Ahad, 25 Mei 2008

Biar pakar kaji pakaian seragam

KLUANG 24 Mei - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyerahkan kepada pakar bagi menentukan sama ada pakaian seragam sekolah pelajar perempuan patut diganti bagi mengatasi masalah gangguan seksual.

Beliau berkata, luahan daripada orang ramai dan pihak-pihak tertentu yang mengatakan pakaian seragam pelajar perempuan seksi diserahkan kepada para pegawai di kementeriannya yang pakar mengenai perkara itu untuk memikir dan mengkajinya.
Bagaimanapun, secara peribadi beliau tidak melihat pakaian seragam yang ada kini mempunyai reka bentuk yang menampakkan keseksian seseorang pelajar perempuan sehingga mendatangkan masalah.

"Tidak ada seksinya pakaian seragam ini. Ia telah dipakai sejak bertahun-tahun lamanya," katanya ketika ditanya mengenai saranan orang ramai agar pakaian seragam sekolah pelajar perempuan ditukar untuk mengelak gangguan seksual.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Paloh di sini hari ini.

Hishammuddin turut menyifatkan saranan berkenaan sebagai perkara biasa kerana selama ini sentiasa ada pandangan yang berbeza dan tidak bersetuju mengenai soal pendidikan.
Bagaimanapun, ujarnya, dalam soal gangguan seksual membabitkan pelajar sekolah, adalah tidak adil untuk menyalahkan cara mereka berpakaian semata-mata.
Katanya, yang perlu dilihat adalah pihak yang melakukan kerja-kerja jenayah dan tidak berperikemanusiaan.

"Mereka ini memang golongan berpenyakit. Buat macam mana pun ia tidak akan mengurang dan membetulkan keadaan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2008

Tiada ulasan: