Ekoran rungutan dan dakwaan pelbagai pihak bahawa
sistem pendidikan negara terlalu berpaksikan peperiksaan maka kerajaan
memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan
sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program
Transformasi Pendidikan.
Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian
Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan
penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap
progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.
Matlamat itu seperti yang terkandung pada capaian Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan
seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.
Sistem PBS ini mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011
dan dijadualkan menjelang tahun 2016, murid-murid sekolah rendah akan
menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah
ditambah baik.
Bagi peringkat sekolah menengah, sistem PBS baru digerakkan dan
dijangka dalam tempoh dua tahun berikutnya, ia akan mula dilaksanakan
bagi penambahbaikan pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
PBS merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang dianggap
berkemampuan menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan
rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan
bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk
melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa
proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran di akhir satu
unit pembelajaran) berasaskan sekolah.
Namun, apakah sebenar objektif PBS? Umum mengetahui pelaksanaan
sistem baru ini ialah mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang
potensi individu, memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi
individu dan membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.
Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada,
Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard
Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta
pencapaian prestasi seseorang murid.
Ia mengandungi proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid
tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari
berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut
tahap-tahap pencapaian seperti dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Harus ditegaskan bahawa Pentaksiran Rujukan Standard tidak
membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi
melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang
kemajuan dan pertumbuhan murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada
pernyataan standard.
Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam
masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan
potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain.
Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam
bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek
tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung
jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak
didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk
menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan
kebolehan masing-masing.
PBS memberi autonomi kepada guru melaksanakan pentaksiran berdasarkan
kesediaan murid kerana tujuan sistem ini diperkenalkan ialah untuk
membantu guru dan murid mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid
semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Wajar diingatkan bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid
lain malah kejayaan murid diukur bersandarkan standard yang harus
dicapai di sesuatu tahap pembelajaran.
Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru
dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang
lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai
sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju.
Apa yang penting, PBS ini jika dilaksanakan dengan baik dan
terancang, ia bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas
untuk untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi banyak
manfaat serta mampu mengurangkan beban tugas guru.
Lebih jelas, proses penambahbaikan yang diperkenalkan Kementerian
Pelajaran menerusi PBS ini memberi gambaran bahawa sistem peperiksaan
berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi suatu bentuk penilaian tunggal
dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran.
Utusan Malaysia Online: 6 Ogos 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan