Jumaat, 10 Februari 2012

Keselamatan SK Seri Puteri Batu Pahat turut diragui

BATU PAHAT 9 Feb. - Keselamatan 268 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lim Poon 2 di Jalan Lim Poon yang berpindah ke SK Seri Puteri di Kampung Kenangan Datuk Onn di sini dikhuatiri terancam ekoran tahap keselamatan sekolah baharu itu turut diragui.

Jika sebelum ini sebahagian siling bangunan SK Lim Poon 2 runtuh, kini bangunan dan persekitaran sekolah baharu itu pula dilaporkan kurang selamat untuk digunakan.

Memang dari luar, SK Seri Puteri yang mula beroperasi 4 Januari lalu untuk kanak-kanak pra sekolah sehingga murid tahun enam itu kelihatan sempurna dan indah dengan reka bentuk serta cat baharu, tetapi sebenarnya tahap keselamatan di situ membimbangkan seperti ketiadaan penutup longkang dan binaan penutup saliran kurang berkualiti.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Mohd. Hamidi Mad Tap berkata, keadaan sesetengah longkang sedalam hampir satu meter tanpa penutup umpama 'bom' jangka yang menunggu mangsa.

"Budak-budak ini kecil lagi, mereka hanya tahu mahu main sahaja. Jika terjatuh dalam lubang longkang yang dalam itu, kita bimbang mereka cedera teruk.

"Bagi yang ada penutup saliran pula, dibimbangi ia dibina dengan bahan kurang berkualiti sehingga banyak yang sudah retak malah terdapat salur air hujan yang bocor," katanya selepas membawa pemberita meninjau kawasan sekolah tersebut.

Mohd. Hamidi berkata, kedudukan sekolah tersebut yang bersebelahan dengan longkang besar juga menimbulkan kebimbangan ibu bapa terutamanya semasa air pasang dan hujan lebat.

"Memang ada pagar di sekeliling sekolah tetapi tidak mustahil nanti ada yang rosak atau tumbang. Saya bimbang ada yang dibawa arus nanti kalau tidak berhati-hati," katanya.

Beliau turut memberitahu, selain kantin sekolah tidak mempunyai bekalan air, kemudahan padang juga tidak ada dan terpaksa meminjam padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datin Onn Jaafar yang terletak bersebelahan.

Pihaknya berharap pihak kontraktor mengutamakan tahap keselamatan di sekolah tersebut dan memperbaiki kerosakan yang ada.

"Saya telah menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri untuk memaklumkan masalah ini, tetapi hingga kini belum ada penyelesaian," katanya.

Utusan Malaysia Online: 9 Februari 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam semua, kerja2 menutup longkang sediada telah selesai dilaksanakan demi utk keselamatan murid2....sekian utk makluman semua ibu bapa...