Selasa, 20 Mei 2008

Guru ponteng: Tindakan tegas akan diambil

BATU PAHAT 11 Mei - Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan tegas termasuk memecat seorang guru di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Perak jika siasatan membuktikan guru itu 'ponteng' mengajar dengan sengaja.

Timbalan menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya guru terbabit didapati ponteng atau bercuti tanpa alasan munasabah.

"Kementerian sedang menunggu laporan lengkap mengenai kes tersebut daripada pengarah pelajaran negeri dan ia dijangka diterima esok," katanya selepas merasmikan Majlis Keselamatan Kanak-Kanak Sekolah di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.

Semalam, sebuah stesen televisyen tempatan melaporkan rungutan ibu bapa mengenai tindakan seorang guru di sebuah SJKT di Ipoh yang kerap tidak hadir mengajar di sekolah.

Ka Siong berkata, maklumat awal mendapati guru itu telah tidak hadir ke sekolah selama 30 hari sejak awal Januari lalu dan dia hanya memaklumkan mengenainya kepada pihak sekolah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata, kementerian mengambil serius kes tersebut walaupun ia merupakan kes terpencil dan jarang berlaku.

"Tindakan tegas perlu dilakukan kerana tidak mahu menjejaskan kerjaya perguruan," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas Majlis Dialog Dengan Warga Pengajar di sebuah restoran di sini, Ka Siong berkata, kementerian akan mengkaji semula kenaikan pangkat guru penolong kanan dan guru bukan siswazah kepada siswazah yang kini dianggap tidak munasabah.

Beliau berkata, guru-guru penolong kanan merungut kerana kenaikan pangkat yang diberikan tidak setanding dengan kenaikan gaji dan beban kerja juga yang ditanggung.

Katanya, guru bukan siswazah yang bertukar status kepada guru siswazah pula mendakwa jumlah kenaikan gaji mereka terlalu sedikit.

Menurutnya, rungutan-rungutan tersebut akan diambil perhatian dan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kajian dan tindakan selanjutnya.

Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2008


Tiada ulasan: