Isnin, 7 Mei 2012

MCKK pencetus evolusi pendidikan

Penubuhan The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) merupakan salah sebuah sekolah yang diharapkan dapat meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan masyarakat Melayu dan kewujudannya telah mencatat sejarah yang tersendiri di negara kita.
Kolej ini ditubuhkan hasil daripada cadangan empat Sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) yang amat menitikberatkan masa depan orang Melayu.
Dalam Persidangan Raja-Raja (DURBAR) di Kuala Lumpur pada 1903, Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I telah menyatakan penentangan terhadap dasar pelajaran British di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang bertujuan hanya melahirkan petani dan nelayan yang lebih baik berbanding generasi terdahulu.
Baginda mencadangkan satu usaha yang positif perlu diambil oleh British untuk menyediakan pelajaran yang lebih baik kepada anak-anak pribumi demi kepentingan negeri-negeri Melayu.
Pendapat ini disokong oleh nazir sekolah-sekolah Negeri Melayu Bersekutu, R.J.Wilkinson. Beliau tidak bersetuju jika pelajaran orang Melayu semata-mata untuk menggalakkan orang Melayu menjadi penduduk kampung terdidik sahaja tanpa membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pentadbiran negeri.
Akibat daripada rasa tidak puas hati ini, maka MCKK ditubuhkan di kawasan tanah seluas 30-40 ekar yang dihadiahkan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I pada 2 Januari 1905.
MCKK dikenali sebagai "Malay Residential School" yang ditubuhkan dengan tujuan memberi pendidikan kepada anak-anak lelaki Melayu daripada kalangan bangsawan bagi memenuhi perkhidmatan di dalam berbagai-bagai sektor perkhidmatan kerajaan.
William Hargreaves dilantik pengetua pertama dalam sistem sekolah berasrama penuh yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu mengikut kaedah "public school'' di England.
Bangunan rasmi bagi The Malay College yang dinamakan "Big School'' telah disiap dibina pada 11 Disember 1909 dan perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I. Sempena dengan itu, namanya telah ditukar kepada MCKK.
Pada tahap permulaan, kebanyakan pelajar terdiri daripada golongan atasan, tetapi selepas tamat Perang Pasifik (1941-1945), atas kesedaran dan pergolakan politik menyebabkan pihak British terpaksa melonggarkan kemasukan pelajar ke MCKK. Pelajar-pelajar daripada segenap lapisan masyarakat mendapat peluang untuk memasuki kolej ini.
Sejak tahun 1947 iaitu apabila keadaan Tanah Melayu telah pulih seperti sedia kala, sekolah ini telah mengalami perkembangan yang pesat.
Bangunan-bangunan tambahan bagi kelas-kelas persediaan, makmal-makmal sains, blok pentadbiran, perpustakaan, dewan sekolah, dewan kuliah dan sebagainya telah didirikan untuk memberi kemudahan kepada pelajar. Kelas-kelas peringkat pra-universiti juga telah dimulakan dalam tahun 1950-an.
MCKK sebagai sebuah institusi pendidikan di Malaysia berjaya dalam peranannya memajukan bidang pelajaran khasnya untuk bumiputera.
Kolej ini telah berjaya dalam usahanya untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang pencapaian dalam semua bidang dan telah melahirkan begitu ramai personaliti dalam bidang masing-masing.
Selain Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar yang membangkitkan semangat orang Melayu menentang Malayan Union pada 1948, Tun Abdul Razak Husein adalah tokoh yang telah memberikan sumbangan yang cukup besar dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Jawatankuasa pelajaran yang dibentuk oleh Parti Perikatan pada tahun 1955 telah diketuai oleh bekas pelajar MCKK ini selaku Menteri Pelajaran pada masa itu.
Antara cadangan Penyata Razak termasuklah penubuhan sekolah umum (rendah) yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan sekolah jenis umum (rendah) yang menggunakan bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
Sekolah menengah Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, manakala sekolah menengah Inggeris pula menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diwajibkan diajar di semua sekolah.
Penyata Razak telah mengemukakan cadangan penting bagi pembentukan bangsa yang bersatu padu melalui satu dasar pendidikan yang menggambarkan perasaan dan harapan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Hasrat tersebut diteruskan hingga kini di bawah gagasan 1 Malaysia.

Utusan Malaysia Online: 7 Mei 2012

Tiada ulasan: