Isnin, 21 Februari 2011

Guru sertai seminar keselamatan masa kini


SAUFI Majid (kanan) menyampaikan hamper kepada wakil Ibu Pejabat Polis Negeri Kelantan pada seminar isu-isu keselamatan negara masa kini di Dewan Sri Bentara SMK Beris Panchor, Bachok, semalam.


BACHOK 20 Feb. - Lebih 500 guru di jajahan ini mengikuti seminar isu-isu keselamatan negara masa kini anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Bachok di Dewan Sri Bentara, Sekolah Menengah Beris Panchor, dekat sini semalam.

Pegawai Pelajaran Daerah itu, Saufi Majid berkata, program sehari itu mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Negeri Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang melibatkan ceramah yang berkaitan dan sesi dialog bersama guru.

Beliau berkata, pendedahan berkaitan dengan isu-isu keselamatan negara yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Urus Setia Bukit Aman, Datuk Dr. Abd. Rahman Ismail memberi banyak manfaat kepada warga guru yang sepatutnya menyampaikan maklumat yang sama kepada masyarakat setempat.

"Di antara objektif penganjuran seminar itu bertujuan mewujudkan tahap kesedaran keselamatan di kalangan guru dan mendapat penjelasan yang jelas tentang isu-isu semasa.

"Ia juga bertujuan mengelakkan guru dari mudah terpedaya dengan dakyah pihak tertentu tanpa mengetahui fakta yang sebenar," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian seminar tersebut di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Saufi berkata, seminar itu juga berjaya mewujudkan hubungan dan jaringan kerjasama antara Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan warga pendidik dalam jajahan Bachok dan mewujudkan persefahaman berterusan bagi menangani pelbagai masalah yang timbul di sekolah.

Beliau berkata, perkembangan teknologi maklumat hari ini banyak membawa kepada perkembangan ilmiah dan informasi, namun ada pihak tertentu memanipulasikan kemudahan itu untuk kepentingan peribadi dan politik yang sempit sehingga wujudnya pencabulan hak asasi manusia dan falasi politik.

"Semua persoalan yang berkaitan dengan penyalahgunaan teknologi maklumat ini dikupas menerusi seminar ini termasuk mendedahkan tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan menyebarkan dakyah negatif untuk mencapai matlamat dan hasrat peribadi.

"Sekiranya dibiarkan ia boleh membawa ancaman kepada keselamatan negara dan wajar golongan guru diberi pendedahan yang terperinci," katanya.

Saufi turut menarik perhatian guru agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah politik pihak tertentu untuk mempengaruhi mereka supaya bangkit menentang aspirasi negara dan perjuangan arus perdana yang digerakkan oleh kerajaan.

Utusan Malaysia Online: 21 Februari 2011

Tiada ulasan: