Rabu, 2 September 2009

Sekolah Kita: Padang sekolah Bandar Maharani lebih selesa

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

Projek naik taraf beri keselesaan kepada pelajar

MUAR: Masalah untuk mengadakan perhimpunan dan kegiatan sukan yang dihadapi kira-kira 600 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Maharani, Jalan Arab di sini, akan dapat diatasi apabila kerja menaik taraf padang sekolah berkenaan siap menjelang akhir tahun ini.

Projek menelan kos RM80,000 itu termasuk meninggikan permukaan padang bagi mengelak dilanda banjir kilat serta menanam rumput sesuai dilaksanakan sejak Mei lalu.

Guru besar sekolah itu, Hassan Johari, berkata projek menaik taraf padang sekolah itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM4 juta yang diluluskan pihak Kementerian Pelajaran dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata, jumlah itu termasuk mengecat dua blok bangunan lama sebanyak RM200,00 dan bakinya untuk membina satu unit bangunan baru setinggi tiga tingkat untuk mengatasi masalah kekurangan bilik darjah.

“Projek menaikkan taraf padang sekolah itu penting berikutan kawasan sekolah yang sempit menimbulkan masalah kepada murid terutama untuk mengadakan kegiatan kokurikulum.

“Selain kegiatan sukan yang terhad, ketiadaan kawasan sesuai termasuk padang menyebabkan perhimpunan mingguan dan harian terpaksa diadakan di pekarangan blok bangunan sekolah yang jaraknya hanya kira-kira 20 meter antara satu sama lain,” katanya.

Hassan berkata, lokasi kawasan sekolah yang kedudukannya di tengah pusat bandar menyebabkan SK Bandar Maharani menghadapi masalah untuk melengkapkan kemudahan asas dan infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata, ini kerana setiap pelaksanaan projek baru membabitkan pengambilan tanah, sedangkan persekitarannya di kelilingi bangunan kediaman dan rumah kedai.

Justeru, katanya, pihak sekolah tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan kawasan lain sama ada untuk menambah keluasan padang atau membina padang baru, tetapi berpuas hati dengan projek menaikkan taraf padang sedia ada.

“Kedudukan padang yang berdekatan dengan kawasan perumahan menyebabkan pihak sekolah memasang jaring setinggi lebih 15 meter di sekelilingnya bagi mengelak rumah penduduk terkena alat permainan terutama bola,” katanya.

Berita Harian Online: 2 September 2009

Tiada ulasan: