Jumaat, 4 Mei 2012

Pekeliling keselamatan pelajar diteliti semula

MUAR: “Pekeliling keselamatan diwartakan Kementerian Pelajaran sebelum ini akan diteliti semula bagi memastikan insiden sama tidak berulang,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika diminta mengulas kes kehilangan seorang murid, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang dilaporkan hilang dipercayai diculik di luar kawasan sekolahnya di Mont Kiara, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Beliau berkata, keselamatan warga sekolah tidak tertumpu pada satu pihak, malah segenap lapisan masyarakat termasuk ibu bapa perlu memandang serius isu keselamatan anak-anak sama ada dalam mahupun di luar sekolah.

“Kementerian bercadang memperkenalkan garis panduan baru dalam konteks keselamatan kira-kira 5.6 juta pelajar di negara ini dan modul ini membabitkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.
Pelajar lelaki warga Belanda itu dilaporkan hilang dipercayai diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini, kira-kira jam 7 pagi Jumaat lalu sebelum dipercayai dilarikan dua lelaki menaiki sebuah Proton Gen 2 hitam.

Bagaimanapun, mangsa ditemui dalam keadaan selamat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuh raya Utara Selatan (Plus), semalam. Dalam perkembangan berlainan, Berjaya Corporation Berhad termasuk 7-Eleven dan Cosway Berhad menyokong dasar 1 Murid 1 Sukan dilancarkan Kementerian Pelajaran tahun lalu apabila menyerahkan 15,000 bola dengan nilai RM1.1 juta kepada kementerian bagi tujuan pembangunan sukan bola sepak di peringkat sekolah.

myMetro: 4 Mei 2012

Tiada ulasan: