Selasa, 15 Februari 2011

Dasar pendidikan negara utamakan semua kaum - TPM

JASIN 14 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar pendidikan yang diamalkan di negara ini sejak negara merdeka, sentiasa mengutamakan kepentingan dan keperluan semua kaum.

Menurutnya, setiap rakyat negara ini, selagi memegang kerakyatan Malaysia dan taat setia kepada negara berhak menikmati pelbagai kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan.

''Kerana kita sedar, kalau kita mahu mencapai kemajuan besar dalam negara kita dan mahu menjadi negara maju menjelang 2020 nanti, perkara penting yang harus kita beri tumpuan adalah soal pelajaran," katanya semasa berucap merasmikan majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Merlimau di sini hari ini.

SJKT Tamil Merlimau yang dibina di kawasan seluas 2.104 hektar menelan belanja kira-kira RM4 juta dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong, Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar kerajaan tidak membezakan soal pelajaran dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat pelbagai kaum dan keturunan.

''Dasar kerajaan tidak membezakan soal pelajaran, sesiapa sahaja yang ada anak berhak pergi ke sekolah, tidak kira anak ini datang dari kaum India, Melayu, Cina, Iban atau Orang Asli," kata beliau.

Katanya, kerajaan juga tidak ada halangan menyediakan kemudahan pendidikan sempurna kepada mana-mana kaum yang mementingkan penguasaan ilmu bahasa ibunda masing-masing kerana apa yang penting bagi kerajaan ialah menyalurkan pengetahuan sewajarnya untuk semua kaum.

Misalnya, menurut beliau, kerajaan tidak teragak-agak menyediakan peruntukan bagi pembinaan SJKT Merlimau demi membolehkan kaum India menguasai pengetahuan dalam bahasa ibunda.

Usaha itu, katanya, sebahagian daripada komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kaum India tidak tertinggal daripada menikmati pelbagai kemudahan pendidikan yang dirancang oleh kerajaan.

''Di negara ini, kaum minoriti atau sebaliknya, selagi dia rakyat Malaysia, dia taat setia kepada negara ini maka dia berhak mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.

''Ini kerana, kita mahu melihat negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang menjadi negara maju yang mempunyai rakyat berpengetahuan dan kelayakan kemahiran yang cemerlang," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap SJKT Merlimau kelak mampu melahirkan lebih ramai murid cemerlang dan seterusnya dapat berkhidmat kepada masyarakat.

Utusan Malaysia Online: 15 Februari 2011

2 ulasan:

gurubengang berkata...

dalam mengambil hati semua kaum, besarlah harapan semua guru agar dasar pendidikan kebangsaan yang berteraskan melayu terus dipertahankan

Tanpa Nama berkata...

28:59 Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Dia mengutus ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.http://mqtkmalaysia.blogspot.com/2011/02/wasiatku-pada-manusia-di-akhir-zaman.html //