Rabu, 8 September 2010

Mansuhkan penggunaan buku teks di sekolah

BARU-BARU ini, kerajaan telah mengumumkan suatu langkah drastik dalam sistem pendidikan di Malaysia iaitu cadangan untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekalipun ramai yang masih lagi membahaskan cadangan tersebut dari sudut pro dan kontranya, tentunya kerajaan mempunyai alasan tersendiri bagi melaksanakan cadangan tersebut.

Setelah sekian lama kita bercakap tentang mengurangkan corak pendidikan berorientasikan peperiksaan, maka cadangan kerajaan tersebut merupakan satu-satunya langkah yang konkrit ke arah mencapai apa yang sekian lama hanya tinggal sebagai perbahasan di atas kertas atau di medan forum semata-mata.

Sesungguhnya isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai isu yang melanda sistem pendidikan di Malaysia. Di antara isu yang masih belum selesai adalah isu beg berat yang di bawa oleh anak-anak kita ke sekolah.

Setelah pelbagai cadangan dikemukakan dan dilaksanakan (sebahagiannya separuh jalan) oleh para menteri demi menteri, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah yang agak drastik (sebagaimana pemansuhan UPSR dan PMR) iaitu dengan memansuhkan penggunaan buku teks di sekolah.

Pada hemat saya, membawa buku teks ke sekolah memberi sumbangan terbesar kepada berat beg yang dibawa oleh pelajar, walhal menurut pemerhatian penulis sebagai seorang guru, buku-buku teks tersebut tidak digunakan oleh sebahagian besar guru sebagai rujukan untuk mengajar.

Guru-guru kebanyakannya lebih gemar menggunakan buku rujukan yang dibeli di kedai kerana ia menyediakan maklumat yang lebih ringkas, padat dan fokus kepada peperiksaan. Buku-buku latihan yang dijual di pasaran pula digunakan kerana menjimatkan masa guru-guru dan pelajar daripada terpaksa menyalin latihan di papan putih.

Pada zaman sekarang di mana kita cuba menggalakkan pelajar untuk mencari dan meneroka maklumat di dunia nyata dan dunia maya (Internet), maka penggunaan buku teks sudah tidak relevan lagi. Guru-guru pula sudah diberikan Sukatan Pelajaran dan huraiannya serta latihan yang secukupnya agar tidak tersasar daripada segi kandungan dan skop pengajarannya.

Konsep penerokaan ilmu melalui 'open-source' akan termendap sekiranya guru-guru masih lagi menggunakan buku teks untuk pengajaran. Bahkan perkembangan ilmu pada zaman ini terlalu pantas sehinggakan sesuatu ilmu di dalam buku teks boleh menjadi 'obselete' dalam masa dua tiga tahun sahaja.

Sekiranya kerajaan masih mahu menggunakan buku teks, saya cadangkan Kementerian Pelajaran segera memperkenalkan konsep "e-textbook" di mana rujukan rasmi sesuatu mata pelajaran atau boleh dirujuk di dalam Internet.

Apalah gunanya kerajaan menghabiskan jutaan ringgit saban tahun untuk menyedia dan menguruskan buku-buku teks sedangkan dari sudut penggunaannya amat minimum sekali.

Alangkah baiknya jika peruntukan tersebut disalurkan kepada berbagai cabang lagi keperluan di bidang pendidikan di negara ini seperti pembangunan profesionalisme guru dan pembinaan sahsiah pelajar yang semakin luntur.

ZIL AMRI

Kota Bharu, Kelantan


Utusan Malaysia Online: 8 September 2010

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa lagi yang nak dimansuhkan? Mari kita fikirkan dan cadangkan supaya tidak membebankan ...

Tanpa Nama berkata...

kepada Zil Amri,

Cadangan kamu itu melebihi orang atas le

Sudahkah semua guru dan pelajar di Malaysia bersedia menggunakan cadangan awak itu

Adakah semua sekolah di Malaysia ada dipasang saver internet?

Macam mana yang di pedalaman Sabah dan Sarawak. Sekolah sudah dibekalkan dengan kuasa elektrik?

Di Kelantan ok ke semua sekolah????


Kalau semua sekolah di seluruh Malaysia sudah kemudahan internet boleh...bah kalau k...

Tanpa Nama berkata...

ramai guru kat sekolah tak gunakan buku teks pun..
cadangan mansuhkan buku teks mungkin boleh dilaksanakan kalau kita ada cadangan yang realistik dan tidak melibatkan kos yang tinggi

**Sekadar pandangan saya**

Tanpa Nama berkata...

Berkongsi pengalaman.

Pada pendapat saya, pandangan saudara itu ada betulnya namun bergitu apa yang diperkatakan oleh saudara tanpa nama 2 dalam ruangan ini perlu juga diambilkira. Kita berhak memberi pandangan dan cadangan, apa yang pasti bukannya satu atau dua perkara yang perlu difikirkan dalam menentukan hala tuju cadangan kita. Kita perlukan fikirkan pelbagai faktor seperti kos, kekangan fizikal di sekolah, tahap kebolehcapaian murid, lata belakang pendidikan murid, kesan perlaksanaan ke atas murid dan seribu satu macam persoalan yang perlu diperhalusi. Bagi saya sebagai seorang guru yang dah lama berkhidmat dalam dunia pendidikan bercakap adalah senang tapi melaksanakan sesuatu agenda atau perkara itu adalah satu cabaran yang rumit untuk di atasi jika sekiranya kita betul-betul amanah, bertanggungjawab dan memahami saranan atau kehendak Kementerian Pelajaran. Saya percaya apapun perancangan pihak Kementerian pasti akan berjaya jika semua guru memahami aspirasi dan kehendak kementerian, jika guru-guru kita betul-betul iklas, jujur, amanah dan bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan kepada mereka.