Rabu, 16 Februari 2011

Sasaran cemerlang

Oleh Azri Onn Othman
upen@bharian.com.my
2011/02/16

JABATAN Pelajaran Labuan mensasarkan penambahan Pengetua, Guru Besar dan Guru Cemerlang serta Sekolah Berprestasi Tinggi bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar sekolah rendah dan menengah menerusi Sasaran Kerja Tahunan (SKT) 2011.

Ini selaras meningkatkan jumlah tawaran baru untuk Guru Besar dan Pengetua serta pencalonan guru untuk Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran dan pengiktirafan lain di peringkat kebangsaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Labuan, Mistrine Radin berkata sasaran itu tidak mustahil dicapai kerana mendapat kerjasama dan sokongan daripada pegawai, guru besar dan pengetua di pulau berkenaan.
Katanya, beliau yang memulakan tugas barunya dengan mengadakan perjumpaan semua staf Jabatan Pelajaran Labuan pada akhir Januari lalu dan diikuti Pengetua dan Guru Besar menyokong agenda SKT 2011 itu.

Beliau berkata, jabatan sudah merangka Perancangan Strategik Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan 2011- 2015 bagi memastikan sekolah di Pulau Bebas Cukai itu cemerlang setanding Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya yakin sekolah di pulau ini mampu mencapai kecemerlangan menerusi penambahan Pengetua, Guru Besar dan Guru Cemerlang serta penambahan Sekolah Berprestasi Tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dan menyerahkan laporan Perancangan Strategik Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan 2011-2015 kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal di pejabatnya di Labuan, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Labuan, Ismail Abdullah dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah jabatan itu, Omar Baki Matusin.

Mistrine, 48, yang berasal dari Ranau, Sabah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pelajaran Labuan yang baru berkuatkuasa pada 20 Januari lalu.

Beliau pernah menjawat jawatan Jemaah Nazir Negeri Sabah pada 2006 hingga 2009, Pengetua Sekolah Menengah (SM) St Anne, Labuan (1993) dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, Kota Belud, Sabah (1996).

Selain itu, Penolong Kanan di SMK Mat Salleh, Ranau pada 1984 dan Penyelia Petang di sekolah yang sama pada 1989.

Beliau mendapat pendidikan awal peringkat sekolah rendah dan menengah di Ranau dan kemudian melanjutkan persekolahan peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di SMK Menggatal (sekarang SMK Bandaraya), Kota Kinabalu, Sabah.

Berita Harian Online: 16 Februari 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cemerlang sampai tunggang langgang cikgu-cikgu hanya klrn pengetua/GB nak dapat imbuhan.