Sabtu, 31 Mei 2008

Rajenthran bersara selepas 30 tahun jadi pendidik

SELEPAS berkhidmat lebih 30 tahun dalam bidang pendidikan, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya, Selangor, A Rajenthran akhirnya bersara, sekali gus meninggalkan profesion dicintai itu.

A Rajenthran yang memegang jawatan terakhirnya sebagai Pengetua di sekolah berkenaan memulakan kerjaya perguruan di SMK Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.

Selepas enam tahun berkhidmat, beliau dipindahkan ke Selangor dan mengajar di beberapa sekolah termasuk SMK Sri Kembangan dan SMK Seksyen 16 Shah Alam.

Selain mengajar, anak jati Melaka itu terbabit aktif dalam bidang kejurulatihan olahraga, sekali gus membolehkannya bertugas di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur, selain dilantik jurulatih olahraga selama lapan tahun.

A Rajenthran ketika ditemui, berkata walaupun pelbagai tawaran diterima daripada kolej swasta tetapi beliau belum membuat keputusan menyertai mereka kerana ingin berehat.

“Saya akan meneroka bidang baru yang lebih kompetitif dan perlu bekerja kerana anak-anak masih kecil dan memerlukan wang untuk perbelanjaan,” katanya.

Berita Harian Online: 31 Mei 2008

Tiada ulasan: