Rabu, 1 Ogos 2012

Dong Zong 'cacing naik ke mata'

KUALA TERENGGANU 31 Julai - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menyifatkan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) seperti 'cacing yang sudah naik ke mata' apabila mengugut kerajaan bagi penubuhan sekolah tinggi bebas Cina.
Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad menegaskan, tindakan Dong Zong yang biadab itu seolah-olah mencabar kerajaan demi kepentingan mereka dan politik pembangkang.
Beliau berkata, persatuan terbabit jelas cuba mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan melampau ketika kerajaan sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Gagasan memandang serius tuntutan Dong Zong ini dan kami memberi amaran supaya jangan biadab dan kurang ajar. Jangan melampau dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan.
"Kami juga berhak menuntut pelbagai perkara daripada kerajaan demi kepentingan pelajar Melayu, tetapi tidak berbuat demikian kerana bertolak ansur demi kepentingan pelbagai kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Dong Zong menjadikan isu pendidikan Cina sebagai modal politik dengan mengugut menyokong pembangkang jika kerajaan tidak membenarkan pembinaan sekolah tinggi bebas Cina meskipun sekolah jenis itu gagal mematuhi peraturan asas sekolah di negara ini.
Semalam, Majlis Perundingan Melayu (MPM) turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan persatuan tersebut yang sanggup mengugut kerajaan agar memenuhi tuntutan mereka.
Syed Anuar berkata, Gagasan berharap kerajaan tidak berkompromi dan tidak sekali-kali tunduk kepada sebarang desakan atau ugutan Dong Zong berhubung isu berkenaan.
"Gagasan berharap kerajaan tidak melayan tuntutan yang dibuat Dong Zong dan kita juga ingatkan kepada mana-mana pihak jangan cabar kesabaran warga pendidik Melayu," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 1 Ogos 2012

Tiada ulasan: