Selasa, 25 Februari 2014

TPM: Tiada arahan tukar guru tentang PBS

HULU LANGAT 24 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan untuk mengambil tindakan atau menukar mana-mana guru yang menentang pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya dan Kementerian Pendidikan juga tidak pernah menganiaya mana-mana guru malah golongan itu bebas bersuara dalam menyatakan pendapat masing-masing.
"Saya tak keluarkan apa-apa arahan untuk mengambil tindakan (menukar) terhadap guru yang menentang PBS. Kalau ada (ditukar) mungkin berlaku melibatkan peringkat pentadbiran daerah, (tetapi tidak pasti) sama ada tindakan itu dibuat atas fakta lain atau hanya sebab guru berkenaan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PBS.
"Saya sudah memperjelaskan pendirian saya dan kementerian. Kita tidak mahu menganiaya sesiapa, kita bersikap adil dan tidak mahu dilihat zalim," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Kampung Bukit Dukong, Kajang dekat sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan menukarkan seorang guru, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari selaku Pengerusi Penaja Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) akan ditarik balik selepas kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaan PBS.
Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof mengumumkan guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga perkara itu diputuskan oleh kementerian dalam masa terdekat.
Muhyiddin berkata, walaupun guru bebas bersuara, tetapi perkara itu perlu mengikut prosedur bersesuaian berdasarkan pekeliling tertentu.
"Bagi saya, yang penting ialah kita dalam peringkat untuk menemukan cara baharu yang mampu memberi keadaan lebih baik kepada semua pihak jika dilaksanakan kelak.
"Ini (pelaksanaan PBS) akan kita umumkan apabila kementerian meneliti semua aspek," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau ketika ditanya tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pencatuan air bagi kawasan yang terjejas di negeri itu berkata, perkara tersebut sepatutnya dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Ini (merujuk SPAN) tertakluk kepada undang-undang yang mana boleh diputuskan selepas SPAN berpuas hati jika situasi di peringkat kritikal. Ini mungkin dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet oleh menteri bertanggungjawab tetapi belum ada keputusan mencatu.
"Jadi, kalau dibentangkan nanti kata paras air menurun, ada cara-caranya. Kita tidak mahu menyusahkan rakyat kata esok kita nak catu, kerana ini mesti ada persiapan. Kalau nak catu, maknanya pengguna (orang ramai) perlu ada persiapan," katanya.
Beliau berkata, makluman mengenai pencatuan air juga perlu dinyatakan melalui notis awal.
"Tetapi saya tidak tahu jika Menteri Besar ada kuasa, tetapi setahu saya, itu diletakkan di bawah SPAN dan ini diputuskan dalam mesyuarat Kabinet," tambahnya.

Utusan Online: 25 Februari 2014

Tiada ulasan: