Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my
|
Muhyiddin Yassin bersama pelajar sempena pelancaran Cybersafe in School di SMK Tandek, di Kota Marudu, Sabah baru-baru ini. |
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) perlu melihat semula keberkesanan program pe- laksanaan program teknologi mak- lumat dan komunikasi (ICT) setelah hampir 20 tahun ia menjadi aplikasi perdana koridor raya multimedia.
Penilaian peringkat kebangsaan perlu dilakukan semula terhadap keselesaan dan kesesuaian program yang dilakukan oleh bahagian atau jabatan di KPM, institusi latihan perguruan, Institut Aminuddin Baki (IAB), agensi-agensi yang dilantik serta pihak yang berkepentingan, yang nampaknya caca marba dan belum kesampaian.
Guru masih tidak tahu mencari bahan, mengintegrasikannya dalam satu mauduk rancangan dan sukatan mengajar seharian. Pengurus dan pentadbir sekolah juga masih gagal mengurus program ICT di sekolah dengan berkesan. Kesemua inilah yang dikhuatiri akan menjadi virus sehingga menggagalkan program ICT di sekolah untuk satu pusingan lagi.
Program kesedaran atau celik komputer sudah berlalu. Satu program pengintegrasian dalam amalan terbaik mengajar di sekolah adalah fokus program latihan sekarang.
Hal ini saya anggap kritikal kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu program pembestarian semua sekolah dilaksanakan segera - seperti mana yang beliau tegaskan semasa pelancaran program Cybersafe in School peringkat kebangsaan di Kota Marudu, Sabah, Jumaat lepas.
Kegagalan atau kejayaan program ICT di sekolah akan menentukan pelbagai perkara - misalnya bagaimanakah ia bakal menjejaskan kepercayaan terhadap program komputer rakyat - juga perlu diperhalusi.
Banyak program sangkutan ICT yang gagal - lihat sahaja Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI).
PPSMI adalah aspek yang kecil. Lebih besar lagi, ketidakcekapan pengurusan bakal menggagalkan keseluruhan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah kalau harapan disandarkan secara membuta tuli kepada suasana dan keadaan semasa.
Bagi penulis, ia umpama filem Terminator, sebuah syarikat SkyNet hanya mencipta dan mempromosikan teknologi yang akhirnya menjadi 'monster' yang memakan diri sendiri.
Ia umpama virus yang sangat cepat tersebar kerana kesedaran untuk menggunakan komputer di sekolah secara umumnya semakin tinggi.
Program-program pengurusan perubahan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) dengan kerjasama Portal Pendidikan Utusan Malaysia berjaya menyedarkan guru dan pengurus sekolah perihal kepentingan ICT dalam P&P.
Namun, virus itu perlu dimusnahkan terlebih dahulu.
"Komputer dihantar sebanyak dua kontena, tetapi jadi perhiasan sahaja di rumah," kata seorang bapa dalam dialog sempena program Jerayawara Pembestarian Sekolah Di Kota Marudu, Sabah, Jumaat lalu sempena pelancaran Cybersafe in School.
Malah tidak keterlaluan kalau penulis mengesyaki - atas kesedaran yang ikhlas itu - mungkin ada yang menjual komputer riba daripada program komputer rakyat ini, seperti mana ada yang menjual subsidi minyak diesel.
Kenapa program ICT di sekolah gagal? Kerana kebanyakan kita tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan komputer.
Komputer dilihat sebagai alat. Latihan komputer kepada pentadbir dan pengurus di sekolah berkisar kepada melerai dan memasang semula komputer. Mereka tidak melihat potensi alat pengupaya itu dari luar kotak pemikiran bahawa komputer ialah ciptaan paling agung pada abad silam untuk membantu manusia pada zaman akan datang.
Perisian kursus yang diharap untuk membantu guru - yang dibangunkan kononnya untuk menjadi alat bantu mengajar - telah membunuh potensi sebenar komputer di sekolah.
Oleh itu, proses melihat semula keberkesanan semula program latihan komputer di sekolah sangat penting kerana dikatakan komputer di sekolah gagal dimanfaatkan sepenuhnya.
Integrasi
Penulis mendapati, sikap yang keterlaluan dalam mengikuti perkembangan teknologi terkini oleh 'jurujual', terlalu terikut-ikut negara seperti Korea Selatan, gagal untuk berubah, pengurusan ICT sekolah yang tidak cekap serta kelemahan dalam aspek integrasi dan interaksi P&P menjadikan program komputer di sekolah tidak mencapai maksudnya.
Keadaan semakin kusut apabila beberapa pihak di dalam KPM masih melihat ICT perlu diikat dengan perisian tertentu yang mereka sediakan, tanpa berpegang bahawa guru ialah kerjaya jiwa raga, dan ilmu diperoleh tanpa batasan.
Tanyalah. Adakah guru telah berjaya mengupayakan P&P mereka? Adakah murid semakin minat datang ke kelas? Adakah guru sudah menjadikan budaya mengakses maklumat dari Internet sebagai bahan tambahan mereka?
Kita jangan mendengar cerita manis sebagai halwa telinga daripada pihak yang kita tidak dapat mengesahkan kesahihannya.
Turunlah ke akar umbi. Penulis yang terlibat dengan program Jerayawara Pembestarian Sekolah sempena pelancaran Cybersafe in School di Kota Marudu, Sabah amat tertarik dengan komen peserta - terdiri daripada pentadbir, pengurus, guru dan ibu bapa - kerana rupa-rupanya ibu bapa di situ akhirnya setuju ICT sangat penting, tetapi mereka masih kabur dengan kegunaannya.
Setelah mengikuti program pengurusan perubahan oleh penasihat Portal Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain, ibu bapa mahu membantu sekolah, dan guru menyedari pengintegrasian adalah sesuatu yang sangat penting dalam kerjaya mereka.
Malangnya mereka kurang mendapat pendedahan dalam kursus-kursus yang mereka hadiri.
"Selama ini kami hanya mendapat komputer, mendapat latihan celik komputer dan program memasang dan melerai komputer sahaja," katanya.
Dalam satu polar sosial yang kurang diberikan perhatian - iaitu masyarakat setempat di Marudu - mereka bertanya kepada penulis tentang masa depan program komputer rakyat, pembudayaan ICT dan kesan politiknya.
Seorang ibu, menghampiri penulis dan bertanya, bagaimanakah untuk berminat dengan ICT kerana dia mempunyai perniagaan, mahu mengembangkannya tetapi tidak tahu potensi komputer - sedangkan kelima-lima anaknya mahir dalam komputer tetapi kurang membantu.
"Saya sangat tertarik dengan program pengurusan perubahan oleh MDeC ini kerana saya melihat ada kaum Orang Asli Mah Meri di Selangor menjual produk kraf tangan mereka sehingga ke Amerika Syarikat," kata ibu tersebut.
Hal ini menunjukkan pelaburan berbilion ringgit kerajaan dalam usaha menerapkan budaya ICT di sekolah sejak 20 tahun lalu memutikkan bunga kerana ia telah menyusup, membudaya dan kini mengakar umbi di segenap lapisan guru - termasuk sekolah di Sabah dan Sarawak.
Hal ini terbukti melalui reaksi peserta daripada program Jerayawara MDeC, yang menunjukkan usaha itu bukan sahaja telah berjaya memangkinkan penggunaan ICT di sekolah, malah tempiasnya telah dirasai oleh masyarakat sekitar.
Hal ini sekali gus membuktikan bahawa isu jurang digital telah berjaya ditangani, dan usaha susulan oleh kerajaan seperti memperkenalkan jalur lebar dan pemberian komputer riba dalam inisiatif satu komputer satu rakyat bolehlah diteruskan dan dapat di terima.
Buku teks
Di Kota Marudu atau Nabawan di Sabah, penerimaan terhadap teknologi yang pernah dianggap 'menyukarkan urusan' itu ternyata telah bertukar sifatnya sehingga 360 darjah.
Hal ini memungkinkan buku teks tidak lagi relevan pada satu hari kelak apabila kekangan sikap guru dan masyarakat dapat ditangani sepenuhnya.
Semasa program di SMK Tandek itu, pentadbir dan pengetua, tidak lagi menunjukkan reaksi penolakan atau teragak-agak dalam komitmen mereka untuk menjadikan sekolah masing- masing sebagai agen perubahan.
Program dikendalikan oleh Dr. Ismail Zain dan pegawai Unit Perkhidmatan ICT, BTPN, Sabah, Rodymond G. Omar.
Penolong Kanan SMK Tandek, Bonar Mayanglan berkata, asalkan guru berminat, usia bukan jadi penghalang.
"Lagipun, sebagai tenaga pengajar mereka perlu ada kreativiti, inovatif dan pengetahuan - rumus penting dalam pengintegrasian ICT dalam P&P."
Shaiffuddin Shaiddin dari Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Pantai Barat Utara di Kota Belud sering mencabar guru muda menggunakan ICT ketika mengajar.
"Otak kita sama sahaja… Cuma sama ada kita mahu belajar atau tidak."
Satu tinjauan rambang dalam kalangan peserta mendapati rata-rata mempunyai akaun Facebook.
"Saya sudah berusia, tapi saya sedar bahawa saya tidak boleh bekerja tanpa bantuan ICT," kata Guru SK Ranau, Kota Marudu, Abd Aziz Dumang yang turut mencadangkan setiap guru melalui program perubahan sikap.
Pendidik mesti sedia terima perubahan. Kita perlu perubahan.
Katanya, banyak lagi cabaran di hadapan, teknologi begitu pantas.
Pendedahan Jerayawara ini sesuai untuk seorang guru. Ia dapat membuka mata semua golongan kalau dapat ubah sikap, ujar guru yang sudah 38 tahun mengajar itu.
"Bukan mudah untuk berubah. Diri kita sendiri perlu berubah," tambah Aziz.
Penolong Kanan 1, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Khoi Ming, Kota Marudu, Sooi Hai Soon berkata, pihak sekolah perlu membuka pintu kepada agensi luar untuk membantu pihak sekolah membangunkan program ICT.
Guru SMK Tandek, Kota Marudu, Joanes Miro berkata, semua guru sebenarnya sudah bersedia, tapi belum cukup latihan.
Dalam hal ini, Rodymond G. Omar berkata, latihan sudah diberi dan tindakan susulan akan dibuat.
Penolong Kanan (PK) 1, SMK Bengkongan, Kota Marudu, Miasin Gani juga mengakui program pengurusan perubahan MDeC berjaya mencapai matlamatnya.
Seorang lagi guru SK Tandek, Mastijah Madina berkata: "Namun begitu, dalam kalangan ibu bapa masih terdapat sedikit kegusaran tentang pelaksanaan berdasarkan pemerhatian terhadap anak-anak sendiri."
Pada sesi sebelah petang bersama ibu bapa, isu-isu seperti komputer yang tidak dapat digunakan kerana kurang kepakaran dan juruteknik yang mencukupi menjadi isu yang masih menghantui mereka.
Namun isu itu dilihat secara positif oleh ibu bapa yang memohon kerajaan bertindak lebih cepat menangani isu berkenan.
"Sayang sahaja duit kerajaan . . . akhirnya simpan sebagai komputer," kata seorang bapa.
Utusan Malaysia Online: 27 September 2010