SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga pendidik daerah
Lipis khususnya Pejabat Pelajaran Daerah Lipis kerana telah berjaya
melaksanakan tugas selaku tuan rumah Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri
Pahang 2012 dengan begitu jayanya.
Hal ini membuktikan kepada umum bahawa warga pendidik sememangnya
bertaraf dunia, dapat melaksanakan apa sahaja tanggungjawab yang
diamanahkan dengan penuh kebertanggungjawaban.
Sambutan bermula dengan pertandingan memancing, memasak gulai
tempoyak ikan patin, pertandingan woodball, pertandingan golf, kayuhan
pendeta, mendaki Gua Bama, pameran pendidikan, rawatan kesihatan, ziarah
hospital, makan malam, sehinggalah ke hari pelancaran oleh Menteri
Besar Pahang, sambutan daripada warga pendidik sangat menggalakkan dari
seluruh negeri Pahang.
Saya ingin respon tentang program 'Pengarah Turun Padang' yang
dinyatakan oleh Yahaya Zainal Abidin, Pengarah JPN Pahang dalam
ucapannya. Tahniah kerana beliau telah banyak melawat sekolah dan sesi
perjumpaan dengan warga pendidik telah dilakukan. Beliau menunjukkan
komitmen berjumpa dengan seluruh warga pendidik dan memberikan motivasi
kepada guru-guru. Warga pendidik sangat-sangat teruja dan berterima
kasih kerana dikunjungi dalam suasana mesra dan santai. Guru-guru dapat
meluahkan masalah tanpa ada rasa tertekan. Inilah yang guru-guru
mahukan, peringkat atasan sanggup turun ke akar umbi menyelami masalah
di kalangan ahli.
Bagaimanapun, kami mengharapkan pelaksanaan program ini dapat
diterjemahkan kepada 'Pegawai Pelajaran Daerah Turun Padang' atau
ringkasnya 'PPD Turun Padang'.
Banyak maklumat akan dapat apabila turun sendiri ke sekolah. Bukannya
bermakna tidak percaya kepada pegawai-pegawai yang sebegitu ramai di
PPD.
Kami mahu Pegawai PPD lihat sendiri keadaan sekolah di daerah
masing-masing terutamanya Sekolah Kurang Murid (SKM) dan jauh di
pedalaman.
Lihat sendiri keadaan fizikal sekolah dan hulurkan bantuan segera. Jangan asyik tertumpu kepada sekolah-sekolah elit di bandar.
Guru-guru akan berasa bangga sekiranya Pegawai PPD datang ke sekolah
tanpa perlu dijemput dengan surat panjang berjela. Guru-guru begitu
memerlukan perhatian dan suntikan semangat dari Pegawai PPD.
Jangan tunggu keputusan peperiksaan sudah merosot barulah datang
untuk mencari kelemahan guru-guru. Musim peperiksaan UPSR, PMR dan SPM
tidak lama lagi, inilah masanya Pegawai PPD bertemu murid-murid yang
akan menduduki peperiksaan dan juga guru-guru yang bertungkus-lumus
tanpa mengira waktu.
Lihat sendiri bagaimana bersemangatnya guru-guru mencurahkan ilmu
bagi menaikkan nama sekolah dan daerah masing-masing. Semoga tema 'Guru
Menjana Transformasi Pendidikan Negara' dihayati dan dekat di hati
seluruh warga pendidik.
Utusan Malaysia Online: 26 Jun 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan