Jumaat, 11 Februari 2011

Kelas maya di sekolah menengah


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memerhatikan seorang murid, Hafizudin Rasul menggunakan E-Book di SK Paya Bunga, Kuala Terengganu, kelmarin. - utusan/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA TERENGGANU 10 Feb. - Mulai tahun ini, kerajaan negeri akan melaksanakan konsep pembelajaran kelas maya untuk pelajar tingkatan satu di semua sekolah menengah di Terengganu.

Buat permulaan, kelas maya akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong dan SMK Mak Lagam bulan ini sebagai projek perintis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sekiranya mendapat sambutan, ia akan diperluaskan ke seluruh sekolah menengah di negeri ini.

Beliau memberitahu, sekiranya berjalan lancar, semua sekolah menengah di Terengganu akan dilengkapi dengan konsep pembelajaran kelas maya.

Menurutnya, kelas maya tersebut akan menggabungkan dua elemen peralatan pembelajaran yang bakal digunakan oleh pelajar serta guru iaitu buku elektronik, E-Book untuk pelajar manakala komputer riba untuk guru.

"Kita sudah berbincang dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi berhubung perkara ini untuk dilaksanakan di 10 sekolah siber di negeri ini dan Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang ada sekolah jenis ini," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyerahkan E-Book kepada 567 murid tahun lima sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini hari ini.

Pada masa ini, kelas maya mula dilaksanakan di sekolah rendah di Terengganu dengan tiga buah sekolah iaitu SK Paya Bunga, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Teluk Kalong dipilih sebagai projek perintis sebelum dikembangkan ke sekolah lain.

Ahmad Razif memberitahu, sekolah siber terdapat di setiap daerah di negeri ini antaranya SMK Kompleks Seberang Takir, SMK Telemong, SMK Seri Nilam, SMK Tengku Bariah, SMK Kuala Besut, SMK Seri Dungun dan SMK Saujana.

Beliau berkata, setiap kelas maya bakal dilengkapkan dengan pelbagai fasiliti.

Utusan Malaysia Online: 11 Februari 2011

Tiada ulasan: