Rabu, 2 September 2009

Sayangi Sekolah: Asrama terbilang

Oleh Azhan Ahmad Nor
upen@bharian.com.my

SMK Alor Janggus sasar Sekolah Cemerlang menjelang 2010

ANUGERAH Asrama Peringkat Kebangsaan yang diterima tiga tahun lalu melonjakkan nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus, Alor Setar mencapai sasarannya menjadi sekolah cemerlang daerah Kota Setar menjelang 2010.

Baru-baru ini, guru dan pelajar sekolah itu bergabung tenaga untuk menaikkan nama sekolah berkenaan di peringkat kebangsaan sebelum meraih kejayaan bagi anugerah Sekolah Cemerlang Luar Bandar kategori Asrama Terbilang 2009.

Berdasarkan rekod, asrama sekolah itu pernah mengungguli pelbagai anugerah sejak sembilan tahun berturut-turut sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

Terbaru, sekolah itu memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang kategori Sekolah Menengah Berasrama Harian Luar Bandar peringkat Kebangsaan 2009.

Pada majlis penganugerahan itu, SMK Alor Janggus menerima piala iringan berserta cek bernilai RM50,000 untuk pembiayaan operasi sekolah itu daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi.

Gelaran Johan Sekolah Harapan Negara Kategori Luar Bandar di peringkat negeri seterusnya Johan Kebangsaan pada Anugerah Seri Asrama Terbilang yang diraih pada 2006 menyuntik semangat warganya untuk terus cemerlang.

Tahun berikutnya menyaksikan sekolah itu menduduki tempat pertama dalam empat pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan iaitu Anugerah Piala Seri Perkasa (Asrama) dan Anugerah Koperasi Terbaik di peringkat negeri dan anugerah Sudut Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) terbaik Kebangsaan.

Tahun lalu, sekolah itu sekali lagi mencapai kejayaan di peringkat negeri apabila menjadi johan anugerah Piala Seri Perkasa (Asrama).

SMK Alor Janggus ditubuhkan pada 4 Januari 1969 dengan jumlah 184 pelajar ketika itu yang ditempatkan dalam tiga kelas aliran Melayu dan dua kelas aliran Inggeris menerima pertambahan pelajar menggalakkan sehingga kini jumlah itu sudah pun mencecah kepada 1,184 pelajar dan 76 guru.

Pengetuanya, Datin Asma Shafiee, berkata kejayaan sekolahnya banyak dicapai hasil kerjasama antara pelajar yang mana 70 peratus daripadanya datang dari keluarga petani.

Katanya, selaras slogan ‘Budaya Muafakat Prestasi Meningkat, Minda Positif Teras Kejayaan’, guru sekolah itu juga menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

“Antara kejayaan mereka termasuk dua guru cemerlang terpilih untuk Sains dan Geografi, pentaksir kawasan (sembilan), jurulatih pusat kokurikulum (tiga) dan masing-masing seorang wasi silat kebangsaan dan jurulatih olahraga daerah.

“Mengenai aktiviti kokurikulum pula, pasukan sekolah ini juga mencipta nama di peringkat daerah, negeri, kebangsaan (Perkhemahan Kadet Polis, acara jalan lasak dan Karnival Sukan Kombat) dan antarabangsa (Jambori Pengakap Thailand).

Berita Harian Online: 2 September 2009

Tiada ulasan: