Jumaat, 11 Februari 2011

924 guru besar terima insentif RM7,500


Sebahagian warga Kementerian Pelajaran melafazkan ikrar di hadapan Muhyiddin Yassin di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 10 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM7,500 setiap seorang kepada 924 guru besar cemerlang yang telah berjaya melonjakkan prestasi sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerusi tawaran baru (bai'ah) itu, pihak kementerian mendapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi ditetapkan adalah di luar jangkaan.

Katanya, sasaran yang diletakkan ialah dua peratus tetapi melepasi 12.1 peratus, iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal.

Menurut beliau, tawaran baru yang diumumkan telah memberi suntikan semangat dan dorongan kepada guru-guru untuk meningkatkan prestasi sekolah masing-masing, buktinya setahun selepas tawaran dibuat, jumlah yang berjaya amat luar biasa.

''Sebagai tanda penghargaan, guru-guru yang bersama-sama berusaha melonjakkan prestasi sekolah juga akan turut menerima ganjaran seperti yang telah dijanjikan.

''Setiap guru besar layak menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru yang paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang, kita akan beri imbuhan ini pada pertengahan tahun mungkin selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama, dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, jemaah nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi kesemua 924 guru besar terbabit untuk diberikan ganjaran dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Ditanya adakah pemberian insentif itu berikutan pengumuman pakatan pembangkang untuk memberi imbuhan RM500 kepada para guru jika mereka menang pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata:

''Kita lebih awal lagi buat tawaran ini, sudah setahun kita buat pengumuman. Pembangkang yang ikut kita, sememangnya ini salah satu daripada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan."

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, sebuah panel Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah akan ditubuhkan bagi menyemak semula sukatan mata pelajaran itu.

Beliau berkata, seramai 14 pakar terdiri daripada ahli akademik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan duduk berbincang untuk menambah baik mata pelajaran itu.

Ditanya mengenai penarikan balik lebih 400,000 buku teks Bahasa Inggeris berikutan berlaku kesilapan dalam cetakan, beliau berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta syarikat penerbit dalam proses menggantikan buku baru.

''Tanggungjawab itu kita sudah serahkan kepada mereka berdasarkan apa yang telah diputuskan, pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah tetap diteruskan seperti biasa sementara menunggu buku baru diedarkan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 11 Februari 2011

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rasanya tak perlulah diberi imbuhan wang.... bagi sajalah sijil ka, pingat ka.
Kesemua duit tu lebih elok jika digunakan utk menaiktaraf semua bilik guru yang masih daif, membina makmal komputer bg sek. yg sampai hari ni tak da langsung makmal komputer. Manfaatnya lebih utk jangka masa panjang.

Kat tempat saya, sekolah ada calon UPSR 10 org pun terpilih sbb thn lepas peratus meningkat. Kalau keputusan konsisten 5thn berturut-turut ok lah juga. Dah tu, UPSR pun menipu. Minta pengawas bantu....

Tanpa Nama berkata...

Mat kilau berkata....

Macam mana klo GB xbuat keje..tp GB yang dapat RM7,500...guru2 yang lebih busaha...KPM perlu berfikir semula ttg insentif tersebut..klo bagus duit tu diberi pada sekolah untuk aktiviti murid...GB dapat RM 2,500 cukup la...RM 5,000 bg pada sek je la..

Tanpa Nama berkata...

Tak payah bagi duit langsung utk Gb,Guru-guru.

Berikan hadiah yg lain dan bukannya wang.....

Tanpa Nama berkata...

Saya sokong insentif ini. Sekarang banyak insentif telah diwujudkan. Insentif ini memberi motivasi kepada penerima untuk terus mengekalkan kerja dan tugas serta tanggungjawabnya. Yang penting NIAT mesti "betul". Kalau kerana insentif tu kita kerja kuat, fikirlah sendiri bagi yang faham.

Itulah kuasa wang/duit ...

Tanpa Nama berkata...

Salam. Saya confuse dgn angka 924 org GB tu. Dari mana diambil angka tu? Adakah dari ranking NKRA yg dikeluarkan baru2 ni? SR-SR yg dpt ranking 1 - 924 akan dapat insentif tu ke?

Tanpa Nama berkata...

Tidak adil ....saya mahu tanya Menteri..Siapa yang bertungkus-lumus melahirkan pelajar cemerlang???Siapa..Guru Mata pelajaran.Guru MP berhempas pulas hinggakan mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli kelengkapan bagi melahirkan murid yang cemerlang..

GB..apa mereka buat asyik marah..suruh itu dan ini Tapi bila masuk bab minta peruntukan macam-macam alasan diberi untuk menolak permintaan guru MP dan akhirnya Guru MP juga yang keluarkan wang untuk membeli. Kadang-kadang tu GB suruh beli dulu tapi bila di tagih kata tak suruh pakai duit sendiri.. Bila di desak GB cakap Bodoh...

Tapi malang sekali bila sekolah itu cemerlang Guru MP hanya dapat 5%. manakala GB yang celupar mulut dapat 100%.

Adilkah ini.......kepada Guru MP ....kalau macam ni kami guru-guru MP hanya akan mengajar mengikut keperluan...Tau menteri ..KAMI AKAN HANYA MENGAJAR MENGIKUT KEPERLUAN ...