KE mana hala tuju pendidikan negara? Persoalan
ini ada kaitan dengan kecelaruan sistem pendidikan yang sehingga kini
masih dalam kajian khususnya yang melibatkan Dialog Pendidikan Nasional
bagi mengumpul pandangan orang ramai bagi memantapkan sistem pendidikan
negara.
Terpanggil dengan keadaan semasa yang berlaku di sekolah sekarang,
sebagai guru dan waris saya ingin mengemukakan isu yang kini membelenggu
pengurusan sekolah. Ia banyak berkaitan dengan dasar 1 Sukan 1 Murid
dan Sukan Sepanjang Tahun khususnya di sekolah menengah seluruh negara.
Menyedari kepentingan sukan dan permainan yang menjadi minat dan
kesukaan pelajar, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengorak
langkah melaksanakan dasar tersebut. Ia amat baik dalam usaha
penggabungan nilai JERI yang cuba diterapkan secara bersepadu dalam
aktiviti ini. Perlu diakui bukan semua murid yang berminat itu adalah
murid berbakat dan berpotensi. Ada yang sekadar suka-suka dan langsung
tidak serius kerana menyedari kelemahan dan ketidakmampuan mereka.
Keadaan ini boleh diumpamakan dengan ungkapan, 'kita boleh membawa kuda
ke pinggir air, tetapi kita tidak boleh memaksa kuda untuk minum air'.
Namun bagi merealisasikan dasar ini, sepanjang 2012 saya mendapati
banyak program dan jadual sekolah terjejas. Dasar ini memberikan impak
yang amat-amat mengganggu keseluruhan jadual dan perancangan pihak
sekolah dan menjejaskan banyak perkara lain. Jika dahulu perancangan
sukan dan aktiviti kokurikulum akan berlangsung dari awal tahun dan akan
berakhir sekitar bulan April tetapi kini jadual sukan atau merentas
desa adalah dari awal tahun hingga bulan Jun atau Julai. Kesannya banyak
perancangan lain tidak dapat disusun dengan teratur dan semakin
menimbulkan kebosanan kerana jadual padat dan panjang bagi menghadapi
acara berkenaan. Mengambil contoh beberapa kes di sekolah, terdapat
pelajar yang sudah bosan menjalani latihan rumah sukan, latihan merentas
desa yang berbulan-bulan. Ramai pelajar mula ponteng dan ada yang
langsung tidak hadir semasa sukan tahunan. Mereka memberikan alasan
tidak berminat menyertai sukan kerana masa yang panjang, panas,
menjejaskan kulit dan sebagainya. Malah ada juga ibu bapa yang tidak
menyokong kerana kos yang perlu dikeluarkan akibat tempoh panjang bagi
sesi latihan rumah sukan.
Di kalangan pentadbir sekolah dan guru juga, ramai yang merungut
dengan perubahan ini. Program ini menjejaskan fokus utama guru-guru
tertentu. Sebagai contoh banyak sekolah melalui situasi sukar untuk
memilih tarikh sukan tahunan dan acara merentas desa kerana kepadatan
aktiviti sekitar bulan Mei, Jun dan Julai. Malah boleh dibuktikan bahawa
terdapat sekolah yang mengajurkan aktiviti ini pada cuti peristiwa
kerana kekangan masa. Faktor cuaca iaitu musim hujan juga turut
menjejaskan aktiviti dan ini juga perlu diambil kira oleh KPM.
Apa yang dikesalkan ialah banyak acara peringkat daerah, negeri dan
kebangsaan seperti pertandingan kawad kaki, perkhemahan, forum dan
pertandingan lain berlangsung sekitar bulan Jun, Julai, dan selepas hari
raya hingga September.
Utusan Malaysia Online: 7 Ogos 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Semua perkara yang dibangkitkan memang betul.Diharap KPM menimbang semula Dasar ini.
Catat Ulasan