.

Selama 20 tahun mengabdikan diri sebagai pendidik bermula pada 1952 di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, Perak, Selvamany dikenali sebagai seorang guru yang bukan sahaja amat prihatin dalam soal pendidikan anak muridnya malah mengambil berat aspek kebajikan dan kesihatan mereka ketika di sekolah.

Salah seorang anak murid Selvamany di sekolah itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan bekas gurunya itu sebagai seorang yang penyayang dan amat mengambil berat terhadap permasalahan pelajar-pelajarnya.

"Beliau tidak pernah merotan atau menggunakan kekerasan terhadap pelajarnya. Beliau memenangi hati pelajarnya dengan kasih-sayang, keikhlasan dan sikap mengambil berat yang tulus. Kami semua tidak dilayan sebagai pelajar tetapi lebih sebagai sahabatnya," kata Tengku Razaleigh dalam buku biografi 'Selvamany: More Than a Teacher' yang dilancarkan, di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan melancarkan biografi setebal 280 muka surat yang menceritakan secara terperinci pengalaman pahit manis Selvamany yang kini berusia 85 tahun ketika berkhidmat sebagai pendidik.

Utusan Malaysia Online: 16 Januari 2012

Selasa, 27 Disember 2011

SBPA: Skim gaji perkhidmatan guru perlu diperbaiki

SAYA mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA. SBPA secara umumnya memang mendatangkan banyak kebaikan kepada semua pihak. Contoh ketara ialah peningkatan gaji mati bagi guru iaitu antara 19.34% hingga 56.78%. Perkiraan ini adalah berasaskan gaji mati P1T3 @ P1T2 mana yang berkenaan di gred gaji SSM dengan gaji mati SBPA.

Gaji mati SBPA ini berdasarkan kutipan maklumat dari blog-blog yang boleh dipercayai. Ini kerana laman web JPA setakat ini belum memaparkan jadual gaji SBPA. Namun maklumat ini sangat boleh dipercayai kerana berdasarkan pengalaman gaji saya sendiri yang diuar-uarkan di blog tersebut adalah sama dengan tawaran opsyen SBPA yang saya terima. Terima kasih kepada kerajaan dan syukur kepada Allah.

Namun, disebabkan SBPA ialah sistem ciptaan manusia pasti terdapat beberapa kekurangan. Izinkan saya berkongsi perasaan dan pendapat bersama pembaca sambil mengharapkan mendapat respons positif daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Perkara pertama yang ingin saya kongsikan ialah perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA yang sangat ketara. Kami guru DG44/ DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu dari RM2,982.99 ke RM1,985. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan guru DG54/DG1-6 iaitu sebanyak RM1,857.46 bersamaan 35.94% iaitu dari RM5,167.64 ke RM7,025.00.

Malah terdengar desas-desus peningkatan gaji JUSA dan kumpulan Premier pula lebih RM3,000 sebulan. Saya tidak dapat memastikan kesahihannya kerana JPA seolah-olah cuba menyembunyikan jadual gaji SBPA daripada menjadi tatapan umum.

Untuk tujuan perbandingan tersebut, saya telah menggunakan kaedah yang sangat adil iaitu berdasarkan gaji permulaan bagi kedua-dua gred yang dibandingkan.

Saya mengharapkan agar gaji permulaan SBPA bagi guru DG2-3, DG2-5, DG1-2 DG1-4 dan DG1-5 disemak semula. Jurangnya hendaklah dirapatkan. Kami mengharapkan sekurang-kurangnya 10% kenaikan.

Perkara kedua ialah mengenai tempoh kenaikan pangkat secara time-based. Jika dihayati ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaikkan pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4).

Tapi mengikut SBPA kami menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara time-based ke DG1-4.

Formula 8+8+6+3. Tempoh Kenaikan Pangkat. Dipetik daripada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 tahun 2011. Jika diikutkan maksud ucapan PM, formula tersebut sepatutnya jadi 7+8+6+4. Kami sangat mengharapkan agar dasar ini dikaji semula.

Perkara ketiga yang ingin saya utarakan juga berkaitan dengan perkara di atas. Sebahagian daripada guru siswazah adalah asalnya seorang guru bukan siswazah/lepasan diploma. Kami dinaikkan pangkat ke guru siswazah secara lantikan atau Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL).

Dalam SBPA kaedah ini dikenali dengan nama Peningkatan Secara Lantikan (PSL). Jika mengikut SSM kami diberi formula 3+7 iaitu menggunakan tempoh perkhidmatan sebagai guru bukan siswazah untuk diambil kira sebagai tempoh perkhidmatan untuk proses kenaikan pangkat ke DG44 atau DG48.

Formulanya ialah setiap tiga tahun perkhidmatan sebagai guru lepasan diploma sebagai setahun perkhidmatan sebagai guru siswazah dengan had maksimum yang boleh digunapakai ialah 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.

Di bawah SBPA kami tidak mendapat apa-apa maklumat mengenainya. Kami mengharapkan agar dasar tersebut dipanjangkan di bawah SBPA dengan diberi penambahbaikan iaitu dengan menghapuskan had maksimum 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.

Rasionalnya permintaan ini ialah, kebanyakan guru KPSL/PSL ini sudah berumur. Jika dihadkan kepada 9 tahun perkhidmatan sahaja yang diambil kira maka kebanyakan guru ini akan sentiasa ketinggalan dari segi insentif berbanding guru baru. Hargailah jasa guru lama ini.

Perkara keempat adalah cadangan baru dari saya sendiri. Saya mencadangkan agar gred gaji guru KPSL/PSL diasingkan daripada guru lantikan pertama. Saya mencadangkan diwujudkan gred baru. Contohnya DG1-1A, DG1-2A, DG1-4, DG1-5A dan DG1-6A. Jumlah gajinya dicadangkan 10% lebih tinggi berbanding gaji DG1-1, DG1-2, DG1-4, DG1-5 dan DG1-6. Cadangan ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang dilantik pada Januari 2001 ke PPPS DG3/41 dengan mendapat kenaikan kurang daripada RM30.

Pada Julai 2007 kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 15% kepada kumpulan pengurusan dan profesional manakala kumpulan sokongan 1 (iaitu kumpulan saya sebelum itu) diberi kenaikan 25%.

Kesannya gaji saya lebih rendah berbanding dengan rakan saya yang sama-sama dilantik sebagai guru bukan siswazah dengan kelulusan SPM pada tahun 1990. Luahan kami tidak diambil tindakan yang sewajarnya.

Jawapan standard daripada Pegawai Perhubungan Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia ialah tidak boleh membandingkan gaji PPPS DG41 dengan PPPLD DGA32 dan menyarankan kami membandingkan gaji PPPS DG41 dengan gaji PPPLD DGA29.

Suka dimaklumkan PPPS DG41 yang membandingkan gaji mereka dengan gaji PPPLD DGA32 adalah guru KPSL@PSL yang mana jika kami tidak dilantik ke PPPSDG41 maka kami sepatutnya mendapat gaji sebagaimana PPPLD DGA32.

Di sinilah wujudnya anomali iaitu di mana pegawai yang dinaikkan pangkat mendapat gaji yang kurang. Satu lagi hujah Pegawai Perhubungan Korporat KPM yang sangat kami benci mendengarnya ialah menyarankan kami melihat secara keseluruhan iaitu elaun-elaun yang diterima.

Saya akui, jika diambil kira elaun yang diterima, jumlah emolumen yang kami terima adalah lebih berbanding PPPLD32 tapi ia masih tidak berbaloi. Perlu diambil ingatan, elaun tidak diambil kira dalam pembayaran pencen dan gratuiti.

Saya sangat mengharapkan agar semua kesatuan guru mengambil tempoh lanjutan ini untuk mengadakan perbincangan dengan JPA supaya skim perkhidmatan perguruan diperbaiki.

Utusan Malaysia Online: 27 Disember 2011

Isnin, 5 Disember 2011

Zainuddin harumkan nama negara

Oleh Noor Azlina Zainudin
azlina@nstp.com.my
2011/12/05

ZAINUDDIN menunjukkan sijil yang diterima sebagai pemenang ketiga Anugerah Khas Penggunaan Mantap Teknologi Microsoft Dalam Pembelajaran pada Forum Rakan Pembelajaran Global 2011 di Washington, baru-baru ini.
ZAINUDDIN menunjukkan sijil yang diterima sebagai pemenang ketiga Anugerah Khas Penggunaan Mantap Teknologi Microsoft Dalam Pembelajaran pada Forum Rakan Pembelajaran Global 2011 di Washington, baru-baru ini.
GURU Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri (SMKTBM), Kuala Lumpur, Zainuddin Zakaria mengharumkan nama negara apabila menjadi pendidik tempatan pertama memenangi tempat ketiga pada Forum Rakan Pembelajaran Global 2011 di Washington, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Zainuddin mengemukakan projek pendidikan bertajuk KODU Di Dalam Kelas Seluruh Dunia, meraih tempat ketiga bagi Kategori Anugerah Khas Penggunaan Mantap Teknologi Microsoft Dalam Pembelajaran.

Pada projek berkenaan, Zainuddin melatih sekumpulan pelajar SMKTBM mencipta permainan komputer bertemakan isu alam sekitar dengan menggunakan Makmal Permainan KODU, suatu perisian pembangunan permainan oleh Microsoft khusus untuk pendidikan.
Sementara itu, lima sekolah dipilih menjadi rakan kerjasama iaitu Russia State School, Russia; Milseong Jeil High School, Korea Selatan; Lawrence S Ting School, Vietnam; Odogbolu Grammar School, Nigeria dan Hawkesdale P12 College, Australia.

Sekolah itu turut dilatih membangunkan permainan komputer masing-masing. Tiga permainan pendidikan terbaik dipilih daripada setiap sekolah untuk ditukar dengan permainan yang dihasilkan pelajar SMKTBM.

Menurut Zainuddin yang juga guru pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), projek itu membolehkan pelajar mempelajari dan memahami nilai murni serta pengajaran yang terdapat dalam setiap permainan, seperti kepelbagaian masalah alam sekitar dan cara mengatasinya.

Menerusi permainan komputer yang memang menjadi kegilaan remaja, katanya, pelajar boleh bermain sambil belajar dengan cara interaktif dan menyeronokkan.
“Sebagai contoh, pelajar SMKTBM berjaya menghasilkan permainan yang mudah tetapi menyeronokkan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai masalah alam sekitar antaranya pembasmian hutan, pemburuan penyu secara haram dan kesan pencemaran alam oleh kilang.

“Pelajar sekolah lain pula mengenal pasti pelbagai masalah lain berkaitan yang terdapat di negara mereka. Sambil bermain, pelajar mempelajari pengajaran yang terdapat dalam permainan itu,” katanya kepada Berita Harian.

Selain itu, Zainuddin berkata, penggunaan Makmal Permainan KODU untuk mencipta permainan menggalakkan pelajar membina dan membangunkan program sendiri sejak peringkat awal selain mempelajari aspek kerjasama, logik dan kreativiti.

Pada tahun ini, Forum Rakan Pembelajaran Global anjuran Microsoft yang masuk tahun ketujuh penganjurannya itu disertai kira-kira 700 pendidik daripada lebih 70 negara di seluruh dunia.

Sebanyak 115 projek pendidikan terpilih ke peringkat akhir daripada lebih 200,000 penyertaan diterima pada peringkat awal. Daripada jumlah itu, hanya 18 projek pendidikan terbaik dipilih menerima anugerah bagi enam kategori yang dipertandingkan.

Berita Harian Online: 5 Disember 2011