Ahad, 17 April 2011

Tak langgar etika perguruan

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Selagi tidak melanggar etika perguruan dan mengabaikan pekerjaannya, dia boleh melakukan apa saja kerana itu haknya.

“Bagi saya, tindakannya tidak salah kerana dia tidak mengganggu individu lain, sebaliknya hanya mencari hiburan sendiri,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan ketika diminta mengulas penghasilan klip video miming Cikgu Syida.


Menurutnya, dia tidak melihat apa dilakukan guru itu boleh merosakkan profesyen guru, sebaliknya ia adalah perkembangan sihat.

Katanya, jika dilihat daripada sudut positif, ia menunjukkan daya kreativiti guru berkenaan kerana mampu melakonkan pelbagai aksi di depan kamera mengikut kesesuaian lagu.


“Meraih populariti sejuta pengunjung adalah luar biasa bagi individu biasa dan secara tidak langsung membuktikan guru zaman kini serba boleh.


“Walaupun buat masa kini dia lebih terarah menghasilkan klip video berbentuk hiburan, mungkin satu hari nanti dia mampu merakam video yang mempunyai unsur ‘edutainment’,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Katanya, melihat populariti diterimanya, dia percaya guru berkenaan ada peminat sendiri dan ia mungkin boleh dijadikan ruang untuk menerapkan elemen positif melalui penghasilan klip videonya.

Hashim berkata, laman Youtube mampu dilayari sesiapa saja dari seluruh dunia dan ini bererti video itu boleh ditonton pelbagai golongan, sekali gus menaikkan institusi perguruan.

“Walaupun ada pihak berpendapat tindakan itu (penghasilan klip video) memburukkan nama guru, NUTP tidak melihat ia sebagai sesuatu yang salah dan tidak ada rasionalnya mengenakan tindakan terhadap Cikgu Syida.

“Sebaliknya, ia lebih kepada kebebasan individu untuk mencari hiburan sendiri dan pada masa sama berkongsi minat itu bersama orang luar,” katanya.

myMetro: 17 April 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya rasa ianya bukan 'edutainment'. Ianya nak bagi contoh kepada murid & pelajar untuk jadi future Raja Lawak.