Rabu, 2 September 2009

Peperiksaan awam, NS buat persediaan

SEREMBAN 1 Sept. - Kerajaan negeri merancang beberapa langkah sebagai persediaan memastikan perjalanan empat peperiksaan utama yang bermula Ogos ini berjalan lancar ketika wujud kebimbangan terhadap penularan wabak influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Shamshulkahar Mohd. Deli berkata, semua guru besar dan pengetua diarahkan supaya menghantar laporan harian berkaitan H1N1 kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

"Laporan ini penting bagi mengesan sebarang kes agar tidak berlaku penularan H1N1 terutama di kalangan murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan.

"Kita mahu supaya semua pelajar terbabit dapat mengambil peperiksaan dengan selamat," kata beliau di sini hari ini.

Selain itu, menurut Shamshulkahar, PPD akan mengadakan pemantauan di setiap sekolah bagi mengawal penularan wabak itu.

''Satu jawatankuasa akan dibentuk jika berlaku penularan kes H1N1 di sekolah-sekolah terbabit," katanya.

Beliau pada masa yang sama mengingatkan pihak sekolah agar tidak menyembunyikan sebarang kes berkaitan H1N1 di sekolah mereka.

"Ia bagi membolehkan tindakan susulan diambil secepat mungkin. Jangan tunggu bila sudah ada kes baru nak buat laporan itu mungkin terlambat kerana wabak ini menular dengan cepat," tambah beliau.

Shamshulkahar pada masa yang sama menasihatkan ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak mereka terutama yang bakal menduduki peperiksaan.

"Dalam masa terdekat ini kalau boleh beri lebih perhatian dan kawal pergerakan mereka supaya tidak ke tempat awam," kata beliau.

Peperiksaan utama dijadual bermula dengan dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 8 hingga 10 September ini manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 7 hingga 9 Oktober dan 12 hingga 13 Oktober ini.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober dan 26 hingga 27 Oktober dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 18 November hingga 10 Disember ini.

Utusan Malaysia Online: 2 September 2009

Tiada ulasan: