Khamis, 16 Februari 2012

Membazir hantar ke luar negara

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan cadangan menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara sebagai membazir dan membuang masa.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk memperkasa kemahiran guru tersebut tanpa perlu meninggalkan sekolah kerana ia dilihat lebih praktikal serta tidak melibatkan kos yang tinggi.

"Adakah dengan menghantar guru ke luar negara benar-benar mampu menjamin mereka dapat memberi impak seperti yang diharapkan setelah pulang nanti?

"Saya yakin dengan kemampuan semua guru bahasa Inggeris sedia ada kerana mereka memiliki kelayakan yang cukup setelah mengikuti pengajian selama empat tahun di universiti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Kementerian Pelajaran mengkaji untuk menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara agar penguasaan mereka dalam bahasa itu dapat dimantapkan.

Mengulas lanjut, Hashim turut mencadangkan kepada kementerian supaya menggunakan semua pakar bahasa Inggeris tempatan termasuk yang telah bersara dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa dan teknik pengajaran guru terbabit melalui kursus-kursus pendek.

"Adalah lebih baik sekiranya pakar-pakar tempatan mengadakan kursus kepada guru Bahasa Inggeris di setiap sekolah untuk berkongsi pengalaman dan idea mereka bagi tujuan tersebut.

"Jangan memandang rendah serta memperlekehkan kemampuan pakar-pakar tempatan yang sebenarnya mampu memberi sumbangan besar dalam memantapkan penguasaan bahasa Inggeris guru di negara ini," ujarnya.

Tambah beliau, guru-guru juga perlu mengambil inisiatif sendiri dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing supaya mereka dapat bertutur dengan lebih yakin.

"Apa yang lebih penting, guru terlibat perlu membudayakan penggunaan bahasa itu bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi juga dalam kehidupan seharian," katanya.


Utusan Malaysia Online: 16 Februari 2012

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

La...kenapa hantar guru yg dah pandai Bahasa Inggeris..hantar sahaja guru biasa yang tak tahu (reti) B.I ni ke luar negeri..tapi jangan letak dekat-dekat guru-guru ini antara mereka..COMFIRM, guru-guru ni pandai B.I walaupun tatabahasa mereka tunggang terbalik....

Tanpa Nama berkata...

pd pndapat sy... menghantar guru b.i ke luar negara merupakan 1 pelaburan yg agak berbaloi. krn utk mguasai sesuatu bahasa sesuatu bangsa dgn lebih baik, kta perlu mmahami budaya bangsa tersebut. exposure secara terus adalah lebih berkesan. bukanlah menganggap tenaga kepakaran sedia ada sebagai picisan, namun pendekatan yang digunakan mungkin agak kurang relevant mengikut keperluan semasa. lagipun, mengambil kira antara kos pengambilan tenaga pengajar dari luar negara dengan kita mnghntar sendiri produk kita, anak bangsa kita ke luar ngara, ianya lebih kurang sama. elaun,gaji dan segala tanggungan untuk tenaga luar juga tidak kurang tingginya. adalah lebih baik kita mnghantar produk sndiri. biarlah perlaburan awal agak tinggi,namun sekembalinya dari luar negara lebih ramai anak bangsa kita dpt di'deliver scra terus profesionally.its worth. plus, smpai bila kita nak hrap org pancingkan ikan?knapa tidak kita belajar untuk memancing sndri kan..

Tanpa Nama berkata...

guru TESL diharapkan untuk mngajar pelajar2 ESL d Malaysia..apa yang d harapkan sekiranya guru itu sendiri tidak pernah terdedah dgn persekitaran English sebagai bhasa pertama..quality nya pasti berbeza..sebagai contoh,kita tidak memerlukan masa yang lama untuk pelajar kita menguasai bahasa Arab yang mana merupakan bahasa paling sukar, tenaga pengajar yang terdiri drpada anak bangsa kita yang mendapat pendidikan d timur tengah sangat memberi impak apabila pulang mngajar d tanah air. namun pembelajaran bahasa Inggeris selama 13 tahun seolah2 tidak memberi sebarang impak. malah ia seakan mentaliti masyarakat memandang bahasa Inggeris sebagai membebankan. mengapa hal ini terjadi? adakah kepakaran kita tidak mencukupi?? mengapa pendekatan kita gagal menimbulkan minat pelajar terhadap bhasa Inggeris? disini.. kita perlukan fikirkan sesuatu yang baru..