Selasa, 18 Mei 2010

Ganjaran suntikan motivasi kepada guru

KUALA LUMPUR 17 Mei - Beberapa tokoh pendidik menyokong pemberian ganjaran wang tunai kepada guru yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah dan menganggapnya sebagai suntikan motivasi kepada golongan tersebut.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, pemberian insentif oleh kerajaan itu amat baik tetapi beliau berharap beberapa perkara penting perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Jelasnya, Kementerian Pelajaran perlu mengambil kira prestasi keseluruhan sesebuah sekolah dan bukan sekadar menilai keputusan peperiksaan besar untuk memberi ganjaran kepada para guru.

"Selain itu, guru-guru juga perlu lebih fokus kepada prestasi pelajar yang lemah dan bukannya terlalu terikat dengan aktiviti sampingan seperti mesyuarat persatuan di sekolah.

"Kita juga berharap, para guru akan lebih bersemangat untuk mengajar dengan adanya skim ganjaran seperti ini supaya mereka dapat membantu pelajar mengembangkan potensi masing-masing," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman ganjaran wang tunai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk pengetua, guru besar dan guru sempena sambutan Hari Guru 2010 semalam.

Muhyiddin berkata, ganjaran wang tunai sebanyak RM7,500 bagi pengetua dan guru besar sementara guru pula bakal menerima antara RM900 hingga RM1,800 jika sekolah mereka mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Seorang lagi tokoh pendidik, Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, idea insentif itu sangat bagus tetapi kejayaannya akan bergantung kepada pelaksanaan dan pemantauan prestasi guru secara berkala.

"Latihan di kalangan guru juga harus diteruskan bagi membolehkan mereka meningkatkan prestasi yang juga akan melonjakkan kualiti pendidikan dan prestasi sekolah.

"Pengetua dan guru besar pula harus memantau guru-guru di sekolah untuk memastikan mereka melaksanakan tugas dengan baik dan mampu membantu sekolah mencapai sasaran KPI serta ganjaran yang dijanjikan itu," ujarnya.

Kay Kim juga menyarankan Kementerian Pelajaran mendapatkan cadangan atau nasihat daripada pihak kesatuan guru yang berpengalaman dalam bidang perguruan sebelum membuat keputusan mengenai pelaksanaan insentif tersebut

Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2010

Mekanisme agih ganjaran guru cemerlang perlu jelas

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/05/18

NUTP risau cetus pertikaian, tidak puas hati sesama rakan sekerja

KUALA LUMPUR: Pertubuhan guru menyokong inisiatif kerajaan menyediakan ganjaran wang tunai kepada pendidik yang mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI), mulai tahun ini, tetapi meminta Kementerian Pelajaran menggariskan mekanisme pengagihannya secara jelas bagi mengelak timbul pertikaian sesama rakan sekerja di sekolah kelak.
Selain itu, mereka juga berpendapat, peluang meraih ganjaran itu terbuka sama rata antara guru di semua sekolah, termasuk yang tidak memiliki kemudahan lengkap di kawasan luar bandar, melalui penggunaan daya kreativiti untuk mencapai prestasi cemerlang ditetapkan.
Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya jangan mempunyai persepsi negatif bahawa guru terlalu dimanjakan berikutan pemberian insentif istimewa itu kerana hakikatnya ganjaran itu masih tidak setimpal dengan pengorbanan dan beban tugas berat yang dipikul mereka.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata guru berterima kasih kepada kerajaan atas peruntukan ganjaran menerusi tawaran baru itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39 di Pahang, kelmarin.

“Kementerian perlu menetapkan mekanisme pengagihan seragam untuk semua sekolah, termasuk dalam menangani beberapa senario berlainan antara guru seperti dari segi perbezaan beban tugas, supaya tidak tercetus pertikaian atau saling tidak berpuas hati mengenai ganjaran diperoleh,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM), Azam Md Atan, berkata tidak mustahil untuk sekolah di luar bandar dan pedalaman mencapai KPI ditetapkan jika seluruh warganya sedia berubah, saling bekerjasama erat, serta bersikap proaktif dengan memanfaatkan kreativiti secara optimum.
Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, berkata matlamat sekolah mencapai prestasi cemerlang memerlukan usaha berterusan, selain mendapat kerjasama seluruh warganya dan juga sokongan ibu bapa.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata secara keseluruhan, insentif itu masih tidak setimpal dengan beban kerja guru yang semakin berat.

Namun, kami tetap bersyukur dan guru bukan mengharapkan imbuhan atau kenaikan pangkat semata-mata, tetapi menginginkan persekitaran tempat kerja ditambah baik supaya lebih selesa serta kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran, katanya.

Berita Harian Online: 18 Mei 2010

Sebaris lirik lagu Guru Malaysia tidak sesuai untuk orang Islam

2010/05/18

SABAN tahun pada tanggal 16 Mei adalah hari yang istimewa khusus kepada pendidik seluruh negara. Pada tanggal keramat inilah diisytiharkan sebagai Hari Guru peringkat nasional dalam usaha memperingati pengorbanan dan jasa guru mendidik anak bangsa.

Pelbagai acara diatur pada peringkat kementerian, jabatan dan sekolah bagi merayakan Hari Guru ini. Bermula dengan pembacaan pelbagai perutusan hinggalah ke dendangan lagu Guru Malaysia yang sudah menjadi kemestian setiap kali perayaan Hari Guru.
Lagu Guru Malaysia memang unik dan mempunyai tarikan tersendiri. Bermula dengan melodi hinggalah lirik lagunya memang menyentuh jiwa seseorang yang bergelar guru.
Semangat yang dilahirkan dari lirik lagu itu meremangkan bulu roma bagi guru yang benar-benar menghayatinya. Walaupun begitu saya agak terkilan sedikit dengan sebaris lirik lagu Guru Malaysia yang pada pandangan saya amat tidak sesuai jika dilihat dari perspektif agama.

Lirik yang saya maksudkan ialah Rukun Negara kita panduan hidup kami semua. Lirik ini tidak sesuai kerana panduan hidup bagi orang Islam sama ada bergelar guru atau tidak bukanlah pada Rukun Negara tetapi panduan hakiki ialah pada al-Quran dan al-Hadis dan ditambah dengan Rukun Islam dan Rukun Iman. Inilah yang menjadi pegangan seseorang Islam untuk kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.

Saya berpendapat lirik ini perlu diubah kepada lirik lebih bersifat terbuka dan tidak menampakkan kepincangan jika dinilai dari sudut agama. Bagi saya sebagai seorang guru, saya tidak menyanyikan lirik ini apabila menyanyikan lagu Guru Malaysia.

AMRAN MN, SK Bahagia,
Kota Bharu

Berita Harian Online: 18 Mei 2010

Pengorbanan guru tidak sama wang ringgit

Oleh Alimuddin Mohd Dom

2010/05/18

SEMUA boleh mengajar, tetapi tidak semua guru mampu mendidik. Mengajar dan mendidik dua perkara yang begitu sinonim, tetapi setiap perkataan mempunyai pengertian serta terjemahan tersendiri. Menyandang jawatan guru, tugas mereka bukan saja mengajar, malah yang lebih penting dalam melengkapkan proses pengajaran ialah menyelitkan unsur nasihat. Elemen ini dapat mendidik insan menjadi individu cemerlang akademik dan memiliki sahsiah terpuji.

Proses pendidikan semakin mencabar. Ledakan maklumat pelbagai medium berikutan kecanggihan teknologi maklumat dan telekomunikasi menjadikan tugas guru semakin mencabar, malah rencam. Tidak timbul minat atau paksaan, tugas mendidik tanggungjawab perlu dijayakan bagi memastikan anak bangsa mendapat bimbingan wajar.
Berkongsi pengalaman ketika mengajar di Lumut, saya berhadapan masalah seorang pelajar terpaksa berpindah ke sekolah luar dari Perak disebabkan masalah keluarga. Ketika itu, wujud konflik kerana pelajar itu dalam keadaan terpaksa sedangkan pada tahun sama dia perlu menduduki peperiksaan.
Begitu juga ketika berhadapan masalah pelajar miskin terpaksa datang ke sekolah dalam keadaan serba kekurangan. Sebagai guru, mereka dapat kenal pasti setiap pelajar di kelasnya menerusi sistem maklumat murid. Bagi mengatasi masalah itu, mungkin ada guru sedia menghulurkan bantuan menggunakan wang saku.

Ketika bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Perang Kiri di Tapah Road, laporan kedatangan mendapati seorang pelajar tidak ke sekolah tiga hari berturut-turut. Risau memikirkan keadaan, sebelah petang, saya ke rumah pelajar itu untuk mengetahui mengapa dia gagal ke sekolah.

Sampai di rumah itu didapati keadaan hidupnya terlalu daif. Dia terpaksa membantu ibunya menoreh getah bagi menampung hidup adik beradik ramai yang masih kecil. Pelajar berkenaan perlu menggalas tugas sebagai ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia.

Peristiwa 1975 itu sungguh mengharukan ketika negara berhadapan kemelesetan ekonomi. Ironinya di sini, tidak semua pelajar yang tidak datang ke sekolah disebabkan malas atau tiada motivasi memajukan diri, sebaliknya banyak sebab menyumbang kepada keadaan itu. Guru perlu peka perkara itu dan mencari jalan mengatasinya. Masalah boleh diatasi dengan pelbagai cara sama ada mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau mencadangkan pelajar untuk mendapatkan biasiswa.
Mengulas isu imbuhan guru tidak setanding tugas dan beban yang terpaksa digalas. Perkara ini memang tidak dinafikan, terutama bagi mereka yang bertugas di pedalaman yang serba kekurangan. Perkara sama juga dibangkitkan guru di bandar besar kerana kos sara hidup yang tinggi sedangkan pendapatannya sama dengan rakan yang mengajar di pekan kecil.

Apabila bercerita imbuhan, ia suatu yang begitu subjektif dan bergantung kepada persepsi individu. Ada guru menerima gaji sama dengan rakan lain, tetapi dia sedia bertugas pagi dan petang bagi menjayakan proses pengajaran dan aktiviti kokurikulum sebagai inisiatifnya untuk melihat pelajar mendapat pendidikan seimbang.

Guru sebegini sedia menghulurkan bantuan kerana pada mereka kerja adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas. Pendidik kelompok ini akan menjadikan tugasan sebagai aktiviti menyeronokkan dan menjadikan hidup mereka gembira setiap kali berada di samping pelajar.

Kita tidak boleh menyamakan pengorbanan guru dengan wang ringgit kerana segala yang disumbangkan itu adalah terlalu berharga dan tidak ternilai. Tugas mulia seorang guru sering dijadikan pedoman masyarakat yang sering mengaitkan anak guru lazimnya seorang yang cerdik, pintar dan pandai.

Jika diteliti secara mendalam, andaian itu memang betul. Jika guru ikhlas lakukan tugas dengan penuh tanggungjawab pastinya anak mereka mendapat berkat. Keberkatan itu dilihat dengan pencapaian cemerlang anak mereka dalam akademik, selain pembangunan sahsiah membanggakan.

Walaupun kerajaan mengemaskinikan pendapatan guru dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mendapat imbuhan setanding penjawat awam lain, pada masa sama, banyak perkara perlu diambil kira terutama kekangan dana apabila berhadapan dalam situasi ekonomi tidak mengizinkan.

Sama ada di bandar, luar bandar malah di pedalaman, tugasan dilaksanakan penuh ikhlas pastinya mendapat kepuasan. Kepuasan melakukan sesuatu itu tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk wang ringgit, penghargaan, pingat, anugerah atau pujian daripada mana-mana pihak, sebaliknya itu adalah hadiah paling berharga daripada guru untuk dirinya sendiri.

Penulis ialah Ketua Pengarah Pelajaran

Berita Harian Online: 18 Mei 2010

Isnin, 17 Mei 2010

Ganjaran berdasar prestasi - TPM

KUANTAN 16 Mei - Berita baik kepada semua pengetua, guru besar dan guru.

Bermula tahun depan, mereka layak menerima wang ganjaran sehingga RM7,500 setiap seorang jika berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Wang ganjaran itu akan dibayar berdasarkan prestasi sekolah masing-masing yang dinilai pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang, Gambang dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan kenaikan pangkat seramai 15,320 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan 9,969 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Bukan Siswazah (PPPLD) bermula April lalu.

Muhyiddin berkata, wang ganjaran tersebut merupakan 'tawaran baru' kepada golongan pendidik supaya mengutamakan pencapaian dan keberhasilan sekolah masing-masing.

Menerusi tawaran itu, jelas beliau, pengetua dan guru besar yang berjaya mencapai sasaran KPI bagi sekolah masing-masing bakal menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500 seorang.

''Guru-guru di sekolah sama yang berada dalam kumpulan lima peratus ke atas pula akan menerima wang ganjaran sebanyak RM1,800 seorang dan 95 peratus guru berikutnya akan mendapat ganjaran RM900 seorang.

''Ganjaran ini akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah dalam ranking Skor Komposit iaitu lonjakan sebanyak 2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah," katanya.

Hadir sama pada majlis sambutan itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Muhyiddin memberitahu, semua pengetua, guru besar dan guru mungkin menerima wang ganjaran tersebut setiap tahun jika mampu meletakkan sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit yang ditetapkan.

''Wang ganjaran itu bukan dibayar sekali sebaliknya mungkin berkali-kali berdasarkan rekod pencapaian sekolah terbabit," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kenaikan pangkat bagi 25,289 PPPS dan PPPLD meliputi tiga kategori iaitu mengikut tempoh (time based) selama 10 tahun, guru cemerlang dan kenaikan secara hakiki bagi gred DGA32, DGA34, DG44, DG48, DG52 dan DG54.

''Kenaikan ini merangkumi pegawai yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, pensyarah institut pendidikan guru dan guru.

''Selain itu, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) meluluskan 3,205 jawatan pemangkuan gred DG44, DG48 dan DG52 bagi PPPS," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga, ujar Muhyiddin, bersetuju supaya urusan kenaikan pangkat secara mengikut tempoh gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah (PPS) dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.

Sejajar dengan matlamat kerajaan meningkatkan kualiti guru, katanya, PPS yang memperoleh ijazah doktor falsafah akan menikmati kenaikan satu gred jika memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan bermula tahun ini.

Dalam ucapannya juga, Muhyiddin memberitahu, pihaknya telah mengarahkan satu sistem pemantauan penempatan yang lebih cekap dan adil diwujudkan bagi mengatasi masalah guru yang bertugas di pedalaman.

Tegasnya, maklumat mengenai tempoh perkhidmatan guru di pedalaman perlu dikemas kini secara atas talian bagi memastikan mereka yang telah lama berkhidmat di kawasan itu diberi peluang bertugas di bandar pula.

''Dengan sistem pemantauan yang lebih cekap dan adil ini, kita akan dapat menjamin bahawa guru yang ditempatkan di luar bandar tidak disisihkan atau diabaikan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2010

Dr. Ibrahim Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2010



MUHYIDDIN Yassin menyampaikan replika cek kepada Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid pada Pelancaran Perayaan Hari Guru Ke-39 Peringkat Kebangsaan 2010 di Kompleks Sukan UMP, Gambang, semalam.


KUANTAN 16 Mei - Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Profesor Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2010 sempena sambutan Hari Guru ke-39 peringkat kebangsaan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang di sini hari ini.

Penganugerahan itu membolehkan Ibrahim menerima wang tunai RM10,000, pingat, trofi, dan sijil penghargaan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Tokoh Guru dianugerahkan kepada empat penerima iaitu bekas Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Awang Mohamad; bekas Pengetua Maktab Perguruan Rajang Sarawak, Encharang Agas; bekas guru dari Pulau Pinang, Datuk Chuang Keng Kung dan bekas Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin Kuala Terengganu, Ainun Jamilah Mohd. Ali.

Encharang yang kini berada di luar negara, diwakili oleh anaknya, Linggir Agas, 27, pada majlis tersebut.

Kesemua mereka turut menerima wang tunai RM10,000, pingat, trofi dan sijil penghargaan daripada Muhyiddin.

Ibrahim ketika ditemui menyifatkan anugerah itu sebagai penghormatan kepada guru di seluruh negara dan pencetus semangat kepada beliau dan warga pendidik untuk terus komited memajukan bidang pendidikan bagi pembangunan bangsa dan negara.

Beliau yang kini bertugas sebagai Naib Presiden/Timbalan Naib Canselor Kolej Universiti Inti berkata, anugerah itu juga merupakan satu tanggungjawab berat yang ditanggung bersama oleh warga pendidik.

"Anugerah ini sebenarnya untuk seluruh kaum guru. Walaupun kita beri anugerah untuk individu tertentu, itu hanya lambang sebab anugerah tersebut adalah di dalam bidang profesion pendidikan itu sendiri dan bila seseorang mencapai sesuatu, bukan dia sendiri yang mencapainya tetapi ramai orang lain yang membantu," katanya.

Beliau turut berpesan agar guru meningkatkan penguasaan ilmu berikutan cabaran kini yang semakin bertambah dari dalam dan luar negara.

"Guru tak hanya berada dalam zon selesa dan terima keadaan yang berubah. Kita sepatutnya bersama-sama pemimpin membawa perubahan kepada masyarakat dan negara," katanya.

Sementara itu, Ainun Jamilah, 62, menyifatkan anugerah yang diterima sebagai pengiktirafan ke atas pengorbanannya selama hampir 40 tahun dan juga warga pendidik seluruhnya.

"Jadi seorang pendidik merupakan tugas dan profesion sangat mulia terutama melihat kejayaan bekas-bekas pelajar walau pun ada yang kurang berjaya. Tetapi hakikatnya kita telah menabur jasa kepada mereka dan itulah satu puncak kepuasan dalam profesion perguruan," katanya.

Awang, 59, pula berasa terharu dan bangga dengan anugerah yang diterima serta menyifatkannya sebagai manifestasi pengiktirafan kerajaan kepada warga guru seluruh negara.

Beliau yang berkhidmat lebih 33 tahun pada masa sama mencadangkan supaya bilangan penerima tokoh guru diperluaskan bagi memberi lebih ramai guru yang berkaliber mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Mengenai individu yang menjadikan profesion perguruan pilihan terakhir, Awang mencadangkan supaya silibus yang digunapakai di maktab dan institut perguruan dikaji semula bagi melahirkan guru cemerlang.

Keng Kung, 72, turut melahirkan rasa terharu atas penganugerahan yang diberikan oleh pihak kementerian ke atasnya yang telah berkhidmat lebih 34 tahun dalam bidang perguruan.

"Bukan mudah nak jadi guru. Nak jadi guru, mesti lengkapkan diri dengan ilmu selain mempunyai karismatik dan bersikap penyayang kepada murid-murid," katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2010

Warga pendidik diminta terus amalkan budaya kerja cemerlang

KUANTAN 16 Mei - Warga pendidik diminta menggembleng tenaga dan usaha untuk terus mengamalkan budaya kerja cemerlang, bertanggungjawab dan menerapkan semangat mujahadah bagi melakukan yang terbaik demi anak bangsa.

Ketika membuat seruan itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, para pendidik hendaklah sentiasa bersedia berubah dari satu tahap amalan kerja yang biasa ke suatu tahap yang berprestasi tinggi.

Beliau berkata, warga pendidik perlu menggalas tugas besar untuk menjayakan transformasi dan pembaharuan pendidikan dengan satu hasrat dan tekad bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Katanya, kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar termasuk Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Satu Pelajar Satu Sukan dan pengenalan Bidang Keberhasilan Utama negara (NKRA).

"Ini adalah satu amanah besar yang terletak di bahu kita semua. Di samping itu, seluruh warga pendidik perlu saling membantu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mulia ini dengan hasrat untuk menghasilkan kejayaan secara kolektif. Bak kata pepatah Melayu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran sambutan Hari Guru ke-39 peringkat kebangsaan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff.

Alimuddin berkata, selaras dengan usaha mempromosikan budaya kerja yang tinggi, pihak kementerian akan memperkenalkan insentif kepada pengetua dan guru besar sekolah yang cemerlang berasaskan 'performance-based assesment.'

Beliau berharap langkah itu dapat memberi motivasi kepada semua pemimpin sekolah dan warga pendidik bagi meningkatkan prestasi dengan bersikap dinamik, bersemangat ketika menjalankan tugas, berdisiplin, mahir dalam mata pelajaran dan sentiasa mampu menghasilkan keputusan yang baik kepada sekolah masing-masing.

"Kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesionalisme guru, agendanya bukan hanya sekadar penambahbaikan skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata, malah turut bergantung pada tahap kualiti, kompetensi, jati diri dan semangat para guru.

"Faktor-faktor ini banyak mempengaruhi persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap profesion ini yang akhirnya, akan menentukan sejauh mana profesion keguruan akan terus dihormati dan dipandang tinggi," katanya.

Dalam ucapannya itu, Alimuddin turut menyatakan sasaran utama kementerian yang telah mengumumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sebagai penanda aras dalam soal kecemerlangan pendidikan, untuk dicontohi dan diteladani oleh semua sekolah.

Beliau turut menyentuh pemilihan semula tema sambutan Hari Guru "Guru Pembina Negara Bangsa" kerana ia bertepatan dengan peranan guru memupuk perpaduan di kalangan rakyat selaras dengan gagasan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Warga pendidik katanya, perlu menyedari hakikat bahawa pendidikan merupakan pemangkin terhadap pembinaan negara bangsa terutama bagi menyemai semangat kenegaraan di peringkat awal perkembangan murid sehinggalah ke pendidikan tinggi.

"Usaha yang gigih dan kerjasama erat daripada semua pihak khususnya di kalangan warga pendidik amat diperlukan bagi memastikan identiti nasional yang dihasratkan tercapai iaitu melahirkan murid yang memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh pada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyrakat penyayang, demokratik, liberal, bertolak-ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu," katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2010