Jumaat, 28 Oktober 2011

Pemantauan, laporan peralatan jadi agenda mesyuarat PIBG

28/10/2011 7:03pm

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Langkah pemantauan serta laporan peralatan di sekolah perlu dijadikan agenda tetap dalam setiap mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, pemantauan dan laporan ini perlu dikemukakan pada setiap mesyuarat untuk mengetahui peralatan di sekolah berada dalam keadaan baik atau sebaliknya.

"Laporan mengenainya perlu agar pihak sekolah dan PIBG dapat berbincang jalan penyelesaiannya sekali gus mengambil tindakan segera terhadap peralatan usang atau reput yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan pelajar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang murid perempuan tahun satu pengsan manakala rakannya cedera di tangan setelah ditimpa sebatang tiang bendera ketika menyertai aktiviti sukan di sebuah sekolah di Beranang, Selangor, semalam.

Menurutnya, budaya mementingkan keselamatan di sekolah perlu disemai di dalam diri setiap pelajar agar kemalangan seperti ini tidak berlaku.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kejadian itu kes terpencil di negara ini kerana mempunyai peratusan yang sangat sedikit dalam statistik kemalangan ketika berada di kawasan sekolah.

"Walaupun begitu, ia tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan pihak sekolah dan ibu bapa. Oleh itu, tindakan yang wajar perlu dilakukan bagi mengelak kejadian seperti ini berulang," katanya.

Pihaknya berharap agar ibu bapa tidak mudah 'melatah' jika kejadian ini berlaku kepada anak mereka kerana pihak sekolah sedaya upaya menjaga keselamatan pelajar ketika berada di kawasan sekolah.

“Pihak sekolah pula perlu lebih prihatin terhadap keselamatan pelajar kerana sudah menjadi tanggungjawab untuk memantau mereka agar tidak berlaku kemalangan,” ujarnya.

Pada bulan lepas, seorang murid tahun lima maut setelah cedera parah di kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 1, Klang. - Utusan


Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

boleh dimasukkan sbg laporan keselamatan pelajar, peralatan dan guru.
laporan e disiplin tak mahu ke? laporan kewangan? laporan ko-k? laporan prestasi pelajar? laporan akademik?
brape banyak laporan mahu bincang daa.. kami guru pun letih nak layan semua laporan dan cadangan PIBG.