Ahad, 13 Mei 2012

Sistem pendidikan dipertingkat

Oleh Rafidah Mat Ruzki

2012/05/13

SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan meletakkan sasaran realistik bagi membangunkan sistem pendidikan setaraf atau lebih baik daripada negara maju dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha untuk mencapai tahap sistem pendidikan setaraf negara maju bukan satu perkara yang mudah dan perubahan dalam pembangunan sistem pendidikan negara tidak boleh dilakukan terlalu drastik.
“Walaupun begitu perubahan tentu akan berlaku, tanggungjawab guru akan terus diperkukuhkan lagi, institusi pendidikan sedia ada akan dapat kita diperlengkapkan,” katanya ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong di sini, semalam.
Beliau berkata langkah penilaian semula sistem pendidikan negara adalah untuk meningkatkan sistem pendidikan negara supaya setaraf dengan negara maju dan bukannya dengan negara mundur atau ke belakang.

Muhyiddin berkata, petunjuk sistem pendidikan Malaysia boleh dikatakan bagus tetapi masih belum boleh dikatakan setaraf atau setanding pada peringkat antarabangsa.

“Banyak orang kata sistem pelajaran kita baik, sudah pun dapat melahirkan generasi Malaysia yang dapat membantu memajukan Malaysia pada hari ini.

“Tidak siapa yang boleh menolak kejayaan Malaysia hari ini adalah antara lain atas sumbangan menerusi sistem pendidikan kita.
“Namun harapan masyarakat di negara ini juga tinggi dan rakyat mahukan sistem pendidikan kita mesti setaraf atau lebih baik daripada sistem pendidikan di negara maju,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat akan bersama-sama kerajaan untuk mencapai matlamat menjadikan sistem pendidikan negara antara yang terbaik di dunia.

Katanya, mereka yang berminat dalam soal pelajaran diminta tampil mengemukakan idea dan cadangan bernas untuk digunakan sebagai asas pertimbangan dalam kajian semula sistem pendidikan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata memandangkan ruang dialog bagi menambah baik sistem pendidikan telah disediakan, diharap tidak ada pihak yang cuba membangkitkan isu itu di luar platform yang disediakan.

Antara perkara pokok yang diberi keutamaan dalam kajian semula sistem pendidikan ialah mengenai kualiti guru, isu perguruan, tanggungjawab guru, beban tugas guru, peranan guru di dalam dan di luar sekolah.

Di KUALA LUMPUR: Muhyiddin berkata rakyat Malaysia harus bersyukur dan menghargai keistimewaan kepelbagaian budaya yang dikongsi di negara ini.

Beliau berkata kestabilan dan kemakmuran yang dikecapi hasil kerjasama semua kaum membolehkan setiap perayaan utama etnik di negara ini disambut bersama.

Berita Harian Online: 13 Mei 2012

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dato bagaimana dengan nasib guru interim yang memiliki ijazah tetapi bukan dalam pendidikan.. adakah kami diberi kursus tidak lama lagi..

Unknown berkata...

Dato betul yang guru pelatih maktabtidak akan menerima elaun mulai 2013 serta jaminan penemapatan guru tidak dijamain?

Unknown berkata...

Izin ka saya perbetulkan apa saya tersilap tadi Pelajar Instituttidak akan menerima elaun.

Daripada pelan strategik Interim yang di bawah


Pelan Strategik Interim KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
2011 - 2020....

1. Mulai tahun 2013, pelatih guru di IPG/IPTA/IPTS ditawarkan Biasiswa Cemerlang atau Pinjaman Boleh Ubah (PBU) dan jaminan penempatan dimansuhkan.

2. Mulai tahun 2013, graduan dengan PNGK 3.0 ke atas dipilih dan dilantik sebagai guru.

3. Mengambil 20% guru pelatih dalam kalangan pelajar/graduan cemerlang.

4. Melaksanakan sistem penarafan IPG dan membuat ranking IPG mulai tahun 2013.

5. Mulai tahun 2013, Biasiswa Cemerlang dan PBU ditawarkan kepada pelajar dalam bidang pendidikan/ perguruan di IPG, IPTA
dan IPTS.

6. Mulai tahun 2017, graduan dengan PNGK 3.0 ke atas dipilih dan dilantik sebagai guru.