KUALA LUMPUR 30 Mei - Hasil keseluruhan kajian mengenai prestasi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan diumumkan hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, pengumuman itu dibuat selepas pihaknya mengetahui keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 11 September depan.
''Hasil kajian ini penting kerana ia adalah sebagai penanda aras. Kita akan buat apa- apa keputusan berdasarkan itu,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) Ke-17 di Serdang dekat sini hari ini.
Isu sama ada PPSMI wajar diteruskan atau tidak menjadi perhatian apabila rakyat pelbagai peringkat mendesak ia dihentikan sementara beberapa lagi mahu ia diteruskan.
Isu itu turut diperdebatkan di Parlimen baru-baru ini.
Menurut Razali, hasil keseluruhan kajian mengenai PPSMI itu meliputi tinjauan ke atas responden yang terdiri daripada murid-murid sekolah.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memandang serius mengenai tahap penguasaan Bahasa Inggeris para pelajar di negara ini yang didapati masih lemah.
Menurutnya, kelemahan itu dikenal pasti wujud di kalangan para pelajar sekolah menengah sehinggalah ke peringkat penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Menurutnya, ini diterjemahkan melalui keputusan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
''Keputusan peperiksaan PMR secara umumnya menunjukkan hanya 35 peratus pelajar yang mencapai tahap kelancaran dan kefasihan bahasa Inggeris sementara dalam keputusan MUET, kita dapati ada pelajar yang dapat band one, band two.
''Ini menunjukkan usaha perlu dilakukan segera,'' jelasnya.
Dalam sistem pemarkahan MUET, tahap pencapaian diukur dari band 1 sehingga 6. 1 merujuk kepada tahap pencapaian yang paling rendah sementara 6 merupakan pencapaian terbaik.
Utusan Malaysia Online: 31 Mei 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan