Oleh Siti Haliza Yusop
shyusop@bharian.com.my
Tayangan 15 minit laungan keramat Merdeka tak halang sambutan walaupun hujan
KUALA LUMPUR: Ucapan kemerdekaan oleh Mantan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman, berjaya membawa warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar, kembali ke masa lampau dan mengenang saat pertama kali ayat keramat 'Merdeka' dilaungkan di bumi Malaysia pada 31 Ogos, 52 tahun lalu.
Meskipun kebanyakan mereka termasuk pelajar dan sebahagian besar warga pendidiknya, masih belum lahir pada ketika itu, namun usaha menyelitkan segmen berdurasi 15 minit itu yang menayangkan sambutan kemerdekaan pertama negara di Stadium Merdeka dalam suasana penuh gemilang, berjaya membangkitkan semangat generasi muda hari ini.
Apa yang dapat diperhatikan, walaupun Dataran Ar-Rahman, iaitu tempat berlangsungnya Majlis Ambang Merdeka itu basah akibat hujan, namun ia tidak menghalang warga sekolah berkenaan untuk terus bersama-sama menyemarakkan sambutan.
Penolong Kanannya, Datin Fatimah Che Kerma, berkata beliau berbangga dengan komitmen tinggi ditunjukkan pelajar sekolah berkenaan dalam memastikan sambutan kemerdekaan kali ke-52 itu, dapat membawa makna besar kepada seluruh warganya.
“Kalau diperhatikan, persembahan bagi sambutan kemerdekaan kali ini dimeriahkan dengan pembabitan pelajar daripada pelbagai bangsa. Ia sekali gus menjadi cerminan kepada gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Selain persembahan Gaya Tokoh yang boleh disifatkan sebagai sangat menarik, saya juga ingin memuji persembahan berani seorang pelajar dari kelas khas, Ahmad Syamil Syamsul, yang menyanyikan lagu patriotik, Warisan.
“Pembabitan dan komitmen tinggi ditunjukkan semua pelajar dalam memastikan aktiviti ini berjaya mencapai objektifnya, adalah sesuatu yang sangat mengagumkan.” katanya.
Guru yang juga Ketua Jawatankuasa Kerjanya, Fairuz Hamzah, berkata pihaknya berusaha memastikan persembahan disajikan berjaya meninggalkan impak besar kepada pelajar yang hadir.
“Kalau diperhatikan, persembahan hari ini turut disuntik dengan elemen humor memandangkan golongan muda lebih mudah mengambil perhatian jika mesej disampaikan melalui kaedah ini.
Ketua Pengawas SMK Bangsar, Mohd Hazmi Hasnan, berkata pengisian ditonjolkan dalam sambutan kemerdekaan sekolah itu, berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada pelajar sekolah berkenaan termasuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai kepayahan dilalui golongan terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan.
“Mungkin kami tidak mengetahui dengan mendalam mengenai sejarah kemerdekaan negara memandangkan tidak lahir pada era itu. Tetapi persiapan yang dilakukan bagi menghadapi sambutan kemerdekaan kali ini sebenarnya berupaya meningkatkan pemahaman pelajar terutamanya mengenai perjuangan generasi terdahulu dalam memastikan kemerdekaan dapat dikecapi.
“Walaupun kami tidak merasai segala kesusahan untuk mengecapi kemerdekaan ini, tapi pastinya ia menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk memastikan negara sentiasa maju.” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Rishi Tharan yang mengambil bahagian dalam bacaan sajak, ‘52 tahun kemerdekaanmu Malaysiaku’ turut berasa gembira dapat menyertai acara itu bagi melahirkan kebanggaannya menjadi seorang rakyat negara ini menjelang sambutan hari bersejarah negara itu.
Selain bacaan Yaasin, turut diadakan ialah persembahan tarian 1Malaysia, sketsa bahasa inggeris serta penyampaian hadiah kepada pelajar sekolah itu yang cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah.
Berita Harian Online: 2 September 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan