Isnin, 6 Ogos 2012

Program mentor mentee lonjak pencapaian akademik

Persembahan seni silat sempena pelancaran Program Mentor Mentee SMK Bandar Baru Batang Kali, Selangor baru-baru ini.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Batang Kali, Selangor melancarkan program mentor mentee bagi mewujudkan hubungan akrab antara guru dan murid di sekolah itu, baru-baru ini.
Pengetua Cemerlang sekolah itu, Wan Mohd Tahir Wan Ibrahim berkata, melalui program ini, murid sebagai mentee dibahagikan dalam beberapa kumpulan mengikut rumah sukan masing-masing dan guru sebagai mentor menjadi ibu bapa angkat mereka ketika di sekolah.
"Program Mentor Mentee ini merupakan salah satu daripada elemen penjagaan "parent subtitle" kepada semua murid di SMK Bandar Baru Batang Kali.
"Pertemuan demi pertemuan dilakukan antara mentor dan mentee menjurus ke arah kecemerlangan akademik, akhlak serta sahsiah pelajar," katanya selepas pelancaran program berkenaan.
Pelancaran program disempurnakan Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Siti Rogayah Ibrahim.
Pada majlis itu, ibu bapa diberi penjelasan tentang program berkenaan di samping berpeluang menemui mentor anak masing-masing untuk mengambil keputusan peperiksaan pertengahan tahun, laporan kokurikulum dan sahsiah murid.

Utusan Malaysia Online: 6 Ogos 2012

Tiada ulasan: