Isnin, 2 April 2012

Guru dipenjara 16 bulan rangsang dua murid lelaki

02/04/2012 6:08pm

PUTRAJAYA 2 April – Seorang guru Bahasa Inggeris terpaksa meringkuk dalam penjara selama 16 bulan atas dua kesalahan merangsang dua murid lelaki Tahun Enam untuk melakukan kelucahan melampau, selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk K.N. Segara yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Linton Albert sebulat suara menolak rayuan Muhammad Nizar Shuib, 31, terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap kesalahan.

Ketika kejadian lapan tahun lalu, perayu merupakan guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Kedah dan dia turut mengajar tuisyen mata pelajaran itu di rumahnya selepas waktu sekolah. Kedua-dua mangsa merupakan muridnya.

Keterangan kes menyatakan, guru berkenaan merangsang mangsa dengan memainkan filem lucah selain memegang kemaluan kedua-duanya.

Kuorum tersebut dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 9 Mei 2010 yang menjatuhkan hukuman tersebut dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya pada 20 Julai tahun lalu.

Muhammad Nizar disabitkan melakukan perbuatan itu terhadap dua murid berkenaan pada waktu yang berlainan di antara Mei 2003 dan April 2004 di rumahnya di Kubang Pasu.

Perayu diwakili oleh peguam G. Ravishankar manakala Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi mewakili pihak pendakwaan. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online: 2 April 2012

1 ulasan:

ANIM berkata...

kerjaya guru kerjaya mulia..
jangan kerana nila setitik...rosak susu sebelanga..