Isnin, 28 Mac 2011

Guru lapor insiden gangguan seksual dapat penghargaan polis


MOHAMAD Nasir Ramli memeriksa perbarisan anggota polis pada sambutan Hari Polis Ke-204 di Tanjung Emas, Muar, Johor, baru-baru ini.


MUAR 27 Mac - Kepantasan seorang guru wanita melaporkan insiden gangguan seksual terhadap pelajar sekolahnya sehingga suspek ditahan, membolehkannya menerima penghargaan dalam sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini kelmarin.

Rosmah Kaharuddin, 47, yang merupakan kaunselor pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Muar telah menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Johor yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.

Jelas Rosmah, kerjasama antara pihak polis dan sekolah adalah amat penting dalam memastikan keselamatan para pelajar di dalam sekolah dan di luar kawasan sekolah.

"Dalam kejadian itu, pelajar-pelajar perempuan sekolah saya telah diganggu seorang lelaki di luar kawasan sekolah yang suka membuka pakaian di khalayak ramai.

"Bimbang kepada keselamatan para pelajar, saya membuat laporan polis dan selepas tangkapan dibuat, rupa-rupanya lelaki itu melakukan kes yang serupa di banyak tempat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, hubungan baik antara masyarakat dan polis membawa pelbagai manfaat dan kerjasama baik tersebut sewajarnya diteruskan.

Dalam majlis sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 peringkat IPD Muar, Mohamad Nasir turut menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah kepada tujuh orang awam yang memberi kerjasama baik dan pelbagai sumbangan kepada pihak polis.

Di samping itu, seramai 19 pegawai dan anggota dari IPD berkenaan diberi penghargaan di atas kejayaan dalam membanteras dan menyelesaikan kes jenayah di daerah ini.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan Pasukan T-Baton Wanita IPD Muar serta pertunjukan kawad kaki dari Kadet Polis SMK Dato Sri Amar Diraja Muar.

Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2011

Cadangan naik gaji guru bertugas luar waktu sekolah disokong

2011/03/28

SAYA ingin memberi maklum balas kepada komen Guru Jujur, Kuala Lumpur dalam ruangan ini yang disiarkan 26 Mac lalu.

‘Guru Jujur’ amat tidak berpuas hati atas cadangan CUEPACS menaikkan gaji guru yang sering bertugas di luar waktu sekolah. Alasan yang diberikan, guru lain yang terpaksa mengganti guru yang bertugas di luar.
Saya amat bersetuju dengan cadangan CUEPACS itu. Jika Guru Jujur ingin mendapat kenaikan gaji, sila berkecimpung dalam aktiviti di luar waktu sekolah. Pengalaman saya berbelas tahun aktif dengan aktiviti luar ini amat memerlukan pengorbanan diri dan ahli keluarga.

Mana tidaknya, setiap hujung minggu pasti akan keluar membawa murid untuk berkhemah bagi memberi peluang murid mendapat sijil demi masa depan mereka. Apabila bergerak di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru tidak diberi sebarang elaun, malah perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk minyak kereta, makan dan sebagainya.

Tidak cukup dengan itu, pada Ahad habis bertugas, Isnin pula perlu ke sekolah seperti biasa. Persoalannya, bila guru ini bercuti, bila guru ini berpeluang untuk bersama keluarga dan siapa yang hendak bagi bayaran gaji lebih masa apabila berkhemah guru perlu bertugas 24 jam sehari bersama murid.

Di mana Guru Jujur waktu hujung minggu?, mungkin sedang berada di rumah menonton televisyen atau ke pusat beli-belah bersama keluarga. Sedangkan guru yang bertugas ini berhempas pulas menjaga murid dan meninggalkan anak dan isteri di rumah tanpa apa-apa balasan.

‘Guru Jujur’ perlu berkecimpung dalam bidang ini supaya berasa apa yang kami rasa. Ramai yang tidak sanggup bertugas di luar waktu persekolahan. Kalau semua guru ini tidak lagi mahu berkerja di luar waktu pejabat, maka murid yang akan rugi.
Harap Kementerian Pelajaran pandanglah masalah kami. Sediakan seorang guru khas setiap sekolah untuk menggalas tugas seperti ini dan berikan hak cuti apabila bertugas pada Sabtu dan Ahad.

Apapun, terima kasih CUEPACS kerana mengambil berat masalah guru seperti kami ini yang jarang sekali dipandang oleh pihak pentadbiran sekolah untuk diberi anugerah cemerlang.

CIKGU NGO,
Perak

Berita Harian Online: 28 Mac 2011

Kaji kenaikan pangkat guru siswazah

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/03/28

KEMENTERIAN Pelajaran perlu mengkaji semula kenaikan pangkat guru siswazah yang terbabit dengan peralihan daripada Sistem Saraan Baru (SSB) kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002.

Kajian itu perlu berikutan kesukaran mereka memperoleh kenaikan gred daripada DG44 kepada DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP) berasaskan tempoh perkhidmatan.
SSB diperkenalkan pada 1992 manakala SSM menyusul 10 tahun kemudian sebagai penambahbaikan sistem sedia ada, namun ramai pendidik mendakwa wujud kekeliruan dan kepincangan dalam urusan dan laluan kenaikan pangkat.

Kementerian dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, berkata kajian sekumpulan empat pendidik itu mendapati kakitangan yang dilantik pada 1990 dan 1991 terpaksa berkhidmat sehingga 24 tahun untuk melayakkan mereka memperoleh kenaikan gred daripada DG44 kepada DG48.

Ini berbeza dengan guru yang dilantik pada 1995 yang hanya berkhidmat 20 tahun untuk memperoleh kenaikan berkenaan sedangkan mereka memiliki kelayakan akademik dan opsyen sama.

Kenyataan itu juga menyatakan, perkara berkenaan harus diperinci supaya kakitangan awam khususnya perkhidmatan pendidikan tidak mengalami kerugian dan ketidakadilan dalam skim itu.

Katanya, dalam urusan kenaikan pangkat KUP berasaskan tempoh perkhidmatan wujud perbezaan tempoh masa ketara dalam skim yang didakwa bertentangan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR).
Beliau berkata, artikel 23 (2) jelas menyatakan semua pekerja tanpa pilih kasih mempunyai hak sama rata dalam pekerjaan dan penggajian dalam skim sama.

“Peralihan SSB kepada SSM menyebabkan ada kakitangan mencapai tangga gaji mati dua hingga empat tahun sebelum layak untuk kenaikan DG48 mengikut jadual mata gaji Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)”, katanya.

Peralihan SSB kepada SSM menyebabkan guru yang menerima pelantikan pada 1990 dan 1995 memperoleh pergerakan gaji setara dan menikmati DG48 KUP berasaskan tempoh perkhidmatan pada 2014.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana kumpulan lantikan 1990 mengalami kerugian kekananan (senioriti) dua hingga empat tahun sehingga mereka yang dilantik pada 1990 seolah-olah bekerja dalam tempoh sama dengan pelantikan 1995.

Berita Harian Online: 28 Mac 2011

Sabtu, 26 Mac 2011

Kenaikan gaji guru biar ikut kejujuran diri

2011/03/26

SAYA ingin memberi pandangan berkenaan perubahan skim gaji yang dicadangkan Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), iaitu penilaian kenaikan gaji bergantung kepada pembabitan guru di luar waktu sekolah dalam bidang kemasyarakatan, sukan, kebudayaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Apabila guru aktif di luar, 70 peratus pengajaran dan pembelajaran akan terabai. Guru tidak dapat menumpukan perhatian kepada kedua-dua bidang, tambahan lagi dengan pelbagai perkara yang perlu dibereskan di sekolah.
Tugas guru yang aktif di luar terpaksa diambil alih oleh guru lain yang tidak banyak kerenah. Apabila skim baru ini terlaksana, guru aktif di luar diberi ganjaran kenaikan gaji dan ganjaran khas, manakala guru lain hanya melihat rakan mereka menerima ganjaran.

Kesannya, timbul tanggapan ketidakadilan dan rasa tidak puas hati dari setiap tahun.

Justeru, saya mencadangkan pelaksanaan Sistem Kenaikan Gaji berdasarkan kejujuran guru menilai diri mereka sendiri. Pihak berkuasa hendaklah mengeluarkan Pekeliling setiap tahun bagi guru yang ingin mendapatkan kenaikan gaji tahunan.

Guru berminat yang berasakan mereka sudah melaksanakan tugas dengan baik di sekolah boleh mengisi borang dan mendapat pengesahan guru besar dan pengetua tetapi bukan untuk mendapatkan sokongan.

Selepas borang diproses, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Nazir boleh memantau guru berkenaan seperti permohonan Guru Cemerlang.
Apalah salahnya prosedur ini digunakan untuk kenaikan gaji guru? Dengan cara ini pihak penilai dapat mengenalpasti adakah guru yang aktif di luar ini tidak mengabaikan kerja di sekolah.

GURU JUJUR,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 26 Mac 2011

Jumaat, 25 Mac 2011

Kementerian patut hebah kelebihan masuk Tingkatan Enam

2011/03/25

MERUJUK surat berkaitan Tingkatan Enam pada 19 Mac dan 23 Mac lalu. Isu ini sebenarnya berkaitan dengan komitmen semua pihak, hala tuju pelajar, dana dan yang terpenting masa depan pendidikan negara.

Keprihatinan semua pihak dari peringkat akar umbi hingga atasan perlu agar matlamat kerajaan untuk menjadikan pelajar Tingkatan Enam sebagai modal insan kelas pertama, terlaksana dengan jaya.

Adakah wujud keseragaman tindakan dan dasar Kementerian Pelajaran dengan dasar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam soal Tingkatan Enam?

Kita mencari arah tuju yang betul. Kita pada peringkat bawahan, ibu bapa dan pelajar semakin keliru. Seperti orang buta kehilangan tongkat atau orang kehilangan kaki untuk berdiri dan menjadi mandiri, maka berlakulah krisis identiti, mental dan dilema.

Saranan saya selepas berbincang dengan banyak pihak dan membuat analisis, semua pihak duduk semeja untuk menangani isu berkaitan Tingkatan Enam?

Kebaikannya, peringkat ini sama tahap dengan 0 Level, kemasukan ke universiti melalui jalan Tingkatan Enam lebih mudah dan terbuka luas, pendidikan di Tingkatan Enam menjadikan modal insan lebih berketerampilan, Tingkatan Enam lebih murah belanjanya, pendidikan tidak menjadikan generasi muda penghutang dalam usia rebung, mereka kurang terjebak gejala sosial kerana masih di bawah perhatian ibu bapa berbanding rakan yang memasuki kolej swasta.

Pihak kementerian perlu memberikan pendedahan mengenai keistimewaan pendidikan Tingkatan Enam jika benar-benar mahu memartabatkan dan memperkasakannya.
Jangan berkata sekolah perlu berfikir untuk mempromosikan Tingkatan Enam jika mahu ia wujud atau hadapi kemungkinan sekolah terbabit turun gred.

INSAN PRIHATIN,
Ampang, Selangor

Berita Harian Online: 25 Mac 2011

SMK Jengka Pusat teruskan kecemerlangan SPM 2010


Calon SPM 2010 bersama Hafidzah Jono (belakang tiga dari kiri) menunjukkan slip keputusan mereka di SMK Jengka Pusat, semalam.


MARAN 24 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat mengekalkan kecemerlangan sebagai antara sekolah terbaik peringkat tanah rancangan Felda di negeri ini dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan semalam.

Pengetuanya, Hafidzah Jono berkata, seramai 74 calon yang menduduki peperiksaan itu mencatat keputusan 100 peratus lulus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.45 berbanding 4.77 pada 2009.

Menurutnya, pencapaian paling membanggakan ialah bagi mata pelajaran Matematik Tambahan apabila mencatatkan 100 peratus lulus dengan empat calon mendapat A.

"Seramai 14 calon berjaya mencatatkan kejayaan cemerlang memperoleh sekurang-kurangnya 6A, 7A, 8A dan 9A dalam peperiksaan berkenaan.

"Berdasarkan keputusan itu SMK Jengka Pusat menduduki kedudukan ke-17 daripada 179 sekolah di Pahang dan tempat kedua selepas SMK Seri Jengka daripada 19 sekolah Maran.

"SMK Jengka Pusat turut menduduki tempat kesembilan daripada 22 sekolah tanah rancangan di Pahang dalam SPM 2010," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hafidzah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama guru, ibu bapa, pengurusan Felda, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta Jabatan Pelajaran yang memain peranan penting di atas kejayaan tersebut.

Sementara itu, pelajar terbaik SPM 2010, Nurul Farah Nadia Rusly yang memperolehi 9A 1B menyifatkan kejayaan tersebut adalah sokongan kedua-dua ibu bapa dan guru sekolahnya.

Dia memperoleh A+ untuk Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Islam dan Kimia manakala A dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik, A- (Bahasa Arab Tinggi, Biologi dan Matematik Tambahan ) serta B+ untuk Fizik.

Menurutnya, dengan dorongan dan tunjuk ajar mereka, dia mempunyai keyakinan dan semangat untuk meraih kejayaan cemerlang.

"Memberi tumpuan ketika guru mengajar, membuat latihan, belajar berkumpulan dan bertanya guru jika kurang faham mengenai sesuatu tajuk antara rahsia kejayaan ini.

"Pelajar tidak harus malu untuk bertanya sebarang soalan dan jangan pendam di hati kerana ia merugikan diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kurikulum, Mohd. Rozi Mat Sani berkata, pihaknya telah mengatur strategi dan program khas untuk memastikan keputusan SPM 2011 adalah lebih baik.

Utusan Malaysia Online: 25 Mac 2011

Pelajar kena cekup maki guru

2011/03/25

KUALA TERENGGANU: Pelajar perempuan berusia 14 tahun memaki guru dan anggota RELA yang menahannya bersama dua rakan dalam Operasi Ponteng Sekolah peringkat negeri, semalam.

Kejadian berlaku di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, ketika pelajar berkenaan yang berpakaian biasa asyik menyaksikan acara sukan Majlis Sekolah Daerah Kuala Terengganu Utara kira-kira jam 10 pagi.

Pelajar itu antara 53 pelajar berusia antara 14 dan 17 tahun yang ditahan dalam operasi ponteng sekolah bermula jam 8 hingga 11 pagi.

Dalam operasi itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Azahar Abu Bakar, berkata 13 pelajar ditahan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gong Badak), SMK Bukit Besar (14), SMK Bukit Tunggal (sembilan), SMK Seri Budiman (tujuh) dan masing-masing tiga dari SMK Bukit Guntong; SMK Agama Tok Jiring dan SMK Ibrahim Fikri serta dua SMK Panji Alam.

“Lokasi serbuan adalah port pelajar itu ponteng. Kita juga menahan beberapa pelajar ponteng kononnya untuk menyokong rakan yang menyertai acara sukan di kompleks itu,” katanya selepas memberi taklimat kepada pelajar terbabit dan ibu bapa mereka di Dewan SMK Ibrahim Fikri, semalam.

Berita Harian Online: 25 Mac 2011