Khamis, 31 Disember 2009

Bakal guru tunggu surat tawaran

SAYA tidak tahu apakah alasan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melambat-melambatkan urusan Surat Tawaran DG41 bagi guru-guru PJJ. Contohnya saya sendiri yang merupakan graduan pada Mac 2008, memohon untuk ke DG41 melalui Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak pada Mei 2008.

Saya hanya dipanggil temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) pada Januari 2009. Setelah lulus temuduga sepatutnya mendapat surat tawaran pada Jun 2009. Tetapi malangnya sehingga Disember 2009 saya masih belum menerima surat tawaran tersebut.

Saya telah pergi ke Bahagian Sumber Manusia KPM Putrajaya. Bahagian Sumber Manusia memaklumkan surat tawaran telah pun dikeluarkan pada bulan Oktober 2009 lagi dan dihantar ke JPN masing-masing.

Bila saya bertanya kepada JPN Perak, lain pula jawapannya. Mereka menyatakan surat tawaran memang sudah sampai tapi masih menunggu arahan daripada Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saya cuba menghubungi pegawai terbabit tetapi tidak mendapat jawapan kerana saya ingin mengetahui kedudukan perkara sebenar.

Saya harap pihak kementerian dapat mengatasi masalah kami ini dengan seberapa segera.

Guru Bersemangat,

Perak


Utusan Malaysia Online: 31 Disember 2009



Lantikan guru lepasan ijazah pendidikan ikut kekosongan

PUTRAJAYA: Penempatan graduan lulusan Sarjana Muda Pendidikan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sekolah hanya akan dilakukan berdasarkan kekosongan jawatan dan pengkhususan mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia kerana kementerian terpaksa memberi keutamaan kepada graduan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) lulusan 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

“IPG melatih guru bagi memenuhi keperluan Kementerian Pelajaran berbanding IPTA yang kebanyakannya bertujuan memenuhi permintaan sektor swasta.

“Sebab itulah, dalam soal penempatan sekolah, keutamaan akan diberikan kepada lulusan KPLI dan jika ada kekosongan baru kita menempatkan graduan lulusan IPTA tetapi ia bergantung kepada kekosongan serta bidang pengkhususan yang diambil ketika di universiti,” katanya kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Kualiti peringkat kementerian di sini, semalam.

Justeru, Mohd Puad berkata, isu penempatan tidak seharusnya timbul kerana proses penempatan semua graduan KPLI dari IPG sudah selesai untuk sesi persekolahan yang bermula Ahad dan Isnin ini.

Berita Harian Online: 31 Disember 2009

Rabu, 30 Disember 2009

Kementerian perlu selesaikan pertindihan gred jawatan

Oleh Amir Hamzah Nordin
upen@bharian.com.my

KESATUAN Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, mahu isu pertindanan tawaran serta perluasan pergerakan gred perjawatan secara hakiki guru dan pegawai yang bertugas di sekolah, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri (JPN) perlu diselesaikan segera secara sistematik.

Presidennya, Mohd Sabri Arshad, berkata penyelarasan perlu ada antara JPN dan Kementerian Pelajaran supaya penawaran tidak bertindan antara perjawatan dan time base kepada guru terbabit.

“Ada pegawai mendapat dua tawaran serentak antara guru cemerlang dan time base DG44, sekali gus seolah-olah tiada penyelarasan dalam penentuan perjawatan khusus.

“Kalau boleh ada penetapan khusus dalam penawaran agar lebih sistematik dan tersusun sejajar Petunjuk Prestasi Utama dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diamalkan Kementerian,” katanya.

Sabri berkata, pengisian jawatan kosong juga perlu disegerakan khususnya di institut perguruan guru (IPG) dan Institut Aminuddin Baki (IAB) bagi memberi laluan kerjaya lebih luas kepada guru dan pegawai terbabit secara tidak langsung meningkatkan semangat serta sokongan moral kepada warga pendidik.

“Guru yang berada di time base DG44 wajar dinaikkan ke gred lebih tinggi kerana ada di antara mereka yang berpengalaman luas dan sesuai berkhidmat di IPG atau kolej matrikulasi.

“Beri peluang kepada mereka meningkatkan diri, sekali gus menjadi aset negara dalam membina modal insan masa depan yang lebih cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Jemale Paiman, berkata Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang bertugas di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil harus diserapkan dengan memberi latihan, sekali gus membantu mengisi kekosongan perjawatan.

“Ini membuka peluang GSTT berpengalaman yang telah berkhidmat beberapa tahun diserapkan ke jawatan tetap dengan memberi latihan semasa cuti,” katanya.

Katanya, bekas guru besar, pengelola, guru cemerlang dan pegawai di PPD serta JPN yang memiliki ijazah serta berada di gred DG41 perlu dinaikkan ke gred DG44.

Berita Harian Online: 30 Disember 2009

Sekolah Terbilang: Program Kedap

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


ABDULLAH Ab Rahman antara guru yang tidak jemu mendidik pelajar SKPSD.

Ibu bapa Orang Asli disuntik kuasai 3M bantu tingkat kecemerlangan pelajar

SEKOLAH Kebangsaan Putra Simpang Durian (SKPSD), Jelebu, Negeri Sembilan menganggap tugas mendidik anak Orang Asli dan ibu bapa mereka supaya setanding kaum lain sebagai tanggungjawab paling mencabar.

Guru besar sekolah berkenaan, Bahiah Abu Zarin, berkata pihak sekolah menyediakan kelas asas membaca, menulis dan mengira kepada 25 ibu bapa Orang Asli yang diadakan dua kali seminggu.


Beliau berkata, berkat kesungguhannya menguruskan sekolah dan mewujudkan kelas dewasa dikenali Kelas Dewasa Asli Penan (Kedap) membolehkannya menerima Anugerah Cemerlang Kementerian Pelajaran Kategori Sekolah Kebangsaan Orang Asli, baru-baru ini.

Katanya, pengiktirafan itu menyuntik semangat warga sekolah termasuk 20 guru yang tiga daripadanya Orang Asli untuk meneruskan khidmat bakti mendidik anak bangsa dengan penuh dedikasi.

“Pihak sekolah akan memastikan Kedap berjalan lancar, selain ibu bapa mengikuti pelajaran dengan selesa menerusi kemudahan disediakan.

ROS YUZIRA Razali (kanan) membimbing ibu bapa orang Asli membaca, menulis dan mengira menerusi program Kedap.

“Ibu bapa membina sendiri pondok bacaan yang dikenali sebagai Balai Batin, sekali gus membolehkan mereka menjalankan aktiviti bersama,” katanya.

Sebagai pendidik beliau berkata, kesungguhan dan dedikasi begitu diharapkan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan untuk 222 murid Orang Asli. Guru akan bergilir mengambil cuti pada musim cuti ini bagi memastikan kelas bimbingan berjalan lancar.

Katanya, sepanjang Disember ini, semua murid Tahun Lima dikehendaki mengikuti kelas tambahan setiap hari.

“Kelas bermula Isnin hingga Jumaat disediakan khas bagi memastikan proses bimbingan untuk murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula lebih awal.

“Kita mahukan murid bersedia dengan menjadikan cuti sekolah sebagai masa terbaik mengulangkaji pelajaran. Usaha awal penting supaya murid mendapat bimbingan berperingkat hingga ke tarikh peperiksaan,” katanya.

Berdasarkan pencapaian akademik Bahiah berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi calon UPSR tahun ini dengan peratus lulus penuh 73.3 berbanding 46.5 peratus pada 2008.

Walaupun pencapaian meningkat, beliau berkata peratusan itu boleh diperbaiki dan diharapkan kesungguhan guru dan kerjasama ibu bapa terus menyuntik semangat murid memberikan yang terbaik.

Dalam bidang kokurikulum pula, katanya, muridnya mencapai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan bagi sukan bola sepak, bola keranjang dan kawat kaki.

“Pencapaian ini adalah berkat usaha semua pihak dalam memastikan murid luar bandar juga mencapai kejayaan cemerlang dan menikmati kemudahan sukan dan mewakili daerah peringkat kebangsaan setanding rakan mereka di sekolah bandar.

“Kemudahan sama rata ini juga dapat merapatkan jurang pendidikan antara mereka,” katanya.

Mengulas prestasi muridnya, Bahiah berkata, semua muridnya sama, bagaimanapun apa yang penting ialah masing-masing mengharapkan didikan, bimbingan dan motivasi berterusan.

Beliau berkata, semua usaha ini penting supaya murid terus bersemangat untuk belajar kerana setiap mereka mempunyai cita-cita dan berhasrat mencapai kejayaan.

Berita Harian Online: 30 Disember 2009

Bayaran tambahan tidak membebankan

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Bayaran tambahan persekolahan yang akan diseragamkan Kementerian Pelajaran bermula tahun depan tidak membebankan, malah lebih rendah berbanding tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran tambahan tidak harus disalahertikan dengan pembayaran lain yang bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

"Bayaran tambahan yang diseragamkan merangkumi aktiviti kokurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah, kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Insurans Takaful.

"Pembayaran lain seperti majalah sekolah, program kelas komputer dan tuisyen adalah bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan PIBG," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kekeliruan yang timbul berikutan kadar pembayaran tambahan yang diseragamkan untuk pelaksanaan sesi persekolahan 2010.

Kelmarin, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kementerian tidak menetapkan harga siling bayaran tambahan yang boleh dikutip daripada ibu bapa oleh PIBG sekolah-sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Alimuddin berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menetapkan harga siling bagi pembayaran lain yang boleh dikutip PIBG, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.

"Sekolah di Kuala Lumpur tidak sama dengan sekolah di kawasan pedalaman Sabah.

"Mungkin wang RM10 di luar bandar nilainya tinggi tetapi di Kuala Lumpur, ia hanya sekadar harga sekotak rokok," katanya.

Walaupun begitu, katanya, bagi mengelakkan kutipan wang yang terlalu tinggi, PIBG sekolah harus berhubung dengan Jabatan Pengarah Pelajaran Negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

Utusan Malaysia Online: 30 Disember 2009

Selasa, 29 Disember 2009

Pelatih kesal institut tak hirau aduan gangguan pensyarah gatal

INSTITUT Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPG KBA) Kuala Lumpur melahirkan ramai pendidik berkaliber. Malangnya, tindakan pensyarah tertentu menimbulkan kegelisahan pelajar perempuan.

Masalah kami sudah dibawa ke pengetahuan pengurusan tertinggi institut, namun tiada tindakan diambil.

Ini memaksa kami mendedahkannya melalui media supaya Bahagian Pendidikan Guru turun padang menyiasat masalah itu.

Pelatih perempuan sering berdepan gangguan seksual pensyarah lelaki. Perkara ini berlarutan dari semasa ke semasa yang mengundang keresahan serta ketakutan.

Pensyarah berkenaan sering menyentuh bahagian tertentu tubuh. Walaupun cuba dihalang dia terus melakukannya berkali-kali. Bentuk gangguan seksual lain ialah melalui pujuk rayu di telefon.

Saya antara mangsanya dan sentiasa ketakutan di institut ini kerana bimbang terserempak dengan pensyarah berkenaan yang akan mengambil kesempatan menyentuh saya.

Kejadian ini berlarutan sejak sekian lama dan ramai pelajar perempuan menjadi mangsa. Saya beranggapan institut ini tempat selamat untuk menuntut ilmu, begitu juga anggapan ibu bapa.

Sebaliknya, pensyarah yang tidak bertanggungjawab mengancam dan menggugat keselamatan pelajar perempuan di institut itu.

Pihak pentadbir mengetahui perkara ini, namun tiada tindakan diambil terhadap pensyarah berkenaan.

Saya harap perbuatan tidak bermoral ini dapat tangani segera oleh IPG KBA dan Bahagian Pendidikan Guru bagi mengembalikan kepercayaan dan keselesaan pelajar perempuan sepanjang berada di institut itu.

PELATIH KETAKUTAN,
IPG Kampus Bahasa Antarabangsa,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 29 Disember 2009

Isnin, 28 Disember 2009

Yuran sekolah boleh dijelaskan sehingga akhir tahun

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Ibu bapa dibenarkan menjelaskan yuran sekolah dan bayaran tambahan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bermula sesi persekolahan depan sehingga akhir 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran secara ansuran itu diharap meringankan beban ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah serta mereka yang mempunyai ramai anak sedang bersekolah.

Tahun lalu jelasnya, ibu bapa serta penjaga diminta menjelaskan kesemua yuran persekolahan murid-murid pada bulan Jun.

''Dengan penambahan masa dan pembayaran secara berperingkat, Kementerian Pelajaran berharap ia dapat meringankan beban ibu bapa serta penjaga.

''Cuma saya harap, ibu bapa tidak terlalu berkira mengenai persekolahan anak-anak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kementerian sebelum ini menetapkan yuran sekolah rendah pada kadar RM24.50 dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Ia merangkumi bayaran untuk kurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan, kegiatan Pendidikan Islam serta Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans Takaful.

Pada 2 Disember lalu pula, kementerian mengumumkan akan mengenakan bayaran tambahan kepada ibu bapa bermula sesi persekolahan depan bagi manfaat para pelajar.

Alimuddin menjelaskan, ibu bapa dibenar membuat pembayaran sehingga akhir tahun depan kerana tidak semua aktiviti pelajar berlangsung pada awal atau pertengahan tahun.

''Arahan ini telah disampaikan kepada semua Pengarah Pelajaran Negeri. Saya harap semua sekolah maklum dan tidak ada (sekolah) yang mengasak ibu bapa untuk menjelaskannya segera,'' tegasnya.

Utusan Malaysia Online: 28 Disember 2009

Keluarkan garis panduan bayaran tambahan - PIBGN

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Kementerian Pelajaran digesa mengeluarkan garis panduan berhubung bayaran tambahan yang akan dikenakan ke atas murid sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, arahan terbaru kementerian itu merunsingkan pihaknya serta ibu bapa di seluruh negara kerana kadarnya tidak ditetapkan.

Selain itu jelasnya, kementerian berkenaan juga tidak menetapkan harga siling bayaran tambahan yang boleh dikutip daripada ibu bapa oleh PIBG sekolah-sekolah.

Menurutnya, garis panduan itu perlu dikeluarkan sebelum Mac depan bagi mengelakkan kekeliruan kerana pada masa itu, kesemua PIBG selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

''Bagaimana pula dengan ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah serta mempunyai ramai anak yang sedang bersekolah, ketidaktentuan ini merunsingkan kami semua,'' katanya.

Pada 2 Disember lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom mengumumkan selain yuran, ibu bapa turut dikenakan bayaran tambahan bermula sesi persekolahan depan bagi manfaat murid-murid.

Beliau memberitahu, bayaran tambahan tersebut bagi tujuan kemudahan dan aktiviti murid-murid sekolah tanpa menyatakannya secara spesifik.

Justeru kata Mohamad Ali, bayaran tambahan itu perlu diperuntukkan hanya untuk tujuan akademik, disiplin, kurikulum dan aktiviti sukan murid-murid.

Sebagai contoh jelasnya, 50 peratus daripada bayaran itu perlu diperuntukkan untuk tujuan pembentukan akademik dan disiplin murid, 25 peratus untuk kurikulum sementara selebihnya bagi mengembangkan bakat sukan para pelajar.

Selain itu tegas beliau, kerajaan perlu menimbang semula pengenaan bayaran tambahan persekolahan anak-anak bagi ibu bapa yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Dalam pada itu, Alimuddin ketika dihubungi menegaskan, kementerian memberi sepenuh kuasa kepada guru besar, pengetua dan PIBG untuk menentukan kadar bayaran tambahan persekolahan masing-masing.

Jika terdapat sebarang kesulitan jelasnya, pihak sekolah dan PIBG boleh merujuk perkara itu kepada Pengarah Pelajaran Negeri untuk diperhalusi.

''Mengenai pengecualian (bayaran tambahan persekolahan) kepada golongan berpendapatan rendah pula, saya serahkan perkara itu kepada pengetua dan PIBG terlibat untuk dibincangkan bersama,'' katanya.

Beliau menambah, pekeliling mengenai bayaran tambahan itu telah diedarkan kepada semua Pengarah Pelajaran Negeri.

Utusan Malaysia Online: 28 Disember 2009

Ahad, 27 Disember 2009

Pengajaran, pembelajaran sistematik

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Peningkatan calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran adalah disebabkan oleh faktor pengajaran dan pembelajaran yang sistematik di sekolah di negara ini.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ahli akademik berpendapat, keputusan itu juga membuktikan walaupun Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan, pelajar masih mampu mencipta kejayaan cemerlang.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pencapaian cemerlang calon bandar dan luar bandar dalam peperiksaan PMR itu membuktikan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat amat penting.

"Isu PPSMI tidak timbul sama sekali, faktor kerjasama termasuk daripada guru dan ibu bapa serta sistem pengajaran sistematik menjadi penentu terhadap kejayaan pelajar tersebut.

"Walaupun terdapat peningkatan peratusan dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, ia masih belum meningkatkan penguasaan pelajar dalam kedua-dua subjek tersebut. Kita jangkakan apabila (PPSMI) dimansuhkan pada 2012, peratus itu akan terus meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom mengenai pencapaian PMR tahun ini adalah lebih baik dengan seramai 28,188 pelajar atau 6.37 peratus calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran berbanding tahun lalu.

Alimuddin berkata, jurang keputusan PMR di kawasan luar bandar juga semakin rapat dengan penguncupan beza nilai gred purata nasional (GPN) antara calon bandar dengan luar bandar daripada 0.3 kepada 0.29.

Sementara itu, ahli akademik, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, peningkatan tersebut menunjukkan Kementerian Pelajaran telah mencapai matlamatnya dalam melahirkan pelajar cemerlang setiap tahun.

"Dasar PPSMI juga tidak menjadi penghalang, usaha ini telah dibuktikan melalui kesungguhan peranan Kementerian Pelajaran, guru dan ibu bapa," katanya.

Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Azam Md. Atan pula berkata, peningkatan tersebut menunjukkan kesungguhan dan komitmen pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR.

''Dasar PPSMI telah membuktikan kejayaan, namun dasar itu perlu dimansuhkan demi kepentingan pelajar.

''Perkara utama yang perlu diberikan tumpuan ialah bagaimana untuk meningkatkan pemahaman pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris," katanya.

Utusan Malaysia Online: 27 Disember 2009

Sabtu, 26 Disember 2009

Ketekunan guru, pelajar ramuan kejayaan

RAUB 25 Dis. – Ketekunan dan memberi tumpuan ketika guru mengajar merupakan antara ramuan kejayaan pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Abdullah di sini untuk muncul sekolah terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 di negeri Pahang yang diumumkan semalam.

SMS Tengku Abdullah mengekalkan rekod terbaiknya apabila 108 daripada 125 calonnya atau 86.4 peratus memperoleh semua A dalam peperiksaan itu.

Pencapaian 100 peratus dapat dilihat apabila semua calon mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.02 pada tahun ini berbanding 1.05 pada tahun lalu.

Kesemua pelajar 8A yang ditemui mengakui kesungguhan guru banyak membantu kejayaan mereka memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Seorang calon cemerlang, Nurafiqah Syahirah Paisal, 15, yang mendapat 8A dalam peperiksaan itu bersyukur dengan kejayaan tersebut setelah berpenat lelah tanpa mengira masa mengulangkaji pelajaran.

Anak sulung kepada pasangan guru itu menghargai sumbangan tenaga pengajar dan ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

‘‘Saya sentiasa memberi tumpuan semasa guru mengajar sambil sering bertanya jika tidak memahami apa yang diajar,’’ katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Rakannya, Mohd. Zafir Musa, 15, menyifatkan kejayaan memperoleh 8A sebagai hadiah kepada guru dan ibu bapa yang banyak memberi sokongan.

Anak seorang kerani yang bercita-cita menjadi jurutera itu berharap kejayaan tersebut menjadi penyuntik semangat kepada adik-adiknya untuk mencatat kejayaan lebih hebat lagi.

Bagaimanapun, tegasnya, kejayaan seseorang itu banyak bergantung kepada tahap disiplin kerana tanpa elemen tersebut, ia akan menimbulkan masalah kepada guru sekali gus menjejaskan tumpuan kepada pelajaran.

Seorang lagi pelajar yang mendapat 8A, Mohd. Izuan Ghazali, 15, membuktikan anak peneroka juga boleh mencapai kejayaan cemerlang jika berusaha bersungguh-sungguh.

Pada masa sama, tegasnya, dia tidak pernah melupakan tanggungjawab untuk bersolat dan membaca al-Quran setiap hari.

‘‘Saya membahagikan masa untuk mengulang kaji pelajaran, beriadah dan beribadat,” katanya yang berasal dari Felda Koyan 3 di sini.

Bagi anak kakitangan Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Mohd. Asyraf Ahmad, 15, rahsia kejayaannya mendapat 8A ialah mengamalkan belajar secara berkumpulan sambil menyiapkan semua latihan yang diberikan guru di rumah.

Katanya, kejayaan tidak akan dinikmati jika seseorang pelajar itu malas mengulang kaji pelajaran.

Rakannya, Nadira Nasuha, 15, dari Taman Amalina Perdana dan Adibah Abd. Kadir, 15, dari Kampung Kuala Keloi di sini yang juga mendapat 8A berkata, kesungguhan guru mereka mengajar merupakan antara faktor kejayaan sekolah itu.

‘‘Guru kami sering mengadakan kelas tambahan walaupun pada waktu malam semata-mata untuk memastikan kejayaan pelajar dalam PMR 2009,’’ katanya.

Bagi Nicole Low Wei Xin, 15, pula kejayaannya memperoleh 7A sangat membanggakannya dan keluarga.

‘‘Saya tidak kekok untuk belajar bersama-sama sebahagian besar pelajar dan guru Melayu yang mengajar tanpa pilih kasih,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 26 Disember 2009

Jumaat, 25 Disember 2009

28,188 semua A

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


PELAJAR cemerlang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu ceria bersama keputusan PMR masing-masing.

Prestasi calon luar bandar makin baik

PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar atau 6.37 peratus daripada 442,721 calon memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, berbanding 26,378 tahun lalu.

Nilai Gred Purata Nasional (GPN) peperiksaan itu juga bertambah baik tahun ini iaitu 2.78 berbanding 2.83 tahun lalu, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Prestasi calon luar bandar juga semakin baik apabila 4,775 berjaya memperoleh semua A berbanding 4,345 tahun lalu, manakala 87,936 melepasi tahap minimum gred A, B, C dan D.

Nilai GPN bagi calon luar bandar juga bertambah baik daripada 3.02 tahun lalu kepada 2.97 tahun ini.

Calon bandar yang mendapat semua A juga meningkat kepada 22,901, berbanding 21,576 tahun lalu, manakala GPN bertambah baik daripada 2.72 kepada 2.68 tahun ini. Alimuddin berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar juga semakin rapat berdasarkan penguncupan nilai beza GPN antara kedua-dua kumpulan, iaitu 0.3 pada tahun lalu kepada 0.29 tahun ini.

"Bagaimanapun, daripada segi pencapaian semua A, jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar meningkat daripada 5.11 peratus kepada 5.22 peratus," katanya.

Antara 10 sekolah harian terbaik termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Selangor: SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu: SMK Sultan Badlishah, Kulim dan SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK Derma, Kangar.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban dan SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz, Kuala Berang; Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

PMR tahun ini juga menyaksikan kumpulan pertama 156 calon mengambil subjek Pendidikan Kesenian di dua sekolah iaitu Sekolah Seni Johor Baharu (SSeJB) dan SSe Kuching. Subjek kesenian yang diambil ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.

Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi apabila 35 calon atau 22.4 peratus mendapat peringkat tertinggi Band 4.

"Seramai 12 calon SSe pencapaian cemerlang dalam akademik dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran teras," katanya.

Selain itu, tujuh pelajar istimewa disenaraikan calon terbaik iaitu empat mendapat 7A, dua 8A dan seorang 9A.

Alimuddin juga berkata, ada peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam jumlah pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik, manakala bagi mata pelajaran Sains daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Bagaimanapun, katanya, berlaku penurunan tidak ketara kepada prestasi mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI).

"Peratus berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 kepada 25.6 tahun ini dan BI daripada 16.4 peratus kepada 16.1," katanya.

Berita Harian Online: 25 Disember 2009

Khamis, 24 Disember 2009

Kaji pendidikan khas anak istimewa

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) kini sedang sibuk dengan transformasi pendidikan dengan berusaha untuk mengurangkan mata pelajaran di sekolah rendah. Usaha KPM itu adalah tindakan yang amat baik yang selama ini ditunggu-tunggu oleh ibu bapa.

Tidak timbul lagi masalah anak-anak kecil berada di Tahun Satu merengek mengheret beg pergi dan balik dari sekolah.

Transformasi pendidikan ini melibatkan juga anak-anak yang berada di sekolah-sekolah dan program percantuman pendidikan khas. Apa yang berlaku sekarang, transformasi pendidikan tidak berlaku dalam sistem pendidikan khas, khususnya di kalangan anak-anak bermasalah pembelajaran.

Cuba bayangkan anak-anak istimewa kita terpaksa mengharungi lebih daripada 15 mata pelajaran dalam seminggu berbanding dengan mata pelajaran yang diajar kepada anak-anak di aliran perdana.

Anak-anak di sekolah kebangsaan hanya belajar 11 mata pelajaran, sebaliknya anak-anak berkeperluan khas belajar sebanyak 15 mata pelajaran. Mata pelajaran yang diikuti oleh anak-anak berkeperluan khas meliputi Pengurusan Diri, Pengurusan Tingkah Laku, Kemahiran Manipulatif, Bahasa Malaysia, Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Kemahiran Hidup Pertanian, Mencuci Kereta, Masakan, Mendobi dan Pertukangan.

Berdasarkan sukatan yang telah digubal, semua murid berkeperluan khas perlu mengikuti semua mata pelajaran. Bila masa anak-anak khas dapat menguasai kemahiran sekiranya terlalu banyak mata pelajaran yang hendak disampaikan. Sebab itulah kita dapati anak-anak bermasalah pembelajaran tiada peningkatan daripada aspek proses pengajaran dan pembelajaran.

Kita harus ingat bahawa anak-anak bermasalah pembelajaran adalah anak-anak yang terdiri daripada pelbagai kategori kecacatan yang dilonggokkan dalam satu kelas. Setiap individu anak-anak bermasalah pembelajaran memerlukan didikan yang selaras dengan kecacatan yang dihadapi.

Keperluan anak-anak ‘sindrom down’ adalah berbeza dengan keperluan anak-anak hiperaktif dan anak-anak lembam.

Sejauh manakah kurikulum untuk anak-anak bermasalah pembelajaran yang ada mampu memberi pendidikan kepada anak-anak bermasalah pembelajaran di sekolah-sekolah masih diragui.

Selaras dengan transformasi pendidikan, semua pihak yang terlibat dengan pendidikan untuk golongan bermasalah pembelajaran harus peka terhadap keperluan individu mereka.

Sistem melonggokkan pelbagai kategori kecacatan dalam satu kelas seharusnya dikaji semula. Begitu juga dengan kurikulum yang hendak disampaikan kepada mereka agar matlamat pendidikan khas itu tercapai, bukan sekadar membina kurikulum yang berlambak tapi tidak mendatangkan menafaat kepada anak-anak kita yang berkeperluan khas.

Sungaip
Bukit Mertajam,
Pulau Pinang


Utusan Malaysia Online: 24 Disember 2009

Rabu, 23 Disember 2009

Banyak kerenah daftar sekolah anak OKU

SAYA mempunyai seorang anak istimewa dan disahkan menghidap sindrom auitisme-hyperactive yang harus belajar di sekolah atau kelas khas.

Sebagai ayah, cukup perit rasanya menguruskan kemasukan anak istimewa ini ke prasekolah khas.

Banyak prosedur yang perlu dihadapi, tetapi saya tetap bersabar demi kepentingan pelajaran anak.

Pertama, mesti melalui pemeriksaan dan pengesahan doktor; kedua, ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memohon kad orang kurang upaya (OKU) dan ketiga, ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk memohon kemasukan ke sekolah atau kelas khas terdekat. Segala dokumen ini diperlukan oleh pihak sekolah bagi pendaftaran anak istimewa.

Proses untuk mendapatkan pengesahan doktor kerajaan, mengambil masa hampir dua bulan.

Pilihan yang saya ada ialah ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya. Walaupun bayaran dikenakan agak mahal, itulah pilihannya kerana saya mahukan keputusan segera dan perkhidmatan memuaskan.

Selepas mendapat surat pengesahan doktor, saya ke Pejabat PPD Petaling Perdana untuk membuat permohonan.

Untuk makluman, saya memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda di Seksyen 4, Shah Alam kerana dekat dengan tempat kerja di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dan tempat tinggal di Seksyen 13.

Apabila segala dokumen lengkap disediakan oleh pihak hospital dan PPD saya ke sekolah dengan harapan dapat membuat pendaftaran.

Namun, alangkah kecewanya saya apabila permohonan ditolak oleh guru penyelia atas alasan anak tidak bersedia untuk belajar.

Anak istimewa saya gagal pada sesi temu duga. Guru terbabit mencadangkan anak saya ditempatkan di Pusat Dalam Komuniti.

Saya tidak berputus asa dan mencuba nasib di SK Seksyen 20. Akhirnya, anak saya diterima tanpa ditemu- duga oleh guru kelas itu.

Menurut guru berkenaan, jika diadakan temu duga, hampir semua murid gagal. Saya amat berterima kasih atas kesudian guru itu menerima anak saya seadanya. Cuma dia hairan mengapa saya menghantar anak jauh dari zon sepatutnya.

Saya terkilan dengan tindakan guru di SK Raja Muda, Seksyen 4 yang menolak tanpa memberi tempoh percubaan sekurang-kurangnya tiga bulan kepada anak saya.

Tidakkah ada secebis simpati untuk mendidik anak istimewa ini?

Mungkin inilah satu daripada sebab ramai ibu bapa tidak menghantar anak ke kelas khas walaupun menyedari mereka OKU.

Terlalu banyak kerenah yang terpaksa saya ditempuhi tidak termasuk masa yang terpaksa dikorbankan semata-mata melayan kerenah ini.

Saya berharap pengurusan sekolah, PPD atau Jabatan Pelajaran Selangor dapat membuka mata terhadap kesulitan yang saya hadapi.

BAPA CEKAL,
Shah Alam,
Selangor.


Berita Harian Online: 23 Disember 2009

Anak aktif kokurikulum, pemarkahan amat mengecewakan

SAYA adalah bapa kepada salah seorang pelajar sebuah sekolah menengah di daerah Manjung. Anak saya baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setelah agak lama memberi tumpuan kepada persediaan peperiksaan, baru kini anak saya teringat tentang pemarkahan kokurikulum, lalu dia merujuk pihak sekolah berkaitan hal tersebut. Tahniah kepada guru-guru yang terlibat menyiapkan markah tersebut. Markah kokurikulum anak saya juga siap tersedia. Terima kasih cikgu.

Anak saya pulang dengan wajah mencuka. Apa yang tidak kena? Setelah ditanya, baru saya faham, dia terkilan kerana markah yang tercatat tidak setimpal dengan penglibatannya sepanjang persekolahan dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Saya memang pasti, anak saya seorang yang aktif kerana setiap kali dia terlibat dengan aktiviti sekolah di peringkat daerah, negeri mahu pun peringkat kebangsaan, sayalah orangnya yang menandatangani surat kebenaran ibu-bapa untuk melepaskan beliau menyertai aktiviti-aktiviti berkenaan. Dialah pengawas, dialah atlet, dialah ketua unit beruniform, dialah pemidato, dialah wakil negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan. Malah, bukti sijil-sijil penyertaan dan sijil-sijil penghargaan yang beliau terima di pelbagai peringkat juga bukanlah sijil yang palsu, termasuklah sijil penghargaan Gemilang Kokurikulum oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Saya tidak faham bagaimana pemarkahan dibuat sehinggakan anak saya yang sepatutnya layak mendapat markah bagi penglibatannya, tetapi seolah-olah dinafikan haknya. Saya difahamkan, jawatan Ketua Pengawas layak diberikan 10 markah bonus, dan begitu juga dengan jawatan pengawas biasa juga ada peruntukannya masing-masing.

Seperti anak saya, saya juga keliru apabila melihat beliau mendapat '0' untuk markah bonusnya. Lebih pening kepala saya apabila melihat rakan-rakannya yang langsung tidak menjawat apa-apa jawatan dianugerahkan '10' markah bonus. Berapa ramaikah Ketua Pengawas yang layak terima 10 markah bonus bagi sesebuah sekolah? Tentu seorang sahaja. Berapa ramaikah pula pengawas biasa yang tidak memperolehi apa-apa bonus daripada khidmatnya?

Penat saya memujuk supaya anak saya merujuk guru-guru yang terlibat dalam hal ini. Rupa-rupanya dalam diam-diam, anak saya telah pun merujuk hal tersebut akan tetapi dia kecewa kerana jawapan yang diterima tidak ubah seperti lagu Bangau Oh Bangau. Tanyalah cikgu itu, tanyalah cikgu ini.

Saya tidak fikir saya perlu mencampuri urusan sekolah, tetapi saya tidak sampai hati membiarkannya begitu saja. Bukan anak saya seorang yang mengalami nasib sedemikian, malah ramai lagi. Saya amat yakin, pihak atasan tentunya telah menetapkan garis panduan untuk setiap perlaksanaan. Jika ia dipatuhi saya tidak fikir hal sebegini boleh berlaku.

Nasihat

Kepada para ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak yang akan meninggalkan persekolahan, nasihat saya, berilah sedikit masa untuk meneliti perkara sebegini. Menjadi tanggungjawab kita untuk mempastikan yang terbaik untuk anak kita. Jika perlu, ambillah cuti dan bersemukalah dengan pihak sekolah untuk menyelesaikannya.

Melalui pengalaman saya bergaul dengan pelbagai individu pihak IPTA dan firma, menjadi satu persaingan zaman ini tidak hanya inginkan pelajar yang semata-mata cemerlang dalam akademik, tetapi keutamaan juga diberikan kepada pelajar yang aktif, berkebolehan memimpin, bersahsiah tinggi dan pandai berkomunikasi.

Itulah rasionalnya mengapa 10 peratus markah pencapaian kokurikulum ditetapkan oleh pihak Kementerian Pelajaran perlu disalurkan secara online untuk diselaraskan dalam permohonan ke institusi-institusi pengajian tinggi pelajar-pelajar berkenaan. Bukankah itu penting untuk masa depan anak-anak kita? Hal ini tidak sahaja penting untuk segelintir pelajar pandai sahaja malah untuk semua.

Kepada golongan yang rendah pencapaian akademik contohnya, untuk memohon pekerjaan, sijil berhenti sekolah dan sijil kokurikulum adalah antara dokumen yang diberi perhatian oleh panel temu duga bagi sesuatu pengambilan.

Kepada para guru, renung-renungkanlah. Hari ini, anak orang yang telah kita tentukan nasib dan masa depannya. Manalah tahu, satu ketika nanti, anak kita sendiri yang mengalami nasib yang sama. Lebih malang lagi yang menjejaskan peluang untuk anak kita ialah rakan-rakan guru dalam profesion yang sama. Jika begini, bagaimana mungkin kita mencapai hasrat 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'? Fikirkanlah.

ANAK BERANAK KELIRU

Manjung, Perak

Utusan Malaysia Online: 23 Disember 2009

Cikgu Ju jangan angkuh hina guru tanpa ijazah

SAYA terpanggil untuk berkongsi rasa dengan para pembaca ruangan ini. Berkongsi rasa sedih dihina dan rasa terkilan dengan pandangan Cikgu Ju, Rawang, dalam ruangan ini pada 16 Disember lalu. Mungkin juga rasa terkilan saya ini turut dirasai oleh rakan-rakan lain yang setaraf saya seperti Cikgu Diploma, Shah Alam.

Saya tidak menyalahkan Cikgu Ju mengutarakan pandangan dan keluhannya kerana bagi saya, pandangannya amat tepat dalam situasi sekarang. Siapa tidak marah, setelah berpenat lelah mengejar ilmu, jawatan tinggi yang diidam-idamkan diberi kepada orang yang lebih rendah taraf pendidikannya.

Mungkin tujuan sebenarnya Cikgu Ju melanjutkan pelajaran adalah untuk merebut jawatan-jawatan teratas di peringkat sekolah, bukannya menambahkan ilmu di dada. Rebutlah Cikgu Ju. Sandanglah semua jawatan tertinggi yang ada di sekolah rendah itu. Kami yang daripada golongan DGA29 dan DGA32, malah mungkin DGA34, sedikit pun tidak hairan dengan semua itu!

Tetapi saya sama sekali tidak mengizinkan Cikgu Ju menghina kami sebagai 'guru yang hanya tahu duduk diam seperti menunggu buah jatuh dari langit' dan kami ini sebagai guru yang 'tetap guru tak ada ijazah!'

Cikgu Ju, adakah menghina orang yang lebih rendah tarafnya itu yang Cikgu Ju tuntut ketika melanjutkan pelajaran? Pernahkah Cikgu Ju bercampur dengan golongan DGA29 dan DGA32 ini untuk bertanyakan mengapa mereka tidak melanjutkan pelajaran? Mungkin ada segelintir daripadanya yang sememangnya malas untuk memikirkan tentang tesis dan sebagainya.

Tetapi bagaimana pula golongan yang masih tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran seperti saya, walaupun keinginan untuk memegang segulung ijazah sentiasa berkobar-kobar? Ada antara kami yang terpaksa mengorbankan hasrat murni itu lantaran ada komitmen yang lebih penting dan tidak dapat dielakkan seperti masalah keluarga, mendahulukan keperluan anak-anak yang memerlukan ibu, kewangan dan sebagainya.

Kenapa perlu ada perasaan dengki terhadap kami guru-guru yang tidak berijazah ini? Teruk sangatkah mutu kerja kami yang tidak berijazah ini di sekolah?

Saya rasa dan mungkin ramai yang menyokong, bahawa terdapat ramai guru DG41 (terutama yang terpaksa memilih bidang perguruan) yang tidak tahu membuat kerja, asyik menolak apabila diberikan tanggungjawab yang bukan bidang mereka.

Akhirnya, (saya rasa Cikgu Ju tahu) Guru Besar terpaksa juga menyerahkan tugas-tugas tersebut kepada kami untuk melancarkan kerja. Mungkin pengajian dua setengah tahun di maktab membuatkan kami menjadi guru serba boleh.

Jadi saya berharap Cikgu Ju janganlah 'ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar'. Saya rasa di peringkat sekolah, Cikgu Ju (sekiranya berjaya menjawat jawatan Guru Besar nanti) tidak akan mampu melakukan kerja tanpa bantuan daripada kami yang lebih berpengalaman dan lasak ini.

Sekiranya Cikgu Ju menjadi ketua nanti, janganlah Cikgu Ju menghina golongan yang belum berijazah seperti kami. Ingatlah dan bayangkanlah ketika Cikgu Ju pernah berada dalam kelompok kami ini.

CIKGU SERBA BOLEH

Ipoh, Perak

Utusan Malaysia Online: 23 Disember 2009

Guru gunakan PPM?

SAYA sebagai salah seorang 'Pembantu Pengurusan Murid' (PPM), ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan kami sebagai PPM. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang dengan wujudnya jawatan ini.

Apa yang mengelirukan, jawatan PPM seperti bukan untuk murid tetapi lebih kepada guru. Contohnya guru menyuruh PPM 'menolong' menanda kedatangan murid di dalam buku kedatangan. Setahu saya, itu adalah tanggungjawab guru. Sekiranya berlaku kesilapan, siapa yang hendak dipersalahkan?

Ada sesetengah guru suka menggunakan 'kuasa' untuk menyuruh PPM untuk menjaga kelas. Mereka suka duduk di ruang dapur berbual. Ada di antara guru membawa bekalan makanan dari rumah dan menjamu guru lain sampai tidak masuk kelas.

Melihatkan guru sedang sedap menjamu selera, murid-murid pun mulalah 'bermain'. Kalau guru masuk kelas pun cuma bagi latihan, lepas itu mereka akan keluar dari kelas dan sambung duduk di dapur.

Wujudnya PPM membuatkan guru sekarang lebih rileks. Diharapkan Kementerian Pelajaran memandang serius perkara ini.

PPM KELIRU

Johor Bahru

Utusan Malaysia Online: 23 Disember 2009

Tingkatkan aktiviti kokurikulum – Puad



DR. Mohd. Puad Zarkashi bersalaman dengan sebahagian peserta Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah di Taman Rekreasi Ulu Yam, Selangor, semalam.


HULU SELANGOR 22 Dis. – Kementerian Pelajaran akan melakukan transformasi bagi memastikan kegiatan kokurikulum di setiap sekolah kembali dititikberatkan.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia bagi mengelakkan para pelajar menjadi terlalu obses dan tertumpu kepada peperiksaan semata-mata.

“Sehubungan itu, kerajaan akan merombak semula sistem yang ada dengan melakukan penilaian berasaskan sekolah.

“Jika dilaksanakan kelak, ia sekali gus menjadikan kegiatan kokurikulum di sekolah sama penting dengan peperiksaan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah-Pusat Pendidikan Sri-SMI Bhd. (KRS-Musleh) 2009 di Taman Rekreasi Ulu Yam, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Puad, kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah mampu membina dan menyediakan modal insan yang lebih berkualiti pada masa depan.

“Program kokurikulum amat penting bagi membangunkan potensi anak-anak, kita tidak mahu anak- anak ini terperangkap dengan minda yang terpenjara,” katanya.

Jelasnya, kerajaan memperuntukkan RM3.6 bilion untuk 18 jenis bantuan dan RM300 juta setahun bagi dimanfaatkan sekolah-sekolah untuk kegiatan kokurikulum.

“Kita sedia membantu sekolah-sekolah swasta seperti Musleh dan berharap sekolah ini mampu memberi maklum balas yang positif kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, perkhemahan anjuran Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRS Musleh) itu disertai 1,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Antaranya 104 peserta dari Pasukan Pengakap (Pramuka) Jaringan Sekolah Islam Terpadu (JSIT) Indonesia dan 12 peserta dari sekolah-sekolah sekitar selatan Thailand.

Selebihnya adalah peserta dari negara ini mewakili 34 sekolah menengah di bawah naungan Musleh.

Dalam pada itu, Jurulatih KRS Musleh, Azrul Fazli Abdul Aziz berkata, perkhemahan bertujuan merapatkan ukhuwah sesama saudara Muslim.

“Kita juga mahu menepis tanggapan bahawa kebanyakan pelajar sekolah agama swasta tidak bergaul dengan masyarakat dan sentiasa terpinggir,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 23 Disember 2009

Selasa, 22 Disember 2009

Penanda aras guru

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


DALAM usaha meletak sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM), baru-baru ini.

DALAM usaha meletak sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM), baru-baru ini.

SGM meletakkan guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai, iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.


Dengan adanya garis panduan itu, warga pendidik lebih fokus dari segi keupayaan dan keberkesanan SGM dapat diukur menerusi pencapaian pelajar dan prestasi sekolah.

Persoalannya, adakah sistem pendidikan negara ini tidak setara dengan piawaian global sehingga perlunya ada SGM?

Selain itu, adakah guru sedia ada tidak berkualiti sehingga mereka dimestikan memiliki tiga aspek dalam SGM?

Di tahap manakah kualiti guru kita dan jika benar mereka tidak mencapai standard ditetapkan, apakah langkah yang terbaik mengatasinya?

Apakah dokumen SGM ini boleh dicapai dan tidakkah ia membebankan guru atau mereka yang mahu menjadi pendidik?

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata untuk menjadikan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global, SGM amat diperlukan.

Beliau berkata, SGM ini mengingatkan guru akan tanggungjawab mereka sebagai pendidik dan tidak melakukan kerja sambil lewa.

"Tanpa SGM, kita takut, guru lupa tanggungjawab mereka dan melakukan tugas sambil lewa kerana tiada piawaian yang patut dipatuhi mereka.

"Jika guru pada zaman sebelum merdeka, mereka bukan saja berperanan mendidik anak bangsa, tetapi berjuang membangunkan rakyat.

"Tapi sekarang, kebanyakan guru lebih mementingkan gaji daripada tanggungjawab melahirkan anak bangsa yang cemerlang, justeru kita perlukan SGM," katanya.

Menyentuh tiga aspek dalam SGM, Mohd Ali berkata, perkara ini perlu kerana kita mahu kepastian setiap guru sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.

"Guru perlu meningkatkan kemahiran ilmu seperti teknologi maklumat (IT) supaya mereka tidak tertinggal dalam arus kemodenan," katanya.

Apabila mereka mempunyai tiga amalan dalam SGM itu, katanya, ia dapat mengelak daripada bersikap mementingkan gaji berbanding tanggungjawab.

"Sebagai pendidik, guru perlu ikhlas memberi didikan. Jangan pula baru setahun mengajar di luar bandar, sudah sibuk mahu pulang," katanya.

SGM ini dilancarkan bukan kerana guru kita tidak bermutu, tetapi membaiki dan meningkat taraf mereka ke fasa yang lebih tinggi.

"Melihat kepada kemahiran yang dimiliki anak kita sekarang, masih banyak yang mereka perlu pelajari dan ia menggambarkan kualiti guru.

"Kualiti guru di negara ini setanding dengan pendidik di negara maju.

"Namun, dalam usaha menjadi negara pendidik kelas pertama, banyak perlu dilakukan, bukan sekadar berpuas hati apa yang ada," katanya.

Ditanya perbandingan guru dahulu dan sekarang, katanya ketika zaman awal kemerdekaan, guru bukan saja berperanan sebagai pendidik dengan menyediakan kelas tuisyen percuma, tetapi pemimpin masyarakat selain memupuk perpaduan kaum.

"Kini, kelas tuisyen dikenakan bayaran yang mahal, inikan pula mahu menjadi pemimpin untuk masyarakat.

"Justeru, dengan adanya SGM, ia akan menjadi petanda aras kepada guru dan memastikan mereka menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang," katanya.

Pelaksanaan dokumen SGM ini tidak membebankan guru, tetapi melahirkan pendidik berkaliber dan berkualiti.

"Menerusi SGM, guru yang gagal menjiwai kerjaya perguruan dapat dilepaskan secara sukarela.

"SGM juga dapat menilai guru dari aspek kendiri yang akan menentukan seseorang itu guru yang ikhlas atau lebih kepada mendapat gaji bulanan semata-mata," katanya.

Beliau berharap SGM yang dilaksanakan ini dipertingkat dari semasa ke semasa bagi meningkatkan mutu bidang pendidikan.

"Jika ada guru gagal mematuhi SGM, tindakan sewajarnya patut dikenakan sebagai pengajaran kepada warga pendidik di negara ini," katanya.

myMetro: 22 Disember 2009

Sekolah tutup jika banjir teruk

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my


ORANG ramai bersiap-sedia membeli barang keperluan di sebuah kedai selepas air Sungai Golok yang mencecah paras bahaya mula melimpahi pekan Rantau Panjang, semalam.

Kementerian Pelajaran mahu pastikan keselamatan pelajar tidak terancam

KUALA LUMPUR: Persekolahan di negeri yang masih dilanda banjir apabila sesi baru bermula pada 3 dan 4 Januari depan, akan ditangguhkan sekiranya keselamatan pelajar terancam.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata Kementerian Pelajaran sentiasa mengutamakan keselamatan pelajar dan tidak akan membenarkan mereka ke sekolah jika keadaan banjir boleh membahayakan nyawa mereka.

"Berhubung perkara ini, pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan guru besar atau pengetua sekolah terbabit lebih mengetahui keadaan sebenar banjir yang berlaku di kawasan masing-masing.

"Oleh itu, kementerian menyerahkan kepada mereka untuk berunding bersama dan membuat keputusan sama ada pelajar boleh ke sekolah jika banjir masih berlaku apabila sesi baru bermula nanti kerana yang menjadi keutamaan ialah memastikan keselamatan pelajar tidak terancam," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelantan dilanda banjir kali keempat bagi musim tengkujuh tahun ini mulai petang kelmarin, dengan 203 penduduk daripada 63 keluarga di sekitar Kuala Krai dan Rantau Panjang, dipindahkan.

Laporan akhbar semalam memetik Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, Anuar Yahya, sebagai berkata banjir kali keempat yang melanda dijangka merebak sekiranya hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari lagi.

Di samping mengutamakan keselamatan pelajar, Alimuddin berkata, kementerian menitikberatkan tanggungjawab kepada komuniti dan sentiasa bekerjasama untuk membantu mangsa banjir dengan menyediakan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara.

Sekiranya sekolah masih digunakan sebagai pusat pemindahan apabila sesi baru dibuka nanti, beliau berkata, ia tidak akan menjejaskan aktiviti pembelajaran pelajar di bilik darjah berikutan mangsa banjir boleh ditempatkan di dewan atau asrama.

Selain itu, katanya, perbincangan akan diadakan dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti sebarang lokasi lain yang juga boleh dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

Mengenai perkembangan persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan baru tidak lama lagi pula, Alimuddin berkata, bekalan perabot baru sudah dihantar ke sekolah bagi menggantikan kerusi dan meja yang rosak akibat ditenggelami banjir sebelum ini.

"Guru besar dan pengetua juga sudah mengambil tindakan untuk memastikan kerusi serta meja baru diterima itu diletakkan di tempat selamat supaya tidak ditenggelami banjir kerana sekarang masih musim tengkujuh.

"Kementerian memang memberi penekanan kepada persediaan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah berjalan lancar apabila sesi baru bermula nanti," katanya.

Berita Harian Online: 22 Disember 2009

Isnin, 21 Disember 2009

SBP jadi pilihan utama pendidikan berkualiti tinggi

LULUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memilih sekolah berasrama penuh (SBP) sebagai pilihan utama meneruskan pengajian di peringkat menengah dengan jumlah permohonan mencecah 100,000 bagi sesi persekolahan 2010.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata berdasarkan angka itu, pihaknya mendapati pelajar dan ibu bapa menjadikan SBP sebagai pilihan mendapatkan pendidikan berkualiti dalam sistem sekolah berasrama.

Beliau berkata, sistem SBP yang terbukti berjaya itu sudah melahirkan pemimpin negara dan tokoh korporat ternama dalam bidang diceburi.

Katanya, sistem pendidikan kebangsaan yang dilaksanakan di semua SBP itu memberi pendekatan kaedah pembelajaran berkesan menerusi kelas persediaan setiap hari, selain menekankan kecemerlangan kokurikulum.

“Kami di SBP menyediakan pendidikan berkualiti selain memastikan pelajar membentuk sahsiah dan peribadi seimbang dalam memastikan kecemerlangan dilengkapi jati diri,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Alimuddin berkata, sistem pendidikan SBP yang diambil daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) Kolej Melayu dilaksanakan sejak 1905 turut menerapkan semangat patriotik supaya pelajar mempunyai rasa sayangkan negara dan sedia berkhidmat sebaik menamatkan pengajian.

Berita Harian Online: 21 Disember 2009

Ahad, 20 Disember 2009

Guru sukan dikenal pasti

BATU PAHAT 19 Dis. - Kementerian Pelajaran mengenal pasti beberapa guru sukan profesional untuk ditempatkan di sekolah harian biasa di seluruh negara bagi memantapkan aktiviti sukan peringkat sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penempatan mereka selaras dengan langkah kerajaan untuk menjadikan sukan satu elemen penting dalam pendidikan mulai tahun depan.

Menurutnya, guru terbabit yang diberikan latihan khas akan ditempatkan di sekolah-sekolah tertentu di setiap daerah bagi membolehkan kepakaran mereka dikongsi bersama oleh sekolah-sekolah berhampiran.

''Tujuannya kita hendak melihat sekolah melahirkan ahli-ahli sukan negara suatu hari nanti," katanya ketika merasmikan gelanggang sukan pelbagai guna dan pertandingan futsal di Pantai Rekreasi Punggur, Rengit di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil.

Menurutnya, walaupun guru sukan profesional ditempatkan di setiap daerah namun pembinaan sekolah sukan tetap diteruskan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri memandang serius perkembangan sukan sekolah dan mahu kokurikulum itu dimantapkan lagi.

Utusan Malaysia Online: 20 Disember 2009

Sabtu, 19 Disember 2009

Beri tumpuan prasekolah

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kepada kerajaan supaya setiap sekolah rendah perlu mempunyai pendidikan prasekolah dalam usaha menjadikan sistem pendidikan negara setanding pendidikan di negara maju.

Setiausaha agungnya, Lok Yim Pheng berkata, menerusi pendidikan prasekolah memudahkan kerajaan memantau dan menilai pencapaian murid sebelum memasuki alam persekolahan.

“Kami berpendapat, Kementerian Pelajaran wajib memasukkan pendidikan prasekolah dalam pakej pendidikan negara terutama di kawasan pedalaman supaya ada kesinambungan dalam pelajaran mereka.

“Di negara maju misalnya, pendidikan prasekolah diberikan lebih tumpuan kerana daripada situ, kita boleh tahu tahap pelajar supaya kita boleh membuat perancangan terhadap perkembangan mereka,”katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri pembentangan hasil makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini, semalam.

Dalam pembentangan oleh Ketua Makmal NKRA bagi bidang berkenaan Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, Lok berkata kerajaan mensasarkan kadar penyertaan kanak-kanak prasekolah meningkat kepada 87 peratus menjelang 2012 berbanding 67 peratus sekarang.

Beliau berkata, pada masa ini, tidak semua sekolah rendah mempunyai pendidikan prasekolah sedangkan tahap pendidikan itu penting kerana menerusi pendidikan yang sempurna sejak di peringkat awal membolehkan kerajaan mencapai matlamat NKRA.

“Langkah ini juga supaya ada penyeragaman dalam pendidikan prasekolah di negara ini. Malah ia juga dapat mengurangkan perbezaan kepada mereka yang belajar di prasekolah dan sebaliknya apabila memasuki tahun satu,” katanya.

Sementara itu, beliau menyambut baik langkah kerajaan mengadakan NKRA dalam usaha meningkatkan sistem pendidikan negara. - Bernama

myMetro: 19Disember 2009

Jumaat, 18 Disember 2009

Tambah guru tahap satu

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (KGMMB) meminta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menambah jumlah guru terutama bagi tahap satu dalam usaha meningkatkan penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M).

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad (gambar), berkata nisbah guru sedia ada hanya memberi penumpuan terhadap pelajar tahun enam dan langkah berkenaan dianggap tidak tepat berikutan penguasaan 3M sepatutnya dimulakan di kalangan murid tahap satu.

“Buat masa ini, nisbah guru untuk murid darjah satu hingga tiga adalah 1.5 berbanding 1.7 untuk murid tahun enam. Keadaan sama turut berlaku untuk murid sekolah menengah dengan nisbah guru pelajar tingkatan satu, 1.5 manakala bagi tingkatan dua hingga lima, 1.7,” katanya selepas persidangan perwakilan KGMMB, di sini, semalam.

Menurutnya, KGMMB meminta KPM menilai semula nisbah berkenaan dan memberi ruang kepada guru sandaran tidak terlatih (GSTT) berkualiti diserap ke dalam profesion perguruan.

“Ada sebahagian GSTT berminat dengan bidang pendidikan, namun mereka terpaksa berhenti sekiranya mendapat tawaran pekerjaan lain memandangkan jawatan GSTT hanya sementara.

“Oleh itu, menjadi kerugian kepada guru terbabit kerana terpaksa melepaskan tanggungjawab yang belum selesai dan pelajar menjadi mangsa kerana perlu menyesuaikan diri dengan guru lain,” katanya.

Menurutnya, KGMMB meminta KPM mewujudkan semula kelas dalam cuti (KDC) untuk memberi pendedahan sewajarnya kepada GSTT.

“Mereka mempunyai pengalaman mengajar, cuma kurang aspek pedagogi dan perkara itu diterapkan ketika mengikuti KDC. Kami percaya GSTT mampu menjadi pendidik yang baik,” katanya.

myMetro: 18 Disember 2009

Saman pengetua oleh guru Mac




KUANTAN - Seorang guru, Rozilah Abdullah, 37, yang memfailkan saman terhadap pengetuanya, mendakwa dia sudah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan cuba mengadakan perbincangan luar tetapi sehingga kini ia masih dipandang sepi.

Oleh itu, menurut guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di sini, dia yang tiada pilihan terpaksa membawa masalahnya ke mahkamah.


KERATAN Kosmo! 7 April 2009.


"Saya sudah cuba berbincang tetapi pihak terbabit enggan menyebabkan saya terpaksa meneruskan kes ini," katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Hassan Abdul Ghani semalam menetapkan 15 Mac tahun depan bagi kes Rozilah yang mengemukakan saman berjumlah RM228,000 terhadap pengetua sekolahnya, Aluwiyah Osman kerana didakwa menjejaskan reputasinya.

Sementara itu, peguam Rozilah, Balkhis Alias pula berkata, sebagai peguam yang dilantik, beliau akan menuntut apa yang dipinta oleh anak guamnya.

"Anak guam saya mengakui dia tidak mempunyai pilihan dan sudah tiada saluran untuk mengadu mengenai masalah yang dihadapinya.

"Jadi mahkamah adalah harapan terakhir bagi dia atau seseorang individu itu untuk mendapatkan keadilan dan hak buat dirinya," katanya.

Kosmo Online: 18 Disember 2009

Terguris dengan pandangan Cikgu Ju

SEBAGAI seorang yang terlibat dengan bidang perguruan dan pendidikan, saya amat terguris dengan surat yang ditulis oleh Cikgu Ju yang bertajuk Nasib guru pasca siswazah di sekolah rendah di dalam ruangan ini semalam.

Adalah amat mengecewakan apabila golongan guru PPPLD yang terdiri daripada golongan DGA29 dan DGA32 dijadikan sasaran oleh penulis. Sudah menjadi lumrah alam, apabila seseorang itu melanjutkan pelajaran, mestilah ada cabaran, dugaan, kesusahan, keperitan, mahupun pengorbanan.

Tidak ada perkara di dunia ini yang kita akan dapat senang sekiranya kita tidak menempuhi kesusahannya dahulu. Siapa yang tidak inginkan seseorang itu mempunyai segulung ijazah serta mendapat pengiktirafan daripada segi jawatan dan gaji.

Golongan PPPLD yang terdiri daripada DGA29, DGA32, DGA34, dan DGA38 adalah golongan yang mengajar di sekolah rendah. Ada di kalangan golongan DGA32, DGA34, mahupun DGA38 ini adalah golongan pendidik senior yang terdiri daripada Guru Penolong Kanan dan Guru Besar. Mereka telah melepasi had kelayakan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Walaupun kini di sekolah rendah sudah ada guru berijazah sama ada DG41, DG44, sarjana, mahupun Ph.D., apakah mereka ini mahu menggantikan golongan GPK dan Guru Besar yang kebanyakannya adalah golongan senior dan menunggu masa sahaja untuk pencen.

Harus difikirkan juga, apabila satu-satu jawatan itu diperkenalkan, calon yang dipilih untuk mengisi jawatan tersebut mestilah dipilih di kalangan mereka yang berpengalaman serta lama berkhidmat.

Bukannya baru semalam atau hari ini dapat ijazah, terus diberi jawatan tertentu.

Mengajarlah dulu. Cari pengalaman sebanyak yang mungkin. Bulan tidak jatuh ke riba. Sekiranya semua guru berijazah hendakkan jawatan, siapa pula yang hendak mengajar anak-anak murid kita?

Pernyataan yang ditulis oleh Cikgu Ju yang berikut ini: ‘‘Jika benar negara kita hendak memartabatkan profesion perguruan, bukan dengan cara menaikkan tingkat guru tak berijazah dari DGA29 kepada DGA32 dan entah apa-apa lagi. Ia tetap guru tak berijazah.’’ Seolah-olah penulis memandang rendah golongan guru yang tidak ada ijazah.

Cikgu Ju,

Adakah hanya ada ijazah, profesion perguruan akan dapat dimartabatkan? Adakah guru yang tidak ada ijazah itu tidak berupaya untuk memartabatkan profesion keguruan? Adakah guru yang ada ijazah, sekiranya diberi jawatan sebagai pentadbir, pengurusannya akan lebih baik atau berkualiti? Adakah guru yang tidak ada ijazah, tidak mampu untuk mengurus sesebuah sekolah?

Martabat atau tidak, pengurusan baik atau tidak, ada ijazah atau tidak, pokok pangkalnya adalah berasaskan dan berlandaskan kepada rasa tanggungjawab, kerjasama daripada para guru dan ibu bapa, serta pemahaman kepada falsafah pendidikan negara.

Soal guru DGA29 mahupun DGA32 ‘malas’ untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah adalah tidak betul. Mungkin Cikgu Ju lupa, kini ada ribuan guru yang mengikuti pelbagai kursus. Antaranya KDP 14 Minggu yang seterusnya belajar secara separuh masa (PJJ) serta kursus PGSR iaitu Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah.

Cikgu Ju,

Mengenai guru yang membuat direct selling atau yang menjalankan perniagaan MLM, biarkanlah. Mereka ingin meningkatkan taraf hidup serta mencari pendapatan sampingan serta berusaha untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan asalkan mereka tidak mengganggu tugas sebagai seorang guru.

Mereka banyak masa kerana tidak ada tesis yang hendak dibuat. Sebab itulah mereka melibatkan diri dengan direct selling. Tapi Cikgu Ju, pokok pangkalnya, pengurusan masa.

Walaupun guru tersebut ada banyak tesis yang hendak dibuat dan pada masa yang sama terlibat dengan direct selling, tetapi mampu untuk menguruskan kedua-duanya dengan betul, bagi saya tidak salah. Malah guru ini adalah guru yang hebat kerana pandai membahagikan masa.

Cikgu Ju,

Saya pasti pegawai-pegawai di Kementerian Pelajaran sentiasa prihatin dan mengetahui mengenai masalah ini. Mungkin mereka kini sedang berfikir dan bertungkus lumus mencari jalan penyelesaian. Mereka tidak ‘tidur’, Sabarlah Cikgu Ju. Bersyukurlah.

Janganlah memandang rendah kepada golongan guru DGA29 mahupun guru DGA32 kerana mereka juga berkemampuan untuk memartabatkan profesion perguruan di negara kita.

Saya pasti Cikgu Ju mesti tidak lupa kepada bekas-bekas guru yang mengajar Cikgu Ju dahulu. Mereka tidak ada ijazah tetapi mampu mengeluarkan ‘produk’ yang berjaya seperti Cikgu Ju.

ckigu diploma
Shah Alam

Utusan Malaysia Online: 18 Disember 2009

Khamis, 17 Disember 2009

Guru siswazah: Cikgu Zam sokong Cikgu Ju

SAYA amat bersetuju dengan luahan oleh Cikgu Ju, Rawang Selangor tentang Nasib Guru Siswazah di Sekolah Rendah. Saya merupakan kumpulan guru siswazah DG41 yang pertama ditempatkan di sekolah rendah pada 1 Januari 2004 di Pahang. Bangganya saya apabila berjaya dilantik sebagai guru berijazah setelah tamat pengajian di USM, Pulau Pinang.

Namun, persoalannya guru besar yang mentadbir di sekolah saya hanya mempunyai diploma dan berada pada gred DG34. Logikkah seorang ketua memiliki kelayakan dan gred yang lebih rendah berbanding guru yang ditadbirnya.

Adakah 'situasi abnormal' ini wujud di Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan juga Kementerian Pelajaran Malaysia?

Adakah gred pengarah pelajaran negeri lebih rendah daripada gred timbalan pengarahnya? Mustahilkan! Tetapi hal pelik ini telah lama berlaku di sekolah rendah.

Jadi saya meminta agar pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dapat 'celikkan mata' dan mengambil tindakan proaktif mengatasi 'isu pelik tetapi benar' yang 'menghantui' guru siswazah di sekolah rendah sekarang.

Sepatutnya guru siswazah DG41 yang telah lebih 15 tahun berkhidmat sebagai guru bukan siswazah dahulu diberikan jawatan guru penolong kanan atau guru besar.

Barulah taraf pendidikan di Malaysia menepati Gagasan Perdana Menteri kita, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sepatutnya berada di jawatan yang sepatutnya dengan tahap keilmuan yang dimiliki.

Guru siswazah DG41 yang penuh ilmu dan pengalaman di sekolah rendah tentunya memiliki 'ramuan' yang lebih baik untuk meningkatkan tahap kualiti pendidikan di negara kita.

Proses ini merupakan suatu proses yang normal dan sihat ke arah melonjakkan taraf keilmuan pendidikan semoga bidang pendidikan di Malaysia dapat 'duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi' dengan negara yang lebih maju daripada kita.

Saya berharap Menteri Pelajaran membuat tindakan untuk menyelesaikan kemelut guru siswazah DG41 di sekolah rendah sekarang. Semoga langkah yang diambil mampu memperkasakan lagi profesion perguruan yang telah saya ceburi lebih 20 tahun lalu.

CIKGU ZAM

Kuala Berang, Terengganu

Utusan Malaysia Online: 17 Disember 2009

Rabu, 16 Disember 2009

Cara Finland martabatkan guru

KITA sering didedahkan dengan bagaimana cara Amerika Syarikat dan United Kingdom melakukan lonjakan dalam pendidikan mereka bagi mendepani ekonomi dunia. Ramai pelajar dan pakar pendidikan dihantar oleh kerajaan Malaysia ke negara-negara ini bagi mempelajari ilmu pendidikan.

Namun, sedarkah kita bahawa terdapat negara lain yang menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan berbanding kedua-dua negara maju ini?

Indeks kekayaan Legatum 2009 menunjukkan Finland disenaraikan tempat pertama mengatasi Amerika Syarikat (tangga ke-9) dan United Kingdom (tangga ke-12). Indeks kekayaan Legatum merupakan penilaian global tentang kekayaan dan kesejahteraan hidup rakyat di 104 buah negara berasaskan penilaian faktor-faktor lonjakan ekonomi serta kesejahteraan hidup jangka panjang, termasuklah bidang pendidikan.

Indeks ini meletakkan New Zealand di tangga ke-10 dan Ireland di tangga ke-11. Malaysia disenaraikan di tangga ke-39 mengatasi negara Asia Tenggara lain iaitu Thailand (tangga ke-44), Filipina (tangga ke-55) dan Indonesia (tangga ke-61).

Laporan yang dikeluarkan oleh Institut Legatum berpejabat di London ini meletakkan pendidikan di Singapura di senarai ke-26, Thailand di tangga ke-54 dan Malaysia di tangga ke-55. Manakala Filipina dan Indonesia masing-masing di tangga ke-70 dan 75. Pendidikan di Finland disenaraikan sebagai ketiga terbaik selepas Norway (tangga ke-2) dan Denmark (tangga teratas).

Bagaimana Finland menguruskan pendidikan terutama dengan memfokuskan kepada profesion perguruan.

Pengarah Pusat Mobiliti Antarabangsa (CIMO) Finland, Dr. Pasi Sahlberg melaporkan bahawa ramai daripada graduan cemerlang di Finland cenderung untuk memohon menjadi guru. Peningkatan mendadak berlaku dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Daripada jumlah yang ramai itu, hanya 12 hingga 14 peratus sahaja berjaya dilatih sebagai guru. Ini menunjukkan bahawa guru-guru dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar cemerlang, sama ada dalam bidang akademik dan juga bukan akademik. Hanya yang terlatih sahaja boleh menjadi guru. Ia suatu yang berbeza di Malaysia.

Beban mengajar guru di Finland adalah jauh lebih rendah berbanding di Amerika Syarikat, New Zealand dan Scotland. Di Finland, guru dibebani 600 jam waktu mengajar setahun, manakala di Amerika Syarikat ia mencecah 1,100 jam setahun. Falsafah Finland dalam bab ini menurut Dr. Pasi Sahlberg adalah dengan mengurangkan waktu mengajar bererti memperbanyakkan waktu belajar.

Falsafah ini menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Adakah ia berjaya mendidik pelajar dalam pelajaran? Kajian lepas mendapati bahawa pencapaian matematik di Finland menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan mengalahkan pencapaian pelajar Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan New Zealand.

Biarpun pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains di Finland adalah setara dengan negara-negara lain, tetapi tidak wujud jurang perbezaan pencapaian yang besar di antara sekolah-sekolah di Finland.

Oleh kerana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran diukur melalui ujian, maka banyak ujian diperkenalkan di sekolah. Keadaan ini diamalkan di banyak negara.

Guru-guru secara langsung dilatih untuk mengajar pelajar bagi membolehkan pelajar melepasi ujian dengan skor yang baik. Situasi ini dilihat dalam paradoks berbeza di Finland. Pembelajaran dilihat lebih berkesan dengan mengurangkan ujian.

Guru dan pelajar juga tidak didoktrinkan dengan ujian, tetapi ditekankan kepada pembelajaran kendiri. Hasil daripada keadaan ini, kadar celik huruf serta pengetahuan sains di Finland mengatasi Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun.

Di Finland, guru-guru dilatih agar menggunakan pendekatan yang lebih bercorak pembelajaran kreatif dan bersahaja. Ia bertujuan untuk merangsangkan perkembangan minda dan menggalakkan budaya fikir dalam kalangan pelajar.

Sebarang perubahan pendidikan di peringkat global dinilai dalam konteks yang berbeza di Finland. Ini adalah kerana akhir-akhir ini banyak usaha memartabatkan profesion keguruan di sesebuah negara dipengaruhi oleh perubahan di peringkat global.

Negara-negara membangun tidak ketinggalan membuat banyak perubahan dengan mengandaikan bahawa ia perlu dilakukan demi memenuhi keperluan peringkat global. Walhal, dalam keadaan tertentu perubahan itu tidak sesuai dengan sesebuah negara.

Justeru, Finland mengambil pendekatan lebih berkati-hati dalam hal ini iaitu dengan mempelajari daripada negara-negara lain sebelum sebarang perubahan dilakukan.

Usaha memartabatkan guru termasuklah memastikan kerjaya ini mempunyai masa depan yang gemilang menerusi kenaikan pangkat. Di kebanyakan negara, akauntabiliti pengukuran kecemerlangan guru diberi perhatian yang serius. Namun di Finland, aspek ini dilihat dalam konteks berbeza. Perkongsian tanggungjawab dalam kalangan guru menjadi faktor kepada penilaian.

Dalam soal mengawal tingkah laku pelajar, memupuk kepercayaan dijadikan teras. Ia berbeza di kebanyakan negara yang percaya bahawa kawalan dan pemantauan guru sebagai teras kawalan tingkah laku.

Perbezaan ini membuatkan tugas dan tanggungjawab guru berada dalam vakum yang berbeza. Ini adalah kerana memupuk saling percaya lebih bersifat menyedarkan pelajar tetapi mengawal pelajar lebih berbentuk komunikasi satu hala yang mewujudkan jurang interaksi antara dua kumpulan ini.

Paradoks di Finland ini menggambarkan bahawa usaha memartabatkan guru bukan sekadar memperkenalkan pelbagai anugerah kecemerlangan tetapi ia lebih bersifat satu usaha yang menyeluruh.

Ia adalah satu usaha bersama dengan pertimbangan yang tinggi wajar diberi kepada pandangan para guru - sama ada guru novis, guru terlatih dan guru yang telah meninggalkan sekolah (pencen dan bertukar kerjaya).

PENULIS menyambung pengajian di Universiti Dundee, United Kingdom

Utusan Malaysia Online: 16 Disember 2009

Sayangi Sekolah: Penubuhan PPDa

Oleh Roselan Ab Malek
upen@bharian.com.my


KERJASAMA antara guru dengan pelajar SMKI menghias bilik PPDa membuahkan hasil apabila muncul johan pertandingan bilik PPDa Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

SMKI, Jerantut sasar bebas dadah 2012, rangka pelbagai strategi, aktiviti pencegahan

USAHA Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura (SMKI), Jerantut, Pahang untuk menjadi sekolah bebas dadah melalui penubuhan bilik Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) membuahkan hasil apabila muncul johan pertandingan Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

Pengetuanya, Rusma Mohd Taha, berkata penubuhan bilik berkenaan memberi pendedahan kepada 700 pelajar sekolah itu mengenai bahaya dadah kerana menyedari peringkat umur mereka mudah terdedah kepada gejala penyalahgunaan najis berkenaan.

“Sebagai sebuah sekolah harian, kami mengambil tanggungjawab melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Daerah Di Sekolah secara sistematik dan berkesan.

“Misi PPDa untuk memberi pengetahuan, keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa terhadap bahaya dadah supaya mereka menjauhi serta berupaya menentang ancamannya.

“Selain itu, kami juga mensasarkan menjadi ‘Sekolah Bebas Daripada Dadah Menjelang 2012’,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Rusma berkata, barisan guru SMKI merangka pelbagai aktiviti sepanjang tahun bagi meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran PPDa kepada pelajar, kakitangan sekolah, ibu bapa dan di kalangan mereka sendiri.

Antaranya termasuk Minggu PPDa, seminar keibubapaan, Kelab Skim Lencana Anti Dadah, Pelantikan Sahabat PPDa, Program Perkembangan Sahsiah Pelajar, Program Tak Nak Merokok dan Nafas Segar serta ujian air kencing untuk pelajar.

Menyingkap sejarah penubuhan bilik PPDa di sekolahnya, Rusma berkata, ia bermula pada 2005 dengan hanya menggunakan satu bilik kosong untuk beroperasi.

Namun selepas itu, bilik PPDa SMKI mengorak langkah dengan mempelbagaikan aktiviti kepada pelajarnya sehingga ia dipenuhi dengan pelbagai keperluan dan maklumat mengenai pencegahan dadah.

“Malah keseluruhan kawasan sekolah ini dipenuhi pelbagai kata-kata membenci dadah, bermula dari pintu masuk sehingga ke kawasan permainan, bilik darjah, stesen khas PPDa, kantin, tandas pelajar dan galeri khas.

“Kami juga turut menyediakan pusat sehenti PPDa di perkampungan Orang Asli Sungai Kiol bagi memberi pendedahan secara tidak langsung kepada penduduk setempat kerana sebahagian pelajar kami terdiri daripada masyarakat orang asli,” katanya.

Rusma berkata, berkat kegigihan guru dan pelajar, kami berjaya meletakkan bilik PPDa johan peringkat daerah Jerantut pada 2007 dan 2008 (negeri Pahang) serta tahun ini peringkat kebangsaan,” katanya

Beliau berkata, dengan adanya aktiviti berkenaan, ia dapat membina ketahanan dan jati diri yang tinggi di kalangan pelajar dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani.

Katanya, anugerah itu akan dijadikan pemangkin bagi meningkatkan pencapaian semua aspek, khususnya proses pembelajaran, sahsiah dan kokurikulum pelajarnya.

Berita Harian Online: 16 Disember 2009

40 guru sekitar Pekan sertai Bengkel ADD

AKHBAR masih relevan digunakan guru sebagai bahan bantu mengajar kerana ia mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran, selain mewujudkan suasana pembelajaran aktif dan menyeronokkan.

Walaupun, wujud pelbagai sumber maklumat termasuk internet, penggunaan akhbar di kalangan guru masih luas kerana ia menyediakan pelbagai bahan menarik seperti berita, rencana, kartun serta komik yang boleh diaplikasi guru ketika di bilik darjah.

Sehubungan itu, inisiatif Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang menganjurkan bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD), baru-baru ini bertujuan mempelbagaikan inovasi guru dalam P&P.

Pengetuanya, Azhari Tauhid, berkata pendedahan yang diterima menerusi program itu amat bermanfaat termasuk memperkaya teknik P&P, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian guru.

Katanya, inisiatif yang diperkenalkan Berita Harian membantu guru menyediakan bahan pembelajaran menarik dan mudah diperoleh serta merangsang pelajar membaca akhbar, selain buku teks dan rujukan lain.

Penyelaras program, Joharifudin Jalil, berkata banyak idea baru diperoleh khususnya bagi mewujudkan proses P&P menarik dan berkesan.

Katanya, akhbar yang mengandungi pelbagai bahan antaranya berita, rencana dan gambar sesuai digunakan dalam bilik darjah, malah menerusi ADD konsep P&P berpusatkan pelajar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Pemilihan bahan yang sesuai dapat membantu meningkatkan kreativiti guru, sekali gus mewujudkan suasana bilik darjah yang menyeronokkan.

"Pengajaran yang hanya menggunakan buku teks menjadikan minda pelajar tidak berkembang, berbanding akhbar yang mendedahkan mereka pelbagai berita menarik dan terkini," katanya.

Seramai 40 guru sekolah menengah sekitar Pekan menyertai program berkenaan, baru-baru ini. Bengkel sehari itu dikendalikan Pengarang Berita Pendidikan, Berita Harian, Tamrin Anuar.

Berita Harian Online: 16 Disember 2009

Nasib guru pasca siswazah di sekolah rendah

SAYA mewakili guru sekolah rendah yang telah melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat 'Sarjana' (Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan) dan ada juga antara kami yang telah menamatkan PhD mereka.

Di sini, saya ingin menyatakan bahawa 'kami' adalah antara guru yang sanggup menyahut seruan kerajaan iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdullah dan Menteri Pendidikan, Datuk Najib Tun Razak ketika mereka menjawat jawatan tersebut pada Mei 1998.

Masalahnya di sini ialah, adakah kementerian sedar bahawa sudah ramai guru siswazah di sekolah rendah? Di manakah gagasan kementerian yang ingin mewujudkan 50 peratus guru sekolah rendah memiliki ijazah dipantau oleh pihak kementerian?

Saya ingin menyatakan ketidakpuasan hati kami terhadap artikel yang dikeluarkan oleh Berita Harian pada Rabu 9 Disember 2009 yang menyatakan bahawa kementerian ingin mewujudkan jawatan baru.

Dalam artikel itu juga disebut kementerian bercadang untuk melantik guru kanan disiplin gred DG44 di sekolah menengah dan DGA32 di sekolah rendah.

Saya merasakan kementerian masih 'tidur' dan tidak sedar bahawa kini sudah ramai guru DG41 di sekolah rendah dan begitu juga guru yang memiliki ijazah Sarjana (Master) di sekolah rendah.

Mengapa jawatan seperti ini tidak diberikan kepada DG41 di sekolah rendah?

Mengapa masih diagung-agungkan lagi guru DGA32 di sekolah rendah? Jika begitulah sikap kementerian kita, maka sia-sia sahajalah pengorbanan guru sekolah rendah yang sanggup bertungkus-lumus belajar dengan separuh gaji, meninggalkan keluarga yang disayangi, terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Malahan ada antara kami yang sanggup mengeluarkan wang simpanan untuk membayar wang pengajian di UPSI.

Ada juga yang terpaksa meminjam wang daripada Bank Rakyat untuk kegunaan pengajian seperti mengisi minyak kereta berulang-alik dari rumah ke UPSI, menyiapkan tesis dan segala keperluan yang dikehendaki oleh UPSI.

Bayangkanlah, dengan gaji yang separuh, ditolak pula potongan pinjaman perumahan kerajaan dan sebagainya, ada antara kami, yang gaji bersih RM100 sebulan, ada RM50 sebulan malahan ada juga yang hanya tinggal RM20 sahaja sebulan.

Bayangkanlah bagaimana dengan wang yang sebanyak itu boleh menampung pembiayaan pengajian kami di UPSI? Namun, oleh kerana kami mempunyai kecekalan hati yang tinggi, akhirnya kami berjaya juga menamatkan pengajian kami di UPSI. Kami tidak faham dan adakah pihak kementerian 'buta' tidak melihat nasib guru DG41 yang dibiarkan tanpa diberikan sebarang imbuhan di atas kerajinan mereka menyambung pelajaran?

Mereka yang memiliki ijazah ini lebih sesuai untuk menjawat sebarang jawatan kerana mereka telah belajar 'pengurusan' sewaktu di Institut Aminuddin Baki dan di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mereka seperti inilah lebih faham tentang pengurusan berbanding guru DGA32 yang hanya 'duduk diam' seperti menunggu buah jatuh dari langit lebih bernasib baik daripada kami yang memiliki segulung ijazah, ijazah Sarjana malahan ada yang sudah tamat PhD tiada apa yang kami peroleh?

Adilkah? Adilkah? Adilkah? Golongan DGA29 dan DGA32 lebih bernasib baik di sekolah rendah! Bukan setakat itu sahaja. Kebanyakan mereka ini 'malas' menyambung pengajian kerana menurut pendapat mereka segulung ijazah itu tidak akan memberi sebarang makna kepada guru di sekolah rendah selagi dasar pelantikan jawatan Guru Besar tidak berubah.

Kebanyakan mereka lebih 'rajin' menjalankan perniagaan direct selling atau menjalankan perniagaan MLM. Mereka mempunyai banyak masa kerana tidak perlu menyiapkan tesis yang memakan masa bertahun-tahun.

Jika benar negara kita hendak memartabatkan profesion perguruan, bukan dengan cara menaikkan tingkat guru tak berijazah dari DGA29 kepada DGA32 dan entah apa-apa lagi. Ia tetap guru tak ada ijazah! Pemikiran mereka tetap sama! Sudah tiba masanya negara memartabatkan profesion perguruan dengan mengambil guru berijazah untuk menjawat jawatan guru kanan disiplin, warden asrama, guru penolong kanan dan guru besar di sekolah rendah.

Kami di sini merayu kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sekarang dan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencetuskan idea sehingga wujudnya Kursus Kepengetuaan (NPQH) supaya dapat 'membela' nasib kami kerana kami mempunyai ilmu pengetahuan yang mampu menghadapi cabaran sebagai seorang guru besar kerana pendidikan bercorak keilmuan yang luas dan kompleks memerlukan kekuatan serta kesanggupan minda untuk membawa perubahan!

Saya merayu tolonglah kami. Kami sudah tidak tahu hendak buat apa lagi dan kami telah menunggu begitu lama.

CIKGU JU

Rawang, Selangor

Utusan Malaysia Online: 16 Disember 2009

Selasa, 15 Disember 2009

Guru Sarjana dan Phd perlu insentif

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar) mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) sebagai dorongan kepada guru-guru lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat pagi tadi memberitahu, kebanyakan guru berkelulusan Sarjana dan Phd yang ditemui menyuarakan kekecewaan kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka di sekolah.

"Saya cadangkan guru-guru yang ada Sarjana dan Phd diberi anjakan gaji oleh kerajaan sebagai dorongan kepada mereka.

"Kalau tidak ada sebarang keistimewaan, bagaimana mereka hendak mendapat dorongan untuk menyambung pengajian," soalnya.

Mujahid turut meminta kerajaan meletakkan satu tangga gaji kepada guru-guru yang mempunyai Sarjana dan Phd di setiap sekolah selain menetapkan bilangan guru yang mempunyai kelulusan berkenaan di setiap sekolah.

Ini katanya sebagai motivasi kepada guru-guru untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat tertingggi.

Sebelum itu Mujahid meminta Menteri Pelajaran Malaysia menyatakan bilangan guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Malaysia.

Beliau juga ingin tahu samaada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi keistimewaan kenaikan pangkat atau anjakan gaji kepada guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Wee Kaa Siong (BN-Ayer Hitam) dalam jawapannya memberitahu, dalam kalangan guru yang mempunyai kelulusan Sarjana dan Phd, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu dengan guru-guru lain di sekolah.

Kementerian juga menyediakan peluang atau ruang yang luas kepada pegawai-pegawai ini melalui urusan kenaikan pangkat sebagai Guru Cemerlang an Pensyarah Cemerlang di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Kolej Matrikulasi.

Kementerian juga memberi keutamaan kepada pemegang ijazah Sarjana dan Phd untuk mengisi jawatan sebagai pensyarah di institusi berkenaan.

Sementara itu, Datuk Ismail Mutalib (BN-Maran) berkata, guru-guru ketinggalan dari segi kenaikan pangkat.

Beliau turut meminta agar Kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada guru sama seperti pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Harakah Daily: 15 Disember 2009

Isnin, 14 Disember 2009

Buku teks baru

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

BAHAGIAN Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran mencetak 4.8 juta naskhah buku membabitkan 567 judul bernilai RM118 juta untuk kegunaan pelajar sekolah rendah dan menengah bagi sesi persekolahan baru tahun depan.

Pengarahnya, Mohd Adenan Deraman, berkata daripada jumlah itu, 523 judul untuk cetakan semula, manakala 44 lagi baru merangkumi semua kelas daripada Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.

Mulai tahun ini juga, beliau berkata, pihaknya menguruskan penerbitan buku teks Sijil Tinggi Agama Malaysia serta Antologi Komponen Sastera Inggeris dan Melayu dengan nilai keseluruhan RM37 juta.

Katanya, jumlah cetakan itu merangkumi pesanan bagi menampung sekolah yang tersilap dan tercicir dalam membuat pesanan serta permintaan tambahan berikutan pembukaan sekolah baru bernilai RM776,365.

“Semua bekalan buku berkenaan sudah diagih-agihkan pengedar berdasarkan enam zon seluruh negara.

“Pengedaran bermula Oktober lalu dan ada sekolah sudah memberi buku berkenaan kepada pelajar Tingkatan Dua yang akan memasuki Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat yang akan belajar di Tingkatan Lima,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Untuk peringkat pertama pengedaran, Mohd Adenan berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada sekolah kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah dan Sarawak.

Sambil menjelaskan buku berkenaan diedar sebaik saja siap dicetak, beliau berkata, peringkat kedua pengedaran pula membabitkan sekolah luar bandar dan pedalaman semenanjung dan seterusnya bandar dan kawasan mudah diakses.

“Bagi memastikan proses pengedaran berjalan lancar, pegawai Skim Pinjaman Buku Teks di setiap pejabat pelajaran daerah (PPD) sentiasa membuat pemantauan.

“Selain itu, perjumpaan dan perbincangan dengan penerbit diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan operasi berjalan lancar dan bekalan sampai mengikut jadual,” katanya.

Mengulas proses pengagihan bekalan, Mohd Adenan berkata, bagi buku cetakan semula, pesanan dibuat sekolah menggunakan aplikasi dalam talian atau BTBT online.

Berdasarkan pesanan, katanya, BBT akan mengeluarkan waran peruntukan untuk setiap jabatan pelajaran negeri (JPN).

Beliau berkata, PPD pula akan membuat semakan awal terhadap setiap pesanan berkenaan dan seterusnya JPN memesan terus daripada pembekal dan penerbit.

Buku teks berkenaan katanya, akan terus dihantar kepada pembekal atau ejen yang dilantik penerbit ke sekolah yang membuat pesanan.

Berita Harian Online: 14 Disember 2009

Jadual waktu anjal tingkat keberkesanan pengajaran guru

PELAKSANAAN jadual waktu anjal antara perubahan utama dilakukan Sekolah Menengah (SM) Jalan Bayam, Kelantan pada 1994 bagi menjayakan pengajaran dan pembelajaran (p&p) memfokuskan murid.

Menerusi projek Anjakan Paradigma dilancarkan Pengarah Pendidikan Kelantan ketika itu, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin, pendekatan berbeza itu dilaksana berikutan autonomi terbimbing diberikan kepada pengetua.

Pengetua SM Jalan Bayam waktu itu, Razali Mohamad, menerajui usaha melonjak pencapaian sekolah berkenaan yang kini dikenali sebagai SM Dato’ Ahmad Maher.

Dengan jadual anjal, katanya, guru tidak tertakluk penetapan masa 40 minit bagi satu slot pengajaran seperti amalan sekarang, sebaliknya menetapkan berapa masa diperlukan bagi mengajar sesuatu topik hingga semua pelajar memahami konsep berkaitan.

Beliau memberi contoh bagi pengajaran topik diagram subjek Matematik dan penulisan esei bahasa Inggeris, guru dibenarkan mengambil dua atau tiga masa lebih daripada asal kerana tajuk sukar seumpama itu memerlukan waktu pelajar memahami konsepnya.

“Pelaksanaan jadual anjal tidak menyebabkan sukatan pelajaran gagal dihabiskan kerana pelaksanaannya disokong pendekatan pembelajaran rakan sebaya dan terbimbing.

“Menerusi dua pendekatan ini, pelajar membuat persediaan sebelum hadir kelas dengan mendapatkan maklumat berkaitan menerusi pembacaan atau perbincangan dengan rakan.

“Seterusnya membuat catatan atau pembentangan projek mengenainya. Pendekatan ini hanya memerlukan guru membimbing pelajar memahami topik berkaitan dalam kelas,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Razali berkata, pendekatan itu memberi lebih kepuasan kepada guru kerana diberi peruntukan masa cukup bagi melaksanakan pengajaran, malah menggalakkan pelajar lebih berdikari dan seronok mengikuti kelas.

Pendekatan menghukum pelajar yang kurang cemerlang akademik, katanya, tidak digunakan langsung di sekolah itu, sebaliknya mereka dibenarkan mengulang peperiksaan hingga mencapai keputusan A atau B.

“Kali pertama mengulang, pelajar lemah dibenarkan menjalani peperiksaan ‘open book’ dan jika masih gagal mendapat A atau B, mereka duduki peperiksaan lagi dengan bimbingan guru hingga mencapai tahap ditetapkan.

“Pendekatan ini secara tidak langsung menimbulkan keyakinan pelajar bahawa mereka boleh melakukannya dengan usaha lebih gigih,” katanya.

Bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar, Razali kerap menganjurkan latihan dalaman bagi guru memantapkan p&p menggunakan pendekatan baru itu.

Katanya, untuk membawa pembaharuan dan kemajuan sekolah, pengetua perlu merintis perubahan itu dengan mewujudkan perancangan strategik yang boleh merangsang daya kreativiti guru.

“Dengan adanya perancangan sistematik, perasaan takut sering jadi halangan warga sekolah mencapai kemajuan dapat dihapuskan kerana jika ia dilaksana dengan tepat pasti mencapai matlamat ditetapkan,” katanya.

Antara kejayaan sekolah itu ketika diterajui Razali, muncul Johan Sekolah Harapan Negara Kategori Bandar peringkat Kelantan pada 1994 dan Johan Anugerah Guru Inovatif Berkumpulan Peringkat Kebangsaan tahun berikutnya.

Berita Harian Online: 14 Disember 2009

Sabtu, 12 Disember 2009

Kekosongan seluruh negara permudah cikgu j-QAF kembali ke Semenanjung

ALHAMDULILLAH, jutaan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran dengan jawapan Unit Komunikasi Korporatnya yang disiarkan ruangan ini 3 Disember lalu bertajuk 'Kelulusan pertukaran guru ikut kriteria ditetapkan.'

Kriteria ditetapkan ialah keperluan perkhidmatan dan kekosongan di negeri yang dimohon dan pemohon sudah lama berkhidmat akan diberi keutamaan.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Berpusat Kursus Lepasan Ijazah j-QAF keempat mengakui kekurangan guru program pengajaran Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (j-QAF) kerana sasaran awal kementerian untuk melahirkan lebih 32,000 guru j-QAF menjelang 2010 berbanding hanya 13,000 yang ada di seluruh negara.

Berdasarkan statistik itu, kekurangan guru j-QAF adalah 19,000. Secara logiknya kekosongan masih ada di seluruh negara. Dalam borang permohonan pertukaran, guru diberi pilihan daerah yang ingin ditempatkan dan ada ruang bersetuju jika ditempatkan di daerah lain jika tiada kekosongan daerah yang dimohon.

Bagi saya tiada masalah untuk beruang-alik antara negeri di Semenanjung sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk bertemu keluarga.

Di tempat saya bertugas ada rakan berulang-alik dari Ipoh, Perak ke Jasin, Melaka dan Port Dickson setiap hari atas sebab tidak mahu berjauhan dengan keluarga.

Besar harapan saya jika perkara ini diambil perhatian agar kami juga dapat membina keluarga bahagia.

Beri peluang kepada guru j-QAF yang tamat kontrak dengan sekolah kembali ke Semenanjung dan digantikan guru baru tamat latihan.

Ia lebih adil kepada guru j-QAF di Sabah dan Sarawak kerana ada antara mereka menjalani kursus di sana dan penempatan pertama mereka pun di sana.

JEFRI,
Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 12 Disember 2009