Ahad, 13 Mei 2012

Sistem pendidikan dipertingkat

Oleh Rafidah Mat Ruzki

2012/05/13

SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan meletakkan sasaran realistik bagi membangunkan sistem pendidikan setaraf atau lebih baik daripada negara maju dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha untuk mencapai tahap sistem pendidikan setaraf negara maju bukan satu perkara yang mudah dan perubahan dalam pembangunan sistem pendidikan negara tidak boleh dilakukan terlalu drastik.
“Walaupun begitu perubahan tentu akan berlaku, tanggungjawab guru akan terus diperkukuhkan lagi, institusi pendidikan sedia ada akan dapat kita diperlengkapkan,” katanya ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong di sini, semalam.
Beliau berkata langkah penilaian semula sistem pendidikan negara adalah untuk meningkatkan sistem pendidikan negara supaya setaraf dengan negara maju dan bukannya dengan negara mundur atau ke belakang.

Muhyiddin berkata, petunjuk sistem pendidikan Malaysia boleh dikatakan bagus tetapi masih belum boleh dikatakan setaraf atau setanding pada peringkat antarabangsa.

“Banyak orang kata sistem pelajaran kita baik, sudah pun dapat melahirkan generasi Malaysia yang dapat membantu memajukan Malaysia pada hari ini.

“Tidak siapa yang boleh menolak kejayaan Malaysia hari ini adalah antara lain atas sumbangan menerusi sistem pendidikan kita.
“Namun harapan masyarakat di negara ini juga tinggi dan rakyat mahukan sistem pendidikan kita mesti setaraf atau lebih baik daripada sistem pendidikan di negara maju,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat akan bersama-sama kerajaan untuk mencapai matlamat menjadikan sistem pendidikan negara antara yang terbaik di dunia.

Katanya, mereka yang berminat dalam soal pelajaran diminta tampil mengemukakan idea dan cadangan bernas untuk digunakan sebagai asas pertimbangan dalam kajian semula sistem pendidikan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata memandangkan ruang dialog bagi menambah baik sistem pendidikan telah disediakan, diharap tidak ada pihak yang cuba membangkitkan isu itu di luar platform yang disediakan.

Antara perkara pokok yang diberi keutamaan dalam kajian semula sistem pendidikan ialah mengenai kualiti guru, isu perguruan, tanggungjawab guru, beban tugas guru, peranan guru di dalam dan di luar sekolah.

Di KUALA LUMPUR: Muhyiddin berkata rakyat Malaysia harus bersyukur dan menghargai keistimewaan kepelbagaian budaya yang dikongsi di negara ini.

Beliau berkata kestabilan dan kemakmuran yang dikecapi hasil kerjasama semua kaum membolehkan setiap perayaan utama etnik di negara ini disambut bersama.

Berita Harian Online: 13 Mei 2012

Pendidikan desa, bandar seiring

KUALA LUMPUR: Langkah terbaik kini dikenal pasti bagi meningkatkan mutu pendidikan negara dalam usaha memastikan sistem pendidikan luar bandar mampu bergerak seiring dengan di bandar.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata, sehingga kini mutu pendidikan negara secara amnya mampu bersaing dengan negara lain dan tidak perlu dipertikaikan.

Bagaimanapun, katanya, usaha transformasi ingin dilakukan bagi memastikan perkembangan pendidikan negara disebarkan secara menyeluruh, terutama di kalangan pelajar luar bandar.
“Jika kita melihat kadar pencapaian mutu pendidikan negara, sememangnya boleh dikatakan ia sama dengan tahap pendidikan negara lain.

“Namun, apa yang ingin kita lakukan supaya mutu pendidikan luar bandar dan di bandar bergerak dan meningkat secara seiring,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan dan Transformasi Pendidikan anjuran Yayasan Guru Pelajaran Malaysia (YGPM), di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi YGPM, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengarah Institut Kepimpinan Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Marohaini Yusof.

Abd Ghafar tidak menafikan wujud jurang mutu pendidikan antara pelajar luar bandar dengan bandar yang berpunca daripadanya banyak faktor.

“Faktor ini pula bukan satu, sebaliknya merangkumi banyak aspek. Sebagaimana program transformasi pendidikan yang ingin dilakukan, kita ingin mencungkil di mana kelemahannya dan cara mengatasinya,” katanya.

myMetro: 13 Mei 2012

Guru setuju

Oleh NORDIANA SHAFIEE
am@hmetro.com.my

ALOR SETAR: Sejak Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) dilancarkan 29 April lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, ia mula mendapat respons positif masyarakat, khususnya golongan pendidik yang menyambut baik usaha kerajaan mendapatkan idea melalui sesi dialog dan persidangan meja bulat bertujuan membaiki sistem pendidikan negara.
Kini, Siri Jelajah Kajian Semula Pendidikan bergerak ke seluruh negara sejak awal bulan ini bermula di Putrajaya dan destinasi ketiganya ialah di Kedah yang diadakan di Dewan Konvokesyen Universiti al Bukhory, di sini, semalam, dan dijangka berakhir di Johor pada 14 Julai depan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seberang Nyonya, di sini, Wan Ahmad Wan Dan, 57, berkata sesi dialog itu sangat relevan kerana memberi peluang kepada semua pihak, terutama waris, menyuarakan pendapat dan idea demi masa depan pendidikan negara.
Menurutnya, institusi pendidikan sentiasa berkembang mengikut perubahan semasa dan dasar pendidikan yang digubal sebelum ini juga sewajarnya dikaji semula berdasarkan keadaan itu.

Katanya, sesi dialog berkenaan dilihat menjadi kaedah sangat berkesan dan baik untuk mendapatkan maklumat daripada peringkat akar umbi.

“Waris juga tidak ketinggalan untuk terbabit dalam program ini apabila pendapat mereka turut diambil kira demi masa depan anak.

“Justeru, saya menyokong usaha mengubah corak pendidikan sedia ada kepada yang lebih baik untuk melahirkan pelajar berdaya saing dan berupaya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.

“Langkah ini juga sangat telus, selaras dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengamalkan slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’,” katanya ketika ditemui di Majlis DNPN di sini.
Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Kuala, Samsor Shahdan, 45, berkata program itu wajar mendapat sokongan semua pihak untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Beliau yang mengajar subjek Biologi berkata, sesi dialog itu satu usaha kerajaan yang inginkan sistem pendidikan negara mampu mencapai taraf antarabangsa dan dilihat meliputi sembilan aspek yang sangat sesuai, selaras dengan cabaran dihadapi dalam dunia pendidikan sekarang.

Sementara itu, Pengurus Projek Pejabat Pengurusan Projek Pencapaian dan Hala Tuju Pendidikan Kementerian Pelajaran, Dr Habibah Abd Rahim berkata, sembilan bidang keutamaan dibincangkan dalam DNPN.

Bidang itu ialah guru, kepemimpinan sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, kemahiran pelbagai bahasa, peluang lepasan menengah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kecekapan dan keberkesanan sumber kementerian serta kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian kementerian.

Menurutnya, sesi dialog itu platform untuk perkongsian idea dan pandangan membabitkan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada KPM menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.

Katanya, matlamat DNPN adalah memberi peluang kepada rakyat menyuarakan pandangan ke arah transformasi pendidikan, selain membina kesedaran mengenai perancangan kementarian untuk membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.

“Dalam siri jelajah hari ini (semalam), 700 peserta membabitkan golongan pendidik dan waris diberi peluang meluahkan masalah dihadapi dalam institusi pendidikan sekarang.

“Input diterima akan menjadi asas pelan induk pendidikan untuk peningkatan sistem pendidikan Malaysia bagi jangka masa panjang iaitu untuk 15 tahun akan datang,” katanya.

Dr Habibah berkata, kerajaan serius untuk memperkasakan sistem pendidikan di negara ini supaya membolehkan pelajar bersaing di peringkat global dan mahu menyediakan pelajar untuk abad ke-21 dan mencapai tahap global pada masa akan datang.

Menurutnya, selain sesi jelajah yang diadakan di seluruh negara, orang ramai boleh menyampaikan pendapat menerusi www.edureview.my.

myMetro: 13 Mei 2012

Sabtu, 12 Mei 2012

Koperasi guru Melayu beri pinjaman RM11 juta

KOTA BHARU 10 Mei - Koperasi Guru Melayu Kelantan Berhad (KGMKB) mencatat sejarah apabila mengeluarkan kira-kira RM11 juta wang pinjaman kepada 474 ahli bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Pengerusi Lembaga KGMKB, Ab. Ghani Mat berkata, pinjaman itu merupakan yang terbanyak bagi tempoh tersebut berbanding RM9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, pinjaman itu dikeluarkan berikutan kenaikan gaji yang membolehkan mereka membuat bayaran untuk pinjaman tersebut.
''Koperasi menggalakkan ahli membuat pinjaman bagi membolehkan mereka mendapat pelbagai manfaat dan memang itulah tujuan kita menubuhkan koperasi ini," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 bagi Jajahan Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor, di sini hari ini.
Sempena majlis itu, seramai 70 orang pelajar menerima RM400 setiap orang dari agihan sebanyak RM28,000 manakala sumbangan khairat kematian berjumlah RM45,000 diberikan kepada enam penerima yang anggota keluarga mereka meninggal dunia baru-baru ini.
Tahun lalu katanya, Tabung Kebajikan Anggota KGMKB telah mengeluarkan sumbangan berjumlah kira-kira RM2 juta kepada ramai ahlinya yang memerlukan bantuan.
Daripada jumlah itu, katanya, lebih RM1 juta diberikan kepada 1,818 ahli termasuk khairat kematian, anggota dan keluarga yang masuk wad, sakit kronik dan pelbagai lagi.
Menurutnya, lebih RM1 juta lagi diberikan kepada 1,990 orang dalam bentuk dermasiswa dan biasiswa kepada anggota serta anak-anak yang melanjutkan pelajaran.

Utusan Malaysia Online: 11 Mei 2012

Khamis, 10 Mei 2012

Beri nombor giliran calon gagal

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di atas kejayaan memperkenalkan sistem secara atas talian, iaitu e-GTukar, yang telah memangkin proses permohonan pertukaran guru ke arah menjadi lebih telus dan sistematik, mulai tahun 2008.
Mengambil sempena siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteeri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 April lalu, saya ingin memberi cadangan penambahbaikan dalam aspek pertukaran guru. Ini sebagai usaha memartabatkan profesion perguruan dan memartabatkan sistem pendidikan negara.
Rasionalnya, pada setiap sesi permohonan pertukaran guru (sama ada pada sesi Januari atau Jun setiap tahun) bagi sesebuah negeri, terdapat sejumlah guru yang layak dipertimbangkan untuk bertukar masuk.
Bagaimanapun mereka gagal dalam permohonan bagi sesi tersebut, walaupun menepati syarat pertukaran (seperti mengajar opsyen subjek yang terdapat kekosongan di sesebuah negeri), kerana situasi kekosongan tempat yang terhad bagi sesebuah negeri.
Ini jelas dapat dilihat bagi kes-kes permohonan masuk ke negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang dikategorikan sebagai kritikal.
Oleh itu, bagi kumpulan guru yang 'layak tetapi gagal' dalam sesi permohonan pertukaran semasa, seharusnya diberikan nombor giliran sebagai keutamaan untuk diluluskan permohonan pertukarannya dalam sesi permohonan pertukaran akan datang.
Pemberian nombor giliran kepada setiap guru yang memohon pertukaran ini boleh dipraktikkan, dengan syarat permohonan yang dibuat oleh seseorang guru tersebut adalah konsisten, iaitu melibatkan sebuah negeri yang sama sahaja pada setiap sesi permohonan.
Saya berharap agar Bahagian Pengurusan Sekolah Harian yang menguruskan permohonan pertukaran guru bagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), dapat mencuba idea untuk menyediakan sistem nombor giliran atau ranking bagi permohonan pertukaran guru antara negeri.
Pengenalan sistem ini diharap mampu meredakan prejudis dan tohmahan kepada KPM yang dikatakan mementingkan 'kabel', dan pelbagai lagi tuduhan tidak benar dalam soal menguruskan permohonan pertukaran guru.
Selamat Menyambut Hari Guru 2012.

Utusan Malaysia Online: 10 Mei 2012

Isnin, 7 Mei 2012

Ke arah melahirkan guru berkualiti

Muhyiddin Yassin menerima cenderahati daripada Yahya Ibrahim pada Majlis Perasmian Kolej Antarabangsa Kirkby di Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.
SEBAGAI sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara untuk mencapai Wawasan 2020, Kementerian Pelajaran telah merancang pelan agresif untuk melatih guru-guru baru serta meningkatkan kemahiran guru sedia ada terutamanya dalam subjek yang kurang bilangan guru berkualiti seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, Muzik dan Sukan.
Dalam konteks ini, Kolej Antarabangsa Kirkby (KIC) telah ditubuhkan bagi memainkan peranan untuk memenuhi keperluan dalam bidang pendidikan serta latihan terutamanya dalam melatih guru bahasa Inggeris untuk sekolah rendah.
Presiden KIC, Bismillah Khatoon Abdul Khader berkata, fokus utama kolej ini adalah untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris yang beraspirasi seterusnya mampu menyediakan pengalaman bahasa Inggeris sepenuhnya di negara ini.
"Strategi kami adalah untuk memperkasakan para guru bagi mengubah pembelajaran dalam kelas dengan membangunkan pendekatan yang lebih kreatif terhadap kurikulum dan pembelajaran serta dibantu dengan penggunaan teknologi untuk memperluaskan pengajaran dan pembelajaran para pelajar," katanya.
Beliau bekata demikian pada majlis perasmian KIC yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi KIC, Tan Sri Yahya Ibrahim.
Menurut Bismillah lagi, kementerian terutamanya dari Bahagian Pendidikan Guru banyak membantu dalam memastikan pihak KIC mematuhi serta mengenal pasti liputan kurikulum yang bersesuaian.
"Saya mempunyai sasaran untuk memastikan bahawa para pembekal pendidikan guru dari pihak swasta dapat berganding bahu dalam membantu menyediakan guru-guru berkualiti tinggi bagi negara dan rantau Asia.
"Kolej ini yakin bahawa negara mempunyai keupayaan dan kekuatan moral untuk membangunkan modal insan berkualiti bagi generasi akan datang," ujarnya.
Antara kursus yang ditawarkan di kolej ini termasuklah pengajian peringkat 'A' Level serta Diploma Bahasa Inggeris, Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Diploma Media Kreatif.
Pihak kolej turut mempromosikan kolej ini ke luar negara dengan menggalakkan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO) serta Kementerian Pelajaran Pakistan, Uzbekistan, Palestin dan Korea Selatan untuk menimbang penghantaran guru-guru perkhidmatan dan pra perkhidmatan mereka ke KIC untuk berkongsi pengalaman, kemahiran serta pembelajaran.

Utusan Malaysia Online: 7 Mei 2012

MCKK pencetus evolusi pendidikan

Penubuhan The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) merupakan salah sebuah sekolah yang diharapkan dapat meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan masyarakat Melayu dan kewujudannya telah mencatat sejarah yang tersendiri di negara kita.
Kolej ini ditubuhkan hasil daripada cadangan empat Sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) yang amat menitikberatkan masa depan orang Melayu.
Dalam Persidangan Raja-Raja (DURBAR) di Kuala Lumpur pada 1903, Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I telah menyatakan penentangan terhadap dasar pelajaran British di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang bertujuan hanya melahirkan petani dan nelayan yang lebih baik berbanding generasi terdahulu.
Baginda mencadangkan satu usaha yang positif perlu diambil oleh British untuk menyediakan pelajaran yang lebih baik kepada anak-anak pribumi demi kepentingan negeri-negeri Melayu.
Pendapat ini disokong oleh nazir sekolah-sekolah Negeri Melayu Bersekutu, R.J.Wilkinson. Beliau tidak bersetuju jika pelajaran orang Melayu semata-mata untuk menggalakkan orang Melayu menjadi penduduk kampung terdidik sahaja tanpa membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pentadbiran negeri.
Akibat daripada rasa tidak puas hati ini, maka MCKK ditubuhkan di kawasan tanah seluas 30-40 ekar yang dihadiahkan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I pada 2 Januari 1905.
MCKK dikenali sebagai "Malay Residential School" yang ditubuhkan dengan tujuan memberi pendidikan kepada anak-anak lelaki Melayu daripada kalangan bangsawan bagi memenuhi perkhidmatan di dalam berbagai-bagai sektor perkhidmatan kerajaan.
William Hargreaves dilantik pengetua pertama dalam sistem sekolah berasrama penuh yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu mengikut kaedah "public school'' di England.
Bangunan rasmi bagi The Malay College yang dinamakan "Big School'' telah disiap dibina pada 11 Disember 1909 dan perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I. Sempena dengan itu, namanya telah ditukar kepada MCKK.
Pada tahap permulaan, kebanyakan pelajar terdiri daripada golongan atasan, tetapi selepas tamat Perang Pasifik (1941-1945), atas kesedaran dan pergolakan politik menyebabkan pihak British terpaksa melonggarkan kemasukan pelajar ke MCKK. Pelajar-pelajar daripada segenap lapisan masyarakat mendapat peluang untuk memasuki kolej ini.
Sejak tahun 1947 iaitu apabila keadaan Tanah Melayu telah pulih seperti sedia kala, sekolah ini telah mengalami perkembangan yang pesat.
Bangunan-bangunan tambahan bagi kelas-kelas persediaan, makmal-makmal sains, blok pentadbiran, perpustakaan, dewan sekolah, dewan kuliah dan sebagainya telah didirikan untuk memberi kemudahan kepada pelajar. Kelas-kelas peringkat pra-universiti juga telah dimulakan dalam tahun 1950-an.
MCKK sebagai sebuah institusi pendidikan di Malaysia berjaya dalam peranannya memajukan bidang pelajaran khasnya untuk bumiputera.
Kolej ini telah berjaya dalam usahanya untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang pencapaian dalam semua bidang dan telah melahirkan begitu ramai personaliti dalam bidang masing-masing.
Selain Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar yang membangkitkan semangat orang Melayu menentang Malayan Union pada 1948, Tun Abdul Razak Husein adalah tokoh yang telah memberikan sumbangan yang cukup besar dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Jawatankuasa pelajaran yang dibentuk oleh Parti Perikatan pada tahun 1955 telah diketuai oleh bekas pelajar MCKK ini selaku Menteri Pelajaran pada masa itu.
Antara cadangan Penyata Razak termasuklah penubuhan sekolah umum (rendah) yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan sekolah jenis umum (rendah) yang menggunakan bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
Sekolah menengah Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, manakala sekolah menengah Inggeris pula menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diwajibkan diajar di semua sekolah.
Penyata Razak telah mengemukakan cadangan penting bagi pembentukan bangsa yang bersatu padu melalui satu dasar pendidikan yang menggambarkan perasaan dan harapan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Hasrat tersebut diteruskan hingga kini di bawah gagasan 1 Malaysia.

Utusan Malaysia Online: 7 Mei 2012