Selasa, 21 Jun 2011

Kursus Guru Sandaran Tidak Terlatih bukti keprihatinan kerajaan

'KECIL tapak tangan, nyiru saya tadahkan'. Pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diberi kursus selama 18 bulan cukup menggembirakan saya dan rakan-rakan.

Keadaan ini membuktikan keprihatinan kerajaan mengenai nasib guru GSTT yang terumbang-ambing yang mana sehingga kini masih belum terbela untuk dilantik walaupun telah berkhidmat lebih daripada dua tahun.

Apa yang ingin dinyatakan dalam ruangan ini ialah saya berharap komitmen kerajaan membela nasib 13,000 guru GSTT menjadi realiti. Itulah harapan sebahagian 13,000 guru GSTT yang masih belum dilantik walaupun telah dijanjikan untuk berkhidmat semula semenjak bulan Mac yang lepas.

Kerajaan tidak akan rugi sekiranya menyerap guru GSTT kerana ia akan mengembalikan keuntungan kepada negara amnya dan bidang pendidikan khasnya.

Bukanlah saya sebagai guru GSTT ingin mendabik dada, tetapi pengalaman selama beberapa tahun bergelar guru membuatkan roh kami sudah terpaut untuk terus bergelar guru selamanya.

Jika anggapan sesetengah pihak menyatakan bahawa guru GSTT terdiri daripada siswazah yang corot PNGK dan menyukarkan mereka mendapat pekerjaan lain, anggapan tersebut salah.

Ini kerana pengambilan GSTT bukanlah dibuat sewenang-wenangnya. Buktinya untuk menjadi seorang guru GSTT ia melalui proses saringan dan temu duga selain faktor akademik diambil kira.

Di sekolah pula guru-guru GSTT turut dicerap sewaktu mengajar oleh pentadbir. Dan tidak terkecuali dicerap ialah buku latihan dan fail rekod mengajar.

Di sini saya ingin tekankan yang mana jika seseorang guru GSTT itu tidak berkelayakan untuk mengajar dia tidak akan disambung perkhidmatan pada tahun berikutnya.

Oleh yang demikian, kerajaan tidak akan tersilap langkah sekiranya memberi peluang kepada guru GSTT untuk bergelar guru tetap kerana kami telah melalui sebahagian proses menjadi guru tetap melalui pengalaman bergelar guru GSTT.

Selain itu juga pulangan yang bakal diterima oleh kerajaan ialah dapat meningkatkan pendapatan negara melalui kutipan cukai sekiranya 13,000 guru GSTT diserap ke jawatan tetap, selain mampu mengutip sebahagian wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terdiri daripada guru GSTT.

Oleh itu tindakan kerajaan membela GSTT adalah tepat. Saya dan rakan-rakan berharap janji Menteri Pelajaran untuk memberi kursus selama 18 bulan kepada 13,000 guru GSTT disegerakan agar tidak timbul tanda tanya yang mewujudkan sentimen negatif terhadap kerajaan sebagaimana dimainkan oleh piha-pihak tertentu pada hari ini.

Utusan Malaysia Online: 21 Jun 2011

Tiada ulasan: