Memaparkan catatan dengan label GSTT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label GSTT. Papar semua catatan

Isnin, 16 April 2012

E-mel anda: Pemilihan GSTT kacau

APA yang ingin saya kongsi dan luahkan di sini adalah perkara yang hampir sama dengan laporan yang disiarkan dalam ruangan ini, baru-baru ini.

Saya salah seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) sesi 2008 dan 2009 dan memohon latihan perguruan bagi GSTT untuk pengambilan Disember 2011.


Saya menghadiri sesi semakan dokumen pada 4 Oktober 2011 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu.

Pada Isnin, 19 Disember 2011, keputusan pengambilan GSTT diumumkan secara dalam talian menerusi laman web www.moe.gov.my.


Apabila nama saya tiada selepas dibuat semakan, saya menghubungi Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di Putrajaya dan diberitahu bahawa semua senarai nama yang ‘BERJAYA’ akan dikeluarkan sehingga pada Jumaat 23 Disember 2011.


Walaupun kecewa dengan layanan kurang mesra yang diterima, saya abaikan, selain diberitahu pegawai terbabit bahawa ‘pihak kami serius dan teliti dalam menjalankan tugas serta tidak main-main dalam perkara seperti ini.’ Beliau juga menyatakan saya boleh membuat rayuan jika mahu berbuat demikian.

Bimbang nama tiada dalam senarai, saya mengemukakan surat rayuan kepada BPG di Putrajaya pada 21 Disember 2011 dan menyertakan semua dokumen yang berkaitan. Tarikh tutup rayuan adalah pada hari 26 Disember 2011. Kemudian semakan dibuat sekali lagi pada Jumaat, 23 Disember 2011 dan menurut paparan berkenaan, ‘TAHNIAH, PERMOHONAN ANDA BERJAYA.’ Alangkah gembiranya saya pada ketika itu dan semua ahli keluarga turut bersama-sama meraikan kejayaan saya.


Akhirnya, saya akan dapat bergelar seorang guru yang sebenar kerana akan mendapat latihan perguruan sebaiknya seperti yang diidam-idamkan selama ini.

Saya mengambil tindakan untuk tidak mencetak slip keputusan itu kerana kebetulan berada di kampung selain di dalam slip berkenaan juga memaklumkan bahawa keputusan penempatan hanya akan diumumkan pada hari Isnin, 26 Disember 2011.


Oleh itu, saya ingin mencetaknya secara serentak dengan keputusan penempatan nanti.


Apabila keputusan penempatan diumumkan, saya dimaklumkan ‘bahawa penempatan akan diberitahu setelah mendapat kelulusan Jabatan Pelajaran Negeri’ dan seterusnya saya dipilih untuk Ambilan Kedua.


Pada 18 Januari 2012, saya menerima surat panggilan menerusi laman web sama untuk hadir ke pusat semakan dokumen bagi tujuan semakan dan pengumpulan dokumen Ambilan Disember 2011 Mod Sepenuh Masa bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terenganu, Marang, Terengganu.


Pada anggapan saya, ia adalah prosedur biasa kerana sebelum ini saya diberitahu bahawa dokumen saya tidak lengkap.


Pada hari berkenaan semuanya berjalan dengan lancar dan semua dokumen yang disertakan adalah lengkap.


Akan tetapi, pada 27 Januari 2012, melalui talian semakan untuk Ambilan Kedua, apabila semakan dibuat, alangkah terkejutnya saya melihat paparan skrin ‘HARAP MAAF, PERMOHONAN ANDA TIDAK BERJAYA.’ Saya sama sekali tidak menduga perkara sedemikian akan berlaku.


Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Seluruh dunia dirasakan gelap dan masa depan saya hancur musnah.


Bagaimana perkara seumpama ini boleh terjadi sedangkan sebelum ini saya adalah salah seorang calon yang diberitakan ‘BERJAYA.’ Saya berasakan seolah-olah nama saya dibatalkan daripada senarai yang berjaya.


Jika pihak BPG menjalankan tugas dengan ‘serius dan teliti’, saya pasti keadaan seperti ini tidak akan berlaku.


Oleh kerana Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah sebuah jabatan kerajaan yang mempunyai kredibiliti yang tinggi, saya meletakkan kepercayaan penuh kepada mereka. Disebabkan kepercayaan itu jugalah saya tidak mencetak slip permohonan ‘BERJAYA’ kerana percaya pihak kementerian tidak akan ‘main-main’ dalam perkara penting seperti ini.


Saya juga tertanya-tanya bagaimana proses pemilihan dilakukan kerana kawan saya yang sama-sama mengajar di sekolah yang sama, dalam tempoh sama, berjaya, tetapi tidak bagi saya.


Jika syaratnya ditambah iaitu pemohon mestilah kumpulan yang mengajar pada 2010, kawan saya yang berjaya juga tidak mengajar pada tahun berkenaan.


Keadaan kami sama, tetapi menerima nasib yang berbeza. Ini adalah sesuatu yang tidak adil dan satu penganiayaan.


Saya menghantar dua pucuk surat kepada pihak BPG sejak Februari lalu dan yang terkini kepada Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meminta penjelasan berkaitan perkara ini namun sehingga sekarang tiada sebarang maklum balas dan reaksi daripada mereka. LEEZ Kota Bharu


myMetro: 16 April 2012

Selasa, 28 Februari 2012

Guru tidak terlatih mohon jawatan tetap

SYUKUR Alhamdullilah, nasib Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akhirnya terbela apabila 7,079 Guru GSTT ditawarkan kursus perguruan 2012 untuk diserapkan ke jawatan tetap.

Namun, di sebalik berita gembira ini, masih ada guru GSTT yang tidak berjaya biarpun telah berkali-kali mengemukakan rayuan ke pihak Bahagian Pengambilan Guru (BPG). Harap pihak kementerian membela nasib GSTT yang terkandas agar diberikan peluang yang sama rata.

Daripada kajian yang dibuat, terdapat GSTT layak, ada juga tidak cukup pengalaman, ada mempunyai pengalaman mengajar selama dua tahun, tetapi hanya setahun sebagai GSTT dan setahun lagi bertugas sebagai guru kontrak. Biarpun jawatan berbeza, namun tugas diamanahkan tetap sama seperti GSTT.

Namun kami boleh terima hakikat jika terdapat ketelusan dan keadilan dalam memilih GSTT yang berjaya mengikuti kursus perguruan kerana terdapat kalangan GSTT yang tidak cukup syarat tetapi berjaya.

Kami yang tidak berjaya ini tidak iri hati kepada GSTT yang berjaya, sebaliknya tumpang gembira. Namun tidak dinafikan yang kami benar-benar kecewa kerana peluang kami sudah tertutup sama sekali untuk bergelar guru tetap.

Saya berharap pihak kementerian akan mempertimbangkan kami GSTT yang tidak terpilih ini kerana pengalaman mengajar yang kami miliki dan minat yang amat mendalam dalam profesion perguruan. Saya memetik kembali kata-kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong bahawa GSTT yang tidak berjaya mendapat kursus perguruan akan dipanggil bertugas secara contract for service.

Kami GSTT yang tidak berjaya amat mengharapkan agar diberikan peluang meneruskan kerjaya sebagai GSTT secara contract for service untuk tahun ini, dan akan diberikan peluang mengikuti kursus perguruan pada tahun hadapan.

Utusan Malaysia Online: 28 Februari 2012

Rabu, 25 Januari 2012

150 GSTT mendaftar di IPGTAA


JAAFAR Idris (dua dari kanan) menerima ikrar daripada guru pelatih baharu, Firdaus Salamat (kiri) pada Majlis Penutup Minggu Pengurusan Pelajar Baharu IPGTAA Lipis di Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 24 Jan. – Seramai 150 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) mendaftar sebagai pelajar baharu bagi mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) di Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) di sini baru-baru ini.

Seramai 74 guru pelatih DPLI ditawarkan empat bidang kursus iaitu Pendidikan Muzik, Pendidikan Pemulihan, Pendidikan bahasa Cina Satu dan Pendidikan bahasa Cina membabitkan tempoh pengajian selama 18 bulan.

Bagi guru pelatih PPISMP pula, 76 orang akan mengikuti pengajian peringkat ijazah perguruan selama lima setengah tahun dalam kursus bidang Pengajian Bahasa Melayu, Pengajian Sejarah, Pengajian Pemulihan dan Pengajian Bahasa Cina.

Kesemua mereka mengikuti program Minggu Pengurusan Pelajar Baru selama seminggu dan majlis penutup dilakukan oleh Pengarah IPGTAA Lipis, Jaafar Idris.

Jaafar dalam ucapannya meminta mereka memberi fokus kecapaian bidang akademik dan kokurikulum sepanjang tempoh pengajian di institut berkenaan.

“Pengetahuan dan kemahiran perguruan sepanjang pengajian nanti sebagai bekalan untuk membabitkan diri bersama-sama masyarakat sekali gus inovasi tugas yang kritis serta kreatif ke arah melahirkan guru cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, seorang guru pelatih DPLI, Zurina Kassin, 32, berkata, pengalaman sebagai guru GSTT selama tujuh tahun antara bekalan untuk berkongsi dengan guru pelatih lain semasa menuntut di institut berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada kepada Kementerian Pelajaran kerana memberi peluang mengikuti latihan di sini dan akan menggunakan segala kesempatan itu untuk menambah pengetahuan serta pengalaman sebelum bertugas sebagai guru sebenar nanti,” katanya.

Seorang guru pelatih PPISMP, Ganesan a/l Mudiandy, 32, berkata, tawaran mengikuti pengajian di sini memberi ruang untuk dia menjalani kerjaya dan kehidupan lebih baik setelah lama berkhidmat sebagai GSTT sebelum ini.

Bagi seorang guru pelatih DPLI, Gan Ying Tit, 25, dari Klang, Selangor, tawaran latihan perguruan di situ menzahirkan pengisian iltizamnya menjadi seorang pendidik dengan mengisi kerjaya profesional pada masa akan datang.


Utusan Malaysia Online: 25 Januari 2012

Selasa, 3 Januari 2012

Latihan guru: Umur saya 34 pada 2010

SAYA merupakan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah berkhidmat selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2009- 2011.

Baru-baru ini, berita yang menggembirakan kepada semua Guru GSTT, mereka akan diberi latihan di maktab-maktab atau institusi tinggi bagi mengikuti latihan perguruan KPLI/DPLI.

Saya antara Guru GSTT yang tidak berjaya dalam mengikuti program latihan perguruan tersebut. Saya telah membuat rayuan di Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di Putrajaya dan apa yang mendukacitakan saya ialah pihak BPG memaklumkan saya tidak diterima mengikuti kursus perguruan di IPG kerana umur saya pada 2012 mencecah 36 tahun.

Saya berterima kasih dengan pengumuman daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada beberapa bulan yang lepas, bahawa mereka yang layak untuk mengikuti kursus perguruan adalah guru (GSTT) yang telah berkhidmat berturut-turut selama dua tahun mulai 2009 dan tidak melebihi umur 35 tahun pada 2010.

Di sini ingin saya maklumkan bahawa umur saya pada 2010 adalah 34 tahun dan telah berkhidmat tiga tahun berturut-turut sebagai GSTT.

Apa yang lebih mengecewakan, terdapat guru GSTT yang telah berkhidmat selama satu tahun setengah telah diterima mengikuti program pengajian. Sepatutnya saya yang telah berkhidmat tiga tahun diberikan lebih keutamaan dan faktor umur bukanlah menjadi halangan.

Apabila diajukan soalan mengapa faktor umur dikira bukan berdasarkan tahun 2010 kepada 'Bahagian Pendidikan Guru' (BPG), jawapan yang diberi adalah menunggu keputusan Menteri Pelajaran. Sedangkan terang-terang pengumuman telah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai guru GSTT yang layak adalah mereka yang tidak melebihi umur 35 tahun pada 2010.

Saya berharap pihak 'BPG' dan KPM dapat membuat kajian semula ke atas pelantikan ke atas GSTT bagi mereka yang berusia 36 tahun pada 2012. Sepatutnya umur dikira pada tahun 2010.

Utusan Malaysia Online: 3 Januari 2012

Isnin, 19 Disember 2011

7,079 guru STT ditawarkan ikuti kursus perguruan

2011/12/19

PUTRAJAYA: Seramai 7,079 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan ditawarkan mengikuti latihan dan kursus perguruan mulai Januari depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 4,433 GSTT akan mengikuti latihan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Februari, manakala selebihnya di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), bermula 9 Januari.

Beliau berkata, adalah antara 13,184 GSTT yang sudah berkhidmat sejak Jun tahun lalu dan diberikan keutamaan kerana memenuhi syarat, antaranya sudah berkhidmat sebagai GSST lebih dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Disember 2010.
"Kementerian Pelajaran memang memandang serius apa jua pandangan dan keluhan berhubung GSTT. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang juga Menteri Pelajaran turut begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh GSTT.

"Ini (pengumuman hari ini) menunjukkan komitmen dan janji Timbalan Perdana Menteri kepada 13,184 GSTT yang berkhidmat dalam Kementerian Pelajaran dan dikotakan oleh beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Guru Sandaran di sini hari ini.

Daripada 13,184 GSTT, Wee berkata seramai 1,799 pula sedang mengikuti kursus dan latihan perguruan mod Kursus Dalam cuti (KDC) manakala 2,788 GSST pula tidak mengemukakan dokumen yang lengkap untuk dipertimbangkan bagi mengikuti kursus perguruan dan mereka diberi tempoh sehingga Isnin depan untuk membuat rayuan.
"Mereka diberi tempoh sehingga 26 Disember untuk kemukakan dokumen asal dan kami akan terima mereka secara berperingkat," katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,928 GSTT pula tidak layak untuk mengikuti kursus perguruan kerana melebihi had umur serta tempoh berkhidmat kurang daripada dua tahun secara berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kumpulan itu komited terhadap sistem pendidikan negara, maka kementerian menawarkan mereka meneruskan perkhidmatan secara "contract of service".

"Contract of service ini tidak dibuat untuk jangka panjang...secara berperingkat dan boleh diperbaharui mengikut keperluan pada ketika itu," katanya.

Wee turut memberi jaminan bahawa mereka yang berkhidmat secara "contract of service", pendapatan dan kebajikan mereka akan tetap sama seperti ketika menjadi GSTT.

Wee berkata, Timbalan Perdana Menteri juga membuat keputusan bahawa semua GSST berkenaan tidak perlu membayar balik gaji yang diterima mereka sejak Oktober lalu.

"Dengan pengumuman hari ini, isu ini dianggap sudah diselesaikan secara komprehensif dan jangan ada yang bangkitkannya lagi," katanya. - BERNAMA

Berita Harian Online: 19 Disember 2011

Selasa, 1 November 2011

Kementerian Pelajaran Rancang Sediakan 7,508 Tempat Latih GSTT Mulai 2012

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelajaran merancang untuk menyediakan 7,508 tempat bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk dilatih di bawah Kursus Perguruan Lepasan Ijazah-Sekolah Rendah, Kursus Perguruan Lepasan SPM dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah mulai Jan tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata sehingga 18 Ogos tahun ini seramai 7,920 orang telah dilantik semula sebagai GSTT dan daripada jumlah itu seramai 1,143 orang sedang mengikuti kursus dalam cuti.

"Manakala 862 yang ditawarkan tidak melapor diri untuk bertugas dan semua lantikan memenuhi syarat asas kementerian," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi negeri Sabah sehingga 30 Sept tahun ini seramai 516 orang telah dilantik semula sebagai GSTT dan selebihnya akan ditawarkan terus mengikuti latihan di Insitut Pendidikan Guru (IPG) mulai Jan tahun depan.

Katanya seramai 1,258 orang GSTT kini mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah mod Kursus Dalam Cuti dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia mod Kursus Dalam Cuti di IPG seluruh negara.

Menjawab soalan tambahan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), Wee berkata Kementerian Pelajaran menjangkakan masalah kekurangan guru akan mula reda pada tahun 2015.

"Ijazah Sarjana Muda Pendidikan mengambil masa lima tahun setengah, kita tidak boleh selesaikan masalah ini esok, pengambilan antara dua dan tiga tahun akan datang memang ramai. Selepas 2015 kita akan terus memantau untuk bekalkan guru yang cukup kepada sekolah," katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Rahman, Wee berkata penyerapan terus GSTT kepada guru sepenuh masa adalah bergantung kepada jumlah penjawatan dan kekosongan jawatan guru yang sedia ada.

"Kekosongan (jawatan guru) tidak boleh diadakan dengan sewenang-wenangnya, usaha mewujudkan perjawatan ini kita mesti mengikuti peraturan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam)," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran mengutamakan lepasan IPG dalam mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah-sekolah di negara ini.

-- BERNAMA

BERNAMA: 1 November 2011

7,508 lagi guru sandaran dilatih

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran merancang untuk menyediakan 7,508 tempat bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk dilatih di bawah Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Sekolah Rendah, Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah mulai Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong (gambar) berkata, sehingga 18 Ogos lalu, seramai 7,920 orang telah dilantik semula sebagai GSTT.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 1,143 orang sedang mengikuti kursus dalam cuti.

"Sebanyak 862 yang ditawarkan tidak melapor diri untuk bertugas dan semua lantikan memenuhi syarat asas kementerian," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) di Dewan Rakyat di sini semalam.

Kosmo Online: 1 November 2011

Rabu, 3 Ogos 2011

Lagi 3,793 guru sandaran dilantik semula

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Seramai 3,793 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) daripada baki 7,258 orang yang belum dilantik telah dilantik semula ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan pelantikan itu dibuat menerusi perjumpaan khas antara kementeriannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Kementerian Kewangan pada 30 Jun lalu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Rosli Mohamed pada 1 Julai lalu.

"Seramai 972 orang daripada kumpulan yang dilantik ini akan mengikuti latihan perguruan selama 18 bulan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Disember ini.

"Seramai 2,821 yang lain akan mengikuti latihan perguruan di institut pendidikan guru (IPG) untuk sesi pengambilan Januari 2012,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Pada bulan Mac lalu, kerajaan telah mengumumkan seramai 13,184 GSTT tahun 2010 akan dilantik semula bagi tahun 2011 dan berikutan itu pada Mei lalu seramai 5,926 orang telah dilantik sebagai GSTT semula dan tinggal baki seramai 7,258.

Menurut Muhyiddin, guru yang memiliki ijazah dan berkursus di IPG, mereka dijadual mengikuti latihan selama 18 bulan dan bagi yang tidak mempunyai ijazah akan mengikuti latihan untuk tempoh 66 bulan iaitu di bawah program ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Beliau menjelaskan, bagi baki GSTT berjumlah 3,465 orang itu, kedudukan mereka akan ditentukan kelak selepas disahkan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

"Daripada jumlah ini mungkin ada di antara mereka yang masih berpeluang untuk dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan selepas selesai semakan semula ke atas maklumat mereka.

"Bagi yang dikenal pasti tidak layak untuk dilantik semula, semakan ke atas rekod mereka dan pengesahan akan dibuat sebelum akhir Ogos ini,'' kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya berkata, penempatan bagi mereka yang dilantik semula itu tidak akan terhad kepada lokasi, sekolah atau pilihan asal.

Katanya, penempatan akan dibuat bagi memenuhi dan menyokong pelaksanaan dasar khususnya dasar baru kementerian seperti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

"Kerajaan amat prihatin dengan segala keluh-kesah dan permasalahan GSTT, baik yang sering dibangkitkan di dada-dada akhbar dan media elektronik mahupun di setiap pertemuan bersama-sama guru-guru tersebut,'' kata Muhyiddin.

Utusan Malaysia Online: 3 Ogos 2011

Selasa, 2 Ogos 2011

Guru Sandaran Bakal Ikuti Latihan Perguruan Mulai Disember - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Seramai 972 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) akan mengikuti latihan perguruan selama 18 bulan di institusi-institusi pengajian tinggi awam pada Disember ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata 2,821 orang lagi akan mengikuti latihan di institusi-institusi pengajian guru (IPG) bagi ambilan Januari 2012.

Guru-guru tersebut merupakan mereka yang layak dilantik semula secara 'contract of service' daripada sejumlah 7,258 orang GSTT yang belum dilantik.

"Bagi yang mengikuti kursus di IPG, mereka yang mempunyai ijazah akan mengikuti latihan 18 bulan dan yang tidak berijazah akan mengikuti latihan 66 bulan iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Pendidkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata kedudukan baki 3,465 orang daripada kumpulan guru tersebut akan ditentukan selepas mereka disahkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Katanya ada di antara mereka yang masih berpeluang untuk dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan selepas semakan semula ke atas maklumat mereka selesai dijalankan.

"Bagi yang dikenal pasti tidak layak dilantik semula, semakan ke atas rekod mereka dan pengesahan akan dibuat sebelum akhir Ogos 2011.

"Bagi mereka yang dilantik semula, penempatan tidak akan terhad kepada lokasi, sekolah atau opsyen asal," katanya.

Muhyiddin berkata penempatan akan dibuat bagi memenuhi dan menyokong pelaksanaan dasar khususnya dasar baru kementerian seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).



-- BERNAMA

BERNAMA: 2 OGOS 2011

Isnin, 1 Ogos 2011

Terkilan penyerapan GSTT hanya untuk dua tahun ke atas

2011/08/01

SAYA adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tempoh perkhidmatan baru menjangkau setahun. Saya ingin menyuarakan rasa terkilan dengan keputusan yang dibuat berkaitan isu penyerapan GSTT.

Ini berikutan kenyataan Kementerian Pelajaran bahawa tawaran penyambungan dan penyerapan hanya diberi kepada GSTT yang berkhidmat dua tahun atau lebih saja.

Mengapa perlu mengabaikan GSTT yang tempoh perkhidmatan selama setahun ini? Apakah tempoh itu masih belum mencukupi untuk melayakkan kami menerima keistimewaan seperti GSTT lain ditambah dengan latihan yang kami terima jika diberi peluang kelak?

Saya rasa tidak ada perkara yang membezakan kami dengan GSTT lain. Ada sesetengah guru tetap yang sebelum ini tidak mengetahui status sebenar saya mengandaikan saya sebagai guru tetap dan agak terkejut selepas diberitahu saya hanyalah GSTT. Saya merayu agar pihak kementerian menilai kembali syarat yang ditetapkan ini.

BEKAS GSTT,
Pulau Pinang

Berita Harian Online: 1 Ogos 2011

Khamis, 28 Julai 2011

Minda Pengarang: Guru sandaran diserap patut buktikan mereka layak

2011/07/28

KEPUTUSAN Kementerian Pelajaran untuk serap kira-kira 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) sebagai guru tetap tentunya membawa khabar gembira buat semua guru terbabit. Sesetengah daripada mereka sudah bertahun-tahun berkhidmat dan tentunya mereka berasa kecewa apabila Kementerian Pelajaran mahu menamatkan perkhidmatan mereka begitu saja pada 31 Disember tahun lalu. Berikutan itu ramai yang kehilangan punca pendapatan dan terpaksa mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kehidupan. Walaupun khidmat tidak disambung, hakikatnya guru terbabit masih berminat menjadikan profesion keguruan sebagai kerjaya tetap. Tetapi dengan perkembangan terbaru itu, mereka pastinya berasa lega. Kita percaya keputusan kementerian itu adalah pengiktirafan di atas sumbangan semua guru terbabit. Walaupun sebelum ini hanya sebagai guru sandaran, tetapi mereka sebenarnya berpengalaman dan mempunyai komitmen tinggi dengan tugas diamanahkan. Sehubungan itu, pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, kelmarin, untuk menawarkan semua GSTT sebagai guru tetap membuka peluang kepada mereka untuk terus berkhidmat. Mohd Puad menjelaskan kementerian sudah mengeluarkan surat tawaran kepada semua GSTT baru-baru ini. Justeru, semua guru terbabit akan mengikuti kursus di institut pendidikan guru (IPG) atau program Kursus Dalam Cuti (KBC) bagi membolehkan mereka menjadi guru tetap. Keputusan itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan rintihan guru terbabit apabila kontrak tidak disambung dan berdepan ketidaktentuan punca pendapatan, apatah lagi untuk mencari pekerjaan lain.

Justeru, kita percaya keputusan kerajaan menyerap semua GSTT sebagai guru tetap, pada masa sama dapat menampung kekurangan guru ketika ini, terutama dalam subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris. Dengan perkembangan terbaru itu, semua guru terbabit harus membuktikan komitmen penuh terhadap tugas apabila diserapkan sebagai guru tetap. Kita tidak mahu selepas peluang diberi mereka mempersia-siakan tanggungjawab yang diberi bagi mendidik anak bangsa. Malah, mereka juga perlu bersedia untuk ditempatkan di sekolah luar bandar, malah di pedalaman sekali pun. Jangan ada guru yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak dihantar mengajar di sekolah luar bandar atau pedalaman. Sebagai guru, mereka harus sedar bahawa mereka adalah penggerak dan agen perubahan masyarakat serta pelaksana pelbagai dasar kerajaan dalam bidang pendidikan. Mereka juga dapat menjadi pencetus kepada semangat Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menggariskan pelbagai inisiatif mempertingkatkan pencapaian pelajar dan langkah awal kepada transformasi pendidikan secara menyeluruh.

Berita Harian Online: 28 Julai 2011

Rabu, 27 Julai 2011

13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih Diserap Ke Jawatan Guru Tetap

PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) -- Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diserapkan sebagai guru tetap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata surat tawaran telah dikeluarkan kepada semua GSTT tersebut mulai bulan lepas setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan baru kepada mereka.

"Sasaran pihak kementerian adalah mahukan semua jawatan GSTT menjadi guru tetap dan tiada lagi isu mengenai tidak sambung kontrak.

"Namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Dis 2010," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2) di sini Selasa.

Mohd Puad berkata GSTT yang layak akan diserap mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti sebelum diserap sebagai guru tetap.

Mereka juga harus bersedia ditempatkan di sebarang kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara, katanya.



-- BERNAMA

BERNAMA: 26 Julai 2011

Khamis, 14 Julai 2011

Setengah tahun berlalu, guru ganti belum dapat gaji

SAYA ingin melahirkan rasa tidak puas hati dan sangat kecewa dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak, Selangor dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Saya tidak tahu siapa yang harus saya persalahkan antara kedua-dua agensi ini memandangkan kedua-duanya terikat antara satu sama lain.

Saya merupakan bekas Pegawai Sambilan (Guru Ganti) di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Daerah Gombak mulai 25 Januari 2011 sehingga 24 April 2011. Ini bermakna saya telah berkhidmat di sekolah tersebut hampir tiga bulan.

Dalam tempoh itu juga, saya tidak pernah menerima satu sen gaji daripada pihak PPD walaupun sepatutnya saya boleh dibayar setiap hari memandangkan saya berjawatan sambilan bergaji hari. Surat tawaran jawatan dikeluarkan oleh pihak PPD.

Apabila kontrak saya tamat pada 24 April 2011, saya menerima panggilan daripada pihak sekolah pada 28 April 2011 menyatakan saya mungkin akan menerima gaji saya dalam masa dua minggu lagi. Tetapi tiada gaji diterima.

Setelah sebulan lebih, saya telah berhubung kembali dengan pihak sekolah untuk bertanyakan gaji saya dan pihak sekolah telah menghubungi PPD. Pihak PPD menyatakan mereka tiada peruntukan untuk membayar gaji dan sedang berusaha memohon peruntukan daripada pihak KPM.

Akhirnya setelah hampir dua bulan iaitu pada 23 Jun 2011, saya sekali lagi kembali ke sekolah untuk bertanyakan gaji saya. Malangnya jawapan yang sama saya terima daripada pihak sekolah setelah menghubungi pihak PPD.

Saya kemudian ke PPD pada 5 Julai 2011 untuk bertanyakan gaji saya. Tetapi jawapan yang diterima tetap sama seperti jawapan pihak sekolah.

Saya sangat kecewa. Cuba bayangkan, sehingga ke detik surat ini ditulis (12 Julai 2011), saya masih tidak menerima gaji saya. Ini bermaksud sudah hampir setengah tahun iaitu hampir tiga bulan selepas tamat kontrak saya masih belum menerima gaji. Kenapa begini?

Utusan Malaysia Online: 14 Julai 2011

Selasa, 12 Julai 2011

Guru Sandaran Hamil Menang Tuntutan

SHAH ALAM, 12 Julai (Bernama) -- Seorang wanita yang kehilangan jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) kerana hamil dua tahun lepas, Selasa berjaya dalam tuntutannya apabila Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa beliau layak dan berhak dilantik untuk jawatan tersebut.

Hakim Datuk Zaleha Yusof yang membuat keputusan itu dalam kamarnya juga memerintahkan bahawa tindakan defendan-defendan pada 12 Jan 2009 untuk membatalkan pelantikan plaintif, Noorfadilla Ahmad Saikin, 29, sebagai GSTT adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Noorfadilla dari Kajang yang memfailkan saman pemula pada 7 Mei 2010 menamakan pegawai khas Kumpulan Guru Simpanan Kerajaan Chayed Basirun, pegawai pelajaran Daerah Hulu Langat Ismail Musa, dan Pengarah Pelajaran Selangor Dr Zahri Aziz (bekas) sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Menteri Pelajaran dan Kerajaan Malaysia.

Hakim turut memerintahkan bahawa kesemua defendan perlu membayar kepada plaintif kos, ganti rugi am dan faedah pada kadar lapan peratus setahun sehingga tarikh penyelesaian penuh serta taksiran ganti rugi am dibuat oleh kesemua defendan kepada plaintif.

Peguam Edmund Bon yang mewakili Noorfadilla ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata Hakim berpuas hati bahawa anak guamnya berhak untuk merujuk kepada perkara Konvensyen Untuk Menghapuskan Diskriminasi Dalam Semua Bentuk Terhadap Wanita 1979/81.

Konvensyen itu mempunyai kuasa undang-undang di Malaysia dalam mentafsirkan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan iaitu tidak boleh berlaku diskriminasi berdasarkan jantina di khalayak umum.

Bon berkata Hakim juga memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah menandatangani konvensyen itu dan justeru mahkamah berhak untuk merujuk kepada konvensyen tersebut dalam membuat keputusan.

Dalam afidavit sokongannya, Noorfadilla berkata beliau menghadiri temuduga pada 2 Jan 2009 di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat dan diminta mengisi borang deklarasi yang hanya mengandungi soalan-soalan berkaitan dengan maklumat peribadi serta latar belakang pendidikannya dan tidak terdapat sebarang soalan mengenai status keadaan atau kesihatan.

Menurut Noorfadilla beberapa hari selepas itu beliau menerima tawaran untuk jawatan GSTT melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dari pegawai pejabat pelajaran Daerah Hulu Langat.

Plaintif berkata pada sesi taklimat, seorang pegawai pejabat pelajaran Daerah Hulu Langat menyuruh semua calon wanita yang hamil untuk membuat pengakuan dengan segera dan selepas beliau dan dua lagi wanita mengakui bahawa mereka sedang mengandung, pegawai tersebut mengambil semula memo penempatan daripada mereka tanpa sebarang soalan lain.

Noorfadilla berkata pegawai terbabit memberitahu mereka bahawa wanita hamil tidak boleh dilantik sebagai GSTT kerana tugas GSTT akan melibatkan aktiviti ko-kurikulum yang tidak sesuai untuk wanita hamil, serta alasan-alasan lain.

Tiada alasan diberikan bahawa Kementerian Pelajaran melarang wanita hamil untuk dilantik sebagai GSTT.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan pejabat pelajaran Daerah Hulu Langat membatalkan pelantikan beliau sebagai GSTT adalah satu perbuatan diskriminasi terhadap seorang wanita hamil dan bercanggah dengan Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pekerjaan 1955.

Selain Bon, plaintif turut diwakili peguam Honey Tan dan Chan Yen Hui manakala kesemua defendan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha dan Siti Kassim hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam.

-- BERNAMA

BERNAMA: 12 Julai 2011

Selasa, 21 Jun 2011

Kursus Guru Sandaran Tidak Terlatih bukti keprihatinan kerajaan

'KECIL tapak tangan, nyiru saya tadahkan'. Pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diberi kursus selama 18 bulan cukup menggembirakan saya dan rakan-rakan.

Keadaan ini membuktikan keprihatinan kerajaan mengenai nasib guru GSTT yang terumbang-ambing yang mana sehingga kini masih belum terbela untuk dilantik walaupun telah berkhidmat lebih daripada dua tahun.

Apa yang ingin dinyatakan dalam ruangan ini ialah saya berharap komitmen kerajaan membela nasib 13,000 guru GSTT menjadi realiti. Itulah harapan sebahagian 13,000 guru GSTT yang masih belum dilantik walaupun telah dijanjikan untuk berkhidmat semula semenjak bulan Mac yang lepas.

Kerajaan tidak akan rugi sekiranya menyerap guru GSTT kerana ia akan mengembalikan keuntungan kepada negara amnya dan bidang pendidikan khasnya.

Bukanlah saya sebagai guru GSTT ingin mendabik dada, tetapi pengalaman selama beberapa tahun bergelar guru membuatkan roh kami sudah terpaut untuk terus bergelar guru selamanya.

Jika anggapan sesetengah pihak menyatakan bahawa guru GSTT terdiri daripada siswazah yang corot PNGK dan menyukarkan mereka mendapat pekerjaan lain, anggapan tersebut salah.

Ini kerana pengambilan GSTT bukanlah dibuat sewenang-wenangnya. Buktinya untuk menjadi seorang guru GSTT ia melalui proses saringan dan temu duga selain faktor akademik diambil kira.

Di sekolah pula guru-guru GSTT turut dicerap sewaktu mengajar oleh pentadbir. Dan tidak terkecuali dicerap ialah buku latihan dan fail rekod mengajar.

Di sini saya ingin tekankan yang mana jika seseorang guru GSTT itu tidak berkelayakan untuk mengajar dia tidak akan disambung perkhidmatan pada tahun berikutnya.

Oleh yang demikian, kerajaan tidak akan tersilap langkah sekiranya memberi peluang kepada guru GSTT untuk bergelar guru tetap kerana kami telah melalui sebahagian proses menjadi guru tetap melalui pengalaman bergelar guru GSTT.

Selain itu juga pulangan yang bakal diterima oleh kerajaan ialah dapat meningkatkan pendapatan negara melalui kutipan cukai sekiranya 13,000 guru GSTT diserap ke jawatan tetap, selain mampu mengutip sebahagian wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terdiri daripada guru GSTT.

Oleh itu tindakan kerajaan membela GSTT adalah tepat. Saya dan rakan-rakan berharap janji Menteri Pelajaran untuk memberi kursus selama 18 bulan kepada 13,000 guru GSTT disegerakan agar tidak timbul tanda tanya yang mewujudkan sentimen negatif terhadap kerajaan sebagaimana dimainkan oleh piha-pihak tertentu pada hari ini.

Utusan Malaysia Online: 21 Jun 2011

Selasa, 31 Mei 2011

Apa kesudahan nasib Guru Sandaran Tidak Terlatih?

SAYA merupakan bekas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah mencurahkan khidmat bakti sama seperti guru terlatih. Kami tidak terkecuali dalam melaksanakan tugas sama ada daripada segi kurikulum dan kokurikulum.

Malah kami juga dicerap atau dipantau oleh pihak pentadbir mahu pun pegawai pelajaran peringkat negeri.

GSTT juga tidak dibezakan oleh pihak pentadbir. Maksudnya apabila saya menerima tawaran sebagai GSTT, bermakna tanggungjawab dan amanah yang dipikul adalah besar dan tiada bezanya seperti guru tetap.

Pendek kata, segala program yang diatur oleh pihak sekolah, GSTT juga bertanggungjawab dalam melaksanakan program berkenaan.

Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada 8 Mac lalu, seolah-olah memberi nafas kepada GSTT sehinggakan keesokan harinya terpampang di dada akhbar dan di kaca televisyen mengenai berita gembira untuk para GSTT.

Namun sehingga kini masih belum diketahui status sebenar kenyataan beliau.

Rata-rata masyarakat setempat umumnya mengandaikan bahawa kami bekas GSTT seolah-olah akan mendapat tawaran mengajar kembali setelah mendengar pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pelajaran.

Hakikatnya, hingga kini status pengumuman berkenaan masih lagi menjadi tanda tanya kepada bekas GSTT.

Oleh yang demikian, saya mengharapkan agar persoalan tersebut dapat dirungkaikan.

Saya juga amat mengharapkan agar Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran memberi peluang kepada bekas GSTT untuk menyambung kembali perkhidmatan kerana rata-rata GSTT telah berkhidmat lebih dari setahun dan telah mempunyai pengalaman.

Beri kami peluang untuk mencurahkan khidmat bakti kepada anak bangsa.

Utusan Malaysia Online: 31 Mei 2011

Selasa, 10 Mei 2011

Guru sandaran tidak terlatih masih digantung tak bertali

Oleh Azhar Abu Samah
azhar@bharian.com.my
2011/05/10

Tiada tindakan proaktif berkaitan isu penempatan

TIGA bulan berlalu selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan 'berita baik' mengenai khidmat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang sudah berkhidmat tiga tahun berturut-turut disambung, namun penyelesaian isu ini belum 'nampak cahaya di hujung terowong'.

Pengumuman Muhyiddin pada 3 Mac lalu pada sidang media selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod di Sabah, nampaknya ibarat ‘angin lalu’ sekadar singgah sipi-sipi di telinga pegawai yang dipertanggungjawabkan, khususnya di Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Saban hari e-mel bhsurat@bharian.com.my akan menerima keluhan guru, antaranya berhubung bebanan kerja perkeranian, kenaikan pangkat dan kelemahan pentadbiran sekolah. Bagaimanapun, surat ‘kemarahan’ GSTT berhubung sikap pegawai JPN ketika ditanya mengenai kedudukan mereka, termasuk jawapan ‘belum menerima surat siaran atau waran lantikan GSTT daripada Kementerian Pelajaran’ mengatasi e-mel yang diterima sejak sebulan dua ini.

Muhyiddin sebelum ini menjelaskan kerajaan sudah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Jika arahan beliau sudah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, kita tidak nampak kenapa alasan standard belum menerima surat siaran atau waran lantikan GSTT yang digunakan kakitangan JPN di seluruh negara bagi menjawab pertanyaan GSTT terus digunakan.

Dua surat pembaca yang diterima melalui e-mel – masing-masing satu dari Ipoh, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyebut JPN dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) memberi alasan ‘belum menerima waran lantikan’, manakala ‘JPN Wilayah tidak mendapat hitam-putih mengenainya’.
Pada masa sama, tiada kenyataan lanjut mengenai nasib GSTT yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran, selepas pengumuman dibuat Muhyiddin, sekali gus memberi tekanan kepada GSTT yang sudah berkeluarga mengenai masa depan mereka, apatah lagi kalau suami dan isteri, kedua-duanya GSTT.

Malah, kebanyakan GSTT yang sudah berkeluarga menyatakan kesediaan untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka di seluruh negara, hanya menunggu surat daripada JPN mengenai kawasan penempatan mereka.

Tekanan ini turut dirasai GSTT bujang, khususnya yang sudah membeli kenderaan untuk kemudahan pengangkutan ketika berkhidmat dulu, selain membawa pelajar untuk menyertai pelbagai pertandingan dan kejohanan sukan peringkat sekolah, zon dan daerah.

Akibat ‘digantung tidak bertali’ oleh kementerian, sudah ada kes guru berkenaan terpaksa menjual semula kereta kerana gagal menjelaskan bayaran bulanan kepada institusi kewangan.

Hakikatnya, kekurangan guru di Wilayah Persekutuan sebenarnya meruncing, khususnya guru Bahasa Melayu dan Sejarah. Disebabkan penumpuan berlebihan kepada penyediaan guru Sains dan Matematik di sekolah, akhirnya berlaku lambakan guru yang mengajar kedua-dua subjek ini di Kuala Lumpur.

Tidak dinafikan ada GSTT yang ditawarkan tempat di sekolah sejak April lalu, namun kebanyakan GSTT yang diambil bukan daripada mereka yang mengajar di sekolah asal, sebaliknya dari sekolah lain. Bukankah pengetua sekolah asal ada mencadangkan GSTT yang berkhidmat sebelumnya disambung perkhidmatan di sekolah berkenaan? Inilah antara persoalan yang perlu dijawab JPN berhubung soal ketelusan dalam pengambilan semula GSTT.

Isu GSTT sebenarnya bukanlah rumit untuk diselesaikan. Timbalan Perdana Menteri sudah membuka jalan penyelesaian ke atas isu penempatan guru tidak terlatih ini. Bagaimanapun, pengumuman Muhyiddin tidak disambut dengan tindakan proaktif baik pada peringkat kementerian mahupun jabatan.

Jika persoalan 13,000 GSTT pun tidak dapat ditangani dengan berkesan, apatah lagi pelbagai masalah membabitkan lebih 350,000 guru di seluruh negara. Tidak hairanlah banyak persoalan tertunggak, antaranya beban tugas berlebihan guru masih tidak dapat diselesaikan kementerian berkenaan.

Berita Harian Online: 10 Mei 2011

Rabu, 6 April 2011

Mana surat panggilan Guru Sandaran Tidak Terlatih?

SAYA merupakan salah seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah berkhidmat lebih dua tahun. Saya ditamatkan kontrak perkhidmatan 31 Disember 2010.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, segala tugas dan amanah yang diberikan kepada saya dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa mengira waktu dan tempat. Ini termasuklah pada hari cuti umum sekiranya pelajar sekolah terlibat dengan aktiviti luar seperti perkhemahan atau aktiviti sukan.

Di sekolah, kami juga tidak terkecuali bertugas seperti Guru Sandaran Terlatih (GST) yang lain seperti menjadi guru kelas, guru kadet dan sebagainya.

Tujuan saya memperincikan tugas ini bukan untuk mendabik dada atau mengungkit apa yang telah kami lakukan. Tetapi ia adalah sebagai renungan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya tidak mengabaikan nasib guru seperti saya. Apa yang membezakan GSTT dan GST adalah daripada segi ikhtisas sahaja kerana dari segi pengalaman dan mutu kerja ada antara kami yang lebih menyerlah berbanding GST.

Kenyataan dan pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 3 Mac 2011 bahawa surat penamatan perkhidmatan yang diberikan kepada guru GSTT ditarik balik selain ingin menyerap golongan guru tersebut sebagai guru tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) amat menggembirakan 13,000 orang guru GSTT di seluruh negara. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Itulah perasaan kami.

Tetapi yang menghairankan sehingga kini berita tersebut yang diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri 'tidak sampai' kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Buktinya, sehingga kini kami guru GSTT masih belum menerima sebarang surat panggilan bertugas. Saya berasa amat sedih dan rasa seperti kami dipermainkan sedangkan kami percaya dengan prinsip kerajaan untuk mengotakan setiap apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Oleh itu saya berharap agar Timbalan Perdana Menteri meninjau sekali lagi sama ada arahan tersebut telah dilaksanakan oleh kakitangan KPM atau sebaliknya.

Kami guru GSTT sedia berkhidmat di mana sahaja asalkan kami berpeluang menjadi guru tetap. Kami tidak meminta lebih daripada itu. Yang kami pinta hanyalah renungan kasih pihak kerajaan tentang nasib kami guru GSTT di seluruh negara.

CIKGU GSTT

Taiping, Perak


Utusan Malaysia Online: 4 April 2011

Khamis, 10 Mac 2011

Kenakan syarat penempatan serupa bagi pemohon GSTT, KPLI, DPLI

2011/03/10

SAYA ingin mengemukakan pendapat berhubung isu pengambilan guru. Sebagai ibu bapa dan masyarakat sudah tentu kita ingin insan yang terbaik untuk mendidik anak kita.

Isu pelajar bidang pendidikan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang tidak dapat menjadi guru tetap harus diberi perhatian terlebih dulu. Begitu juga kesukaran penempatan pelajar bidang pendidikan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dewasa ini.
Mungkin pemohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) yang tidak mendapat cemerlang dalam Purata Gred Kumulatif (CGPA) mereka disyaratkan agar mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing sekurang-kurangnya tiga tahun.
Mengambil kira syarat untuk memohon masuk ke Institut Pendidikan Guru ketika ini, sekurang-kurangnya tiga subjek cemerlang dan tiga subjek kepujian diperlukan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Syarat ini juga perlu dikenakan kepada pemohon Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), KPLI dan DPLI agar kualiti mereka setara.

Saya bersetuju jika pengambilan program GSTT, DPLI dan KPLI ini untuk menyeimbangkan peratusan gender dalam bidang pendidikan. Bilangan guru lelaki yang sedikit boleh menyebabkan kesukaran dalam beberapa bidang tugas seperti penjagaan sistem siar raya, padang, inventori barang dan sebagainya.

Penempatan GSTT, DPLI dan KPLI yang baru ini dicadangkan di kawasan pedalaman. Beri peluang pula kepada guru yang sudah bertahun di pedalaman yang memohon ditukarkan ke tempat asal mereka.

Kerap kali kita mendengar GSTT sudah lama mengajar dan berpengalaman, mampu mengajar guru baru, mendapat pujian pengetua dan sebagainya. Ini masanya menguji siapa guru sejati, tinggalkan ibu bapa, suami, isteri dan anak kerana cita-cita menjadi pendidik berdedikasi.

SANG ALGOLJO,
Merlimau, Melaka

Berita Harian Online: 10 Mac 2011

Sabtu, 5 Mac 2011

GSTT: Bukti kerajaan prihatin kebajikan rakyat

HAMPIR 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara pasti tersenyum lebar dan berasa lega yang amat sangat selepas mendengar khabar gembira ini.

Khabar yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kinabatangan, Sabah semalam membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar keluhan rakyat.

Memang diakui sejak kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan perkhidmatan pada akhir tahun lalu, ramai GSTT terutama yang berpengalaman mengajar melebihi tiga tahun mengeluh. Sejak itu, e-mel untuk ruangan Forum, akhbar ini menerima banyak komen yang kesal dan mahu kerajaan membela nasib mereka.

Antaranya e-mel milik Khatijah Abdullah dari Cheras, Kuala Lumpur bertarikh 8 dan 11 Februari 2011, e-mel dari seorang GSTT yang telah lapan kali mohon mengikuti kursus KPLI dan DPLI tetapi gagal, e-mel dari seorang insan yang menggelarkan dirinya X GSTT dan banyak lagi. Kesemua mereka kini tentunya menarik nafas lega kerana perjuangan membela nasib sendiri dan rakan-rakan akhirnya mendapat perhatian kerajaan.

Inilah yang dikatakan kerajaan prihatin dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala perkara. Keluhan dan rintihan rakyat daripada pelbagai latar belakang sentiasa menjadi keutamaan untuk diselesaikan, sekali gus membuktikan bahawa slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' tidak sekadar slogan, sebaliknya dibuktikan dengan tindakan.

Tidaklah seperti pihak pembangkang yang 'cakap tak serupa bikin', sekadar menabur janji tetapi tidak dipenuhi.

Dalam pada itu, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia untuk ditempatkan ke mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka. Seperti kenyataan Muhyiddin, mereka yang inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.

Jangan pula selepas ini, ada GSTT menghantar pula e-mel kepada akhbar ini atau mana-mana akhbar kerana tidak sanggup bertugas di kawasan berkenaan. Alasannya, berjauhan dengan keluarga, tiada kemudahan asas dan lain-lain.

Janji kerajaan bahawa kumpulan GSTT berpeluang menjadi guru terlatih juga membuktikan kerajaan begitu komited mahu melahirkan seberapa banyak guru yang mampu mendidik anak bangsa dengan kualiti tersendiri. Jangan mempersiakan peluang yang ada kerana ada kalanya peluang datang hanya sekali dalam hidup seseorang.

Di pihak Pengarah Pelajaran Negeri pula, inilah masanya untuk bekerja lebih keras kerana pasti banyak 'tugas-tugas khas' menanti anda selepas ini. Merancang pelan pelaksanaan bersama kakitangan jabatan perlu dilakukan dari sekarang kerana kita tahu, kumpulan GSTT di setiap negeri bukannya sedikit, malah mencecah ribuan orang. Jangan pula, ada GSTT merungut tidak dialu-alukan kedatangan mereka ke pejabat pelajaran negeri.

Sambutlah mereka dengan senyuman kerana ia pasti meredakan perasaan tertekan yang dialami mereka selama ini. Untuk GSTT pula, berterima kasihlah kepada kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat.

Utusan Malaysia Online: 5 Mac 2010