Rabu, 15 Januari 2014

Pengetua, guru pantau harga makanan kantin sekolah

KUALA SELANGOR 13 Jan. - Semua pengetua dan guru diarah memantau harga makanan di kantin sekolah masing-masing bagi memastikan pelajar tidak terbeban dengan harga makanan serta minuman yang tidak berpatutan.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pengusaha kantin tidak boleh mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati dan sebarang perubahan mengenainya perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu.
"Setakat ini hanya beberapa aduan diterima namun setelah pihak sekolah menegur, mereka telah menurunkan harga barangan.
"Oleh itu, pihak sekolah perlu memainkan peranan mengawal kenaikan harga makanan di kantin masing-masing," katanya.
Beliau berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad.
Sebanyak 46 buah sekolah cemerlang di seluruh negara menerima anugerah dalam majlis itu yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Ijok, Bestari Jaya.
Sementara itu, gred purata nasional (GPN) bagi UPSR tahun lepas adalah 2.27 peratus dan peratusan calon yang mendapat semua gred A bagi semua matapelajaran yang diduduki meningkat sebanyak 0.21 peratus iaitu daripada 8.94 peratus pada 2012 kepada 9.15 peratus.
Sementara itu, Idris memberitahu, setakat ini tiada sekolah dijadikan pusat pemindahan banjir berikutan banjir gelombang kedua yang berlaku ketika ini.
"Keadaan banjir masih lagi terkawal termasuk di beberapa buah negeri yang terlibat seperti Sabah dan Kelantan, justeru tiada sekolah menjadi pusat pemindahan.
"Kita juga meminta pihak sekolah supaya bersedia dengan banjir gelombang kedua," katanya.

Utusan Malaysia: 14 Januari 2014

Tiada ulasan: