KECINTAANNYA pada dunia pendidikan membuatkan bekas Guru Besar SK Kebangsaan Bandar Baru Sungai Lalang (SKBBSL), Sungai Petani, Kedah, tidak pernah mengeluh.
Rohimah Tujin gembira dapat menabur bakti mendidik anak bangsa menjadi masyarakat berilmu meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.
Kini, selepas 35 tahun 'menghambakan' diri pada dunia pendidikan, akhirnya dia bersara wajib dan mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya kesayangannya.
"Selama lebih tiga dekad saya bergelar guru, banyak pengalaman manis dan pahit, tetapi kerjaya ini paling saya sayang.
"Kini, tiba masanya saya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pendidikan. Sedih kerana terpaksa berpisah dengan pelajar dan guru yang menjadi sebahagian daripada hidup.
"Bagaimanapun, saya puas kerana dapat melihat kejayaan mereka, justeru penat lelah selama ini berbaloi," katanya ketika diraikan dalam majlis persaraan, baru-baru ini.
Selama enam tahun bertugas di sekolah berkenaan, anak kelahiran Langgar, Kedah ini melaksanakan amanahnya dengan cemerlang apabila menjadikan SKBBSL digeruni dalam kokurikulum terutama hoki dan kriket.
Dalam bidang akademik pula, sekolah itu mencatatkan peratus lulus tertinggi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2009 dengan 36 pelajar memperoleh 5A sejak sekolah itu beroperasi pada 2001.
"Saya boleh bersara dengan gembira kerana berjaya membawa sekolah ini melangkau keupayaannya dalam bidang kokurikulum dan akademik, " katanya.
Dia mendapat pendidikan awal di SK Kupang, Baling, Kedah sebelum ke SM Baling (1967-1969) dan SM Perempuan Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur (1970-1971).
Memulakan profesion perguruannya apabila mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang pada 1973.
Mulai 1 Januari 1975, dia bertugas sebagai guru di SM Siong, Baling hingga 1979 dan bertukar ke SM Jerai pada 1980.
Turut mengajar di SM Bukit Changgang, Kuala Langat (1981-1984) dan SM Jugra, Banting (1985-1988) sebelum kembali mengajar di SM Kuala Pegang (1989-1991) dan SM Kebangsaan Kuala Ketil (1992-1995).
Kebolehannya mendapat pengiktirafan apabila dilantik sebagai Penolong Kanan (PK) Hal Ehwal Murid di SK Kuala Ketil (1995-1997) dan PK Pentadbiran SK Sri Gedong, Sungai Petani (1997-1998).
Akhirnya menjawat jawatan Guru Besar di SK Haji Omar Tahir, Merbok (1999-2000) dan SK Sungai Layar, Sungai Petani (2001-2005) sebelum ditukar ke jawatan sama di SKBBSL sejak 2005 hingga bersara.
Majlis persaraannya diraikan 1,500 pelajar dan guru.
myMetro: 14 Februari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan