Isnin, 18 Jun 2012

Profesionalisme perguruan fokus utama - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 18 Jun - Bidang profesionalisme perguruan dan aspirasi rakyat terhadap sistem pendidikan serta kemenjadian murid menjadi fokus utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha mentransformasi pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia merupakan dapatan awal daripada lapan siri Dialog Nasional Pendidikan yang melibatkan 8,415 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan termasuk wakil daripada bidang keagamaan yang telah dilaksanakan sehingga kini.
Beliau berkata, masih terdapat lima siri dialog akan berlangsung sehingga pertengahan bulan ini yang bertujuan mendapatkan maklumat dan pandangan masyarakat bagi menyediakan hala tuju pendidikan yang lebih baik pada masa hadapan.
"Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak agar dapat memanfaatkan peluang yang masih ada ini untuk bersama-sama memberi input dan pandangan demi masa depan sistem pendidikan negara," katanya ketika menjawab pertanyaan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Boon Soon meminta Menteri Pelajaran menyatakan hala tuju atau arah baru Kementerian Pelajaran dalam usaha mentransformasi Dasar Pelajaran Negara. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 18 Jun 2012

Tiada ulasan: