Khamis, 10 Februari 2011

Polis serbu ‘port ponteng’ pelajar

Oleh Adha Ghazali

2011/02/10

KANGAR: Seramai 17 pelajar sekolah menengah termasuk dua perempuan ditahan bersama sekumpulan pelajar kolej swasta selepas dikesan menjadikan sebuah rumah di Taman Seri Kenanga, di Bintong, sebagai ‘port ponteng’ mereka semalam.

Semua mereka ditahan dalam ‘Ops Ponteng; oleh sepasukan polis dengan kerjasama pihak sekolah, susulan aduan mengenai kediaman terbabit yang menjadi tumpuan pelajar ponteng untuk berkumpul.

Berdasarkan maklumat, rumah teres dua tingkat itu disewa sekumpulan pelajar kolej swasta berhampiran dan sudah lama menjadi perhatian penduduk setempat kerana sering dikunjungi pelajar sekolah, termasuk perempuan walaupun pada waktu persekolahan.
Ini terbukti apabila serbuan diketuai Ketua Polis Balai Kangar, Deputi Superintendan Mohd Noor Puteh, semalam menemui sekumpulan 17 pelajar sekolah termasuk dua pelajar perempuan masing-masing berusia 14 tahun di rumah terbabit, sekali gus menguatkan lagi andaian wujudnya kegiatan tidak sihat di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, ketika ditemui mengesahkan penahanan 21 remaja terbabit termasuk 17 pelajar berusia 14 hingga 17 tahun daripada beberapa sekolah menengah berdekatan, semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan penduduk setempat kononnya wujud amalan tidak bermoral membabitkan pelajar sekolah terbabit di kediaman itu.

“Ketika serbuan pelajar lengkap berpakaian seragam sekolah dan majoritinya dikesan duduk melepak di dalam rumah berkenaan, walaupun ada di antaranya merokok,” katanya.

Berita Harian Online: 10 Februari 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Elok pihak sekolah dan pihak penguatkuasa yang berkiatan bekerjasama untuk mengatasi masalah ponteng. Saya sokong operasi ini.