Ahad, 5 September 2010

Keputusan mansuh UPSR, PMR lepas rundingan ketiga

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Keputusan sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuh atau dikekalkan hanya akan dibuat selepas persidangan meja bulat kali ketiga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persidangan yang dijadualkan selepas Aidilfitri ini merupakan peringkat terakhir sebelum kerajaan memuktamadkan cadangan tersebut.

Katanya, Kementerian Pelajaran masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu memansuhkan kedua-dua peperiksaan tersebut, hanya satu peperiksaan atau tidak memansuhkannya sama sekali.

"Saya telah diberi taklimat mengenai hasil rundingan meja bulat kali kedua yang diadakan beberapa minggu lepas oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan banyak idea serta pandangan bernas yang diambil kira.

"Seterusnya saya telah arahkan Ketua Pengarah untuk adakan rundingan meja bulat yang ketiga dan ini adalah usaha di peringkat terakhir sebelum keputusan dibuat dalam tempoh beberapa minggu akan datang,'' katanya.

Muhyiddin bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri 2010 di Stesen Sentral hari ini.

Mengulas paparan pergaduhan pelajar sekolah dalam Youtube yang disiarkan oleh akhbar The Star hari ini, beliau berkata:

"Saya dimaklumkan klip video ini telah dipos pada 2006 dan kejadian ini telah lama berlaku iaitu empat atau lima tahun lepas.

"Walau apa pun perbuatan seperti ini tidak boleh berlaku dan kita ada peraturan serta tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap pelajar yang cetuskan pergaduhannya.''

Beliau berkata, paparan klip video itu tidak boleh digunakan sebagai bukti perbuatan melanggar disiplin di sekolah semakin berleluasa.

"Jangan ambil satu kes dan digunakan sebagai ukuran bahawa sistem pendidikan kita sudah tidak berkesan dalam mengawal disiplin pelajar,'' ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 5 September 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Harapan kita supaya mereka yang dipanggil ke meja bulat kali ke 3 dapat memberikan idea dan saranan yang benar-benar memberikan keputusan yan tepat akan arah tuju pelajar tahun 6 dan pelajar tingkatan 3.

Jangan hanya ikut-ikutan sahaja sekadar memenuhkan korum perbincangan dan jangan menjadi hanya seperti burung tiong sahaja.

Kalau ada wakil dari Sabah dan Sarawak jangan hanya jadi pak turut sahaja. Jadilah peserta perbincangan yang efektif,aktif dan suarakan apa yang patut

Tetapi jangan pula hanya menjadi popular sahaja dengan mengeluarkan hujah-hujah yang tidak bernas tetapi bising.

'KAMI GURU-GURU MENGHARAPKAN YANG TERBAIK BUKAN HANYA KEPADA KPM TETAPI MASA DEPAN PELAJAR'