Selasa, 1 September 2009

126 terima tauliah Pegawai Pengurusan KRS, TKRS

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

SERAMAI 126 pegawai pelajaran daerah, pengetua, guru besar, penolong kanan di Hulu Selangor, baru-baru ini, ditauliahkan sebagai Pegawai Pengurusan Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas KRS (TKRS).

Pengarah Pelajaran Selangor, Dr Zahri Aziz, berkata pentauliahan pentadbir sekolah sebagai komandan dan timbalan komandan KRS itu diyakini dapat mendisiplinkan pelajar seterusnya membentuk sahsiah baik serta mampu melonjakkan pencapaian akademik.

Beliau yang juga Pengarah KRS Selangor berkata, penubuhan badan beruniform itu juga membuktikan pengasasnya, Allahyarham Muhammad Thani Sha’ban, bermatlamat melahirkan generasi berilmu, bersemangat patriotik dan berketerampilan.

“Dunia pendidikan kini sangat mengharapkan lebih ramai pendidik berkemampuan mencetus pelbagai idea baru serta inovasi pendidikan.

“Ini sejajar dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan merealisasikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan khususnya dalam aspek pembangunan modal insan. Jadi, ia perlu dijalankan dengan bersungguh-sungguh.

“KRS dan TKRS mempunyai kurikulum sendiri yang jelas, pragmatik, realistik, bersepadu melalui lima bidang penting termasuk disiplin & kerohanian, ketahanan diri & kebudayaan, khidmat masyarakat, alam sekitar dan keusahawanan.

“Jika benar-benar dilaksanakan sudah pasti objektif penubuhannya tercapai,” katanya kepada Berita Harian selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Pengurusan KRS dan TKRS di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat merangkap Pegawai KRS Daerah, Ismail Musa dan timbalannya, Muhamad Radzi Abdullah.

Berita Harian Online: 1 September 2009

Tiada ulasan: