Isnin, 27 Januari 2014

Bekas guru besar dihukum kerana salah guna kuasa

ALOR SETAR 27 Jan - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM148,500 kepada seorang bekas penjawat awam setelah didapati bersalah atas lima tuduhan salah guna kuasa membabitkan bekalan pakaian seragam ko-kurikulum sekolah pada 2008 dan 2009 bernilai RM32,400.
Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Zakaria Md Lazim,56, yang merupakan guru besar Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini ketika kesalahan dilakukan.
Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari hari ini, manakala tertuduh akan dipenjara 15 bulan lagi jika gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.
Dalam pertuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR), sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 dan dia didakwa mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya sendiri, Ros Adimas Md Lazim.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian PBSM bernilai RM6,300, set pakaian TKRS bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700.
Dalam pertuduhan kelima, Zakaria juga didakwa menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian seragam PBSM, Pengakap, Puteri Islam dan TKRS bernilai RM5,900 di SKTB pada September 2009.

Utusan Malaysia: 27 Januari 2014

Tiada ulasan: