Ahad, 5 Februari 2012

Lambakan guru sains, matematik akan diatasi - Mohd. Fuad

BATU PAHAT 4 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memperhalusi dakwaan berlaku lambakan 13,000 guru sains dan matematik di seluruh negara, kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perbincangan juga akan dilakukan bagi mencari formula terbaik bagi mengatasi masalah itu yang harus dilihat secara menyeluruh kerana membabitkan pelbagai faktor termasuk peranan ibu bapa.

"Memang sudah diwujudkan Jawatankuasa Penyelarasan dalam memastikan unjuran pengambilan guru tidak berkurangan mahupun berlebihan tetapi jumlah pelajar yang memilih bidang sains menurun, mungkin menyebabkan berlaku lambakan seperti didakwa.

"Saya tidak pasti ketepatan bilangan lambakan guru seperti yang didakwa itu tetapi dasar kita adalah melahirkan 60 peratus pelajar jurusan sains. Bagaimanapun, kita tak boleh paksa ibu bapa dan anak memilih jurusan sains," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung isu lambakan guru tersebut, baru-baru ini.

Laporan itu berdasarkan ulasan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap taklimat Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa.

Zakaria dilaporkan berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara telah dihantar ke UPSI untuk latihan semula.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa merangka kaedah proaktif termasuk menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk memastikan minat pelajar dalam bidang Sains dan Matematik meningkat.

"Kementerian sendiri akan terus menggalakkan sekolah dan pelajar menceburi bidang ini selain memperbanyakkan lagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) aliran Sains dan kelas aliran Sains di sekolah seluruh negara namun, ibu bapa juga perlu memain peranan dan menyemai minat anak mereka.

"Saya juga cadangkan sekolah ambil inisiatif termasuk menubuhkan serta mengadakan pelbagai kelab dan aktiviti berunsur Sains dan Matematik termasuk kelab robotik mahupun menyertai ekspo mahupun lawatan supaya minat pelajar terhadap bidang ini dapat terus dipupuk," katanya.


Utusan Malaysia Online: 5 Februari 2012

1 ulasan:

guru lama berkata...

Baru sekarang Dr. Fuad hendak mengkaji masalah lambakan guru sains dan matematik???? Patutlah selama ini guru-guru sains dan matematik berlebih-lebihan di sekolah menengah, rupa tidak penyelarasan antara Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sekali lagi saya sebagai guru lama di sekolah menengah mengesahkan bahawa memang berlaku lambakan guru sains dan matematik.

Sebenranya perkara ini tidak akan berlaku jika sekiranya berlaku penyelarasan kedua-dua kementerian.Antara faktor yang mendorong berlakunya lambakan guru sains dan matematik adalah seperti berikut;-

1. Tiada pelan tindakan bagi mempastikan bilangan siswazah program sains dan matematik yang keluar dari universiti dengan bilangan keperluan guru berkenaan di sekolah.

2. Pihak universiti diberi autonomi dalam pengambilan pelajar jurusan sains dan matematik tanpa mengambil kira keperluan Kementerian Pelajaran.

3. Terlalu banyak universiti yang menawarkan program yang sama di IPTA atau di IPTS tempatan malah ada juga pelajar yang belajar di universiti luar negara.

4. Keadaan bertambah kusut apabila Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Institiut Pendidikan Guru menawarkan program yang sama di semua IPG seluruh negara.

5. Kerajaan tidak serius dalam mempastikan setiap sekolah menengah di Malaysia mewujudkan bilangan kelas-kelas aliran sains khususnya di kawasan luar bandar. Sebagai contoh di satu daerah di Sabah, dalam daerah tersebut ada 6 buah sekolah menengah tetapi hanya 3 buah sekolah sahaja yang menawarkan aliran sains manakala sekolah yang lain hanya ada aliran sastera sahaja. Oleh itu pelajar tiada pilihan bagi sekolah-sekolah yang hanya menawarkan aliran sastera.

6. Sekolah diberi kebebasan mewujudkan kelas-kelas aliran sains dan cara pengambilan pelajar adalah berdasarkan keputusan pihak pentadbiran sekolah.

7. Keadaan bertambah buruk lagi apabila banyak sekolah yang tidak dibekalkan dengan kemudahan asas P & P dalam subjek-subjek sains tulen.

8. Tiada arahan khusus kepada semua pengetua bagi mewajibkan aliran sains diwujudkan di sekolah.

9. Kelas-kelas aliran sains di kebanyakan sekolah yang menawarkan aliran sains sangat kurang. Ada satu sekolah yang mempunyai 15 kelas tingkatan 4 dan tingkatan 5 tetapi kelas sains hanya ada 2 kelas sahaja.


Sepatutnya semua perkara di atas tidak berlaku.