Sabtu, 12 Mei 2012

Koperasi guru Melayu beri pinjaman RM11 juta

KOTA BHARU 10 Mei - Koperasi Guru Melayu Kelantan Berhad (KGMKB) mencatat sejarah apabila mengeluarkan kira-kira RM11 juta wang pinjaman kepada 474 ahli bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Pengerusi Lembaga KGMKB, Ab. Ghani Mat berkata, pinjaman itu merupakan yang terbanyak bagi tempoh tersebut berbanding RM9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, pinjaman itu dikeluarkan berikutan kenaikan gaji yang membolehkan mereka membuat bayaran untuk pinjaman tersebut.
''Koperasi menggalakkan ahli membuat pinjaman bagi membolehkan mereka mendapat pelbagai manfaat dan memang itulah tujuan kita menubuhkan koperasi ini," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 bagi Jajahan Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor, di sini hari ini.
Sempena majlis itu, seramai 70 orang pelajar menerima RM400 setiap orang dari agihan sebanyak RM28,000 manakala sumbangan khairat kematian berjumlah RM45,000 diberikan kepada enam penerima yang anggota keluarga mereka meninggal dunia baru-baru ini.
Tahun lalu katanya, Tabung Kebajikan Anggota KGMKB telah mengeluarkan sumbangan berjumlah kira-kira RM2 juta kepada ramai ahlinya yang memerlukan bantuan.
Daripada jumlah itu, katanya, lebih RM1 juta diberikan kepada 1,818 ahli termasuk khairat kematian, anggota dan keluarga yang masuk wad, sakit kronik dan pelbagai lagi.
Menurutnya, lebih RM1 juta lagi diberikan kepada 1,990 orang dalam bentuk dermasiswa dan biasiswa kepada anggota serta anak-anak yang melanjutkan pelajaran.

Utusan Malaysia Online: 11 Mei 2012

Tiada ulasan: