Jumaat, 30 Mei 2008

Sekolah premier di Marang kurang kemudahan

SAYA mempunyai dua anak yang belajar di sebuah sekolah premier di daerah Marang, Terengganu dan saya juga adalah bekas pelajar di sekolah itu suatu ketika dulu.

Saya bangga kerana sekolah itu dinaikkan taraf sebagai sekolah premier dan mempunyai pencapaian akademik serta sukan yang cukup membanggakan.

Namun, saya agak terkilan kerana sekolah itu, walaupun begitu berhampiran Pejabat Pelajaran Daerah dan terletak di dalam bandar Marang kelihatan terpinggir dari segi kemudahan asas. Sekolah berkenaan tiada kemudahan padang dan gelanggang permainan.

Ketika meninjau kawasan sekitarnya, bukan saja padang, malah gelanggang takraw atau bola jaring pun tiada. Pihak berkenaan sewajarnya mengambil tindakan memohon kawasan belakang sekolah dan sekitarnya yang masih luas dengan semak samun untuk dijadikan kawasan padang permainan.

Saya juga dapati saiz kantin sekolah cukup kecil bagi menampung sejumlah 2,000 pelajar. Begitu juga beberapa bangunan yang saya rasa tidak sesuai dan berbahaya seperti bangunan kelas dan surau yang berisiko tinggi kerana terletak di tebing bukit.

Laluan masuk sama ada dari luar dan dalam kawasan sekolah juga tidak selamat sekiranya berlaku kecemasan. Tidak ada sama sekali kawasan selamat untuk berhimpun sekiranya berlaku kebakaran. Saya rasa kenderaan bomba pun tidak mampu masuk ke kawasan sekolah dan asrama berkenaan sekiranya berlaku kecemasan.

Selain itu, sebagai sekolah premier yang mempunyai asrama adalah tidak wajar pelajarnya terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk menunaikan solat Jumaat kerana tiada kemudahan bas sekolah. Sedangkan ada sekolah yang sudah ada bas tapi mendapat pula tambahan bas baru.

Begitu juga dengan ketiadaan kemudahan kelas komputer untuk pelajarnya. Satu perkara lagi yang saya rasa agak terkilan apabila seorang anak kenalan saya yang mempunyai masalah disiplin di sekolah biasa dikenakan tindakan ‘buang sekolah’ dan diberi penempatan baru di sekolah premier itu.

Adalah tidak wajar sekolah premier juga berfungsi sebagai tempat penempatan pelajar bermasalah kerana ia sudah pasti mengganggu pelajar yang sedia ada.

Jadi adalah perlu demi pembentukan pendidikan yang lebih cemerlang di daerah Marang satu tindakan segera perlu dibuat pihak sekolah, PIBG, PPD, JPN, Pejabat Daerah dan Tanah, kerajaan negeri dan wakil rakyat setempat mahupun Parlimen.

PENINJAU SEKOLAH
Marang, Terengganu.

Berita Harian Online: 30 Mei 2008

Tiada ulasan: