Jumaat, 30 Disember 2011

Basinah tidak mahu anak bangsa tercicir

Oleh Nas Norziela Nasbah
nasnorziela@bharian.com.my
2011/12/23


LAMBAIAN terakhir yang diiringi lagu `Dimana ku cari ganti’ nyanyian seniman Tan Sri P Ramlee kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian (SMKSI), Kajang, Selangor, Basinah Taib membuatkan ramai warga sekolah itu terharu dan menitiskan air mata.

Acara simbolik itu sempena perpisahan pengetua yang bersara pada usia 56 tahun pada majlis yang berlangsung di Dataran Gemilang dihadiri lebih 2,000 warga sekolah itu.

Menariknya, acara simbolik itu diserikan kehadiran sebuah kereta kuda yang dihias cantik membawa pendidik berjiwa besar ini mengelilingi sekolah buat kali terakhir.

Basinah yang dilahirkan pada 3 November 1955, pernah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran di SMK Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Kajang dan SMK Telok Datuk Banting, Kuala Langat, Selangor pada 1983 sehingga 1989.

Ketegasan dan komitmennya dalam memimpin pelajar sekolah terbukti apabila beliau dilantik sebagai penyelia petang di SAAS, Kajang pada tahun 1991 dan seterusnya diberi tanggungjawab untuk membimbing sebuah sekolah baru iaitu SMK Jalan 4 Bandar Baru Bangi, yang ketika itu baru dibuka pada November 2002 sebagai Penolong Kanan.

Seterusnya, anak kelahiran Muar, Johor itu tidak menoleh belakang dan menggalas tanggungjawab sebagai pengetua SMKSI bermula Ogos 2007 sehingga November 2011.

Pemimpin sekolah yang mudah mesra tidak kira dengan guru atau pelajar, bersikap terbuka dan menerima pandangan secara positif dalam memastikan prestasi akademik seiring pencapaian kurikulum.
Beliau berkata, menjadi kewajipannya memastikan pencapaian akademik sentiasa berada di tahap memberangsangkan terutama pada keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sudah menjadi tanggungjawab dan harapan melihat anak kita berjaya satu hari nanti. Setiap perkara yang dilakukan saya pasti sekolah memberi pengaruh utama dalam membentuk seseorang pelajar berjaya di luar.

“Oleh itu, saya lebih sukakan cara mendekati pelajar dan berbual bersama mereka jika terdapat sebarang masalah. Cara ini berkesan dalam memastikan anak bangsa tidak tercicir,” katanya yang bercadang untuk aktif menjayakan kerja amal.

Majlis persaraan turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Azlan Ibrahim dan pegawai Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah serta Jabatan Penjara Kajang

Berita Harian Online: 30 Disember 2011


Tiada ulasan: