Rabu, 2 September 2009

SMK Khai Mun dapat termometer digital



CHAMANG – Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Kebangsaan Khai Mun menyumbangkan sebanyak empat unit termometer (jangka suhu) digital untuk keperluan kakitangan dan pelajar sekolah ini.

Pengerusinya, Datuk Hoh Khai Mun berkata, termometer digital ini akan digunakan untuk membuat ujian saringan awal bagi mencegah penularan Influenza A H1N1 dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, sebagai�mana diketahui sekolah merupakan salah satu tempat penularan wabak ini dengan mudah di mana ia dapat dilihat menerusi penutupan beberapa sekolah sebelum ini.

“Sebagai menjalankan tanggungjawab sosial kepada pelajar dan kakitangan sekolah ini, ahli jawatankuasa Lembaga Pengelola sekolah ini sepakat untuk menyumbangkan peralatan ini.

“Sebanyak RM2,200 dikeluarkan untuk membeli peralatan ini di mana harga seunit ialah RM550 dan bagi menggantikan termometer yang biasa digunakan untuk menjalankan pemeriksaan suhu badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Termometer Digital kepada Pengetua SMK Khai Mun, Cheong Chok Weng dan turut dihadiri oleh Pegawai Kesihatan Daerah Bentong, Dr Rosli Ismail.

Khai Mun berkata, termometer digital ini lebih praktikal kerana ia hanya mengambil masa lebih kurang 0.5 saat dengan jarak sebanyak lapan inci untuk mendapatkan suhu badan seseorang dan ia menjimatkan masa.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan termometer biasa, ia mengambil masa lebih lama iaitu sekurang-kurangnya dua minit.

“Dengan jumlah pelajar sebanyak 600 orang sudah pasti masa yang agak lama diperlukan untuk memeriksa suhu badan namun dengan penggunaan termometer digital ini ia dapat membantu memudahkan guru menggunakannya.

“Pelajar yang mempunyai suhu badan melebihi 38 darjah Celsius akan dibawa mendapatkan rawatan lanjut di klinik dan hospital berhampiran dan mereka yang disahkan mempunyai simptom Infleuenza A H1N1 disaran menjalani proses kuarantin di rumah,” kata Khai Mun.

Beliau berkata, dengan usaha yang dijalankan oleh Lembaga Pengelola ini dapat dijadikan contoh kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk turut sama mengambil pendekatan sesuai membantu mencegah penularan wabak ini di sekolah.

Sinar Harian (Edisi Pahang) : 2 September 2009

Warga guru pindah ke flat baru



PERASU - Flat guru yang pembinaannya dimulakan pertengahan 2008 telah siap Ogos lalu dan boleh diduduki setelah majlis penyerahan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada pihak sekolah dibuat pada 11 Ogos lalu.

Flat empat tingkat yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air yang dibina atas tanah seluas tiga ekar boleh menempatkan lapan keluarga dengan kos pembinaan RM2.3 juta.

Flat ini telah pun mulai diduduki guru pada 14 Ogos lalu dan perpindahan daripada rumah lama ke rumah baru dilakukan secara gotong-royong.

Majlis kesyukuran dan solat Hajat pula diadakan pada 18 Ogos lalu disertai oleh semua guru dan staf Sekolah Kebangsaan Perasu serta penduduk setempat.

Flat baru ini lebih luas jika hendak serta memberikan keselesaan berbanding rumah guru yang lama diperbuat daripada kayu lama yang sempit.

Sebelum ini guru SK Perasu tinggal di rumah kayu lama yang dibina mulai pada 1986 lagi. Sesetengah guru tinggal secara berkongsi termasuk guru yang telah berkeluarga.

Sekarang guru SK Perasu mempunyai rumah yang cukup untuk menampung 23 guru yang sebelum ini terpaksa tinggal secara berkongsi rumah.

Seorang guru, Rohaza Mohd Sakri, yang juga ibu kepada empat cahaya mata berkata, flat yang baru diduduki ini lebih selesa jika hendak dibandingkan dengan kediaman lama.

Menurutnya, dia telah lama mengharapkan kediaman seperti sekarang.

“Rumah yang baru siap ini lebih luas serta selesa jika hendak dibandingkan dengan kediaman kami yang lama,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru yang ditemui, Amalina Hussain, 29, ibu kepada dua anak pula berkata, dia merasa lebih selamat berada di rumah baru.

Menurutnya, pembinaan rumah yang luas dan memberikan keselesaan ini sesuai dengan slogan kerajaan dalam memartabatkan profesion perguruan selama ini.

“Sebelum ini kami guru-guru terpaksa tinggal di rumah kayu yang bukan sahaja sempit malah uzur.

“Kediaman yang baru diduduki ini, jauh lebih selamat berbanding kediaman lama,” katanya.

Rasa lebih selamat. Rumah baru selesa, luas dan sesuai dengan slogan kerajaan memartabatkan profesion perguruan. Sebe-lum ini terpaksa tinggal rumah kayu yang sempit dan agak uzur.

Sementara itu, Guru Besar, Zawani Taib berkata, flat ini turut didiami guru daripada Sekolah Kebang-saan Renok baru sejauh 10 kilometer, Sekolah Menen-gah Kebangsaan Chiku Dua sejauh 15 kilometer, kedua-dua isteri mereka mengajar di SK Perasu.

Sinar Harian (Edisi Kelantan): 2 September 2009

Sekolah Kita: Padang sekolah Bandar Maharani lebih selesa

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

Projek naik taraf beri keselesaan kepada pelajar

MUAR: Masalah untuk mengadakan perhimpunan dan kegiatan sukan yang dihadapi kira-kira 600 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Maharani, Jalan Arab di sini, akan dapat diatasi apabila kerja menaik taraf padang sekolah berkenaan siap menjelang akhir tahun ini.

Projek menelan kos RM80,000 itu termasuk meninggikan permukaan padang bagi mengelak dilanda banjir kilat serta menanam rumput sesuai dilaksanakan sejak Mei lalu.

Guru besar sekolah itu, Hassan Johari, berkata projek menaik taraf padang sekolah itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM4 juta yang diluluskan pihak Kementerian Pelajaran dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata, jumlah itu termasuk mengecat dua blok bangunan lama sebanyak RM200,00 dan bakinya untuk membina satu unit bangunan baru setinggi tiga tingkat untuk mengatasi masalah kekurangan bilik darjah.

“Projek menaikkan taraf padang sekolah itu penting berikutan kawasan sekolah yang sempit menimbulkan masalah kepada murid terutama untuk mengadakan kegiatan kokurikulum.

“Selain kegiatan sukan yang terhad, ketiadaan kawasan sesuai termasuk padang menyebabkan perhimpunan mingguan dan harian terpaksa diadakan di pekarangan blok bangunan sekolah yang jaraknya hanya kira-kira 20 meter antara satu sama lain,” katanya.

Hassan berkata, lokasi kawasan sekolah yang kedudukannya di tengah pusat bandar menyebabkan SK Bandar Maharani menghadapi masalah untuk melengkapkan kemudahan asas dan infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata, ini kerana setiap pelaksanaan projek baru membabitkan pengambilan tanah, sedangkan persekitarannya di kelilingi bangunan kediaman dan rumah kedai.

Justeru, katanya, pihak sekolah tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan kawasan lain sama ada untuk menambah keluasan padang atau membina padang baru, tetapi berpuas hati dengan projek menaikkan taraf padang sedia ada.

“Kedudukan padang yang berdekatan dengan kawasan perumahan menyebabkan pihak sekolah memasang jaring setinggi lebih 15 meter di sekelilingnya bagi mengelak rumah penduduk terkena alat permainan terutama bola,” katanya.

Berita Harian Online: 2 September 2009

ekolah Kita: Warga SMK Bangsar imbau saat kemerdekaan

Oleh Siti Haliza Yusop
shyusop@bharian.com.my

Tayangan 15 minit laungan keramat Merdeka tak halang sambutan walaupun hujan

KUALA LUMPUR: Ucapan kemerdekaan oleh Mantan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman, berjaya membawa warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar, kembali ke masa lampau dan mengenang saat pertama kali ayat keramat 'Merdeka' dilaungkan di bumi Malaysia pada 31 Ogos, 52 tahun lalu.

Meskipun kebanyakan mereka termasuk pelajar dan sebahagian besar warga pendidiknya, masih belum lahir pada ketika itu, namun usaha menyelitkan segmen berdurasi 15 minit itu yang menayangkan sambutan kemerdekaan pertama negara di Stadium Merdeka dalam suasana penuh gemilang, berjaya membangkitkan semangat generasi muda hari ini.

Apa yang dapat diperhatikan, walaupun Dataran Ar-Rahman, iaitu tempat berlangsungnya Majlis Ambang Merdeka itu basah akibat hujan, namun ia tidak menghalang warga sekolah berkenaan untuk terus bersama-sama menyemarakkan sambutan.

Penolong Kanannya, Datin Fatimah Che Kerma, berkata beliau berbangga dengan komitmen tinggi ditunjukkan pelajar sekolah berkenaan dalam memastikan sambutan kemerdekaan kali ke-52 itu, dapat membawa makna besar kepada seluruh warganya.

“Kalau diperhatikan, persembahan bagi sambutan kemerdekaan kali ini dimeriahkan dengan pembabitan pelajar daripada pelbagai bangsa. Ia sekali gus menjadi cerminan kepada gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Selain persembahan Gaya Tokoh yang boleh disifatkan sebagai sangat menarik, saya juga ingin memuji persembahan berani seorang pelajar dari kelas khas, Ahmad Syamil Syamsul, yang menyanyikan lagu patriotik, Warisan.

“Pembabitan dan komitmen tinggi ditunjukkan semua pelajar dalam memastikan aktiviti ini berjaya mencapai objektifnya, adalah sesuatu yang sangat mengagumkan.” katanya.

Guru yang juga Ketua Jawatankuasa Kerjanya, Fairuz Hamzah, berkata pihaknya berusaha memastikan persembahan disajikan berjaya meninggalkan impak besar kepada pelajar yang hadir.

“Kalau diperhatikan, persembahan hari ini turut disuntik dengan elemen humor memandangkan golongan muda lebih mudah mengambil perhatian jika mesej disampaikan melalui kaedah ini.

“Kita berharap, selepas ini apabila membuka buku Sejarah, mereka berupaya mengimbas persembahan yang disaksikan sekali gus mengaitkannya dengan sejarah kemerdekaan negara.” katanya.

Ketua Pengawas SMK Bangsar, Mohd Hazmi Hasnan, berkata pengisian ditonjolkan dalam sambutan kemerdekaan sekolah itu, berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada pelajar sekolah berkenaan termasuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai kepayahan dilalui golongan terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan.

“Mungkin kami tidak mengetahui dengan mendalam mengenai sejarah kemerdekaan negara memandangkan tidak lahir pada era itu. Tetapi persiapan yang dilakukan bagi menghadapi sambutan kemerdekaan kali ini sebenarnya berupaya meningkatkan pemahaman pelajar terutamanya mengenai perjuangan generasi terdahulu dalam memastikan kemerdekaan dapat dikecapi.

“Walaupun kami tidak merasai segala kesusahan untuk mengecapi kemerdekaan ini, tapi pastinya ia menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk memastikan negara sentiasa maju.” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Rishi Tharan yang mengambil bahagian dalam bacaan sajak, ‘52 tahun kemerdekaanmu Malaysiaku’ turut berasa gembira dapat menyertai acara itu bagi melahirkan kebanggaannya menjadi seorang rakyat negara ini menjelang sambutan hari bersejarah negara itu.

Selain bacaan Yaasin, turut diadakan ialah persembahan tarian 1Malaysia, sketsa bahasa inggeris serta penyampaian hadiah kepada pelajar sekolah itu yang cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah.

Berita Harian Online: 2 September 2009

Sayangi Sekolah: Asrama terbilang

Oleh Azhan Ahmad Nor
upen@bharian.com.my

SMK Alor Janggus sasar Sekolah Cemerlang menjelang 2010

ANUGERAH Asrama Peringkat Kebangsaan yang diterima tiga tahun lalu melonjakkan nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus, Alor Setar mencapai sasarannya menjadi sekolah cemerlang daerah Kota Setar menjelang 2010.

Baru-baru ini, guru dan pelajar sekolah itu bergabung tenaga untuk menaikkan nama sekolah berkenaan di peringkat kebangsaan sebelum meraih kejayaan bagi anugerah Sekolah Cemerlang Luar Bandar kategori Asrama Terbilang 2009.

Berdasarkan rekod, asrama sekolah itu pernah mengungguli pelbagai anugerah sejak sembilan tahun berturut-turut sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

Terbaru, sekolah itu memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang kategori Sekolah Menengah Berasrama Harian Luar Bandar peringkat Kebangsaan 2009.

Pada majlis penganugerahan itu, SMK Alor Janggus menerima piala iringan berserta cek bernilai RM50,000 untuk pembiayaan operasi sekolah itu daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi.

Gelaran Johan Sekolah Harapan Negara Kategori Luar Bandar di peringkat negeri seterusnya Johan Kebangsaan pada Anugerah Seri Asrama Terbilang yang diraih pada 2006 menyuntik semangat warganya untuk terus cemerlang.

Tahun berikutnya menyaksikan sekolah itu menduduki tempat pertama dalam empat pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan iaitu Anugerah Piala Seri Perkasa (Asrama) dan Anugerah Koperasi Terbaik di peringkat negeri dan anugerah Sudut Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) terbaik Kebangsaan.

Tahun lalu, sekolah itu sekali lagi mencapai kejayaan di peringkat negeri apabila menjadi johan anugerah Piala Seri Perkasa (Asrama).

SMK Alor Janggus ditubuhkan pada 4 Januari 1969 dengan jumlah 184 pelajar ketika itu yang ditempatkan dalam tiga kelas aliran Melayu dan dua kelas aliran Inggeris menerima pertambahan pelajar menggalakkan sehingga kini jumlah itu sudah pun mencecah kepada 1,184 pelajar dan 76 guru.

Pengetuanya, Datin Asma Shafiee, berkata kejayaan sekolahnya banyak dicapai hasil kerjasama antara pelajar yang mana 70 peratus daripadanya datang dari keluarga petani.

Katanya, selaras slogan ‘Budaya Muafakat Prestasi Meningkat, Minda Positif Teras Kejayaan’, guru sekolah itu juga menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

“Antara kejayaan mereka termasuk dua guru cemerlang terpilih untuk Sains dan Geografi, pentaksir kawasan (sembilan), jurulatih pusat kokurikulum (tiga) dan masing-masing seorang wasi silat kebangsaan dan jurulatih olahraga daerah.

“Mengenai aktiviti kokurikulum pula, pasukan sekolah ini juga mencipta nama di peringkat daerah, negeri, kebangsaan (Perkhemahan Kadet Polis, acara jalan lasak dan Karnival Sukan Kombat) dan antarabangsa (Jambori Pengakap Thailand).

Berita Harian Online: 2 September 2009

Peperiksaan awam, NS buat persediaan

SEREMBAN 1 Sept. - Kerajaan negeri merancang beberapa langkah sebagai persediaan memastikan perjalanan empat peperiksaan utama yang bermula Ogos ini berjalan lancar ketika wujud kebimbangan terhadap penularan wabak influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Shamshulkahar Mohd. Deli berkata, semua guru besar dan pengetua diarahkan supaya menghantar laporan harian berkaitan H1N1 kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

"Laporan ini penting bagi mengesan sebarang kes agar tidak berlaku penularan H1N1 terutama di kalangan murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan.

"Kita mahu supaya semua pelajar terbabit dapat mengambil peperiksaan dengan selamat," kata beliau di sini hari ini.

Selain itu, menurut Shamshulkahar, PPD akan mengadakan pemantauan di setiap sekolah bagi mengawal penularan wabak itu.

''Satu jawatankuasa akan dibentuk jika berlaku penularan kes H1N1 di sekolah-sekolah terbabit," katanya.

Beliau pada masa yang sama mengingatkan pihak sekolah agar tidak menyembunyikan sebarang kes berkaitan H1N1 di sekolah mereka.

"Ia bagi membolehkan tindakan susulan diambil secepat mungkin. Jangan tunggu bila sudah ada kes baru nak buat laporan itu mungkin terlambat kerana wabak ini menular dengan cepat," tambah beliau.

Shamshulkahar pada masa yang sama menasihatkan ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak mereka terutama yang bakal menduduki peperiksaan.

"Dalam masa terdekat ini kalau boleh beri lebih perhatian dan kawal pergerakan mereka supaya tidak ke tempat awam," kata beliau.

Peperiksaan utama dijadual bermula dengan dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 8 hingga 10 September ini manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 7 hingga 9 Oktober dan 12 hingga 13 Oktober ini.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober dan 26 hingga 27 Oktober dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 18 November hingga 10 Disember ini.

Utusan Malaysia Online: 2 September 2009

Selasa, 1 September 2009

126 terima tauliah Pegawai Pengurusan KRS, TKRS

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

SERAMAI 126 pegawai pelajaran daerah, pengetua, guru besar, penolong kanan di Hulu Selangor, baru-baru ini, ditauliahkan sebagai Pegawai Pengurusan Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas KRS (TKRS).

Pengarah Pelajaran Selangor, Dr Zahri Aziz, berkata pentauliahan pentadbir sekolah sebagai komandan dan timbalan komandan KRS itu diyakini dapat mendisiplinkan pelajar seterusnya membentuk sahsiah baik serta mampu melonjakkan pencapaian akademik.

Beliau yang juga Pengarah KRS Selangor berkata, penubuhan badan beruniform itu juga membuktikan pengasasnya, Allahyarham Muhammad Thani Sha’ban, bermatlamat melahirkan generasi berilmu, bersemangat patriotik dan berketerampilan.

“Dunia pendidikan kini sangat mengharapkan lebih ramai pendidik berkemampuan mencetus pelbagai idea baru serta inovasi pendidikan.

“Ini sejajar dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan merealisasikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan khususnya dalam aspek pembangunan modal insan. Jadi, ia perlu dijalankan dengan bersungguh-sungguh.

“KRS dan TKRS mempunyai kurikulum sendiri yang jelas, pragmatik, realistik, bersepadu melalui lima bidang penting termasuk disiplin & kerohanian, ketahanan diri & kebudayaan, khidmat masyarakat, alam sekitar dan keusahawanan.

“Jika benar-benar dilaksanakan sudah pasti objektif penubuhannya tercapai,” katanya kepada Berita Harian selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Pengurusan KRS dan TKRS di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat merangkap Pegawai KRS Daerah, Ismail Musa dan timbalannya, Muhamad Radzi Abdullah.

Berita Harian Online: 1 September 2009