Selasa, 19 Jun 2012

Hala tuju pendidikan makin jelas

Oleh Syuhada Choo Abdullah, Shaarani Ismail dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2012/06/19

Profesionalisme, kebajikan, kemahiran guru agenda paling popular DNPN

KUALA LUMPUR: Profesionalisme perguruan, kebajikan dan kemahiran guru menjadi topik paling popular dalam siri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) dan perbincangan meja bulat yang diadakan di seluruh negara setakat ini.
Kira-kira 27 peratus responden terbabit dalam lapan siri DNPN dan tujuh perbincangan meja bulat sejak April lalu, menyentuh aspek itu, manakala 14 peratus lagi mengenai aspirasi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan.
Selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumuskan, satu laporan akhir disediakan yang kemudian akan digunakan untuk menentukan hala tuju pendidikan baru negara. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri
Topik popular lain ialah kualiti sekolah (12 peratus), kepimpinan sekolah (11 peratus), kurikulum dan pentaksiran (10 peratus), peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (sembilan peratus), kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian (tujuh peratus), kecekapan dan keberkesanan penggunaan sumber (lima peratus), kemahiran bahasa (tiga peratus) dan peluang lepasan menengah (satu peratus).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan dapatan awal DNPN itu, Kementerian Pelajaran mendapati profesionalisme perguruan, aspirasi rakyat terhadap sistem pendidikan dan kemenjadian murid perlu diberi perhatian utama dalam transformasi pendidikan negara.

Seramai 8,415 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan, termasuk wakil agama menyertai DNPN setakat ini.

“Masih ada lima siri dialog sehingga pertengahan bulan depan. Saya harap mereka memanfaatkan peluang itu untuk memberi input dan pandangan,” katanya menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) di Dewan Rakyat, semalam.
Selain DNPN, Muhyiddin berkata, tujuh perbincangan meja bulat sudah diadakan mengikut kumpulan seperti penggerak masyarakat, ahli akademik, tokoh dan pemimpin masyarakat, termasuk kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, kebanyakan isu dibangkitkan pada meja bulat itu menyentuh persoalan hampir sama dalam siri DNPN, termasuk kualiti guru, sistem pendidikan, kurikulum dan pentaksiran, kualiti sekolah, kepimpinan sekolah, penekanan kepada nilai dan disiplin murid, pembabitan ibu bapa dan pendidikan yang bebas daripada campur tangan politik.

Lapan lagi sesi perbincangan akan diadakan sebelum pertengahan bulan depan.

Di samping itu, pertubuhan, persatuan, kesatuan, kumpulan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menghantar 22 memorandum mengandungi pandangan, resolusi serta cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata, selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumuskan, satu laporan akhir disediakan yang kemudian akan digunakan untuk menentukan hala tuju pendidikan baru negara.

“Rangka tindakan pendidikan itu kemudian akan dibentangkan semula kepada rakyat untuk mendapat maklum balas akhir. Rangka yang sudah dimurnikan akan dibentang kepada Kabinet untuk dilulus dan dilaksanakan.

“Apabila selesai pembinaan hala tuju pendidikan yang baru, kementerian akan menyediakan pula pelan tindakan bersesuaian untuk menterjemahkan hasrat hala tuju pendidikan itu dalam bentuk inisiatif baru,” katanya.

Berita Harian Online: 19 Jun 2012

Tiada ulasan: